Saturday 31 May 2014

PENYAKIT ‘AIN



Assalamu’alaikum wwt.

Bulan Rajab sudah berlalu  dan kini menyusul pula  bulan Sya’ban. Selamat datang bulan Sya’ban...dan dengan izin Allah mudah-mudahan kita akan bertemu pula dengan bulan Ramadhan, iaitu bulan yang penuh barkah dan penuh rahmat. InsyaAllah..

Tulisan pada kali ini ialah mengenai sejenis penyakit al-ain yang mungkin boleh terkena pada diri kita atau pada orang-orang kesayangan kita. Hal ini bukanlah perkara mustahil kerana kewujudan penyakit ini telahpun dijelaskan oleh baginda Rasulullah saw sendiri. Tambahan pula, untuk tekena penyakit ‘ain ini amatlah mudah...lebih-lebih lagi pada zaman internet ini. Kepada saudara pembaca yang tidak pernah mendengar nama penyakit ini, marilah kita sama-sama mengambil langkah berjaga-jaga.

Pengenalan

Awas dengan pandangan mata

Secara umumnya, ‘ain bermaksud “mata”. Hal ini bermaksud, penyakit ain ialah kesan yang berlaku ke atas seseorang individu akibat terkena panahan pandangan mata. Bukan sebarang pandangan mata yang boleh menyebabkan penyakit tetapi pandangan mata seseorang yang memandang dengan sifat kagum dan disertai dengan sifat dengki atau hasad dalam diri individu itu.

Dari itu, pandangan seseorang terhadap sesuatu yang dianggap menakjubkan atau menimbulkan perasaan kagum yang disertai dengan perasaan hasad dengki boleh menyebabkan berlakunya penyakit ‘ain. Ini berlaku apabila individu itu mensasarkan pandangannya kepada seseorang yang dikagumi tersebut dengan niat agar individu tersebut menderita dan sebagainya. Ada juga pendapat yang mengatakan bahawa penyakit ‘ain boleh berlaku daripada pandangan yang penuh dengan kekaguman tetapi tidak disertai dengan perasaan hasad dan dengki, bahkan kemungkinan juga boleh berlaku terhadap orang-orang yang soleh.

Dalil Kewujudan Penyakit ‘Ain

Kewujudan penyakit ain sememangnya ada dinyatakan dalam al-Quran dan hadis-hadis Nabi Muhammad saw.  Semua ini membuktikan bahawa penyakit ain ini perlu diambil perhatian yang serius oleh semua orang agar lebih berhati-hati dalam menempuh kehidupan.

Hadis al-‘Ain, Sabda Rasulullah SAW:
Al-‘Ain adalah benar.[1]

Benarkah ia boleh menyebabkan sihir dan penyakit hanya apabila dua orang saling memandang ?

Al-‘Ain adalah tilik mata yang dengannya seseorang itu boleh menyebabkan orang lain yang dipandang matanya menjadi sakit, lemah atau disihir.

Al-‘Ain berlaku kerana kejahatan segelintir manusia yang memiliki tenaga telepati yang tinggi dan juga kerana kejahatan jin dan syaitan. [2]
Sabda Rasulullah SAW:

Al-‘Ain adalah benar, syaitan dan manusia yang dengki mengganggu kamu dengannya. [3]

Syaitan mengganggu manusia melalui beberapa cara dan salah satu daripadanya adalah seperti hadis di atas, iaitu melalui pandangan mata.

Dalam kes ini mungkin sahaja syaitan menjelma menjadi sesuatu makhluk dan dengan pandangannya dia berjaya menilik mata seseorang dan memberi gangguan kepadanya, sama ada gangguan jasmani atau rohani.

Gangguan manusia juga tidak dapat kita nafikan. Ia lahir dari sifat dengki dan cemburu seseorang kepada seseorang yang lain. Disebabkan tahap kedengkian dan kecemburuannya yang amat tinggi, mungkin sahaja ia dapat disalurkan melalui matanya hingga memberi pengaruh buruk kepada mata orang lain yang dipandangnya.

