Thursday 19 November 2015

MANFAAT MINDA BAWAH SEDAR : MENGHUKUM JIN DI ALAM MIMPI

Assalamu’alaikum wwt..

Mungkin tajuk pada kali ini agak asing dalam pemikiran pembaca. Saya cuba mengupas akan manfaat minda bawah sedar dalam mengatasi pelbagai masalah dalam kehidupan seharian. Nampaknya menarik tajuk ini, tetapi saya percaya masih ramai yang tidak tahu menggunakan minda bawah sedar ini untuk menyelesaikan sebarang masalah mereka, apatah lagi untuk berhadapan dengan makhluk jin di alam mimpi. Namun begitu, hal ini tidak mustahil jikalau kita tahu menggunakannya.

Sedikit Info tentang Minda Bawah Sedar

Minda Bawah Sedar atau dipanggil juga Minda Separa Sedar atau dalam bahasa Inggeris digelar Subconscious Mind merupakan suatu bahagian pemikiran atau fungsi otak yang sangat misteri yang dianugerahkan oleh Allah kepada manusia.  Cuma segelintir manusia sahaja yang dapat mengambil manfaat akan kelebihan ini. Minda Bawah Sedar berfungsi untuk mengawal perjalanan sistem tubuh, fungsi organ-organ dari sebesar-besar organ hinggalah sekecil-kecil sel.  Selain itu, Minda Bawah Sedar berupaya untuk berinteraksi dengan seluruh sistem tubuh yang seterusnya membentuk tingkah laku, karektor serta tabiat manusia. Tambahan pula, Minda Bawah Sedar dapat menyimpan data-data memori yang sangat besar sejak kita dilahirkan lagi yang berupa data pengalaman hasil dari input melalui LIMA pancaindera kita sejak sekian lama (Bank Memori). Seterusnya, Minda Bawah Sedar dikatakan sebagai ‘Super  computer’ pada diri seseorang manusia itu, yang sangat berkuasa untuk pelbagai tujuan hinggakan tiada komputer ciptaan manusia sehebat mana sekalipun mampu menandingi kehebatan Minda Bawah Sedar ini. Allahu Akbar...

Illustrasi Minda Separa Sedar

Kalau Minda Bawah Sedar ini fungsinya di otak, apakah pula peranan akal fikiran? Adakah akal fikiran berada di dalam Minda Bawah Sedar ini?

Baiklah, pernahkan kita mendengar bahawa manusia hanya menggunakan 10% sahaja  dari bahagian otak untuk berfikir (secara ilmiah). Ada yang mengatakan Albert Einstein hanya menggunakan 12% sahaja otaknya untuk berfikir. Memang benar, hanya 10% ke 12% sahaja dari bahagian otak yang diperuntukkan oleh Tuhan kepada manusia untuk berfikir secara waras, walaupun anda seorang genius.  Bahagian 12% yang kecil ini dipanggil Minda Sedar (Conscious Mind) dan yang selebihnya iaitu 88% ke 90% dari bahagian otak adalah Minda Bawah Sedar.

Penggunaan Minda Bawah Sedar untuk Menghukum Jin di Alam Mimpi

Manusia yang beragama Islam lebih beruntung kerana diberi nilai tambah yang berupa ayat-ayat suci Al-Quran. Gabungan antara Minda Bawah Sedar dan ayat-ayat suci Al-Quran berupaya untuk mengatasi masalah gangguan jin/syaitan. Walau apapun jenis jin/syaitan tersebut seperti jin saka atau jin sihir, dengan IZIN Allah, kita dapat menghukumnya atau memberi pengajaran kepada jin-jin tersebut.

Namun, yang menjadi masalahnya ialah kebanyakan dari kalangan kita berasa takut untuk berhadapan dengan jin-jin ini walaupun di alam mimpi. Dalam hal ini, kita sering dimomokkan oleh cerita-cerita tentang rupa jin /syaitan yang menakutkan dan berupaya menyakiti kita. Namun percayalah, sebenarnya jin/syaitan itu sebenarnya yang takut kepada manusia.

