Friday, 3 July 2015

TAHI BERHAU HARUM

Mungkin para pembaca merasakan tajuk tersebut agak kelakar tetapi itulah realiti yang pernah saya tempuhi dalam merawat pesakit.

Kisah ini terjadi pada tahun 2014.  Ketika itu saya berada di negeri Kelantan bersama beberapa orang rakan mengunjungi seorang guru tua. Guru tua itu banyak memberikan beberapa petua dan ilmu yang berguna dalam kehidupan ini. Ilmu tersebut sangat diburu oleh kebanyakkan peminat ilmu kebatinan dan sufi iaitu ilmu Nazoriah.

Pagi itu sewaktu saya ingin berkemas untuk pulang ke Pahang, satu panggilan telefon telah saya terima daripada seorang wanita pertengahan umur. Agak pelik dan rasa lucu pun ada ketika mendengar keluhan penyakitnya yang agak misteri. Dia agak risau kerana merasakan ada gangguan yang menyebabkan peristiwa itu terjadi yang antara lainnya tahinya berbau wangi.  Saya berseloroh kepadanya bahawa baguslah begitu. Tak perlulah  membeli minyak wangi lagi. Namun wanita itu agak serius dengan ceritanya dan meminta saya merawatnya.  Saya katakan bahawa saya masih lagi berada di Kelantan dan akan balik pada hari itu.

Agak  lama juga wanita itu menyepi diri dan saya pun sudah agak lupa sehinggalah saya mendapat panggilan telefon daripadanya. Dia yang tinggal di Felda lepar Utara berhasrat untuk datang mendapatkan rawatan bagi penyakit misteri yang dialaminya itu.

Sesi rawatan

Sesi rawatan dimulakan dengan bacaan ikrar pemutus saka dan sihir. Nampaknya ada sedikit reaksi yang ditunjukkan. Seterusnya saya meminta pesakit berisgfar dan berselawat mohon kesembuhan daripada Allah. Tangan kanan saya letakkan di atas kepalanya sambil membaca kombinasi ayat-ayat ruqyah Nabawiyah. Tiba-tiba pesakit bertindak agresif dan ingin menyerang saya. “aku kuat, aku kuat”, jeritnya berulang kali sambil tangannya ingin menumbuk saya. Pada ketika itu saya berada dibelakang pesakit, jadi tangannya hanya menyapu angin sahaja. Perawat sepatutnya mengambil langkah berwaspada untuk mengelakkan tindakan agresif pesakit (gangguan jin). Salah satunya ialah meruqyah pesakit di bahagian belakang badannya. 

Sesi dialog tercetus antara saya dan pesakit (jin) tetapi saya sudah lupa ulas butir bicaranya.  Lagipun saya memang tidak suka melayan gangguan (jin) berdialog. Kadang-kadang bicaranya banyak yang tidak betul daripada betul. Malah yang lebih parah lagi jika pesakit (jin) memfitnah orang-orang tertentu yang melakukan atau  menghantar sakit (sihir) kepadanya.  Apabila hal ini didengari oleh ahli keluarganya yang hadir ketika itu, maka akan timbulkan permusuhan sedangnya kebenarannya masih samar-samar.  Saya masih ingat lagi pesanan daripada tuan guru saya iaitu Ustaz Haron Din supaya jangan melayan bicara dengan pesakit (jin) dan jangan pandai-pandai memberi ramalan andaian yang bukan-bukan.

Sesi rawatan ditamatkan dengan kaedah menarik penyakit menggunakan serban. Saya ingatkan kepada pesakit agar meneruskan lagi sesi rawatan kerana bukan mudah untuk menghilangkan seratus peratus kesan gangguan (jin) tersebut. Saya juga menasihatinya agar tidak mudah berputus asa dan perbanyakkan mengingati Allah.

Seterusnya pada hari-hari yang lain sesi rawatan dilakukan dan sedikit-demi sedikit gangguan  (jin) tersebut semakin beransur baik. Saya juga membekalkan amalan untuk diamalkan. Jangan mengharapkan seratus-peratus usaha daripada perawat. Pada pendapat saya, perawat hanya memudahkan cara untuk mengeluarkan ganngguan (jin). Selebihnya adalah usaha daripada pesakit sendiri. Jika pesakit malas beramal atau leka dengan keduniaan maka tidak mustahil gangguan (jin) akan menyerang semula.

