Showing posts with label Terapi Zikrullah. Show all posts
Showing posts with label Terapi Zikrullah. Show all posts

Friday, 31 July 2015

KONSEP KESIHATAN DAN PENYAKIT DALAM ISLAM

Assalamu’alaikum wwt

Apakah anda tahu apakah yang dikatakan sihat (kesihatan) dan apakah yang dikatakan penyakit? Dua konsep ini selalu dibicarakan oleh setiap orang. Saya percaya semua orang mahukan sihat dan tidak mahu penyakit menimpa mereka.

"Kesihatan" masih ditakrifkan dengan takrif yang negatif iaitu "tanpa penyakit" sehinggalah pihak pertubuhan Kesihatan Sedunia (1948) memberikan takrifannya untuk kesihatan. Kesihatan yang sempurna ialah, sihat jasmani, akal dan sosial. Maksudnya, kesihatan bukanlah hanya sekadar ketidakhadiran penyakit. Takrif ini memberikan satu dimensi kemanusiaan kepada kesihatan iaitu takrif yang timbul dari kepercayaan, tradisi dan nilai-nilai yang menjadi pegangan sesuatu masyarakat. Takrif ini juga mempunyai hubungan dengan gambaran dan konsep-konsep lain seperti politik, kemasyarakatan, kebudayaan atau moral, dan berkaitan juga dengan keperluan-keperluan yang ditentukan oleh undang-undang, tanggungjawab dan tugas-tugas sosial. Takrif ini adalah lebih menyeluruh.

Namun begitu takrif ini tidak lengkap, kerana yang dipentingkan dalam konsep kesihatan hanyalah konsep kebendaan iaitu hanya menekankan tentang kesihatan jasmani manusia sahaja. Takrif ini tidak membicarakan kesihatan keagamaan atas dasar bahawa apa yang dinamakan spiritual atau roh. Roh itu seolah-olah tidak wujud dan tidak diberikan perhatian. Itulah konsep yang wujud di dalam ilmu sains moden sekarang. Dalam hal ini, roh itu tidak tunduk di bawah ujian dan percubaan-percubaan makmal.

Konsep Kesihatan di dalam Islam

Konsep kesihatan di dalam Islam adalah amat berbeza sekali daripada konsep yang tersebut. Islam memberikan pengertian yang suci kepada kesihatan dan kesakitan. Islam adalah agama yang mementingkan roh dan jasad. Kesihatan adalah merangkumi kesihatan di dunia dan di akhirat. Sihat dalam kehidupan dunia ialah bersih dari segala penyakit dunia yang ada hubungan dengan hati dan badan. Sihat di akhirat pula ialah terselamat dari seksaan di akhirat kelak.

Jadi konsep kesihatan menurut pandangan Islam adalah merangkumi kesihatan badan dan kesihatan hati, sedangkan penyakit pula adalah merupakan dua jenis penyakit iaitu penyakit hati dan penyakit badan.

Tiap-tiap satu daripada penyakit ini terdapat doktor yang khusus bagi merawatnya. Rawatan hati mempunyai hubungan dengian keselamatan dan kesejahteraan hati, iaitu merupakan rawatan kerohanian. Rawatan penyakit jasmani pula adalah tertumpu kepada rawatan penyakit yang menimpa jasmani dan cara mengawal penyakit-penyakit tersebut. Tugas ini adalah terserah kepada para doktor penyakit jasmani. Manakala bagi penyakit rohani (hati), maka memerlukan kepada kepakaran yang berlainan pula.

Pada pendapat saya, perawatan bagi penyakit rohani (hati) tidak banyak dititikberatkan oleh manusia. Antara contoh penyakit rohani ialah sombong, takbur, riak dan sebagainya. Hanya segelintir manusia sahaja yang peka dan mengambil berat akan penyakit yang tidak nampak dek mata kasar ini. Banyak manusia yang tidak sedar bahawa mereka telah ditimpa penyakit rohani tetapi cubalah kalau manusia itu ditimpa oleh penyakit jasmani seperti demam, luka dan sebagainya, maka cepat-cepat mereka mendapatkan rawatan yang banyak tumbuh di dalam masyarakat. Manusia yang terkena penyakit rohani (hati) perlu segera mendapatkan rawatan daripada pakar-pakar yang mahir dan berkebolehan

Kesihatan  Rohani (Hati)

Hati di sini tidaklah dimaksudkan hati jasmani yang boleh dirawati oleh doktor jasmani, tetapi yang dimaksudkan ialah roh dan jiwa.

Penyakit hati adalah muncul di dalam berbagai-bagai jenis sama seperti penyakit jasmani. Di antara penyakit hati ialah penyelewengan daripada konsep perhambaan kepada Allah seperti berlaku zalim dan aniaya, penyakit syak wasangka seperti munafik, dan penyakit syahwat seperti syahwat zina dan memakan harta benda orang lain dengan cara yang salah, penyakit jiwa seperti sombong dan hasad dengki. Punca penyakit-penyakit ini ialah penguasaan syaitan ke atas roh yang cemar dan jiwa yang sakit kerana kelemahan agama dan perhubungan yang renggang dengan Allah, malah jauh sekali dari mengingati-Nya.