Buanglah rasa takut tersebut. Sekali lagi, buangkan rasa takut tersebut. Jangan takut dan jangan gentar, sesungguhnya Allah bersama kita. Bisikkan atau tanamkan dalam minda kita bahawa kita berani dan tidak takut menentang apapun jenis jin atau penyihir. Jika di dalam mimpi itu dipertemukan oleh Allah jin yang biasa mengganggu, atau jin yang suka menindih kita, atau jin yang menyakiti kita, atau jin yang biasa menakuti anak kita, isteri kita atau kita sendiri, maka jangan lari tetapi kejar hingga TERTANGKAP apapun bentuknya.

Ingat.. tangkap jin-jin tersebut lalu bacakan Ayat Qursi hingga jin itu mati terbakar. Jika di dalam mimpi itu tidak hafal ayat-ayat Ruqyah, maka baca Asma Allah atau bertakbir “Allahu Akbar” berulang kali hingga jin tersebut lari atau mati.

Ingat sekali lagi dalam minda bawah sedar.. jangan lari dan membiarkan diri dikejer-kejar jin, tetapi kejarlah agar musuh-musuh Allah itu lari. Catat dalam Minda Bawah Sedar anda KEJAR dan JANGAN LARI dan hapuskan jin-jin tersebut yang mengganggu anda selama ini.

Kaedah Penggunaan

Sebelum tidur, ambil dahulu wudhu. Niatkan untuk bertemu dengan jin yang selama ini mengganggu anda atau keluarga anda atau jika Pengamal Perubatan Islam, niatkan untuk bertemu dengan jin yang selalu menganggu pesakit. Niat itu juga dipanggil Minda Bawah Sedar.

Bacalah Surah Al Fatihah, Ayatul Qursi, Al Ikhlas, Al Falaq dan An Nas. Setelah itu tiup ke tapak tangan dan usapkan ke seluruh tubuh. Mohon kepada Allah sebagai benteng diri. Selepas itu bacakan Surah Al Baqarah ayat 148 dan niatkan sekali lagi mohon kepada Allah untuk bertemu dengan jin-jin laknat itu. Teruslah tidur dan berzikir sehingga terlelap.

Jika diizinkan oleh Allah dan bertemu dengan jin-jin pengganggu tersebut, maka jangan takut malah terus mengejarnya. Jika jin itu lari ke sebuah rumah atau persembunyinnya, jangan takut, lari dan hancurkan tempat mereka. Boleh jadi itu adalah tukang sihir yang menyihir keluarga kita. Jika jin, tukang sihir dan tempat persembunyiannya itu berhasil kita hancurkan dalam mimpi, maka insyaAllah, jin dan tukang sihir itu mati dengan izin Allah.

Kesimpulan

Apa yang terjadi di dalam mimpi itu adalah tindakan minda bawah sedar. Ertinya, hal yang telah terakam dalam otak bawah sedar kita. Jika di alam nyata kita masih takut kepada  jin/syaitan, maka di dalam mimpi pun kita akan ketakutan. Untuk itu, kita mesti merakam di dalam minda bawah sedar untuk tidak takut kepada apapun kepada bangsa jin tetapi HANYA TAKUT KEPADA ALLAH sahaja. Wallahu’aklam...

“semoga berguna kepada saya dan anda semua”

Sumber:

Wednesday 18 November 2015

SAKIT BUAH PINGGANG

Assalamu’alaikum wwt

Penyakit buah pinggang berlaku disebabkan oleh pelbagai keadaan yang berbeza yang merosakkan dan menurunkan fungsinya. Diabetis telah dikenal pasti sebagai punca utama penyakit buah pinggang, atau dikenali juga sebagai kegagalan buah pinggang kronik. Tekanan darah tinggi, beberapa jenis kanser dan ubat penahan sakit juga boleh meningkatkan risiko penyakit buah pinggang. Kebiasaannya penyakit buah pinggang tidak menunjukkan sebarang tanda pada awalnya. Gejalanya hanya muncul setelah setelah buah pinggang rosak teruk dan tahap kesihatan semakin menurun.




Tanda-tanda Sakit Buah Punggang

Kerap Buang Air Kecil
Tanda pertama sekali yang akan muncul apabila buah pinggang telah rosak ialah akan berasa kerap hendak kencing, terutamanya pada waktu malam. Apabila membuang air kencing, kebiasaanya air kencing berwarna jernih. Ini disebabkan buah pinggang telah berhenti menapis sisa buangan yang terdapat di dalam darah ke dalam air kencing.