Sehinggalah pada suatu hari saya mendapat penggilan telefon daripada wanita itu (pesakit) bahawa dirinya kini sudah pulih dan tahinya pun sudah berbau busuk.

Aduhai,  macam ini pun ada juga.


Sekian sahaja catatan daripada hamba.  Selamat berpuasa. 

Wednesday, 1 July 2015

SAMPAI AJALNYA

Pada bulan lepas, saya telah dihubungi oleh seorang sahabat saya di Temerloh.  Sebenarnya sahabat saya ini mengesyorkan agar saya membantu salah seorang kenalannya. Kenalannya itu mengajar di SMA Al Khairiah, Temerloh. Saya bersetuju membantunya dan menunggu panggilan telefon daripadanya.

Selang beberapa lama kenalan sahabat saya menelefon saya. Secara ringkas dia menyatakan bahawa ayahnya yang berada di Felda Jengka 8 sedang sakit. Sakit yang dideritai oleh ayahnya sudah agak lama dan dia begitu mengharapkan agar saya dapat meringankan sedikit sakit bapanya itu.  Saya terdorong untuk membantunya dan menetapkan hari untuk sesi rawatan (ruqyah).

Pada hari yang dijanjikan, dia membawa saya ke rumah orang tuanya di Felda Jengka 8. Sesampainya saya di rumahnya saya melihat keadaan ayahnya yang terbaring uzur. Kasihan saya melihat penderitaan orang tua itu. Badannya kurus kering dan muka yang cengkung. Saya meminta izin merawatnya.. pesakit hanya menggangguk lemah.

Saya mulakan rawatan dengan selawat atas Nabi dan ucapan syahadah memohon Allah membantu usaha saya yang kerdil ini. Tangan kanan saya letakkan di kepala pesakit dan mula membaca ayat-ayat ruqyah Nabawiyyah. Semakin lama hati saya semakin syahdu mengenang kebesaran Allah. Beberapa ketika kemudian, pesakit mula menunjukkan reaksi tidak senang dengan kehadiran saya dan beberapa kali menyuruh saya menghentikan rawatan. Saya tidak menghiraukan permintaannya kerana proses mengeluarkan penyakit melalui tarikan serban belum saya lakukan. Saya mengucapkan beberapa kalimat yang mengisyaratkan agar segala penyakit yang zahir atau yang batin mahupun akibat campurtangan jin (saka/bukan saka) segera keluar melalui kaedah menarik paksa penyakit terutama yang melibatkan gangguan jin. Nampaknya pesakit benar-benar marah dan tidak mahu memandang muka saya. Saya pasrah dan tidak berkecil hati.

Saya pulang ke rumah dan meletakkan ketentuan Allah yang bersifat Ar Rahman dan Ar Rahim. DIA yang menurunkan penyakit dan DIA yang menyembuhkan penyakit. Yang penting hambaNya wajib berikhtiar dan berdoa.  Pada pagi esoknya saya mendapat berita bahawa ayahnya telah kembali ke Rahmatullah. Innalillahhiwainnahiroji’un.

Sebenarnya saya ada beberapa kes seperti ini. Ada satu peristiwa, saya dipanggil oleh rakan sekerja saya untuk berikhtiar mengubati kakak iparnya yang sedang sakit.  Kakak iparnya itu sebenarnya telah lama sakit dan tidak disangkal, memang ada sedikit gangguan. Pada petang yang dijanjikan, saya dibawa oleh sahabat itu ke Hospital Temerloh (HOSAS Temerloh). Di wad itu kakak iparnya terlantar sakit dan agak kritikal. Dengan bertawakkal kepada Allah, rawatan ruqyah saya mulakan. Saya sudahi sesi rawatan dengan kaedah menarik penyakit dan gangguan jin melalui teknik tarik dengan kain. Apa yang pasti kita kena yakin dengan kaedah dan ilmu yang dipelajari. Selebihnya, kita serahkan ketentuannya kepada Allah. Keesokan harinya, saya diberitahu bahawa kakak ipar sahabat saya itu telah dipanggil mengadap Ilahi.