Maka syaitan itu tidak akan dapat menguasai seseorang kecuali yang benar-benar bersedia dan mahu mengikutinya dan menurut jejak langkahnya. Kesejahteraan hati adalah terletak di atas mentauhidkan Allah dan ketaqwaan serta keredaan-Nya, juga di atas sifat tawakal dan sentiasa mengingati-Nya; bertaubat, memohon ampun dan meninggalkan segala dosa. Hawa nafsu adalah merupakan penyakit jiwa yang terbesar sekali, dan ubatnya yang paling mujarab ialah melawan hawa nafsu dan berjuang melawannya.

Merawat penyakit hati adalah merupakan tugas para ‘doktor agama’. Tujuan rawatannya ialah mengubat hati yang sakit dengan cara membimbingnya kembali kepada Tuhan semesta alam. Cara pengubatan kerohanian ini adalah berasaskan kerohanian ketuhanan yang terdiri dari zikrullah, istighfar, membaca al-Qur'an, mujahadah atau melawan nafsu, supaya dengan itu hati akan mendapat tiupan suci ketuhanan dan roh dapat meningkat tinggi. Disamping itu dapat menekan jiwa syaitan yang mungkar dan menolak keburukannya.

Gangguan Makhluk Halus

Salah satu aspek pengubatan yang diajarkan oleh Nabi ialah kaedah menjaga diri daripada hasutan dan gangguan makhluk halus (jin  dan syaitan). Ada banyak cara yang dianjurkan untuk membenteng diri daripada terkena gangguan makhluk halus yang jahat ini. Perkara pokoknya ialah kita perlu kembali kepada al-Quran dan sunnah Nabi. Namun begitu, bukan semua orang mampu mempraktikkan amalan tersebut. Jika dipraktik sekalipun, masih ada juga ruang yang mampu dibolosi oleh jin dan syaitan ini untuk menyesatkan hidup manusia. Maka tidak hairanlah semakin ramai manusia yang datang mendapatkan rawatan kepada tokoh-tokoh perawat Islam untuk merawat gangguan makhluk halus tersebut. Pada pendapat saya, ada perkaitan yang erat tentang cara merawat gangguan makhluk halus ini dengan cara merawat penyakit hati.

Sekian sahaja coretan perkongsian daripada saya buat kali ini..

Semoga bermanfaat kepada semua.

Rujukan:
Ahmad Taha : Kedoktoran Islam. Penterjemah : Ismail Ibrahim. Dewan Bahasa dan Pustaka, 1992

Thursday, 30 July 2015

PENGUBATAN NABI

Assalamu’alaikum wwt..
Saudara pembaca yang dihormati,

Tulisan pada kali ini ingin mengajak pembaca merenung sebentar akan satu bidang yang sangat penting iaitu perubatan yang pernah diajar dan dipraktikkan oleh Nabi Muhammad saw. Saya berasa terpanggil untuk mengungkapkan sedikit bicara mengenai perubatan ini, apatah lagi saya telah membaca sebuah buku yang menarik mengenainya bertajuk “Kedoktoran Islam” yang ditulis oleh Ahmad Taha dan diterjemah oleh Ismail Ibrahim.

Terdapat  hadith-hadith yang mengandungi beberapa isyarat dan pendekatan tertentu terhadap perubatan, dan hal ini dikenali sebagai "Perubatan Nabi". Ada para ulama' di antaranya Ibn al-Qayyim (691-751 H/I291 1330 M), Hafiz al-Zahari (673-748/1274 1348 M) dan Jalal al-Din al-Sayuti (849-911 H) yang menulis beberapa buah buku mengandungi kajian tentang Hadith-hadith tersebut. Salah seorang ulama yang paling terkenal ialah Ibn al-Qayyim yang telah menulis Kitab al-Tib al-Nabawi oleh, iaitu yang merupakan satu bahagian daripada bukunya Zad al-Ma'ad.

Bagaimanapun, terdapat juga orang yang mempertikaikan tentang Hadith-hadith Rasulullah s.a.w. tentang bidang perubatan ini, iaitu adalah merupakan wahyu Allah atau ijtihad Rasul sendiri. Hal ini samalah seperti satu peristiwa di mana Rasulullah s.a.w. menyuruh supaya dicantumkan pokok kurma, maka hasilnya tidak menjadi. Maka dalam hal ini Rasulullah s.a.w. bersabda bahawa; “Sekiranya sesuatu itu mempunyai hubungan dengan duni kamu, maka itu adalah urusan kamu sendiri, dan sekiranya sesuatu itu mempunyaoi hubungan dengan agama kau, maka itu adalah urusanku” (Riwayat Ahmad dan Muslim).