Keletihan dan Tahap Kesihatan Menurun
Oleh kerana buah pinggang telah berhenti menapis sisa buangan keluar dari darah, bahan tersebut akan mula berkumpul di dalam darah. Keadaan ini akan menyebabkan badan menjadi letih, dan tahap kesihatan akan menurun. Selain dari itu, kulit menjadi kering dan juga kegatalan. Pesakit dengan penyakit buah pinggang juga boleh mengalami muntuh-muntah, loya, hilang selara makan secara mendadak dan kehilangan berat badan.

Bengkak
Satu lagi kesan yang berlaku akibat dari menurunnya fungsi buah pinggang ialah berlakunya pembengkakan di tubuh badan. Keadaan ini dipanggil sebagai edema. Biasanya edema sering berlaku di kaki, tangan, muka dan abdomen.

Mengantuk & Kekeliruan
Penyakit buah pinggang juga boleh menyebabkan kerosakan pada saraf di dalam otak dan badan, yang akhirnya akan membawa kepada gangguan mental. Akibatnya, mungkin akan mengalami mengantuk, kekeliruan, kesukaran untuk membentuk dan mengekalkan penumpuan pemikiran, dan juga sawan. Sesetengah pesakit juga boleh mengalami kebas atau rasa sensasi kesemutan di bahagian kaki, tangan dan anggota badan yang lain. Otot anda juga akan mudah menjadi kejang tanpa sebab. Dan anda juga akan mengalami penurunan untuk melakukan hubungan seks yang akhirnya diiringi oleh mati pucuk.

Gangguan Tidur
Masalah gangguan tidur juga boleh berlaku disebabkan oleh penyakit buah pinggang. Atau pun tidur akan terganggu disebabkan oleh kekejangan pada kaki dan masalah yang dipanggil obstructive sleep apnea, di mana tekak menjadi bengkak dan mengganggu pernafasan ketika sedang tidur.

Sakit Perut
Pesakit buah pinggang juga merasa sakit di bahagian perut atau belakang. Kesakitan sering dirasai di bahagian belakang dan sisi, di sekitar kawasan buah pinggang, di antara tulang rusuk dan pinggul. Pesakit juga mungkin akan mengalami sakit di tulang dan sendi.

Rawatan Sakit Buah Pinggang

Apa yang saya ingin kongsikan di sini ialah salah satu kaedah rawatan sakit buah pinggang pada peringkat awal. Walau apa jenis penyakit sekalipun, rawatan pada peringkat awal amatlah penting agar lebih cepat sembuh.

Bahan:
Akar mengkuang. Iaitu akar yang tumbuh di batang, yang hujungnya tertanam dalam tanah.

Kaedah:
  • Akar ini hendaklah diasah di buntut pasu dengan air yang telah didoakan.
  • Masukkan air asahan dalam gelas dan biarkan mendap.
  • Minum bahagian yang jernih sahaja, manakala hampasnya digunakan untuk menyapu bahagian belakang pesakit, iaitu di bahagian buah pinggang.


Doa:
  • Surah Al Fatihah
  • Selawat Syifa’
  • Ayat Pemecah: Surah Al Mukminun (Ayat 115 -118)
  • Doa Sakit Pinggang : Surah As-Syu’araa (Ayat 130)


Bahan dan Kaedah lain:

Bahan:
Tombong kelapa (Bila belah buah kelapa tua ada anak biji di dalamnya). Carilah dua atau empat biji.

Kaedah:
  • Perahkan air tombong kelapa dan minum airnya. 
  • Tombong kelapa itu boleh juga dimakan.
  • Amalkan sehingga 2 minggu pada setiap pagi.

Doa:
Boleh baca doa seperti di atas.
Atau sekurangnya-kurangnya Surah Al Fatihah dan Selawat atas Nabi.

“Semoga bermanfaat kepada saya dan anda semua”

Sumber:
Catatan Kuliah Pengubatan Islam

Tuesday 17 November 2015

KRISIS PEMULIHAN DAN PENYEMBUHAN

Assalamu’alaikum wwt..