Kerana itu Rasulullah SAW pernah mengingatkan kita:
Apabila seseorang kamu melihat terhadap dirinya atau hartanya atau tentang saudaranya apa yang mengkagumkannya, maka doakanlah baginya keberkatan, kerana sesungguhnya Al-‘Ain adalah sesuatu yang benar.[4]

Makhluk jin juga boleh mengganggu manusia melalui al-‘Ain. Ummu Salamah radiallahu ‘anha menerangkan bahawa di satu ketika pernah seorang budak kerja wanita di rumahnya yang warna mukanya berbeza daripada kebiasaan. Melihat itu baginda bersabda:

“Jampikanlah untuk dia sebab dia terkena al-Nazrah”.[5]

Al-Nazrah maksudnya adalah sesuatu yang berasal daripada jin. Justeru maksudnya ia terkena Al-‘Ain lantaran pandangan jin yang menusuk dari mata lembing.[6]

Dalam hadis di atas Rasulullah SAW menyuruh pesakit Al-‘Ain diubati dengan jampi-jampian. Jampi yang dimaksudkan ialah membaca dua surah terakhir dalam al-Qur’an. Abu Sa‘id al-Khudri RA menerangkan:

Adalah Rasulullah SAW berta‘awuz (berdoa meminta perlindungan Allah) daripada ‘ain Jin, kemudian ‘ain manusia. Setelah turunnya surah al-Mu‘awwizatani, baginda mengambil (mengamalkan) keduanya dan meninggalkan yang selain dari itu. [7]

Kesimpulan:

Demikian penjelasan tentang al-‘Ain. Tentang benar atau tidak al-‘Ain, memang sukar untuk diukur dengan daya nalar kerana ia adalah sesuatu yang berada di luar jangkauannya. Kerana itu Rasulullah SAW bersabda: Al-‘Ain adalah benar – bertujuan untuk menyedarkan umatnya tentang kebenaran perkara ini dan bahayanya yang tinggi.

Melihat kepada senario semasa kehidupan masa kini, saya percaya penularan penyakit ‘ain amat mudah berlaku.  Cuba kita perhatikan, ibu bapa moden kini amat mudah memuat naik gambar anak-anak mereka yang masih kecil untuk tatapan umum. Maka akan banyaklah mata yang memandang dan tidak terkecuali ada mata yang memandang dengan penuh kekaguman dan bercampur dengan rasa iri hati.

Oleh itu hendaklah setiap orang berwaspada tentangnya kerana ia termasuk dalam bab perkara ghaib sepertimana gangguan syaitan, jin dan sihir yang semuanya sukar dikesan oleh mata kasar. Jika kita memandang sesuatu (terutama kepada anak kecil) dahulukan dengan memuji Allah dahulu kemudian barulah memuji seseorang. Jika memandang dengan penuh kekaguman iringilah dengan doa  “Ya Allah, berkatilah dia”

Hendaklah selalu membaca dua surah terakhir al-Qur’an (Al-Falaq Dan An-Nas) , iaitu surah yang dikenali sebagai al-Mu‘awwizatan sebagai pelindung daripada al-‘Ain.

Nota Kaki :

[1] Sahih: Sebahagian hadis daripada Abu Hurairah radiallahu ‘anhu, dikeluarkan oleh Ahmad, al-Bukhari, Muslim dan lain-lain, lihat Sahih al-Bukhari – no: 5740 (Kitab Tibb, Bab Al-‘Ain adalah benar).

[2] Lihat penjelasan Ibn al-Qayyim dalam Zaad al-Ma‘ad, jld 6, ms 244-247.

[3] Sahih: Hadis daripada Abu Hurairah radiallahu ‘anhu, dikeluarkan oleh Ahmad dan dinilai sahih oleh Hamzah Ahmad Zain dalam Musnad Ahmad – no: 9631 (Musnad Abu Hurairah, hadathana Ibn Numair...............).