Konsep Perubatan Nabi

Sesungguhnya perubatan Nabi adalah perubatan yang timbul daripada wahyu Allah, dan perubatan Nabi adalah perubatan ketuhanan berasaskan kepada keyakinan dan kesempurnaan kenabian serta kesempurnaan akal. Perubatan manusia lain kebanyakannya adalah merupakan ramalan, prasangka dan percubaan-percubaan. Namun begitu tidaklah dapat dinafikan bahawa terdapat para pesakit yang tidak mendapat manfaat daripada perubatan Nabi, kerana yang dapat memanfaatkannya ialah orang-orang yang mahu menerimanya dan yakin terhadap kesembuhan penyakit serta beriman penuh bahawa al-Qur'an adalah penyembuh segala penyakit di dalam dada manusia. Jadi sekiranya seseorang itu tidak beriman dan tidak yakin maka ia tidak akan dapat disembuhkan, terutamanya penyakit-penyakit dalam diri manusia. maka dengan ini orang-orang yang munafik akan bertambah sifat buruknya dan orang-orang yang sakit akan bertambah sakitnya.

Dengan kata lain, perubatan Nabi ini hanyalah sesuai untuk jasmani yang suci dan baik sama juga seperti penyembuhan al-Qur'an hanyalah sesuai untuk rohani yang bersih dan hati yang hidup. Maka manusia yang menjauhkan diri daripada perubatan Nabi adalah merupakan manusia yang menjauhkan diri daripada mendapatkan rawatan daripada al-Qur'an yang merupakan ubat yang paling mujarab. Mereka berbuat demikian bukanlah kerana kelemahan rawatan al-Qur'an dan Hadith, tetapi kerana keburukan tabiat dan ketidaksediaan badan yang rosak untuk menerimanya.

Dalam hal ini, kami lebih cenderung kepada Ibn al-Qayyim kerana maksud perubatan ialah menjaga kesihatan dan memelihara jiwa yang merupakan satu daripada matlamat syariah. Oleh itu tidaklah boleh dikatakan bahawa perubatan merupakan satu perkara ijtihad semata-mata. Penyembuh sebenarnya ialah Allah s.w.t. Para tabib dan ubat-ubatan hanyalah merupakan jalan-jalan dan ikhtiar sahaja.  Maka, sekiranya diberkati Allah dalam sesuatu keadaan yang tertentu, nescaya Allah akan memberikan kesembuhan tanpa memerlukan sesuatu ubat kimia yang diproses di dalam makmal untuk menyembuhkannya.

Bagaimanapun, penggunaan ubat-ubatan seperti yang terdapat di dalam perubatan Nabi itu tidak pula menghalang pesakit daripada menggunakan ubat-ubatan yang ternyata berkesan bagi menyembuhkan sesuatu penyakit yang tertentu. Malah Nabi Muhammad s.a.w. sendiri menyuruh kita berusaha mengubat penyakit dan baginda menerangkan bahawa cara perubatan pada masa yang akan datang, dan baginda selalu mengingatkan para sahabatnya supaya mendapatkan rawatan daripada para tabib yang paling mahir dan paling baik.

Hadith-hadith Nabi Muhammad s.a.w. yang merupakan panduan sejati untuk orang-orang Islam, sungguhpun tidak mengemukakan satu sistem perubatan yang tertentu, tetapi Hadith-hadith itu adalah memainkan peranan yang penting untuk menyediakan persekitaran dan iklim yang sesuai untuk perubatan Islam. Hadith-hadith itu juga meletakkan asas pemakanan yang betul dan peraturan-peraturan kesihatan umum yang diikuti oleh generasi Muslim di sepanjang zaman. Di samping itu, perubatan Nabi adalah merupakan kisah pertama yang dipelajari oleh pelajar kedoktoran sebelum melakukan tugas kerjayanya.

Oleh yang demikian, sesungguhnya perubatan Nabi telah dapat menolong menyediakan pemikiran yang terbuka yang sentiasa bersedia untuk menerima dan mengamalkan ilmu perubatan pada masa yang akan datang. Perubatan Nabi iuga sebenarnva telah meletakkan sempadan-sempadan dan garis panduan yang tertentu yang sewajarnya dihormati dalam bidang perubatan.

Perubatan Pencegahan

Perubatan Nabi mementingkan pencegahan, kebersihan badan, tempat dan jalan-jalan, dan memerangi adat-adat cemar seperti membuang air kecil dan air besar di tali-tali air, atau menggunakan air kotor, mengotorkan tempat duduk orang serta tempat-tempat laluan mereka.

Perubatan Nabi juga mengenakan hukuman kuarantin apabila lahir tanda-tanda wabak sesuatu penyakit. Di bawah ini diperturunkan beberapa hadith yang membicarakan hal-hal di atas

"Jagalah kebersihan, sesungguhnya Islam itu adalah bersih". (Riwayat Ibn Habban).

"Sesungguhnya Allah itu mulia. Ia sukakan kemuliaan, bersih. Ia sukakan kebersihan, pemurah. Ia sukakan kemurahan. Maka jagalah kebersihan halaman kamu dan janganlah menyerupai orang-orang Yahudi. mereka mengumpulkan sampah-sampah di rumah mereka". (Masnad al-Bazzaar).