Dalam perawatan bagi sesetengah penyakit, ada kalanya sakit yang dideritai itu akan bertambah teruk walaupun telah mengambil ubat mengikut aturan yang ditetapkan. Tidak kiralah walaupun sakit yang berkaitan dengan sakit jasmani seperti demam, batuk, gout dan sebagainya ataupun penyakit yang berkaitan dengan sakit rohani seperti kemurungan, fikiran kacau, perasaan tidak tenang dan sebagainya. Satu hal yang tidak terkecuali ialah sakit yang diakibatkan oleh gangguan jin.

Dalam hal ini, saya tidak mahu mengulas tentang penyakit fizikal ataupun penyakit rohani kerana perubatan moden lebih arif tentangnya. Ubat-ubatan dan kaedah rawatan moden dilihat begitu berkesan dan menjadi pilihan ramai. Pada pendapat saya, kaedah rawatan moden menjadi pelengkap keadah kaedah rawatan berteraskan doa-doa yang diajar oleh Rasulullah saw. (Ruqyah Nabawiyyah). Sepatutnya, sebagai penganut agama Islam, utamakan atau dahulukan pengubatan Islam dan selepas itu barulah beralih ke arah rawatan moden. Kita kena ingat dan yakin bahawa sesungguhnya setiap  penyakit yang dialami oleh kita adalah datangnya daripada Allah dan Allah jua yang menyembuhkannya.

Fokus bicara pada kali ini ialah mengenai sakit yang dideritai dilihat bertambah teruk walaupun telah mengambil ubat-ubatan yang ditentukan. Hal ini dipanggil krisis pemulihan. Mengapa ada krisis pemulihan? Krisis pemulihan ialah satu keadaan badan kita melalui proses penyesuaian dengan ubat-ubatan yang kita ambil. Pada ketika ini pelbagai simpton yang kelihatan seperti penyakit akan keluar tetapi sebenarnya itu bukan penyakit. Keadaan ini merupakan tindakbalas tubuh kita kerana kekurangan khasiat disebabkan tabiat pemakanan kita. Sebenarnya kadar krisis pemulihan berbeza bagi setiap individu. Sewaktu tempoh penyesuaian, ada kemungkinan penyakit-penyakit lama akan timbul semula. Biasanya, keadaan ini akan mengambil masa beberapa hari. Walau bagaimanapun, untuk tubuh yang lemah, tempohnya akan lebih lama.

Krisis Pemulihan Gangguan Jin

Jin merupakan salah satu makhluk Allah yang diciptakan daripada api. Kewujudan jin adalah bersifat ghaib dan tidak dapat dilihat dengn mata kasar melainkan jin tersebut telah berubah rupa kepada sesuatu bentuk seperti ular, anjing dan sebagainya. Kita diperintahkan agar berlindung daripada kejahatan jin dan syaitan. Jin berupaya masuk ke dalam tubuh badan manusia dan berjalan mengikut aliran darah. Sebab itulah sering kita dengar ada manusia yang dirasuk oleh jin dan melakukan perkara-perkara yang diluar kebiasaan.

Berdasarkan pengalaman dan pengamatan saya yang kurang ilmunya ini, pesakit yang terkena sakit gangguan jin biasanya akan terjadi krisis pemulihan setelah diruqyah dan memakan makanan sunnah seperti habbatus sauda’, minyak zaitun dan minuman dan mandian daun bidara. Sakit yang dideritai akibat gangguan jin biasanya akan bertambah teruk sebelum akhirnya beransur-ansur sembuh dengan izin Allah. Pada logiknya, setelah gangguan jin dikeluarkan daripada badan, maka sembuhlah pesakit itu. Memang betul begitu, tetapi saya suka mengambil contoh keberadaan jin di dalam badan ibarat pokok yang sudah berakar. Bayangkan apabila pokok tersebut (jin) yang sudah besar sudah tentunya akarnya mencengkam kuat tanah (badan). Maka apabila ditarik pokok tersebut, sudah tentu akar-akar tercabut dan tanahnya tidak kuat. Minta maaf...ini hanyalah andaian saya sahaja dan saya tidak memaksa saudara pembaca mempercayainya.