Apapun yang berlaku semuanya sudah tersurat  sejak azali lagi. Ajal maut seseorang  manusia itu adalah hak mutlak Allah. Jika sampai masa ajalnya, maka tidak akan tertangguh walau sesaat atau tercepat walau sesaat jua.


Sekian daripada saya..jumpa lagi.

Tuesday, 30 June 2015

MERAWAT GANGGUAN MISTERI

Assalamu'alaikum wwt.

Petang itu saya terpaksa pergi ke Kampung Paya Luas di Kuala Krau, Pahang. Hal ini disebabkan saya terpaksa menghadiri satu majlis bersama YB. Kuala Krau untuk menerima sumbangan wang surau sempena Ramadan. Saya pergi seorang diri sahaja kerana tiada siapa yang boleh menemani. Sudahlah tempatnya tidak pernah saya kunjungi hingga beberapa kali saya tersesat dan terpaksa meminta pertolongan penduduk setempat untuk menunjukkan arah.  Majlis tersebut berlangsung sehingga melewati waktu isyak.

Agak lewat saya sampai ke rumah dan sebenarnya isteri saya beberapa kali menelefon saya.  Isyarat panggilan tidak dapat diterima kerana di Kampung Paya Luas tiada liputan. Sesampai saja di rumah, isteri memberitahu bahawa ada sepasang suami isteri yang telah lama menunggu kepulangan saya bagi mendapatkan rawatan. Tidak sampai hati, saya membenarkan pasangan tersebut yang datang dari Jerantut untuk mendapatkan khidmat rawatan. Sebenarnya isterinya yang sakit dan kelihatan tidak bermaya.

Sesi rawatan dijalankan dengan bertanyakan beberapa soalan berkaitan simpton-simpton yang dialami.  Saya seakan diberi petunjuk bahawa ada gangguan yang dialaminya. Ayat-ayat ruqyah dialunkan sambil mengharapkan pertolongan Allah.  Siapalah saya yang mampu mengubati penyakit jika tiada dengan izin Allah? Pada kebiasaannya pesakit yang mengalami simpton gangguan akan menunjukkan gejala-gejala seperti panas, muntah dan sebagainya, namun pesakit ini tidak ketara reaksinya. Saya mengagak gangguan ini berpunca di rumah ibunya kerana dari penceritaannya bahawa setiap kali dia balik ke rumah ibunya, mesti badannya lemah dan sakit.

Saya menukar teknik ruqyah dengan melakukan teknik kembara dan rawat (TKR) untuk mengesan punca gangguan di rumah ibunya. Saya menutup matanya dengan serban yang sentiasa saya gunakan dan membaca beberapa potong ayat suci al Quran. Niat saya padukan bersama tumpuan pengharapan kepada Allah.  Saya membimbing pesakit untuk pergi ke rumah ibunya secara batin (vizual). Selang beberapa lama, pesakit itu terperanjat kerana hijab matanya terbuka dan nampak beberapa makhluk (jin) yang mengerikan di sekitar rumah ibunya. Pesakit ketakukan, namun saya menenangkannya sambil memberi kata-kata penguat semangat. Kali ini tidak boleh berlembut lagi. Pengajaran mesti diberikan kepada makhluk pengganggu tersebut. Saya minta pesakit memohon kepada Allah sambil memakrifatkan ditangannya ada sebilah pedang yang tajam. Setelah yakin, saya arahkan pesakit agar melibas makhluk gangguan itu dengan pedang ditangannya.  Satu persatu makhluk pengganggu itu dipancungnya.

