Showing posts with label Terapi Jin/Saka/Sihir. Show all posts
Showing posts with label Terapi Jin/Saka/Sihir. Show all posts

Thursday, 19 November 2015

MANFAAT MINDA BAWAH SEDAR : MENGHUKUM JIN DI ALAM MIMPI

Assalamu’alaikum wwt..

Mungkin tajuk pada kali ini agak asing dalam pemikiran pembaca. Saya cuba mengupas akan manfaat minda bawah sedar dalam mengatasi pelbagai masalah dalam kehidupan seharian. Nampaknya menarik tajuk ini, tetapi saya percaya masih ramai yang tidak tahu menggunakan minda bawah sedar ini untuk menyelesaikan sebarang masalah mereka, apatah lagi untuk berhadapan dengan makhluk jin di alam mimpi. Namun begitu, hal ini tidak mustahil jikalau kita tahu menggunakannya.

Sedikit Info tentang Minda Bawah Sedar

Minda Bawah Sedar atau dipanggil juga Minda Separa Sedar atau dalam bahasa Inggeris digelar Subconscious Mind merupakan suatu bahagian pemikiran atau fungsi otak yang sangat misteri yang dianugerahkan oleh Allah kepada manusia.  Cuma segelintir manusia sahaja yang dapat mengambil manfaat akan kelebihan ini. Minda Bawah Sedar berfungsi untuk mengawal perjalanan sistem tubuh, fungsi organ-organ dari sebesar-besar organ hinggalah sekecil-kecil sel.  Selain itu, Minda Bawah Sedar berupaya untuk berinteraksi dengan seluruh sistem tubuh yang seterusnya membentuk tingkah laku, karektor serta tabiat manusia. Tambahan pula, Minda Bawah Sedar dapat menyimpan data-data memori yang sangat besar sejak kita dilahirkan lagi yang berupa data pengalaman hasil dari input melalui LIMA pancaindera kita sejak sekian lama (Bank Memori). Seterusnya, Minda Bawah Sedar dikatakan sebagai ‘Super  computer’ pada diri seseorang manusia itu, yang sangat berkuasa untuk pelbagai tujuan hinggakan tiada komputer ciptaan manusia sehebat mana sekalipun mampu menandingi kehebatan Minda Bawah Sedar ini. Allahu Akbar...

Illustrasi Minda Separa Sedar

Kalau Minda Bawah Sedar ini fungsinya di otak, apakah pula peranan akal fikiran? Adakah akal fikiran berada di dalam Minda Bawah Sedar ini?

Baiklah, pernahkan kita mendengar bahawa manusia hanya menggunakan 10% sahaja  dari bahagian otak untuk berfikir (secara ilmiah). Ada yang mengatakan Albert Einstein hanya menggunakan 12% sahaja otaknya untuk berfikir. Memang benar, hanya 10% ke 12% sahaja dari bahagian otak yang diperuntukkan oleh Tuhan kepada manusia untuk berfikir secara waras, walaupun anda seorang genius.  Bahagian 12% yang kecil ini dipanggil Minda Sedar (Conscious Mind) dan yang selebihnya iaitu 88% ke 90% dari bahagian otak adalah Minda Bawah Sedar.

Penggunaan Minda Bawah Sedar untuk Menghukum Jin di Alam Mimpi

Manusia yang beragama Islam lebih beruntung kerana diberi nilai tambah yang berupa ayat-ayat suci Al-Quran. Gabungan antara Minda Bawah Sedar dan ayat-ayat suci Al-Quran berupaya untuk mengatasi masalah gangguan jin/syaitan. Walau apapun jenis jin/syaitan tersebut seperti jin saka atau jin sihir, dengan IZIN Allah, kita dapat menghukumnya atau memberi pengajaran kepada jin-jin tersebut.

Namun, yang menjadi masalahnya ialah kebanyakan dari kalangan kita berasa takut untuk berhadapan dengan jin-jin ini walaupun di alam mimpi. Dalam hal ini, kita sering dimomokkan oleh cerita-cerita tentang rupa jin /syaitan yang menakutkan dan berupaya menyakiti kita. Namun percayalah, sebenarnya jin/syaitan itu sebenarnya yang takut kepada manusia.

Buanglah rasa takut tersebut. Sekali lagi, buangkan rasa takut tersebut. Jangan takut dan jangan gentar, sesungguhnya Allah bersama kita. Bisikkan atau tanamkan dalam minda kita bahawa kita berani dan tidak takut menentang apapun jenis jin atau penyihir. Jika di dalam mimpi itu dipertemukan oleh Allah jin yang biasa mengganggu, atau jin yang suka menindih kita, atau jin yang menyakiti kita, atau jin yang biasa menakuti anak kita, isteri kita atau kita sendiri, maka jangan lari tetapi kejar hingga TERTANGKAP apapun bentuknya.

Ingat.. tangkap jin-jin tersebut lalu bacakan Ayat Qursi hingga jin itu mati terbakar. Jika di dalam mimpi itu tidak hafal ayat-ayat Ruqyah, maka baca Asma Allah atau bertakbir “Allahu Akbar” berulang kali hingga jin tersebut lari atau mati.

Ingat sekali lagi dalam minda bawah sedar.. jangan lari dan membiarkan diri dikejer-kejar jin, tetapi kejarlah agar musuh-musuh Allah itu lari. Catat dalam Minda Bawah Sedar anda KEJAR dan JANGAN LARI dan hapuskan jin-jin tersebut yang mengganggu anda selama ini.

Kaedah Penggunaan

Sebelum tidur, ambil dahulu wudhu. Niatkan untuk bertemu dengan jin yang selama ini mengganggu anda atau keluarga anda atau jika Pengamal Perubatan Islam, niatkan untuk bertemu dengan jin yang selalu menganggu pesakit. Niat itu juga dipanggil Minda Bawah Sedar.

Bacalah Surah Al Fatihah, Ayatul Qursi, Al Ikhlas, Al Falaq dan An Nas. Setelah itu tiup ke tapak tangan dan usapkan ke seluruh tubuh. Mohon kepada Allah sebagai benteng diri. Selepas itu bacakan Surah Al Baqarah ayat 148 dan niatkan sekali lagi mohon kepada Allah untuk bertemu dengan jin-jin laknat itu. Teruslah tidur dan berzikir sehingga terlelap.

Jika diizinkan oleh Allah dan bertemu dengan jin-jin pengganggu tersebut, maka jangan takut malah terus mengejarnya. Jika jin itu lari ke sebuah rumah atau persembunyinnya, jangan takut, lari dan hancurkan tempat mereka. Boleh jadi itu adalah tukang sihir yang menyihir keluarga kita. Jika jin, tukang sihir dan tempat persembunyiannya itu berhasil kita hancurkan dalam mimpi, maka insyaAllah, jin dan tukang sihir itu mati dengan izin Allah.

Kesimpulan

Apa yang terjadi di dalam mimpi itu adalah tindakan minda bawah sedar. Ertinya, hal yang telah terakam dalam otak bawah sedar kita. Jika di alam nyata kita masih takut kepada  jin/syaitan, maka di dalam mimpi pun kita akan ketakutan. Untuk itu, kita mesti merakam di dalam minda bawah sedar untuk tidak takut kepada apapun kepada bangsa jin tetapi HANYA TAKUT KEPADA ALLAH sahaja. Wallahu’aklam...

“semoga berguna kepada saya dan anda semua”

Sumber:

Sunday, 25 January 2015

SEDIKIT PETUA DAN AMALAN UNTUK MENGELAK GANGGUAN JIN, SYAITAN DAN SIHIR



Saudara pembaca yang dihormati,

Hidup di dunia ini sebenarnya kita berkongsi alam dengan makhluk-makhluk Allah yang tidak kelihatan dek mata kasar. Justeru, kadang kala ada antara perlakuan kita yang boleh menyebabkan kemudaratan atau kecederaan kepada makhluk-makhluk tersebut. Jika ini berlaku, tidak mustahil makhluk-makhluk halus ini (jin / syaitan) akan bertindak balas.