"Peliharalah kamu daripada tiga laknat, buang air besar di tali air, di tengah jalan dan di bawah naungan". (Riwayat Abu Dawud).

"Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. mencegah buang air di dalam air yang mengalir".

"Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. mencegah buang air di dalam air yang tidak mengalir". (Diriwayatkan oleh limat riwayat).
"Janganlah seseorang di antara kamu membuang air kecil dalam air mandi, kemudian mandi atau berwudu' di dalamnya". (muttafaq 'alaihi).

"Penyakit taun itu adalah wabak cemar, dihantarkan oleh Allah kepada segolongan orang-orang Bani Israel atau kepada orang-orang sebelum kamu. Apabila kamu mendengar tentangnya di satu tempat maka janganlah kamu pergi ke sana, dan apabila terjadi di tempat yang kamu berada di dalamnya, maka janganlah kamu keluar melarikan diri daripadanya". (Riwayat al-Bukhari).

Perubatan Rawatan

"Penyembuhan berlaku melalui tiga perkara; minuman manisan lebah, berbekam dan berdiang di api, dan aku mencegah umatku daripada berdiang".

Dalam satu riwayat lain disebutkan:
"dan aku tidak suka berdiang".

Di samping itu terdapat juga beberapa jenis rawatan yang ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w. yang sehingga ke hari ini masih digunakan, diantaranya ialah merawat penyakit demam dengan air. Seperti yang disebutkan di dalam hadith sahih:

"Sesungguhnya demam atau terlalu tinggi suhu panas itu adalah merupakan percikan-percikan neraka, maka sejukkanlah dengan air".


Rujukan :
Ahmad Taha : Kedoktoran Islam. Penterjemah: Ismail Ibrahim, Dewan Bahasa dan Pustaka, 1992

Tuesday, 10 February 2015

RAWATAN MENGGUNAKAN DOA DAN AL-QURAN (RUQYAH SYARIYAH)



Selayang Pandang

RUQYAH SYARIYAH merupakan kumpulan ayat-ayat al-Quran dan hadis Rasulullah saw yang menjadi doa-doa perlindungan yang perlu dibaca dan diamalkan oleh setiap muslim ke atas dirinya sendiri, keluarga dan umat Islam sebagai perlindungan diri daripada sebarang bentuk kejahatan manusia dan jin, histeria dan kerasukan, sihir ataupun penyakit fizikal yang lain.

Ruqyah merupakan amalan yang dilakukan oleh Rasulullah, para sahabat dan salafus soleh bagi menjaga kesihatan fizikal dan jiwa. Terdapat banyak hadis sahih dan hasan yang melaporkan berkenaan ruqyah dan perkara yang berkaitan dengannya. Rasulullah pernah diruqyah oleh Malaikat Jibrail. Rasulullah sendiri pernah meruqyah sahabat beliau iaitu Saad bin Abi Waqas dan isterinya Hafsah binti Umar. Ada banyak lagi contoh amalan ruqyah ini dipraktikkan sehinggalah sekarang ini.

Sesungguhnya  rawatan yang menggunakan doa yang dan ayat-ayat suci al-Quran sebagai satu kaedah pengubatan untuk merawat penyakit ataupun mengatasi masalah spiritual bukan sesuatu yang mudah, yang dapat diterima oleh masyarakat biarpun kaedah ini telah diamalkan sejak zaman Rasulullah saw.  Sukar rasanya hendak menerima kenyataan bagaimana mungkin sakit boleh sembuh hanya dengan berdoa. 

Pengetahuan yang berkaitan dengan doa yang dikaitkan dengan usaha-usaha penyembuhan penyakit merupakan satu bidang khusus, yang terpisah dengan ilmu Fekah, Usuluddin, Ilmu Tafsir dan sebagainya, biarpun tidak dinafikan doa-doa yang dibaca untuk tujuan rawatan itu sebahagian daripadanya dipelajari oleh mereka yang mempelajari agama.  Kerana itu, mereka yang mempelajari agama tidak semestinya arif tentang konsep dan kaedah-kaedah doa yang digunakan dalam rawatan.  Begitulah sebaliknya, mereka yang mempelajari kaedah-kaedah rawatan yang menggunkan doa, tidak semestinya arif mengenai hukum-hukum fekah, Usuluddin dan sebagainya, kecuali mereka yang mempelajarinya secara khusus ilmu-ilmu tersebut. Kerana itu, sekiranya ada dikalangan mereka yang mempunyai latar belakang agama menafikan doa itu boleh digunakan sebagai satu usaha rawatan bukanlah sesuatu yang memeranjatkan.