Lagipun, jin dan syaitan yang berada di dalam tubuh manusia sudah tentu melakukan aktiviti kehidupan seperti makan dan minum malah turut kencing dan berak di dalam badan kita. Sudah tentunya bahan-bahan kotoran tersebut menjadi racun dan penyakit di dalam badan. Malah lebih parah jika jin dan syaitan tersebut membiak (pasangan jantan dan betina) di dalam badan kita. Bayangkan betapa banyaknya jumlah mereka apabila mereka telah menetap di dalam badan kita. Sebab itulah proses penyembuhan yang juga dipanggil “krisis” penyembuhana kerana kita terpaksa melalui keadaan yang tidak menyenangkan, apabila tubuh mula melakukan kerja keras membersih dan membina semula kerosakan yang sudah bertahun-tahun lamanya. Tubuh mula menolak segala sampah, kekotoran, racun toksik dan melawan segala jenis kuman dan virus.

Justeru, apabila perawat Islam melakukan rawatan bagi merawat gangguan jin yang berada di dalam badan pesakit, maka tidak dapat tidak akan ada krisis pemulihan. Krisis pemulihan ini berbeza bagi setiap pesakit dan juga berbeza dari segi jangka masa.

Tanda-tanda krisis pemulihan gangguan jin

Muntah
Pening kepala
Demam
Pinggang terasa sakit
Perut terasa sakit
Sakit-sakit seluruh badan
Badan terasa letih dan lesu
Dan sebagainya....

Seandainya pesakit mengalami tanda-tanda tersebut, maka janganlah pesakit berasa susah hati dan berputus asa. Saya selalu memberi harapan dan keyakinan kepada pesakit yang dirawat, agar teruskan meminum air yang didoa dan melakukan mandian air yang telah didoa. Selalunya krisis pemulihan ini berlangsung selama tiga hingga ke tujuh hari.  

Satu perkata lagi yang jangan dilupa iaitu pesakit hendaklah istiqamah beramal dengan zikir-zikir atau doa-doa yang telah dibekalkan oleh perawat. Kesembuhan yang maksimum dari pengaruh gangguan jin ialah dengan sentiasa menjaga amalan zahir dan batin. Dekatlah selalu dengan Allah yang Maha Berkuasa dan Maha Perkasa. Insya Allah..


Allah jua yang mengetahui.  Wallahu’aklam.

Sunday 15 November 2015

SEBULAN TIDAK LALU MAKAN

Assalamu’alaikum wwt..

Beberapa hari yang lalu saya telah mendapat panggilan telefon daripada seorang yang meminta bantuan atau rawatan bagi penyakit ayahnya. Saya telah bertanya sepintas lalu tentang simpton penyakit ayahnya itu dan telah menetapkan hari untuk rawatan tersebut.

Petang sabtu tersebut sebagaimana yang telah dijanjikan, maka datanglah pesakit tersebut  ditemani isterinya dan seorang anak lelakinya ke rumah saya. Seperti biasa, saya meluangkan sedikit masa untuk mendengar apa masalah sebenarnya. Isteri pesakit tersebut yang menjadi juru cakap suaminya telah menceritakan perkara sebenarnya. Menurutnya, suaminya telah sebulan lebih tidak berselera untuk makan. Badannya telah menjadi kurus dan kelihatan tidak bermaya. Sering juga pesakit meracau-racau kerana ada gangguan yang sering mengganggunya.Saya hanya tersenyum sahaja mendengarnya.

Sesi Rawatan

Saya meminta pesakit duduk berlunjur dan membimbingnya membaca ikrar pemutus gangguan jin. Kelihatan pesakit agak marah dan bacaan ikrar tersebut sering tersangkut-sangkut. Sampai satu ketika, pesakit mendengus marah dan menepis tangan saya. Kaki kiri dan kaki kanannya bergerak-gerak tidak dapat ditahan-tahan. Apabila saya memicit sedikit hujung ibu jari kakinya, pesakit mengaduh kesakitan.

Seterusnya, saya duduk di belakang pesakit dan mula membaca ayat-ayat ruqyah. Tujuannya adalah untuk melemahkan gangguan jin yang berada di dalam badan pesakit. Sesekali, pesakit mengeluarkan suara marah-marah atas tindakan yang saya lakukan. Saya berkata, “kalau nak main kasar, kita main kasar dan kalau nak berunding, silakan”. Namun, kata-kata saya tidak diendahkan dan terus membebel dengan sesekali terkeluar bahasa dialek Siam.