Maka sejajar dengan hakikat tersebut, kita perlulah sentiasa menjaga adab dan berhati-hati dengan setiap tindak tanduk dan perlakuan kita. Dalam tulisan kali ini saya berpesan kepada diri sendiri dan kepada para pembaca agar mengamalkan petua-petua berikut untuk mengelakkan dari gangguan jin, syaitan dan sihir. Insya Allah..

Petua Berguna

  •  Sentiasa berzikir kepada Allah.
  • Apabila menuang air panas, sebutlah nama Allah atau membaca “Isti’azah” atau membaca “Basmalah”. Dua lafaz ini adalah amat penting dalam kehidupan setiap Muslim lelaki atau wanita. Ia hendaklah diamalkan sepanjang masa walaupun wanita itu dalam keadaan uzur syarie (period). 
  • Jangan menuang air panas dalam tandas kerana tandas adalah tempat jin syaitan. Begitu juga ke dalam lubang. 
  • Apabila masuk ke bilik gelap, sebutlah “Basmalah”. 
  • Apabila membaling sesuatu yang berat ke bumi, sebutlah “Basmalah”. 
  • Apabila terjun dari tempat tinggi, seubutlah “Basmalah”. 
  • Jangan kencing ke dalam lubang, kerana ia tempat tinggal jin 
  • Jangan tidur seorang diri. Jika terpaksa tidur seorang diri, maka hendaklah berwuduk dan membaca zikir tidur. 
  • Jangan menyakiti anjing atau kucing. 
  • Jangan membunuh ular yang berada di rumah. Hendaklah diberi amaran selama tiga hari. 
  • Jangan berjalan seorang diri di padang pasir atau hutan belantara. 
  • Mengamal bacaan surah-surah pilihan seperti surah al-Ikhlas, surah al-Falaq, suran al-Nas dan ayat Kursi. 
  • Hidupkan suasana al_quran di dalam rumah. Menyebut zikir (لا إله إلا الله) seratus kali setiap hari. Dalam hadis diceritakan bahawa sesiapa yang membaca seratus kali: “Tiada tuhan selain Allah. Allah yang esa tiada sekutu bagi-Nya. Bagi-Nya kerajaan dan segala pujian. Dan Dia berkuasa atas tiap-tiap sesuatu”. maka antara fadilatnya ialah dipelihara daripaa syaitan pada hari itu. (Hadis Riwayat Bukhari). 
  • Sentiasa membaca ayat-ayat yang mengandungi makna bagi membatalkan sihir seperti surah al-A’raf (118 – 119) dan surah Taha (69). 
  • Makan ubat tertentu seperti tamar (kurma). Sabda Nabi s.a.w yang bermaksud: “Sesiapa yang makan setiap pagi buah tamar ‘Ajwah maka tidak akan memudaratkannya oleh racun dan sihir pada hari itu hingga malam hari” (Mafhum hadis riwayat Bukhari). 
  • Sentiasa membenteng diri dengan amalan tiga Qul. Aishah r.a menceritakan bahawa Nabi s.a.w apabila mengadu sakit, baginda s.a.w akan membaca ke atas dirinya surah al-Falaq dan surah al-Nas kemudian membuskannya. (Mafhum hadis riwayat Muslim) 

Monday, 29 December 2014

ADAKAH SAMA SAKA DENGAN QARIN?



Assalamu’alaikum wwt.

Info pada kali ini mengajak kita menyorot sedikit sebanyak tentang permasalahan SAKA dan QARIN. Seringkali kita agak terkeliru tentang dua istilah ini. Info ini sebenarnya dipetik daripada ruangan soal jawab “Koleksi Jawapan Kemusykilan Agama Bersama Tuan Guru Dato’ Dr. Haron Din” (http://www.darussyifa.org)

Mudah-mudahan maklumat daripada info ini berguna kepada kita.

Soalan
Saya banyak mendengar perkataan saka yang dirujuk kepada gangguan makhluk harus atas seseorang yang berpunca daripada keturunan seseorang yang mendampinginya sentiasa meminta berbagai permintaan atau mengenakan berbagai keburukan. Adakah ini sama dengan istilah qareen yang pernah Dato' sentuh dalam jawapan terdahulu. Samakah antara saka dengan qarin? Bagaimana hendak mengatasi hal ini apabila ianya berlaku?
SAMIHAH MANSOR
Batu Gajah

Jawapan

Saka adalah suatu istilah yang biasanya digunakan oleh tukang ubat atau bomoh tradisional yang merujuk kepada suatu fenomena gangguan spiritual yang berlaku ke atas manusia kebanyakannya kaum wanita dan ada juga lelaki, yang mengaitkannnya dengan makhluk yang kononnya diamanahkan menjaga seseorang. Bagi tujuan menjaga tersebut maka berbagai-bagai gangguan spiritual berlaku. Gangguan seperti ini dikenali sebagai gangguan makhluk halus.

Saka dikaitkan dengan kononnya ada makhluk yang berdampingan dengan keturunan bapa, ibu, datuk atau nenek seseorang yang menjaga atau bersahabat dengan makhluk ini dan dipesan kepada makhluk tersebut selepas kematiannya untuk menjaga dan mengawal anak cucu mereka.Hasil daripada itu maka berlaku kawalan, sebenarnya gangguan ke atas orang berkenaan sehingga menimbulkan masalah yang diistilahkan sebagai saka.

Saya tidak dapat menentukan apa sebenarnya saka. Betul atau tidak ia makhluk yang mendampingi manusia dan keturunan mereka diganggu sehingga mendatangkan kemudaratan kepada mereka. Jika benar ianya (makhluk halus) sebagai sahabat, kawan atau dampingan orang-orang terdahulu, maka sepatutnya ia tidak berubah sekadar hanya menjaga dan melindungi anak cucu seseorang, tiba-tiba berlaku sebaliknya sehingga menyakiti dan menganggu sampai menjadi separuh gila atau separuh sedar.

Saya tidak nampak hal ini sebagai saka yang digunakan untuk menjaga dan mengawal seseorang untuk kebaikan. Jika berlaku begini, maka tidaklah menimbulkan masalah walaupun hukum asalnya bersahabat, berbuat baik, berdampingan dengan makhluk halus dilarang oleh syariat Islam.

Banyak ayat al-Quran yang menggesa manusia menjauhi dan berlindung diri daripada syaitan. Malah manusia wajib menjadikan syaitan sebagai musuh dan sebagainya.

Berbalik kepada seseorang yang diganggu oleh makhluk halus, maka jelas ia adalah musuh kerana makhluk halus ini menyakiti manusia, menganggu manusia dan melakukan perkara yang tidak dingini oleh manusia, ianya memberikan kesan negatif.

Kita mesti menjauhi mereka, benda yang dinamakan saka ini tidak menjadi sesuatu yang baik kepada manusia. Dirawatlah dengan cara-cara yang diharuskan oleh syarak bagi mengelakkan saka ini terus menerus menganggu manusia.

Adapun Qarin adalah istilah al-Quranul karim yang jelas Allah S.W.T menyebut dalam beberapa ayat seperti dalam Surah Qaf (ayat 23), Surah al-Fussilat (ayat 25) dan lain-lain.
Di antara makna-maknanya, Allah menyebut (mafhumnya), "Dan kami tetapkan bagi mereka, teman-teman yang menjadikan mereka memandang bagus apa yang ada di hadapan dan di belakang mereka. Dan tetaplah atas mereka keputusan azab pada umat yang terdahulu dari jin dan manusia. Sesungguhnya mereka adalah orang-orang yang meragui."

Istilah teman-teman dalam al-Quran adalah pada asal perkataan Qurana atau kawan-kawan setia. Maksudnya adalah dari suku sakat syaitan atau iblis ini menjadikan manusia sebagai teman mereka.

Firman Allah (mafhumnya), "Dan berkatalah Qarinnya, inilah catatan amalan yang tersedia pada sisiku." (Surah Qaf, ayat 23).

Dan Surah Qaf, ayat 27 bermaksud, "Yang menyertai dia, Qarinnya berkata pula,"Wahai Tuhan kami, aku tidak menyesatkannya, tapi dialah yang berada dalam kesesatan yang jauh."

Ini merujuk kepada perkataan Qarin. Allah S.W.T menyifatkannya sebagai kawan rapat bukan kerana manusia hendak sangat berkawan dengan mereka, tetapi pada pandangan sesetengah ulama, sejak manusia dilahirkan ada makhluk halus yang mendampinginya, mengajak, memandu serta mempengaruhinya melakukan kejahatan. Itulah yang dimaksudkan sebagai Qarin.

Dalam hadis daripada Ibnu Mas'ud r.a, bahawasanya Nabi Muhammad s.a.w bersabda (maksudnya), "Setiap orang daripada kamu, ada bersama dengannya qarin (syaitan) daripada jin. Sahabat bertanya, apakah Rasulullah juga mempunyai qarin, baginda menjawab, ya, saya pun ada qarin itu, cuma Allah S.W.T membantu saya, dapat mempengaruhi qarin itu sehingga dia telahpun Islam dan dia berdamping dengan saya, dia tidak mendorong saya membuat sesuatu melainkan semuanya untuk kebaikan." (Riwayat Muslim).


Hiasan: Gambaran jin Qarin manusia

Hadis daripada Ai'shah r.ha berkata,"Suatu ketika Rasulullah s.a.w berada bersama dengan saya, lalu keluar meninggalkan saya kerana ada suatu urusan pada malam hari, tiba-tiba timbul cemburu dalam diri saya, apabila Rasulullah s.a.w kembali menemui saya, baginda mengetahui perasaan saya itu, maka baginda bertanya, apakah gerangan mu wahai Ai'shah? apakah kamu cemburu? Maka saya menjawab, manalah orang seperti saya ini tidak cemburu ke atas mu wahai Rasulullah s.a.w. Maka Nabi menyebut kepada saya, apakah kamu telah dikuasai oleh syaitanmu wahai Ai'shah. Maka saya menjawab, ya Rasulullah, apakah bersama saya ada syaitan? Rasulullah menjawab, ya, malah pada tiap-tiap insan ada syaitannya. Saya bertanya kepada Rasulullah, apakah kamu juga ada syaitan? Jawab baginda, ya, tetapi Allah S.W.T telah membantuku, aku Islamkan dia dan tidak menyuruhku melainkan untuk kebaikan."

Hadis-hadis sebegini adalah hadis sahih, ia menunjukkan memang berlaku bahawa qarin, ia adalah syaitan, mendampingi semua manusia. Kalau Rasulullah s.a.w pun didampingi oleh qarin ini, inikan pula insan biasa.

Oleh yang demikian, jelas bahawa qarin ini ada pada setiap orang dan bergantung kepada seseorang insan itu, jika ia belum boleh menguasai dirinya dengan kerja-kerja ketaatan sehingga tidak ada ruang untuk melakukan kemaksiatan maka qarin ini seolah-olahnya putus asa untuk mengajaknya melakukan kejahatan, melainkan sekali sekala sahaja.

Adapun orang-orang yang mudah mendedahkan dirinya kepada melakukan perkara yang tidak baik, khasnya melakukan kemaksiatan, maka qarin inilah yang menjadi pendorong utama. Pada pandangan saya qarn adalah makhluk halus yang jahat.

Jika hendak dikatakan saka, hanya sekadar mengatakan ianya wujud ada, maka tidak salah mengatakan kita semuanya ada saka, tetapi saka yang saya maksudkan adalah saya yang sedia ada, bukan kerana dipelihara oleh keturunan, bukan disuruh oleh seseorang melakukannya tetapi kerana tabiat makhluk ini memang sentiasa berusaha menjerumuskan manusia kepada kejahatan. Wallahua'lam.

Friday, 12 December 2014

SANTAU : SATU PERBUATAN KEJI (2)



Assala’mualaikum wwt.

Bicara pada kali ini merupakan sambungan daripada tulisan terdahulu yang mengisahkan tentang ilmu santau. Kasihan kepada mangsa yang terkena ilmu santau. Kadang kala orang yang tidak bersalah menjadi mangsa. Benteng yang ampuh untuk menghindari santau ialah dengan memperkuat amalan pembenteng diri. Dengan pertolongan Allah sahaja kita mampu selamat daripada terkena ilmu santau ini.

Ikuti selanjutnya info berkenaan dengan santau ini...

RAMUAN SANTAU

Bukanlah satu usaha yang mudah untuk menyediakan ramuan santau. Apa yang pasti, setiap ramuan yang diadun mempunyai kesan yang bisa kepada mangsanya. Antara bahan yang selalu digunakan untuk menyediakan ramuan santau ialah seperti berikut;

  • Air ulat sintuk (ulat gonggok yg berwarna kehitam-hitaman) 
  • Segala jenis miang seperti miang buluh, miang jagung 
  • Sumbu pelita minyak tanah (habuknya), 
  • Hempedu katak puru (biasanya digunakan di kedah atau perlis - katak puru yang diambil dari atas pokok daun keladi yang layu yang terletak di sawah padi) 
  • Kaca dari botol-botol kaca atau kaca lampu (ditumbuk dan diayak dan diambil serbuk kaca yang halus) 
  • Kuku (dari manusia atau haiwan, dan sebagainya) 
  • Rambut 
  • Tali sabut (direndam selama 44 hari kemudian diracik halus-halus) 
  • Kacang babi (Wallahu alam tak tau rupa bentuknya tapi org Asli - Aborigines people - yang tahu sebab mereka cari dalam hutan


Bahan ini kalau terkena pada kulit maka kulit akan menjadi tersangat gatal bahkan ada yang sampai terpaksa kena potong salah satu anggota badan tersebut.

BAGAIMANA SANTAU DIBUAT  DAN DIPROSES

Pembuat santau akan mengumpulkan segala bahan-bahan yang hendak dibuat santau  kemudian bila semua ramuan sudah cukup, pembuat santau akan mencari suatu hari dalam bulan gelap betul-betul gelap (merujuk hijrah). Seterusnya mereka akan membawa bahan santau ini ke simpang tiga yang tidak ada orang lalu lalang  (simpang yang menuju ke hutan) di tengah malam seorang diri. Kemudian mereka akan memulakan bacaan mentera jampi serapah mengikut bahasa masing-masing sambil menutup bekas santau itu dengan sehelai kain. 

Cara bahan santau itu aktif ketika mana pembuat santau itu membaca mentera kain yang menutup bekas santau tu naik ke udara kemudian keluar suara (jin, syaitan, iblis laknatullah) bercakap 'aku ikut perintah kamu'. Itu bermakna ramuan santau itu sudah menjadi.  Apabila bahan santau  'menjadi', ramuan itu  membiak macam yeast - cepat membiak walau kalau sudah masuk ke dalam tubuh mangsa pun cepat membiak macam virus). Tapi sekiranya bahan santau itu tidak menjadi, maka pembuat santau  ini akan menunggu hari gelap yang lain untuk mengulangi ritual yang sama sampai menjadi.

Apabila bahan santau ini diaktifkan,  bahan ini akan disimpan dalam bekas tabung.  Contohnya zaman dahulu bahan ini disimpan dalam batang buluh kecil dan digantung pada para di dapur. Kalau zaman sekarang, mungkin disimpan di dalam balang atau sebagainya. 

Jadi, dalam 3 atau 4 bulan sekali, pembuat santau ini akan memeriksa bekas santau itu sama ada penuh atau tidak. Jika sudah penuh dan melimpah, terpaksalah pembuat santau ini membuang santau ini dengan cara yang diterangkan sebelum ini sama ada pada khalayak ramai atau sebagainya. Jika tiada pilihan dan tidak sempat untuk di buang, ramuan santau ini akan memakan tuannya sendiri (samada pembuat terpaksa memberi makan atau minum pada ahli keluarga atau memakan diri sendiri). Boleh tak santau ini dibuang? Jawapannya boleh.

TANDA TERKENA SANTAU

Terdapat beberapa tanda seseorang itu terkena santau. Antara tanda-tanda tersebut adalah seperti berikut;


  • Batuk yang berterusan  walaupun sudah memakan ubat hospital tetapi masih belum sembuh. Malah gejala batuk terjadi pada waktu-waktu tertentu seperti maghrib, pagi, tengah malam dan waktu hampir subuh. Bahkan ada yang batuk berterusan selama 24 jam (macam batuk anjing) 
  • Muntah darah 
  • Rasa tercucuk-cucuk dalam badan seperti ada jarum (di bahagian dada, sendi-sendi badan, peha, dan kaki),  
  • Demam panas 
  • Sakit kepala 
  • Lenguh atau lemah sendi dan anggota badan 
  • Tiada selera makan (kesannya badan menjadi susut dan bila cuba hendak makan terasa hendak muntah) 
  • Susah tidur pada waktu malam 
  • Kerap mengantuk pada waktu siang hari 
  • Gatal-gatal badan 
  • Pemarah (sifat yang dibangkitkan oleh jin, syaitan, iblis) 
  • Pelupa 
  • Resdung 
  • Barah 
  • Kayap 
  • Lumpuh ( yang menyerang buah pinggang) dan ada yang sampai buat putus urat jantung, serta jadi gila 
  • Lemah tenaga batin 
  • Kudis (biasanya ramuan santau ini boleh didapati dari kepulauan Borneo),  
  • Penyedih 
  • Penakut 
  • Pembenci 
  • Pemalas 
  • Fikiran tidak tenteram (sehingga tidak boleh membuat keputusan dengan tepat dan hilang keyakinan diri 
  • Suka bersendirian (tidak suka bergaul dengan orang ramai) 
  • Sakit perut dan sakit belakang.


KESAN DARl TERKENA SANTAU:

Apabila santau terkena kepada mangsa, maka tidak lain tujuannya untuk memastikan kesihatan mangsa merana kerana santau akan;

  • Merosakkan rohani dan jasmani (rasa tidak tenteram), 
  • Merosakkan rumah tangga,  
  • Merosakkan organ dalaman,  
  • Merosakkan fikiran dan maut. 

Tanda fizikal mangsa santau: warna kebiru-biruan (biru kundang) di kuku tangan dan kaki, bibir, kelopak mata dan ada yang tahap kritikal menjadikan paru-paru dan jantung bermasalah dan berlubang.  

Tidak ada perawat dapat memastikan dengan tepat berapa lama tahap santau sudah berada dalam badan pesakit tetapi berdasarkan pengalaman perawat santau, jika hanya bahagian dada saja berkemungkinan santau tersebut baru masuk mungkin tidak kurang dari satu atau dua minggu, kalau sudah sampai ke pinggang berkemungkinan sudah masuk dalam sebulan atau beberapa bulan, kerana bila bahan santau dapat dikeluarkan dari badan pesakit dapat dilihat bahan tersebut masih baru dan bila sudah sampai ke kaki berkemungkinan sudah beberapa tahun. Kalau yang sudah lama bertapak, apabila keluar mungkin santau itu sudah menjadi hitam. Wallahu'alam.

Jika pesakit santau menggunakan X-ray, biasanya  tidak dapat dikesan tetapi jika pesakit itu terkena santau, biasanya hasil filem x-ray tersebut di bahagian paru-paru akan menjadi gelap dan doktor gagal mengesan puncanya. Santau ini bila sudah masuk ke dalam tubuh mangsa melalui mulut atau sebagainya, seperti yang diterangkan sebelumnya, santau ini akan menjadi racun masuk ke pembuluh darah seperti bagaimana masuknya gangguan jin dan syaitan termasuk sihir dan menyerap ke seluruh badan dan terus ke otak dan ada kesan santau  menjadikan anggota badan seperti lidah menjadi pendek membuatkan mangsa tidak boleh bercakap, mulut menjadi herot, dan tangan menjadi merengkot.