Doa adalah Otak Ibadah

Pada manusia, otak adalah penggerak segala-galanya.  Otak yang dikaitkan dengan akal adalah faktor pembeza antara manusia dan binatang.  Tanpa doa, ibadah seseorang tidak ubah seperti manusia yang hidup tanpa otak. Allah menyuruh setiap hamba-hambaNya agar selalu berdoa.  Allah berjanji akan memperkenankan doa seseorang, sama ada diberi cepat ataupun lambat, di dunia ataupun di akhirat, bergantung kepada qada’ dan qadar Allah.  Semakin hampir seseorang hamba itu kepada Allah, maka semakin mudahlah doa yang dipohon itu diperkenankan. Dengan kata lain, untuk meraih kemakbulanm doa, seseorang itu perlu mempunyai sifat-sifat terpuji di sisi Allah, bukan mereka yang banyak melakukan maksiat. Orang-orang yang melakukan rawatan menggunkan doa perlu sentiasa terus menerus bertaqarub kepada Allah. Berdoalah dengan penuh harapan, khyusuk dan jiwa tenang. Manusia tidak berupaya meraih ketenangan jiwa kecuali dengan mengingati Allah.

Doa bukan jampi mantera atau serapah, biarpun hal ini sering dikelirukan oleh kebanyakan orang. Dalam keadaan tertentu, masyarakat mengharapkan agar orang yang melakukan rawatan menggunakan doa itu memastikan jenis dan punca penyakit yang dialami. Istilah yang popular ialah meminta ‘scan’ penyakit mereka. Kalau tidak kena gaya dan caranya, ‘scan’ ini menggunakan khidmat jin sebagai perantara. Saya tidak menafikan ada manusia yang diberi kelebihan oleh Allah untuk ‘scan’ penyakit atau digelar ‘kasyaf’.

Amalan berdoa adakalanya dimomok-momokkan dan diperli. Kononnya kaedah doa ini ketinggalan zaman.  Zaman sekarang sudah moden dan adanya kepakaran daripada mereka yang profesional untuk merawat penyakit. Betulkah begitu?

Keutamaan Membaca al-Quran

Sesungguhnya membaca al-Quran itu adalah salah satu usaha membina iman (al-Baqarah: 121). Al-Quran mengandungi keberkatan yang perlu difikiri (Sad:29). Kandungannya begitu kukuh, tersusun rapi dan jelas yang diturunkan dari Allah saw yang maha bijaksana lagi mengetahui (Hud:1). Al-Quran juga menjadi penawar dan rahmat bagi mereka yang beriman (al-Isra’:82)

Rasulullah saw ada bersabda menyatakan bahawa ibadah umatnya yang paling utama ialah membaca al-Quran. Pada hari kiamat nanti, al-Quran akan dapat memberi syafaat kepada orang yang membacanya.  Al-Quran memberi syafaat dan diterima syafaatnya, dan petunjuk yang diakui kebenarannya.  Barang siapa menjadikan al-Quran itu sebagai pemimpin, ia akan menuntun orang yang berkenaan masuk syurga. Sebaliknya, barang siapa menafikannya, al-Quran itu akan menghelanya ke neraka. Orang yang membaca al-Quran, mendirikan sembahyang dan membelanjakan sebahagian daripada rezeki yang diberi oleh Allah dengan berterangan atau secara sulit, serta mengharapkan perniagaan yang tidak pernah rugi akan diberi pahala, juga kurnia Allah.  sesungguhnya Allah maha pengampun lagi mengasihi.

Kesimpulan

Tidak syak lagi bahawa ikhtiar pengubatan melalui ruqyah syariyah merupakan salah satu ikhtiar untuk penyembuhan daripada penyakit rohani dan jasmani. Pembacaannya mendapat pahala dan menjadi santapan rohani kepada jiwa. Malah, amalan ruqyah syariyah merupakan benteng ampuh untuk melawan ilmu hitam, sihir, guna-guna, iri hati dan sebagainya yang bersifat mistik. Jangan kita ingat bahawa pada zaman moden ini amalan mistik yang jahat sudah tidak diamalkan..anda silap. Hal ini kerana selagi manusia hidup bertopeng kepada nafsu dan hasutan syaitan, maka amalan mistik dan ilmu hitam yang bersekongkol dengan jin semakin subur. Jika terkena kepada diri sendiri barulah anda yakin..

Nasihat saya, marilah kita belajar kaedah pengubatan Islam berteraskan ruqyah syariyah ini. Janganlah mengharapkan ada orang lain yang boleh merawat diri kita. Rawat diri sendiri dan rawatlah  keluarga sendiri dahulu. Jangan berharap sangat dengan orang lain jika kita sendiri mampu mempelajari ruqyah syariyah.

Kasihan dan simpati

Keberkesanan amalan ruqyah ini bukanlah boleh dicapai dalam masa yang singkat. Istiqamah itu yang penting. Amalkan doa-doa dan ayat-ayat ruqyah yang dipelajari secara ansur maju. Buat sedikit-sedikit dahulu, kemudian barulah ditambah mengikut kesesuaian masa dan tenaga. Yang penting ISTIQAMAH. Bila wirid amalan ini dibuat secara istiqamah, maka akan lahirlah pertolongan daripada Allah. Wirid amalan tersebut menjadi NUR yang bertindak mengikut niat kita...cubalah.