Sambil meruqyah, saya melakukan serentak teknik tikaman dan tepukan di beberapa poin badan pesakit. Sebagai perawat, kita harus tahu titik kelemahan jin yang berada di dalam badan pesakit. Titik kelemahan inilah yang perlu kita cari agar gangguan jin menjadi lemah dan mengikut perintah kita. Seterusnya, saya lanjutkan dengan mengumpul gangguan jin di bahagian perut dan menolaknya melepasi dada dan terus ke kerongkong pesakit. Ketika inilah, pesakit muntah dengan hebat. Beberapa kali saya melakukan teknik tersebut sehingga pesakit keletihan, maklumlah pesakit sebelum ini lemah fizikalnya kerana kurang makan.

Sesekali saya membentak keras menyuruh jin yang berada di dalam badan pesakit agar keluar. Keluar bukan sebarang keluar tetapi keluar dengan bersyarat. Tidak mudah untuk saya melepaskan begitu sahaja gangguan jin tersebut tetapi harus dengan sumpah agar keluar buat selama-lamanya dan tidak akan masuk lagi ke dalam badan pesakit atau mana-mana manusia sekalipun.

Saya agak ada banyak lapis gangguan jin di dalam badan pesakit dan perlu untuk saya menariknya secara borong melalui teknik tarikan serban. Apabila sampai ke bahagian kaki pesakit, terjadi perlawanan dan agak sukar untuk membuangnya. “Bismillahhi Masya Allah Allahu Akbar. Hasbunallah hiwani’mal wakil, nikmal maula wanik’mannasir”. Ulang saya beberapa kali. Semoga Allah mempermudahkan.

Saya akhiri proses rawatan dengan menumbuk tujuh helai daun bidara dan menyuruh pesakit meminum air daun bidara. Tujuannya, agar dapat membersihkan anggota dalaman pesakit daripada kesan-kesan gangguan jin. Insya Allah...


Wednesday 4 November 2015

PENYAKIT DARAH TINGGI ATAU HIPERTENSI

Salah satu sebab mengapa penyakit darah tinggi sering diabaikan ialah kerana penyakit ini langsung tidak menunjukkan sebarang gejala ‘menakutkan’ yang dapat dilihat dengan mata kasar. Pada masa yang sama, penyakit ini  juga mengambil masa bertahun-tahun untuk meninggalkan kesan kepada penghidapnya. Sebab itulah, penyakit darah tinggi ini dipanggil pembunuh senyap.

Justeru, tidak hairanlah jika kita ‘kurang berminat’  untuk mempedulikan bacaan tekanan darah setiap kali menjalani pemeriksaan doktor. Malah, rata-rata juga beranggapan bahawa darah tinggi atau dalam istilah perubatannya dipanggil ‘hipertensi’ ini bukanlah satu ancaman kepada kesihatan. Tanggapan dan penilaian sebegini menyebabkan kita melakukan satu kesilapan yang cukup besar. Hipertensi, yang diklasifikasikan sebagai pembunuh senyap inilah sebenarnya penyumbang utama kepada banyak penyakit yang serius. Ini termasuklah penyakit jantung, angin ahmar (strok) dan kegagalan fungsi buah pinggang.



Sedikit Info tentang hipertensi

Hipertensi merupakan satu keadaan dimana bacaan tekanan darah melebihi 140/90 meningkat secara berterusan. Seseorang itu dikalsifikasikan sebagai penghidap hipertensi setelah ujian ulangan dilakukan beberapa kali. Walau bagaimanapun, seseorang tidak dikategorikan sebagai pengidap hipertensi jika bacaan tekanan darah yang melebihi paras biasa hanya sekali.

Hipertensi berlaku apabila arteri-arteri atau dinding cabang pembuluh darah halus menjadi keras dan menyukarkan darah melaluinya.  Kesannya, tekanan darah meningkat dan menyebabkan jantung terpaksa bekerja lebih kuat.  Sekiranya bacaan tekanan darah kekal pada kadar 140/90 atau lebih, ini bermakna anda menghidap hipertensi.