Mungkin ini agaknya gambaran makhluk yang dilihat

Setelah sesi scanning di luar rumah, maka saya arahkan pula pesakit untuk berdiri di muka pintu rumahnya dan seterusnya meninjau di dalam rumah. Wah, nampaknya ada lagi beberapa makhluk dengan rupa yang mengerikan berada di dalam rumah tersebut! Apa lagi, tanpa membuang masa saya arahkan pesakit menggunakan pedang yang berada di tangannya untuk memancung lembaga hodoh tersebut. Dengan penuh kesungguhan, pesakit mematuhi arahan saya. Nampaknya pesakit agak keletihan kerana inilah pengalaman baru yang menakutkan yang telah ditempuhinya.

Penutup mata pesakit dibuka dan doa dibaca agar gambaran tersebut ditutup. Bimbang pula saya kalau-kalau gambaran yang dilihat  itu sentiasa terpambang di depan mata. Alhamdulillah, sesi rawatan ditamatkan sambil berharap kepada Allah agar gangguan misteri yang dialami oleh pesakit tidak berulang lagi.  Hanya Allah jua yang mengetahui segala-galanya. Wallahu’aklam.


Sekian... jumpa lagi`

Tuesday, 10 February 2015

RAWATAN MENGGUNAKAN DOA DAN AL-QURAN (RUQYAH SYARIYAH)



Selayang Pandang

RUQYAH SYARIYAH merupakan kumpulan ayat-ayat al-Quran dan hadis Rasulullah saw yang menjadi doa-doa perlindungan yang perlu dibaca dan diamalkan oleh setiap muslim ke atas dirinya sendiri, keluarga dan umat Islam sebagai perlindungan diri daripada sebarang bentuk kejahatan manusia dan jin, histeria dan kerasukan, sihir ataupun penyakit fizikal yang lain.

Ruqyah merupakan amalan yang dilakukan oleh Rasulullah, para sahabat dan salafus soleh bagi menjaga kesihatan fizikal dan jiwa. Terdapat banyak hadis sahih dan hasan yang melaporkan berkenaan ruqyah dan perkara yang berkaitan dengannya. Rasulullah pernah diruqyah oleh Malaikat Jibrail. Rasulullah sendiri pernah meruqyah sahabat beliau iaitu Saad bin Abi Waqas dan isterinya Hafsah binti Umar. Ada banyak lagi contoh amalan ruqyah ini dipraktikkan sehinggalah sekarang ini.

Sesungguhnya  rawatan yang menggunakan doa yang dan ayat-ayat suci al-Quran sebagai satu kaedah pengubatan untuk merawat penyakit ataupun mengatasi masalah spiritual bukan sesuatu yang mudah, yang dapat diterima oleh masyarakat biarpun kaedah ini telah diamalkan sejak zaman Rasulullah saw.  Sukar rasanya hendak menerima kenyataan bagaimana mungkin sakit boleh sembuh hanya dengan berdoa. 

Pengetahuan yang berkaitan dengan doa yang dikaitkan dengan usaha-usaha penyembuhan penyakit merupakan satu bidang khusus, yang terpisah dengan ilmu Fekah, Usuluddin, Ilmu Tafsir dan sebagainya, biarpun tidak dinafikan doa-doa yang dibaca untuk tujuan rawatan itu sebahagian daripadanya dipelajari oleh mereka yang mempelajari agama.  Kerana itu, mereka yang mempelajari agama tidak semestinya arif tentang konsep dan kaedah-kaedah doa yang digunakan dalam rawatan.  Begitulah sebaliknya, mereka yang mempelajari kaedah-kaedah rawatan yang menggunkan doa, tidak semestinya arif mengenai hukum-hukum fekah, Usuluddin dan sebagainya, kecuali mereka yang mempelajarinya secara khusus ilmu-ilmu tersebut. Kerana itu, sekiranya ada dikalangan mereka yang mempunyai latar belakang agama menafikan doa itu boleh digunakan sebagai satu usaha rawatan bukanlah sesuatu yang memeranjatkan.