Tuesday, 15 July 2014

NUZUL AL-QURAN DAN LAILATUL QADAR



Assalamualaikum wwt.
Tuan-tuan saudara pembaca yang dirahmati Allah.

Kita baru sahaja melalui detik peristiwa yang dinamakan Nuzul Al-Quran. Mudah-mudahan kita berupaya mencerap kebesaran dan keagungan peristiwa besar ini. Marilah jadikan Al-Quran sebagai pegangan dan panduan hidup kita. Justeru, marilah kita hayati  nuzul  al-Quran ini dan hubungannya dengan lailatul qadar melalui tulisan Dr. Samsu Adabi Mamat (UKM) yang pernah disiarkan dalam laman web JAKIM.

Al Quran panduan hidup

 Nuzul Al-Quran

Peristiwa nuzul al-Quran menjadi satu rakaman sejarah dalam kehidupan Nabi SAW hingga  seterusnya berperingkat-peringkat menjadi lengkap sebagaimana kitab al-Quran yang ada pada kita hari ini. Peristiwa Nuzul al-Quran berlaku pada malam Jumaat, 17 Ramadan, tahun ke-41 daripada keputeraan Nabi Muhamad SAW. Perkataan ‘Nuzul’ bererti turun atau berpindah dari atas ke bawah. Bila disebut bahawa al-Quran adalah mukjizat terbesar Nabi SAW maka ianya memberi makna terlalu besar kepada umat Islam terutamanya yang serius memikirkan rahsia al-Quran.

Al-Quran’ bererti bacaan atau himpunan. Di dalamnya terhimpun ayat yang menjelaskan pelbagai perkara meliputi soal tauhid, ibadat, jinayat, muamalat, sains, teknologi dan sebagainya. Kalimah al-Quran, sering dicantumkan dengan rangkai kata ‘al-Quran mukjizat akhir zaman’ atau ‘al-Quran yang mempunyai mukjizat’. Malah inilah sebenarnya kelebihan al-Quran tidak ada satu perkara pun yang dicuaikan atau tertinggal di dalam al-Quran. Dengan lain perkataan segalanya terdapat di dalam al-Quran. Firman Allah:
Dan tidak seekor pun binatang yang melata di bumi, dan tidak seekor pun burung yang terbang dengan kedua sayapnya, melainkan mereka umat-umat seperti kamu. Tiada Kami tinggalkan sesuatu pun di dalam kitab Al-Quran ini; kemudian mereka semuanya akan dihimpunkan kepada Tuhan mereka (untuk dihisab dan menerima balasan). (Al-An’am:38)

Al-Quran adalah hidayah, rahmat, syifa, nur, furqan dan pemberi penjelasan bagi manusia.. Segala isi kandungan al-Quran itu benar. Al-Quran juga dikenali sebagai Al-Nur bererti cahaya yang menerangi, al-Furqan bererti yang dapat membezakan di antara yang hak dan batil dan al-Zikr pula bermaksud yang memberi peringatan.
Dalam sejarah kehidupan Nabi SAW ayat al-Quran yang mula-mula diturunkan Allah kepada Nabi Muhammad SAW melalui perantaraan malaikat Jibrail ialah lima ayat pertama daripada surah Al-‘Alaq. maksudnya:
”Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhan mu yang menciptakan (sekalian makhluk), Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku; Bacalah, dan Tuhan mu Yang Maha Pemurah, -Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, -Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.” (al-‘alaq:1-5)

Hubungan Lailatul Qadar dan Nuzul al-Quran

Lailatul Qadar pula ialah suatu malam pada bulan Ramadhan yang begitu istimewa sekali fadilatnya. Malam al-Qadar adalah suatu malam yang biasanya berlaku pada 10 akhir Ramadhan dan amalan pada malam itu lebih baik baik dari 1000 bulan.

Apakah kaitannya malam al-Qadar dengan nuzul al-Quran? Sebenarnya al-Quran dan malam Lailatulqadar mempunyai hubungan yang rapat antara satu sama lain sebagaimana yang diterangkan di dalam kitab Allah dan hadis Rasulullah SAW di antaranya firman Allah  SWT
Maksudnya: Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar, Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Malam Lailatul-Qadar itu? Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan. Pada Malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut); Sejahteralah Malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar! (al-Qadar:1-5)

Mengikut satu pandangan, ayat ini diturunkan  berdasarkan satu riwayat dari Ali bin Aurah, pada satu hari Rasulullah SAW telah menyebut 4 orang Bani Israel yang telah beribadah kepada Allah selama 80 tahun. Mereka sedikit pun tidak derhaka kepada Allah, lalu para sahabat kagum dengan perbuatan mereka itu. Jibril datang memberitahu kepada Rasulullah SAW menyatakan  bahawa Allah SWT menurunkan yang lebih baik dari amalan mereka. Jibril pun membaca surah al-Qadar dan Jibril berkata kepada Rasulullah ayat ini lebih baik daripada apa yang engkau kagumkan ini menjadikan Rasulullah SAW dan para sahabat amat gembira.

Dalam hadis yang lain Aishah juga meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda bersedialah dengan bersungguh-sungguh untuk menemui malam Lailatul qadar pada malam-malam yang ganjil dalam 10 malam yang akhir daripada bulan Ramadhan.

Panduan

Dari maklumat serba sedikit di atas tadi sebenarnya banyak boleh dijadikan panduan kepada umat Islam seluruhnya. Antara panduan berkenaan ialah seperti:

  1. Tidak ada perkara yang tidak terdapat dalam al-Quran
  2. Ayat pertama diturunkan ialah ‘iqra’ iaitu ‘baca’ dan Tuhan mengajarkan manusia melalui perantaraan Pena dan Tulisan.
  3. Kelemahan umat Nabi Muhammad beribadat maka dianugerahkan satu masa yang apabila kita mendapatkannya kita akan digandakan pahala melebihi seribu bulan.
Apabila disebutkan bahawa tidak ada perkara yang tidak terdapat di dalam al-Quran itu maka ianya memberikan makna bahawa segala ilmu pengetahuan yang merangkumi fardu ‘ain dan fardu kifayah dalam segenap aspek kehidupan merangkumi ekonomi, sosial, perundangan, pendidikan, sains dan teknologi dan lain-lain, segalanya terdapat dalam al-Quran. Tafsiran, kupasan analisa dan penyelidikan membolehkan umat Islam maju mendahului umat-umat lain di dunia ini.

Manakala penurunan al-Quran pula didahului dengan suatu kalimah ‘iqra’’ iaitu ‘baca’ di mana membaca adalah kunci kepada penerokaan ilmu. Selepas itu pula Allah mengiringi dengan ayat yang bermaksud; Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, -Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.” Keadaan ini menguatkan lagi bahawa pembacaan dan penulisan itu menjadi antara perkara yang paling penting dalam penguasaan ilmu pengetahuan. Di mana sebagaimana diketahui umum melalui satu ungkapan bahawa: “ilmu pengetahuan dan teknologi itu adalah kuasa”. 

Perkara ketiga ialah hikmah dari anugerah malam al-qadar kepada umat Nabi Muhammad SAW sebagai umat akhir zaman. Mengetahui kelemahan umat Islam akhir zaman ini dalam beribadah maka dianugerahkan satu peluang di mana ibadah yang dilaksanakan pada malam itu digandakan sehingga 1000 bulan. Bermakna kiranya kita dapat melaksanakan ibadah dengan penuh keimanan di 10 akhir Ramadhan, kita akan berpeluang mendapat malam al-Qadar. Ini akan menjadikan kita seolah-olah beramal ibadah selama 1000 bulan iaitu sekitar 83 tahun. Menjadikan kita seolah-olahnya menghabiskan seluruh hidup kita dan usia kita dalam ibadah.

Bagi mencari malam-malam yang berkemungkinan sebagai malam al-qadar, maka kalangan ulama ada menyatakan bahawa, malam-malam yang ganjil yang tersebut ialah malam 21, 23, 25, 27 & 29 dari bulan Ramadhan. Dalam pada itu terdapat juga beberapa hadis yang menyatakan bahawa malam al-qadar itu pernah ditemui dalam zaman Rasulullah SAW pada malam 21 Ramadhan. Pernah juga ditemui pada malam 23 Ramadhan. Terdapat juga hadis yang mengatakan bahawa baginda Rasulullah SAW. menjawab pertanyaan seorang sahabat yang bertanya mengenai masa Lailatulqadar supaya ianya bersedia dan menghayatinya. Baginda menjelaskan malam Lailatulqadar itu adalah malam 27 Ramadhan. Dari keterangan-keterangan di atas dapatlah kita membuat kesimpulan bahawa malam Lailatulqadar itu berpindah dari satu tahun ke satu tahun yang lain di dalam lingkungan 10 malam yang akhir dari bulan Ramadhan. 

Kesimpulan   

Sebagai kesimpulannya marilah kita sama-sama menghayati nuzul al-Quran ini sebagai suatu peristiwa besar yang penuh makna dan hikmah. Kita seharusnya melihat al-Quran itu sebagai ‘kitab induk’ panduan Ilmu pengetahuan untuk memajukan manusia seluruhnya. Memajukan manusia yang lebih penting adalah memajukan umat Islam terlebih dahulu melalui penguasaan ilmu pengetahuan dan teknologi. Membaca al-Quran itu adalah suatu ibadah. Sekarang bolehlah kita panjangkan ‘membaca’ al-Quran itu kepada menganalisa, mengkaji, menyelidiki dan mencari rahsia ilmu pengetahuan di dalam al-Quran dan seterusnya menghasilkan penulisan-penulisan yang akhirnya memajukan dunia ini dan khasnya memajukan umat Islam dan seterusnya mengeluarkan umat Islam dari belenggu kelemahan dan penghinaan.


Sumber:

Saturday, 5 July 2014

IBADAH : KUANTITI ATAU KUALITI



Assalamu’alaikum wwt.