KAEDAH PELINDUNG (pendinding diri)

Marilah kita sentiasa menjaga solat dan amalan fardhu yang wajib dan melakukan yang sunat seperti solat sunat malam. Juga sentiasa berzikir, membaca Al Quran, dan sebagainya

Setiap amalan hendaklah membaca al-quran dan surah-surah yang dibaca dan berzikir hendaklah diniatkan memohon kepada Allah Ta'ala supaya dilindungi diri dan ahli keluarga dari segala bentuk kejahatan makhluk syaitan, jin, iblis, manusia dan sebagainya. 

Senantiasa mengamalkan dalam doa harian atau setiap lepas solat membaca surah Al fatihah, 3 Qul ( Al Ikhlas, Al Falaq, An Nas), Ayatul Kursi, Doa Penggerak dan sebagainya.
Doa Penggerak : Elok dijadikan amalan harian untuk mengelak mara bahaya termasuk santau

Melazimkan diri membaca ketika doa sebelum makan dan minum, sebelum  keluar rumah , lazimkan juga membaca 2 ayat terakhir dari surah at taubah (ayat 128 dan 129) iaitu laqod ja'akum .... sampai habis., dan doa-doa yang lain.

CARA HENDAK MENGETAHUI TERKENA SANTAU

Apabila hendak tidur, perahkan air limau nipis sedikit (tanpa ditambah dengan air) ke dalam mulut. Jika tiada masalah seperti batuk, gelisah samada semasa tidur atau tidak, berkemungkinan besar 90% masalah yang dialami ada bersangkut paut dengan santau. Jadi, segeralah mendapatkan rawatan yang sewajarnya.
Kalau tiada masalah, syukur kepada Allah. Santau biasanya bersangkut paut dengan penyakit fizikal juga seperti sakit, gatal-gatal pada anggota badan, kanser, sakit jantung, paru-paru, buah pinggang dan sebagainya, kecuali gout dan kencing manis. Wallahu'alam.

PERKARA YANG DILARANG APABILA PESAKIT SEDANG MENJALANl RAWATAN SANTAU

Larangan ini bergantung kepada cara rawatan perawat-perawat lslam yang mempunyai pelbagai kaedah untuk merawat. Ada perawat melarang pesakit memakan ikan yang bersengat, dan jika perawat yang menggunakan kaedah rawatan tepuk daun nangka seperti Ustaz Mokhtar Kasan (DARUSSYIFA), adalah ditegah pesakit apabila sedang menjalani proses rawatan memakan limau ( semua jenis limau terutama limau nipis, limau kasturi walau kordial sunquick tu pun tidak boleh, apa-apa perasa limau tidak dibenarkan), cuka, buah yang masam dan jeruk(pickles), nenas, dan rebung yang boleh diklasifikasikan  berunsur tajam.

Kurangkan juga memakan makanan yang pedas, berminyak dan air batu. Tidak boleh melakukan kerja kuat atau aktiviti yang lasak seperti bermain bola dan sebagainya, serta tidak boleh mengangkat barang berat. Dikhuatiri jika pesakit tidak mengendahkan segala larangan-larangan tersebut akan membawa kesan buruk dan padah terhadap pesakit itu sendiri kerana luka-luka dalaman masih belum sembuh sepenuhnya.  

Di samping mendapatkan rawatan dari perawat lslam adalah digalakkan pesakit itu sendiri berusaha untuk menguatkan daya ketahanan diri rohani dan jasmani melalui membaca Al Quran, berzikir dan sebagainya, secara istiqomah dan berterusan untuk mendapatkan ketenangan fikiran disamping berdoa kepada Allah Ta'ala semoga sembuh,insya Allah.

Sekian.
Nasihat saya...berhati-hatilah.
Ingat sebelum terkena.
Bersiaplah dengan Amalan Pembenteng Diri.
Berubat segera bila ada tanda-tanda terkena santau

Sumber :
Disediakan oleh: Shahila Tahir.
Koleksi dari ceramah rawatan santau oleh 
Tuan Haji Mokhtar Kasan (Perawat Darussyifa Bandar Baru Bangi)