Doa adalah Otak Ibadah

Pada manusia, otak adalah penggerak segala-galanya.  Otak yang dikaitkan dengan akal adalah faktor pembeza antara manusia dan binatang.  Tanpa doa, ibadah seseorang tidak ubah seperti manusia yang hidup tanpa otak. Allah menyuruh setiap hamba-hambaNya agar selalu berdoa.  Allah berjanji akan memperkenankan doa seseorang, sama ada diberi cepat ataupun lambat, di dunia ataupun di akhirat, bergantung kepada qada’ dan qadar Allah.  Semakin hampir seseorang hamba itu kepada Allah, maka semakin mudahlah doa yang dipohon itu diperkenankan. Dengan kata lain, untuk meraih kemakbulanm doa, seseorang itu perlu mempunyai sifat-sifat terpuji di sisi Allah, bukan mereka yang banyak melakukan maksiat. Orang-orang yang melakukan rawatan menggunkan doa perlu sentiasa terus menerus bertaqarub kepada Allah. Berdoalah dengan penuh harapan, khyusuk dan jiwa tenang. Manusia tidak berupaya meraih ketenangan jiwa kecuali dengan mengingati Allah.

Doa bukan jampi mantera atau serapah, biarpun hal ini sering dikelirukan oleh kebanyakan orang. Dalam keadaan tertentu, masyarakat mengharapkan agar orang yang melakukan rawatan menggunakan doa itu memastikan jenis dan punca penyakit yang dialami. Istilah yang popular ialah meminta ‘scan’ penyakit mereka. Kalau tidak kena gaya dan caranya, ‘scan’ ini menggunakan khidmat jin sebagai perantara. Saya tidak menafikan ada manusia yang diberi kelebihan oleh Allah untuk ‘scan’ penyakit atau digelar ‘kasyaf’.

Amalan berdoa adakalanya dimomok-momokkan dan diperli. Kononnya kaedah doa ini ketinggalan zaman.  Zaman sekarang sudah moden dan adanya kepakaran daripada mereka yang profesional untuk merawat penyakit. Betulkah begitu?

Keutamaan Membaca al-Quran

Sesungguhnya membaca al-Quran itu adalah salah satu usaha membina iman (al-Baqarah: 121). Al-Quran mengandungi keberkatan yang perlu difikiri (Sad:29). Kandungannya begitu kukuh, tersusun rapi dan jelas yang diturunkan dari Allah saw yang maha bijaksana lagi mengetahui (Hud:1). Al-Quran juga menjadi penawar dan rahmat bagi mereka yang beriman (al-Isra’:82)

Rasulullah saw ada bersabda menyatakan bahawa ibadah umatnya yang paling utama ialah membaca al-Quran. Pada hari kiamat nanti, al-Quran akan dapat memberi syafaat kepada orang yang membacanya.  Al-Quran memberi syafaat dan diterima syafaatnya, dan petunjuk yang diakui kebenarannya.  Barang siapa menjadikan al-Quran itu sebagai pemimpin, ia akan menuntun orang yang berkenaan masuk syurga. Sebaliknya, barang siapa menafikannya, al-Quran itu akan menghelanya ke neraka. Orang yang membaca al-Quran, mendirikan sembahyang dan membelanjakan sebahagian daripada rezeki yang diberi oleh Allah dengan berterangan atau secara sulit, serta mengharapkan perniagaan yang tidak pernah rugi akan diberi pahala, juga kurnia Allah.  sesungguhnya Allah maha pengampun lagi mengasihi.

Kesimpulan

Tidak syak lagi bahawa ikhtiar pengubatan melalui ruqyah syariyah merupakan salah satu ikhtiar untuk penyembuhan daripada penyakit rohani dan jasmani. Pembacaannya mendapat pahala dan menjadi santapan rohani kepada jiwa. Malah, amalan ruqyah syariyah merupakan benteng ampuh untuk melawan ilmu hitam, sihir, guna-guna, iri hati dan sebagainya yang bersifat mistik. Jangan kita ingat bahawa pada zaman moden ini amalan mistik yang jahat sudah tidak diamalkan..anda silap. Hal ini kerana selagi manusia hidup bertopeng kepada nafsu dan hasutan syaitan, maka amalan mistik dan ilmu hitam yang bersekongkol dengan jin semakin subur. Jika terkena kepada diri sendiri barulah anda yakin..

Nasihat saya, marilah kita belajar kaedah pengubatan Islam berteraskan ruqyah syariyah ini. Janganlah mengharapkan ada orang lain yang boleh merawat diri kita. Rawat diri sendiri dan rawatlah  keluarga sendiri dahulu. Jangan berharap sangat dengan orang lain jika kita sendiri mampu mempelajari ruqyah syariyah.

Kasihan dan simpati

Keberkesanan amalan ruqyah ini bukanlah boleh dicapai dalam masa yang singkat. Istiqamah itu yang penting. Amalkan doa-doa dan ayat-ayat ruqyah yang dipelajari secara ansur maju. Buat sedikit-sedikit dahulu, kemudian barulah ditambah mengikut kesesuaian masa dan tenaga. Yang penting ISTIQAMAH. Bila wirid amalan ini dibuat secara istiqamah, maka akan lahirlah pertolongan daripada Allah. Wirid amalan tersebut menjadi NUR yang bertindak mengikut niat kita...cubalah.

Sunday, 25 January 2015

SEDIKIT PETUA DAN AMALAN UNTUK MENGELAK GANGGUAN JIN, SYAITAN DAN SIHIR



Saudara pembaca yang dihormati,

Hidup di dunia ini sebenarnya kita berkongsi alam dengan makhluk-makhluk Allah yang tidak kelihatan dek mata kasar. Justeru, kadang kala ada antara perlakuan kita yang boleh menyebabkan kemudaratan atau kecederaan kepada makhluk-makhluk tersebut. Jika ini berlaku, tidak mustahil makhluk-makhluk halus ini (jin / syaitan) akan bertindak balas.

Maka sejajar dengan hakikat tersebut, kita perlulah sentiasa menjaga adab dan berhati-hati dengan setiap tindak tanduk dan perlakuan kita. Dalam tulisan kali ini saya berpesan kepada diri sendiri dan kepada para pembaca agar mengamalkan petua-petua berikut untuk mengelakkan dari gangguan jin, syaitan dan sihir. Insya Allah..

Petua Berguna

  •  Sentiasa berzikir kepada Allah.
  • Apabila menuang air panas, sebutlah nama Allah atau membaca “Isti’azah” atau membaca “Basmalah”. Dua lafaz ini adalah amat penting dalam kehidupan setiap Muslim lelaki atau wanita. Ia hendaklah diamalkan sepanjang masa walaupun wanita itu dalam keadaan uzur syarie (period). 
  • Jangan menuang air panas dalam tandas kerana tandas adalah tempat jin syaitan. Begitu juga ke dalam lubang. 
  • Apabila masuk ke bilik gelap, sebutlah “Basmalah”. 
  • Apabila membaling sesuatu yang berat ke bumi, sebutlah “Basmalah”. 
  • Apabila terjun dari tempat tinggi, seubutlah “Basmalah”. 
  • Jangan kencing ke dalam lubang, kerana ia tempat tinggal jin 
  • Jangan tidur seorang diri. Jika terpaksa tidur seorang diri, maka hendaklah berwuduk dan membaca zikir tidur. 
  • Jangan menyakiti anjing atau kucing. 
  • Jangan membunuh ular yang berada di rumah. Hendaklah diberi amaran selama tiga hari. 
  • Jangan berjalan seorang diri di padang pasir atau hutan belantara. 
  • Mengamal bacaan surah-surah pilihan seperti surah al-Ikhlas, surah al-Falaq, suran al-Nas dan ayat Kursi. 
  • Hidupkan suasana al_quran di dalam rumah. Menyebut zikir (لا إله إلا الله) seratus kali setiap hari. Dalam hadis diceritakan bahawa sesiapa yang membaca seratus kali: “Tiada tuhan selain Allah. Allah yang esa tiada sekutu bagi-Nya. Bagi-Nya kerajaan dan segala pujian. Dan Dia berkuasa atas tiap-tiap sesuatu”. maka antara fadilatnya ialah dipelihara daripaa syaitan pada hari itu. (Hadis Riwayat Bukhari). 
  • Sentiasa membaca ayat-ayat yang mengandungi makna bagi membatalkan sihir seperti surah al-A’raf (118 – 119) dan surah Taha (69). 
  • Makan ubat tertentu seperti tamar (kurma). Sabda Nabi s.a.w yang bermaksud: “Sesiapa yang makan setiap pagi buah tamar ‘Ajwah maka tidak akan memudaratkannya oleh racun dan sihir pada hari itu hingga malam hari” (Mafhum hadis riwayat Bukhari). 
  • Sentiasa membenteng diri dengan amalan tiga Qul. Aishah r.a menceritakan bahawa Nabi s.a.w apabila mengadu sakit, baginda s.a.w akan membaca ke atas dirinya surah al-Falaq dan surah al-Nas kemudian membuskannya. (Mafhum hadis riwayat Muslim) 