Saudara pembaca yang dihormati,

Tujuan diciptakan makhluk bernama MANUSIA dan JIN  ialah untuk menyembah Allah dan mengabdi kepada-NYA.  Perkara pokok yang perlu dijalankan oleh Manusia dan Jin ialah untuk BERIBADAH kepada Allah. Tunjang bagi semua ibadah tersebut ialah IKHLAS. Tanpa keikhlasan dalam ibadah, maka sia-sia sahaja ibadah tersebut. Walaupun  ibadah tersebut dilaksanakan dalam  kuantiti yang banyak namun tanpa ikhlas, apalah ertinya...ibadah tersebut hancur lebur laksana debu-debu berterbangan di angin lalu..KOSONG.

Beribadah kepada Allah

Kesepaduan Ibadah

Menyedari akan pentingnya ikhlas dalam beribadah, maka terlebih dahulu kita perlu membetulkan NIAT. Niat yang betul dan diiringi dengan ILMU yang benar maka laksankanlah  amal ibadah dengan ikhlas, maka insya-Allah...ibadah kita akan diterima oleh Allah.

Kesepaduan antara NIAT, ILMU dan IKHLAS dalam beribadah akan menyebabkan turun bantuan Allah kepada kita. Bantuan  tersebut datang dalam pelbagai bentuk sama ada zahir mahupun batin. Malah bantuan ini tidak terhenti di dunia sahaja malah akan berlanjutan hingga ke akhirat nanti. Bantuan inilah yang dikatakan WARID daripada Allah. Warid tidak akan tercapai tanpa kesepaduan TIGA elemen utama tadi (NIAT-ILMU-IKHLAS).

Dalam hal amal ibadah ini yang perlu dijaga ialah KUALITI (mutu) dan  bukannya KUANTITI (sedikit atau banyak). Apa gunanya beribadah dengan banyak tanpa kualiti ibadah yang tinggi. Sebagai contoh;  SOLAT yang didirikan dengan banyak dengan tujuan untuk menunjuk-nunjuk bahawa dia seorang yang kuat bersolat atau SEDEKAH yang dihulurkan untuk mempamerkan bahawa dia seorang yang dermawan dan disebut-sebut orang. Dan pelbagai contoh lagi dalam segenap segi ibadah. Dalam hal ini saya teringat akan satu hadis Nabi Muhammad SAW yang mengatakan bahawa ibadah orang yang tidak menjaga kualiti, maka ibadah tersebut akan dicampakkan kembali ke muka orang tersebut.

Apalah gunanya ibadah yang dilaksanakan dalam kuantiti yang banyak tetapi akhirnya kosong dan tidak diterima oleh Allah.  Lebih baik ibadah yang sedikit tetapi nilai kualiti yang bermutu tinggi di sisi Allah. Malah ibadah yang sedikit tetapi dilakukan secara ISTIQAMAH (tetap) dan berkualiti pula, maka ibadah tersebut pasti akan diterima oleh Allah.

Saudaraku,

Sempena bulan Ramadan 1435 Hijrah yang mulia ini, marilah kita bersama-sama menjaga kualiti ibadah kita. Jangan dikejar akan banyaknya amal ibadah tetapi kejarlah kualiti ibadah. Allah tidak memandang banyaknya ibadah kita tetapi memandang kepada HATI kita.

Apabila kualiti ibadah sudah dijaga, maka tidak salah melaksanakan ibadah dengan kuantiti yang banyak. Berbuatlah sebanyak mana pun ibadah kita,  maka insya-Allah pasti ibadah kita akan diterima oleh Allah.

Kesan daripada ibadah yang diterima oleh Allah akan terpancar cahayanya kepada kita. Hati kita berasa tenang, tidak keluh kesah, selalu redha dengan ketentuan Allah, sentiasa bertawakkal kepada Allah dan sebagainya daripada sifat-sifat MAHMUDAH (baik) dan terjauh daripada sifat-sifat MAZMUMAH (jahat).

Kesimpulan

Mudah-mudahan nukilan ringkas yang dijana daripada hati saya ini akan bermanfaat kepada semua. Marilah kita sama-sama menjaga kuantiti dan kualiti ibadah kita. Amal ibadah yang kita lakukan di dunia ini ibarat kita berladang atau menanam benih. Benih tersebut akan kita jaga, kita siram dengan air, dibubuh baja dan sebagainya agar subur. Kita berharap satu hari nanti hasil tanaman ini akan berbuah atau mengeluarkan hasil yang dapat kita nikmati. Bila masanya hasil amal ibadah ini akan dituai atau diambil?  Ya, kita akan merasa akan hasil benih yang kita tanam tadi di akhirat nanti. Sudah pasti kita mengharapkan hasil ibadah tersebut berbaloi dan menguntungkan. Alangkan ruginya jika hasil amal ibadah yang kita usahakan di dunia dahulu hancur lebur dan rosak binasa..

Wallahu’aklam

Sekian, jumpa lagi.