Setiap jantung akan berdenyut lebih daripada 100,000 kali. Darah akan dipam dari jantung ke seluruh pembuluh darah setiap kali jantung berdenyut.  Di antara degupan jantung, tekanan darah dalam pembuluh akan menurun. Bacaan tekanan darah direkodkan dalam dua nombor, contohnya 120/80.  Nombor yang pertama (120) adalah tekanan darah pada pembuluh darah apabila proses degupan jantung berlaku yang dikenali sebagai ‘sistolik’. Manakala, nombor yang kedua (80) merupakan tekanan pada pembuluh darah ketika jantung berehat antara degupan jantung yang dikenali sebagai ‘diastolik’.

Rawatan Melalui Penggunaan Bahan dan Doa

Penggunaan bahan atau herba yang sesuai dengan izin Allah, boleh membantu menurunkan tekanan darah tinggi. Lebih-lebih lagi jika bahan-bahan tersebut diiringi dengan bacaan doa atau ayat-ayat suci al-Quran. Berikut disertakan kaedah penggunaan bahan dan doa terpilih.

Bahan 1:
Daun Misai Kucing.

Kaedah:
  • Bagi yang baru kena sakit ini, sehelai daun adalah memadai. Masukkan daun tadi dalam segelas air panas baru mendidih yang telah didoakan kemudian ditutup.
  • Air diminum ketika suam pada waktu pagi, dan buat satu gelas lain untuk diminum pada waktu petang. Adalah lebih baik kalau diminum sebelum tidur. Lakukan sehingga sembuh.
  • Sakit darah tinggi yang teruk memerlukan daun yang lebih banyak,   iaitu antara 5 – 7 helai.

Bahan 2:
Buah Mengkudu yang kecil/ Mengkudu hutan.

Kaedah:
  • Daun direbus bersama buah.
  • Dibuat mandi dan minum.

Doa:
Surah Al Fatihah
Ayat Pemecah (Surah al-Hasyr ayat 21 – 24) 
Ayah Pemecah (Surah Al Mukminun ayat 115 – 118)
Doa Darah Tinggi

Doa Darah Tinggi

Sumber:
Catatan kuliah Pengubatan Islam
http://pmr.penerangan.gov.my/

Tuesday 3 November 2015

PENYAKIT BATU KARANG

Assalamu’alaikum wwt,

Saya percaya tentu ada dalam kalangan pembaca yang tahu atau pernah mengalami sendiri penyakit batu karang. Apakah dia penyakit batu karang?

Air kencing kita mengandungi garam galian yang telah hancur. Jika garam ini terlalu pekat, garam berlebihan bertukar menjadi keras dan dinamakan 'batu'. Batu karang yang besar boleh menyekat pengaliran air kencing dan menyebabkan jangkitan dan adakalanya dinamakan renal colic - sakit teruk di sekeliling buah pinggang hingga ke bahagian kelengkang. Sesetengah orang yang mengalami batu karang tidak merasakan apa-apa tanda, ada pula terlalu sakit dan keradangan. Ubat melegakan sakit atau pembedahan diperlukan untuk membantu pesakit. Batu ini juga dipecahkan dengan rawatan ultrasound tanpa memerlukan pembedahan.

Faktor Risiko 
  • Kurang air — Jika tidak cukup minum, terutama air masak, air kencing menjadi lebih pekat. Ini sebabnya individu yang kurang minum air lebih mudah mengalami masalah batu karang.
  • Sejarah keluarga atau sendiri — Masalah batu karang juga boleh disebabkan oleh faktor keturunan. Orang yang ada sejarah keluarga mempunyai batu karang berisiko mengalami masalah sama. Malah, individu yang pernah mendapat batu karang juga perlu lebih berhati-hati kerana masalah ini boleh berulang.
  • Umur — kebanyakan kes berlaku di kalangan umur 20 hingga 70 tahun.
  • Jantina — Lelaki lebih mudah mengalami masalah batu karang berbanding wanita.
  • Penyakit tertentu — Penyakit yang diwarisi seperti sistinuria (masalah penyerapan dan metabolisme asid amino menyebabkan asid amino sisteina terkumpul dalam darah dan membentuk batu karang).
  • Bahkan, individu yang ada penyakit kencing manis dan tekanan darah tinggi juga berisiko mengalami batu karang.
  • Selain itu, individu yang mengalami masalah hiperurisemia (kepekatan asid urik yang tinggi dalam darah) juga dinasihatkan lebih peka menjaga kesihatan.
  • Kesan sampingan ubat — Sesetengah ubat, contohnya ubat diuretik, boleh meningkatkan risiko pembentukan batu karang dalam keadaan tertentu.
  • Pemakanan — Pemakanan yang tinggi kandungan protein purin dan asid urik seperti organ dalaman (hati, jantung, limpa), daging merah, makanan laut bercangkerang (kerang, tiram) dan alkohol boleh meninggikan risiko mendapat batu karang. Pada masa sama, diet kurang serat (buah-buahan, sayur-sayuran dan bijirin) menyumbang kepada masalah ini.
  • Kurang bergerak — Individu yang kurang bergerak, jarang bersenam atau lama terlantar lebih berisiko tinggi. Ini kerana aktiviti fizikal yang terhad menyebabkan tulang mengeluarkan lebih kalsium ke dalam darah.Masalah batu karang boleh dielakkan dengan mengamalkan pemakanan sihat dan minum banyak air.

Pesakit yang pernah mengalami masalah ini dinasihatkan supaya mengurangkan pengambilan makanan yang kaya asid urik atau purin.Batu karang adalah masalah kesihatan yang boleh dicegah dengan melakukan sedikit perubahan gaya hidup. Selain itu setiap orang juga disaran menjalani tiga ujian mudah, iaitu ujian air kencing dan darah serta pemeriksaan tekanan darah bagi memastikan buah pinggang dalam keadaan normal.Ini kerana melalui tiga ujian berkenaan, perubahan fungsi atau kerosakan buah pinggang dapat dikesan pada peringkat awal dan boleh dirawat segera.

Jenis-Jenis Batu karang
  • Batu kalsium — Jenis paling lazim. Batu kalsium biasanya membabitkan dua bahan, iaitu kalsium dan oksalat.
  • Batu struvite — Berlaku lebih kerap pada wanita berbanding lelaki. Ia biasanya disebabkan jangkitan salur kencing kronik oleh bakteria yang menghasilkan enzim tertentu. Enzim ini meningkatkan kandungan ammonia dalam air kencing sehingga membentuk kristal struvite.
  • Batu asid urik — Batu ini terbentuk daripada asid urik, iaitu hasil sampingan daripada metabolisma protein.
  • Batu sistein — Pembentukan batu karang jenis ini jarang berlaku. Ia biasanya berlaku di kalangan individu yang ada masalah genetik yang menyebabkan buah pinggang menghasilkan berlebihan asid amino tertentu. 

Kaedah Rawatan

Dalam tulisan ini, saya ingin berkongsi sedikit petua tentang rawatan penyakit batu karang. Petua ini melibatkan bahan-bahan terpilih dan disertai dengan doa-doa mustajab. Insya Allah mujarab.

Bahan 1:
Serai Wangi

Cara Penyediaan: 
  1. Ambil Serai wangi 15 batang (sehari 5 batang). Potong sedikit dibahagian hujungnya kemudian titik beberapa kali pada labu batangnya
  2. Masukkan 5 batang serai setelah dibersihkan dalam periuk dan tuang air sekira-kira sama paras dengan bahan.
  3. Rebus hingga mendidih di atas api yang sederhana besarnya. Biarkan mendidih lebih kurang 5 minit.
  4. Minum air rebusan sebanyak mungkin di waktu pagi dan malam sebelum tidur.
  5. Panaskan semula bahan ini sebelum diminum airnya dengan menambahkan air sekadar perlu. Bahan ini boleh digunakan selama 3 hari.


Serai Wangi

Bahan 2 :
Sehelai  daun ginjal

Cara Penyediaan:
  1. Rendam daun ginjal dalam segelas air panas yang baru mendidih untuk diminum pada waktu pagi dan sebelum tidur.
  2. Sakit yang teruk tambahkan daun ginjal ikut keperluan.

Doa :
Surah Al Fatihah
Ayat Pemecah Kebuntuan (Surah al-Hasyr ayat 21 – 24) 
Ayah Pemecah (Surah Al Mukminun ayat 115 – 118)
Selawat Syifa’

Sumber:
Kuliah Pengubatan Darussyifa

http://penyakitbatukarang.blogspot.my/