Friday, 9 January 2015

MAKSIAT MATA



Menonton Blue Film (Video Lucah)

Assalamu’alaikum wwt.

Luahan Rasa

Saya terpanggil untuk membincangkan isu berkenaan dengan maksiat mata  atau zina mata khasnya yang menjurus kepada menonton Blue Film (Video Lucah) yang dilihat semakin berleluasa sejak kebelakangan ini. Perlakuan ini jika dibiarkan akan menghilangkan kemanisan dalam beribadah kepada Allah. Mana mungkin hati akan menjadi khusyu’ dalam beribadah dan mana mungkin mata akan mencucurkan air mata ketaqwaan jika saban hari mata dijamu dengan menononton video lucah.


Saya tidak menafikan bahawa tarikan menonton video lucah amat kuat melanda jiwa dan perasaan manusia. Perasaan nafsu yang berghairah melihat adengan-adengan terlarang akan mengganggu dan menggugat keimanan khasnya bagi golongan remaja. Daripada hanya menonton tidak mustahil akan menumbuhkan maksiat yang lebih berat iaitu berzina. Apabila berzina maka akan lahirlah bayi yang tidak berdosa. Lebih parah lagi jika bayi ini dibuang merata-rata atau ada yang tergamak membunuhnya lantaran ingin menutup malu. Nah...betapa banyak dosa yang timbul akibat menonton video lucah.

Untuk mencantas dan mengikis habis tabiat suka menonton video lucah ini agak mustahil kerana kecanggihan teknologi media kini. Ibarat kata, maksiat seakan-akan berada di hujung jari. Akses untuk menyimpan dan menonton video lucah kini amat mudah dan boleh berlaku pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja dengan adanya telefon pintar. Saya melihat gejala negatif ini ibarat barah yang semakin merebak dan akhirnya akan merosakkan seluruh kekuatan agama Islam ini.

Hukum dan Kesan Menonton Video Lucah

Menonton blue film (video lucah) hukumnya haram, kerana kita melihat secara jelas bentuk tubuh orang lain bahkan melihat mereka sedang melakukan jimak. Melihat aurat orang lain dapat menumpulkan fikiran dan mengeraskan hati. Jika perbuatan ini sering dilakukan maka dikhuatirkan mempercepat seseorang itu menjadi nyanyok atau pelupa. Pernah suatu ketika Imam Syafie membaca ayat Quran namun sampai pada suatu ayat ia terlupa akan sambungannya. Beliaupun memperbanyak istighfar. Melihat keadaan beliau yang demikian sahabatnya pun bertanya. Maka Imam Syafie pun menerangkan bahawa ingatan atau hafalannya terganggu lantaran ia terlihat tumit wanita yang kebetulan terkoyak sarung kakinya sebesar ibu jari. Jika melihat aurat wanita sebesar ibu jari dapat melemahkan daya ingatan dan daya hafalan, tentu akan lebih besar kesannya jika dengan sengaja melihat aurat orang lain secara telanjang bulat seperti dalam blue film.

Jika anda suami isteri terus melakukan pekerjaan yang buruk ini, maka pertama sekali nikmat yang akan hilang daripada kehidupan anda adalah hilangnya kenikmatan hubungan jimak dan kemesraan antara suami isteri. Sebab anda lebih senang bermain dengan khayalan seperti yang anda lihat dalam blue film. Untuk jangka panjang boleh menghilang ghairah seks bagi wanita dan melemahkan kemampuan syahwat bagi lelaki. Sebelum perkara buruk ini menghantui minda anda suami isteri dan menjadi penyebab malapetaka yang paling besar dalam kehidupan berumahtangga, maka hindarkanlah pekerjaan yang dilarang oleh agama ini.