[4] Hasan: Hadis daripada ‘Amr bin Rabi‘ah radiallahu ‘anhu, dikeluarkan oleh Abu Ya’la, al-Hakim dan al-Thabarani, isnadnya dinilai baik (jayyid) oleh Husain Salim Asad dalam Musnad Abu Ya’la – no: 7195 (Musnad hadis ‘Amr bin Rabi‘ah, hadathana Abu Bakar bin Abi Syaibah.............). al-Suyuti menukilnya dalam al-Jamii’ al-Sagheir – no: 622 dan beliau mensahihkannya dan ini dipersetujui oleh Nasr al-Din al-Albani dalam Sahih al-Jamii’ al-Sagheir – no: 556.

[5] Sahih: Sebahagian hadis yang dikeluarkan oleh Ahmad, al-Bukhari, Muslim dan lain-lain, di atas dengan lafaz al-Bukhari, lihat Sahih al-Bukhari – no: 5739 (Kitab Tibb, Bab Ruqyah al-‘Ain).

[6] Al-Baghawi – Syarah al-Sunnah (tahqiq & takhrij Syu‘aib al-Arna’uth, Maktabah Islami, Beirut 1983), jld 12, ms 163.

[7] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Tirmizi, al-Nasa’i (Sunan & Kabir), Ibn Majah, al-Baihaqi (al-Kubra & al-Iman) dan lain-lain, dinilai sahih oleh Nasr al-Din al-Albani dalam Sahih Sunan al-Nasa’i (Maktabah al-Ma‘arif, Riyadh 1998) – no: 5509 (Kitab Memohon perlindungan, Bab Perlindungan dari ‘ain jin).


Kredit kepada : http://www.hafizfirdaus.com/ebook/HadisMusykil/tajuk25.htm


Monday 26 May 2014

USIA 40 TAHUN : (Peringatan khas dari Al-Quran)



Assalamu’alaikum wwt.
Saudara pembaca yang dikasihi sekalian...

Dalam mengharungi detik kehidupan ini,  seakan tidak sedar rasanya bahawa usiaku kini menjangkau dan melewati  40 tahun. Ya....kini aku berusia 48 tahun.  Terasa begitu cepat waktu berlalu dan rasanya banyak kekurangan dalam bekal menuju alam abadi.

Adakah anda sekarang berusia 40 tahun? Ada ungkapan dalam bahasa Inggeris yang menyatakan bahawa kehidupan bermula pada usia 40 tahun. Benarkah demikian ? Dalam ajaran Islam sememangnya ada ungkapan usia 40 tahun ini. Dalam surah al-Ahqaf ayat 15 Allah SWT berfirman yang bermaksud :


Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung susah payah dan telah melahirkannya dengan menanggung susah payah. Sedang tempoh mengandungnya beserta dengan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa tiga puluh bulan. Setelah ia besar sampai ke peringkat dewasa yang sempurna kekuatannya dan sampai ke peringkat umur empat puluh tahun, berdoalah ia dengan berkata:
"Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmatmu yang engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan jadikanlah sifat-sifat kebaikan meresap masuk ke dalam jiwa zuriat keturunanku. Sesungguhnya aku bertaubat kepadamu, dan sesungguhnya aku dari orang-orang Islam (yang tunduk patuh kepadamu)". (QS. Al-Ahqaf: 15)


Pengajaran dan Intisari Ayat Ini :

Ketika berganjak usia 40 tahun, sudah tentu ibu bapa kita telah menganjak usia tua dalam lingkungan 60-80 tahun atau mungkin lebih. Ayat ini mengingatkan kita untuk bermuhasabah diri apakah bakti kita kepada mereka ketika mana mereka telah membesarkan kita dan sekarang kita berada pada umur 40 tahun.

Ketika berganjak usia 40 tahun, ayat ini menuntut kita berdoa yang intisari doa itu sarat dengan persiapan untuk kita menghadapi saat kematian.