Keharaman menonton video lucah ini tertakluk kepada sesiapa sahaja walaupun ditonton oleh pasangan suami-isteri kerana mempunyai sebab-sebab seperti berikut;

Pertama :
Islam mengharamkan melihat aurat orang lain, terutamanya bahagian sulit.
Nabi SAW bersabda :
Ertinya : "Janganlah seorang lelaki melihat aurat lelaki yang lain, dan janganlah wanita melihat aurat wanita yang lain"
Sudah tentu apabila melihat filem tersebut, akan dilihat aurat si pelakon tadi malah dalam keadaan yang tidak diizinkan oleh Islam pula.

Kedua :
Islam juga tidak berapa menggalakkan si suami melihat kemaluan isteri dan begitu juga sebaliknya.
Hal ini sebagaimana displin seks Islam yang dinyatakan oleh Sayyidatina Aisyah r.a berkenaan hubungannya dengan baginda SAW. ( Hadith ini adalah lemah, bagaimanapun ia dikira sebagai adab sahaja berdasarkan umum dalil-dalil lain). Jika demikian hukumnya, maka sudah tentu melihat kemaluan selain pasangan yang halal di dalam filem lucah lebih lagi ditegah oleh Islam.

Ketiga :
Terdapat cara lain untuk mempelajarinya, iaitu dengan membeli buku panduan seks dalam Islam yang melakarkan gambar-gambar lukisan sahaja.

Keempat :
Filem-filem ini sudah tentu dilakonkan oleh orang bukan Islam serta sudah tentu menjalani hubungan seksual tidak menurut displin Islam dalam hubungan seks. Termasuklah melakukan seks secara yang diharamkan oleh Islam. Justeru, meniru teknik yang diharamkan sudah  tentu diharamkan juga.

Sebagai contoh, Islam tidak menggalakkan suami isteri bersama dalam keadaan telanjang bogel sebagaimana disebutkan sebagai salah satu displin adab melalui hadith yang bermaksud: "Apa seorang kamu 'bersama' isterinya maka janganlah kamu bertelanjang bogel ( bermakna perlu berselimut)"  ( Riwayat Ibn Majah 1/619 no 1921 )
Demikian juga displin dan adab-adab lain seperti berdoa sebelum bersama, tidak mendatangi isteri dari duburnya, tiada oral seks, berwudhu jika ingin bersama kali kedua sebelum mandi dan banyak lagi adab dan hukum Islam yang tidak akan dapat dipelajari dari filem lucah itu. ( Nizom al-Usrah, Dr Md Uqlah, 2/16-17)

Kelima :
Dibimbangi si suami atau isteri akan terbayangkan pasangan pelakon di dalam filem lucah tersebut. Maka perkara ini jatuh ke dalam perkara haram yang lain pula.

Keenam :
Nabi Melarang menceritakan perihal sulit aurat orang lain, apatah lagi melihatnya di dalam video seperti ini.

Nabi SAW bersabda maksudnya: “janganlah seorang wanita melihat aurat wanita lain, lalu menceritakannya kepada suaminya sehingga seperti (suaminya) melihatnya” ( Riwayat Al-Bukhari )  

Kesimpulan:

Langkah untuk menghindari perbuatan buruk ini, buanglah vcd blue film yang anda miliki. Kekanglah nafsu anda daripada memiliki vcd blue film tersebut jika anda benar-benar ingin berubah dari melakukan pekerjaan yang sia-sia ini. Percayalah jika kita sentiasa melakukan perbuatan yang tercela ini, maka Allah akan menutup pintu hati kita dan akhirnya doa kita pun tidak akan bererti apa-apa dan tidak diperkenankan oleh Allah SWT. Malah tidak mustahil anda akan ditimpa penyakit zahir dan batin.

Sumber