Intisari doa pertama :
Berdoalah supaya kita menjadi hamba Allah yang bersyukur.  Mana tidaknya, cuba bandingkan kita dahulu dengan kita sekarang, dulu tiada kereta dan rumah, sekarang sudah ada, dulu tiada anak isteri, sekarang sudah memilikinya.

Intisari doa kedua :
Bermohon supaya sentiasa hidup dalam amal yang soleh, mana tidaknya umur 40 semakin menghampiri kematian. Biarlah mati dalam husnul khatimah atau dengan amalan soleh yang memberatkan mizan sebelah kanan. Biarlah kita dilapang untuk membuat amal soleh dan tidak disibukkan dengan hal yang sia-sia dan tidak menyumbang ke arah menambah pahala.

Intisari doa ketiga :
Bermohon supaya kehidupan kita tetap berada dalam kebaikan dan seterusnya mengharapkan agar anak dan cucu kita menjadi anak dan cucu yang soleh yang mendoakan
kita di alam barzakh nanti.

Intisari doa keempat :
Menuntut kita supaya bertaubat dengan dosa-dosa lampau dan kembali merencana agenda kehidupan umur 40 tahun yang menceriakan masa depan di alam akhirat. Hidup dekat dengan jamaah. Hidup dengan ulang-alik ke masjid, tidak melupakan kewajipan fardhu ain dan fardhu kifayah.


Renungan Bersama:

Saya percaya bahawa ramai diantara kita yang kini berusia 40 tahun tetapi tidak pernah berdoa akan doa khusus ini.  Saya dahulu pun begitu juga, tidak berjumpa dengan doa tersebut mungkin kerana kesibukan dengan urusan duniawi atau tidak bertanya kepada guru. Oleh itu, melalui tulisan ini saya mengajak kepada para pembaca yang berusia 40 tahun dan ke atas, agar memohon kepada Allah dengan doa ini. Mudah-mudahan kita semua termasuk ke dalam golongan hamba-hamba yang diredhai oleh Allah.

Amatilah dan selitkanlah doa ini setelah selesai solat...






  "Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmatmu yang engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan jadikanlah sifat-sifat kebaikan meresap masuk ke dalam jiwa zuriat keturunanku. Sesungguhnya aku bertaubat kepadamu, dan sesungguhnya aku dari orang-orang Islam (yang tunduk patuh kepadamu)". (QS. Al-Ahqaf: 15)



Sekian coretan daripada hamba yang fakir ini...

Wednesday 14 May 2014

PENGUNCI JIN



Bismillahirrahmanirrahim

Saudara pembaca yang dihormati sekalian..

Makhluk jin merupakan sejenis makhluk yang diciptakan daripada api. Jin memikul amanah sama seperti manusia iaitu untuk beribadah kepada Allah. Walaupun begitu, terdapat ruang permusuhan yang nyata antara makhluk jin dan manusia. Makhluk jin dapat melihat manusia tetapi manusia tidak dapat melihat jin (kecuali yang diizinkan oleh Allah).

Justeru, tidak hairanlah mengapa ramai manusia diganggu oleh jin. Jin berupaya berjalan dalam salur darah manusia dan membuat bisikan-bisikan yang jahat bahkan mereka dapat membawa penyakit. Oleh itu dapat juga dikatakan bahawa jin ini merupakan sejenis kuman atau virus berbahaya yang perlu dikeluarkan atau dimusnahkan dengan izin Allah.

Kadang-kala ada beberapa kes, manusia yang diganggu oleh jin ini bertindak ganas atau agresif. Malahan tenaga manusia yang dirasuk oleh jin ini berganda kekuatannya sehingga beberapa orang lelaki dewasa pun belum tentu mampu menmegangnya. Agaknya jin ini sengaja menunjuk kehebatan dan kekuatannya kepada manusia. Mana boleh begitu? Ingatlah bahawa manusia  merupakan khalifah Allah di muka bumi ini. Janganlah takut dan gentar jika berhadapan dengan jin-jin yang agresif begini. Walaupun begitu, keberanian yang ada bukanlah boleh dibuat-buat tetapi timbul hasil pergantungan yang tinggi kepada Allah.

Tujuan tulisan pada kali ini ialah untuk berkongsi teknik untuk mengunci jin yang ganas dan bertindak agresif agar mereka lemah dan memudahkan proses rawatan seterusnya. Bukanlah niat saya untuk menunjuk-nunjuk ilmu tetapi sekadar berkongsi teknik agar dapat digunakan semasa kecemasan. Manalah tahu, suatu masa kelak teknik ini dapat diaplikasikan; contohnya kepada guru yang berhadapan dengan pelajar yang diserang histeria, menolong jiran tetangga dan sebagainya. Apa yang penting sekali teknik ini perlu ada dalam diri setiap perawat agar memudahkan rawatan dan tidak mencederakan diri.

Teknik ini tingkat keberhasilannya cukup tinggi dimana teknik ruqyah kuncian  ini akan membuat jin-jin akan kaku tubuhnya (dengan izin Allah).  Teknik ini biasa diaplikasikan untuk menangani orang yang “mengamuk” dimana orang yang sedang kesurupan melakukan tindakan “brutal” yang dapat membahayakan dirinya dan orang lain.

Aplikasi Teknik Pengunci :
Dengan menyentuh pesakit
Secara Jarak jauh

Penjelasan:
Dengan Menyentuh Pesakit.
Pesakit yang mengamuk dipegang beramai-ramai lalu jari telunjuk perawat  menyentuh ubun-ubun pesakit tersebut sambil membaca ayat-ayat kuncian dengan niat untuk mengunci tubuh pesakit itu  dan jin dalam tubuh  agar tidak mengamuk lagi.

Secara Jarak Jauh
Jika pesakit tidak dapat dikejar atau pesakit tidak dapat kita sentuh maka tekniknya adalah perawat menunjuk dengan jari telunjuk kearah pesakit yang mengamuk, lalu membaca ayat-ayat kuncian dengan suara keras sampai pesakit itu mendengarnya. Dengan meniatkan untuk mengunci tubuh pasien dan jin dalam tubuh pasien agar tidak mengamuk lagi.

Pesakit diikat agar tidak agresif

Teknik ini boleh juga digunakan ketika berhadapan dengan orang gila yang sedang mengamuk. Kita sering mendengar adanya orang gila yang  mengamuk sambil membawa senjata tajam dan melukai setiap orang yang berada didekatnya.

Bacalah dengan khusyuk dan keyakinan tinggi bahawa Allah akan menolong kita, dan jangan lupa selalu diawali dengan membaca selawat nabi  .

Teknik ini tidak perlu puasa yang aneh-aneh atau menghafal ayat dengan ribuan kali atau juga mengamalkannya setiap sholat. Baca saja setiap kita memerlukannya. Tidak perlu ijazah dari saya apalagi memberikan mahar untuk saya sebab semuanya mudah tetapi haruslah IKHLAS, YAKIN DAN REDHA. Insyaallah.. Biiznillah.

Bacaannya adalah :

Al-Israa :50 (baca 3 kali)





Katakanlah: “Jadilah kamu sekalian batu atau besi,




Al-Furqan : 23






Dan Kami tujukan perbicaraan kepada apa Yang mereka telah kerjakan dari jenis amal (yang mereka pandang baik), lalu Kami jadikan Dia terbuang sebagai debu Yang berterbangan.


Al-Hadid:4



 





Dialah yang menciptakan langit dan bumi dalam enam masa: Kemudian Dia bersemayam di atas ´arsy. Dia mengetahui apa yang masuk ke dalam bumi dan apa yang keluar daripadanya dan apa yang turun dari langit dan apa yang naik kepada-Nya. Dan Dia bersama kamu di mana saja kamu berada. Dan Allah Maha Melihat apa yang kamu kerjakan.


Sekian..jupa lagi..
Sumber dan ubahsuai bahasa daripada: