Wednesday, 10 December 2014

TANDA-TANDA ADA GANGGUAN JIN DI DALAM RUMAH



Assalamu’alaikum wwt.

Saya percaya tentu kita akan berasa tidak selesa andainya di kediaman kita ada ‘orang ketiga’ yang menumpang. Kalau orang ketiga itu berupa manusia yang nampak dek mata kasar agak kurang merimaskan, tetapi bagaimana pula jika orang ketiga itu tidak kelihatan tetapi selalu ada memerhatikan kita dan mengganggu tugas seharian. Lebih parah lagi jika gangguan itu menakutkan kita sekeluarga.  Apa yang saya ingin bicarakan di sini ialah masalah gangguan jin yang berada di dalam rumah kita.  Jikalau ada, bagaimanakah ciri-ciri atau tanda-tandanya?

Mungkinkah di rumah ini ada gangguan jin?

Pernahkah  masakan atau makanan yang kita sedaikan  selalu dan cepat basi ( rosak), atau anda selalu terdengar seperti bunyi guli jatuh di lantai atau di atas bumbung rumah, atau sering kedengaran seperti ada orang mengemas atau menarik perabot di tengah malam, atau sering nampak kelibat atau lembaga hitam di dalam rumah atau penghuni rumah sering merasa seram dan takut apabila berada di dalam rumah?

Selain itu, ini juga 14 tanda-tanda lain terdapatnya gangguan jin di dalam rumah:


  1. Anda selalu rasa tidak tenteram bila berada dalam rumah tetpi anda sendiri tidak tahu apa sebabnya. 
  2. Bagi orang yang lemah semangat akan selalu berasa takut tinggal berseorangan dalam rumah tanpa sebab yang munasabah. 
  3. Selalu terjadi pertengkaran atau pergaduhan atau perasaan benci membenci dalam kalangan serumah. Hatta dalam perkara kecil pun boleh membawa kepada pertengkaran besar dan berisi dendam kesumat. 
  4. Selalu ada orang sakit dalam rumah sama ada orang yang sama atau berganti-ganti (orang tua, dewasa atau kanak-kanak) dan penyakitnya ada gejala yang boleh mengaitkan dengan gangguan jin. 
  5. Rumah itu cepat 'berhantu' jika ditinggalkan kosong  iaitu mungkin ada bunyi-bunyi ganjil atau kegiatan seperti ada manusia di dalam rumah itu malah mungkin suara memanggil orang yang lalu di depan rumah atau jelmaan-jelmaan jin samada secara jelas atau bayangan  serta kelibat-kelibat makhluk aneh atau mungkin orang yang melintas akan nampak  'seseorang' yang berdiri di jendela dan sebagainya. 
  6. Malah jika lebih berat semasa didiami manusia pun perbagai perkara ganjil berlaku seperti suara berbisik, berbual-bual, atau perbagai bunyi asing  seperti bunyi pintu terbuka, tertutup, bunyi orang melangkah dan sebagainya terutamanya  pada waktu malam. 
  7. Ada pada bahagian tertentu dalam rumah itu di mana anda merasa panas, terhidu bau busuk atau bau aneh, berasa seram tanpa sebab malah kadang-kadang sakit atau merasa serangan benda halus ketika anda melintas atau berada pada tempat berkenaan. Hal ini sangat jelas jika dalam rumah itu ada tempat khas seperti bilik contohnya yang menjadi tempat pemujaan jin walau apa pun tujuannya atau menjadi tempat simpanan sesuatu benda sihir iaitu apa saja benda yang didampingi atau dijaga jin contohnya tangkal, senjata lama, batu, kayu, cincin dan sebagainya. 
  8. Kadang-kadang bilik yang berkunci tiada orang tiba-tiba kelihatan terang benderang dari luar seolah-olah lampu dipasang dan ada bunyi atau suara ganjil. 
  9. Ada kanak-kanak yang selalu kencing malam walaupun perbagai ikhtiar dibuat untuk mencegah nya. Suka berbuat nakal dan selalu mimpi aneh atau mengigau dan sebagainya. 
  10. Anda sukar tidur diwaktu malam atau rasa resah gelisah tanpa sebab atau selalu terjaga pada waktu malam atau ada juga orang yang merasa ramai 'orang' dalam bilik menumpang dan menemaninya tidur. 
  11. Kalau orang luar yang berdamping atau didampingi jin masuk ke dalam rumah ia mungkin merasa pening atau gelisah atau takut malah ada juga yang jatuh sakit tiba-tiba. Mungkin juga orang itu akan pitam atau rasa diserang sesuatu yang tidak kelihatan. 
  12. Isi rumah merasa sukar mengerjakan ketaatan kepada Allah terutamanya mengerjakan solat. 
  13. Timbul perbagai masalah antara suami isteri seperti selalu bertengkar, cemburu buta atau yang sering terjadi marah tidak tentu pasal kepada pasangan. 
  14. Selalu melihat ada kelibat bayangan hitam melintas pada pandangan ekor mata atau mungkin juga jelmaan-jelmaan aneh.

Kesimpulan

Adakah di rumah anda terdapat sebahagian atau kesemua tanda-tanda tersebut? Jika ada, itu tandanya ada gangguan jin di dalam rumah anda. Sebaik-baiknya baikilah amalan harian seperti selalu bersolat atau mengaji al-Quran. Hindari juga perkara-perkara yang melalaikan seperti mendengar muzik dan sebagainya. Buatlah amalan pagar rumah mengikut kemampuan sendiri. Ada banyak kaedah pagar rumah yang boleh anda lakukan. Jikalau tidak mampu dapatkan nasihat dan pertolongan daripada perawat Islam. Mudah-mudahan perkongsian info ini dapat membantu anda. InsyaAllah..


Sunday, 30 November 2014

PENYAKIT BARAH (KANSER) : RAWATAN DOA DAN BAHAN



Assalamu’alaikum wwt

Penyakit barah atau kanser merupakan sejenis penyakit yang berbahaya. Terdapat pelbagai jenis barah seperti barah pangkal rahim, barah payu dara, barah otak, barah prostat dan sebagainya. Penyakit barah ini semakin ditakuti kerana jika dibiarkan atau tidak mendapatkan rawatan akan membawa maut.

Paparan pada kali ini akan membicarakan sedikit sebanyak berkenaan dengan penyakit barah. Bagi rawatan moden, berjumpalah dengan doktor untuk mendapatkan nasihat dan rawatan. Bagi saya yang bukan bertaraf doktor, kaedah rawatan berteraskan doa dan bahan merupakan kaedah rawatan Islami yang perlu diketengahkan.

Ikuti seterusnya..

Pendahuluan

Barah atau dikenali juga dengan kanser adalah sejenis penyakit yang berkaitan dengan ketidakseimbangan replikasi dan tindak balas sel dalam badan. Biasanya, sel ini akan bertambah (replikasi) mengikut aturannya bagi membolehkan tumbesaran badan dan pemulihan selepas berlakunya kecederaan. Namun ada kalanya sel ini bertambah secara tidak normal menyebabkan berlakunya ketumbuhan tidak normal atau juga dikenali sebagai tumor. Tumor boleh dikategorikan sebagai bukan barah (benign) ataupun barah (malignant). Tumor bukan barah tidak merebak ke bahagian tubuh badan atau organ yang lain. Barah pula terdiri daripada sel-sel barah yang sekiranya tidak dirawat boleh merebak ke bahagian tubuh badan yang lain. Sel barah boleh merebak ke organ yang lain menyebabkan komplikasi sistemik. Komplikasi dan kehilangan fungsi multi organ akan menyebabkan kematian.

Apabila sel ini sampai ke bahagian tubuh badan yang lain, ketumbuhan baru boleh terjadi di organ tersebut. Keadaan barah merebak ini adalah dikenali sebagai barah sekunder atau metastasis. Perkataan barah juga boleh digunakan dalam keadaan pertambahan sel yang tidak normal tetapi tidak diikuti dengan ketumbuhan atau tumor. Ini adalah seperti yang berlaku dalam penyakit yang melibatkan sel penghasilan darah iaitu penyakit leukimia.

Barah telah menjadi masalah utama akibat peningkatan tempoh jangka hayat. Ini disebabkan kadar mutasi semakin meningkat selaras dengan tempoh hayat yang semakin berpanjangan. Walaupun kemajuan yang besar telah dicapai dalam cara rawatan, kebanyakan rawatan hanya berkesan bagi penyakit barah awal. Bagi kebanyakan barah yang telah mencapai tahap lanjut masih tiada rawatan yang berkesan wujud dan dalam kebanyakan kes akhirnya membawa maut. Oleh itu bolehlah dianggap, mereka yang melewatkan mendapat rawatan seolah-olah membunuh diri.

Rawatan barah biasanya dikendalikan oleh onkologi, doktor yang khusus dalam rawatan penyakit malignant. Rawatan barah perlu dilakukan dengan serta merta sebaik sahaja ia dikesan. Kelewatan mendapatkan rawatan mengurangkan peluang untuk sembuh. Barah yang dikesan pada peringkat awal mempunyai peluang yang baik untuk dirawat secara berkesan. Anda perlu faham bahawa kos untuk rawatan barah sangat mahal.

Kos yang tinggi untuk rawatan barah

Tanda-tanda Awal Barah atau Kanser


  1. Kanser pangkal rahim - sebarang lelehan atau pendarahan yang luarbiasa, sakit selepas bersenggama dan turun berat badan. 
  2. Kanser payudara - bengkak atau gumpalan di buah dada, keluar cairan berdarah dari puting, pembesaran kelenjar di ketiak, kedutan pada kulit di buah dada. 
  3. Kanser usus besar - perubahan tabiat membuang air, hilang berat badan, sakit dalam perut dan usus, berlaku pendarahan semasa membuang air. 
  4. Kanser paru-paru - batuk kuat berterusan, batuk berdarah, nafas termengah-mengah, sakit dada dan hilang berat badan. 
  5. Kanser perut - hilang berat badan, muntah berdarah, sistem pencernaan yg tidak teratur, cepat kenyang walaupun makan sedikit. 
  6. Kanser limpa - sakit di bahagian abdomen, hilang selera makan, turun berat badan, kulit dan mata menjadi kuning dan bahagian abdomen membengkak. 
  7. Kanser ovari - haid tidak teratur, tumbuhan keras di bahagian abdomen, sakit semasa bersenggama, ketumbuhan bulu rambut yg melampau, suara menjadi lebih mendalam. 
  8. Kanser otak - sakit kepala, muntah-muntah, gangguan penglihatan, lemah atau lumpuh, pening/pitam, pelupa, perubahan personaliti. 
  9. Kanser prostat - sukar dan sakit semasa kencing yang berpanjangan. 
  10. Kanser darah (leukimia) -letih, pucat, mudah lebam dan mudah mendapat jangkitan (infection). 
  11. Kanser tekak - suara garau/serak, ada ketumbuhan di tekak, sukar menelan dan kelenjar membengkak di leher.


Petua Mudah Mengelakkan Penyakit Barah


  1. Minumlah air rendaman daun teh (hijau atau hitam, tetapi bukan herba) kerana teh hijau mengandungi antioksidan. Cara ini boleh mencegah sel kanser daripada berkembang. 
  2. Makanlah tomato kerana tomato penuh dengan vitamin C, yang boleh membantu mencegah kerosakan sel. 
  3. Makan kacang soya, kerana phytoestrogen di dalam kacang soya mungkin menolong melindungi daripada kanser payu dara dan prostat. 
  4. Makan sayur brokoli, kobis, dan bunga kobis kerana sayur-sayuran ini mengandungi bahan melawan kanser. Juga mengandungi pelbagai zat yang lain. 
  5. Campurkan halia dan bawang di dalam makanan kerana campuran ini mengandungi bahan-bahan melawan kanser. 
  6. Jangan ketinggalan memakan oren, lemon dan lain-lain buah sitrus yang mengandungi bahan-bahan meransang sel-sel kebal membunuh kanser. Mengandungi vitamin C yang banyak. 
  7. Jangan ketinggalan juga memakan buah anggur merah kerana buah ini  mengandungi bahan yang menghalang pengeluaran enzim oleh badan yang digunakan oleh sel kanser. 
  8. Makan makanan tinggi serat seperti beras yang boleh menolong mengurangkan risiko beberapa jenis kanser. 
  9. Dapatkan omega – 3 asid lemak yang terdapat di dalam minyak ikan kerana boleh membantu melawan kanser payu dara, prostat dan pankreas. 
  10. Juga dapatkan hasil tenusu rendah lemak yang boleh mengurangkan risiko kanser payu dara, bawah usus, prostat, rahim dan pankreas.


Ikhtiar Rawatan Berasaskan Doa dan Bahan Rawatan

Ikhtiar penyembuhan dalam rawatan terhadap penyakit barah atau kanser ialah menerusi kombinasi bacaan doa dan bahan rawatan terpilih. Cara ini telah saya pelajari semasa belajar di Darussyifa suatu ketika dahulu. Niat saya bukanlah untuk mengajar atau untuk menunjuk pandai tetapi adalah untuk membuka minda masyarakat akan seni pengubatan Islam yang semakin terpinggir.

Doa:

  • Surah Al-Fatihah ( lebih baik dibaca 1 kali senafas) 
  • Surah Al-Ikhlas (dibaca 4 kali senafas) 
  • Doa Pengecil Bengkak 
  • Surah Al Qalam ayat 1-3 (lebih baik dibaca senafas)


Bahan Rawatan:
  • Air 
  • Mangkuk putih yang tidak mempunyai sebarang corak dan tulisan. 
  • Rumput sambau keseluruhannya, termasuk daun, batang dan akar yang telah dibersihkan daripada kotoran. 
  • Kapur kulit kerang (kapur yang diperbuat daripada kulit kerang).


Kaedah Penyediaan Bahan dan Penggunaan Bahan:
  1. Bacakan kombinasi doa rawatan penyakit barah pada bahan-bahan di atas kecuali mangkuk putih. (Peringatan: Jangan sentuh akar rumput sambau dengan tangan setelah doa di atas dibacakan) 
  2. Masukkan kapur kulit kerang ke dalam mangkuk putih kemudian tuangkan air. Pastikan kuantiti air tersebut tidak menyebabkan kapur menjadi terlalu cair atau terlalu pekat. 
  3. Bancuhan air dan kapur hendaklah dikacau dengan akar rumput sambau iaitu dengan tangan memegang batang rumput sambau manakala akarnya mengacau kapur  (seperti mengacau ca dengan berus cat). 
  4. Semasa mengacau kapur, bacalah doa seperti di atas. 
  5. Sapukan bancuhan tersebut di tempat yang sakit dengan menggunakan akar rumput sambau. 
  6. Sapu bancuhan tersebut berulang-ulang.  Lakukan selama TIGA HARI dengan rumput sambau dan kapur yang sama.  Selepas tiga hari,hendaklah dibancuh dengan bahan yang baru.


Peringatan Semasa Penyediaan Bahan:

  • Rumput sambau dan kapur kerang terlebih dahulu hendaklah didoakan. 
  • Mangkuk yang digunakan ialah yang berwarna putih tanpa sebarang corak atau tulisan. 
  • Rumput sambau yang diambil hendaklah beserta dengan akarnya, muda dan masih baik serta tiada tanda-tanda dipijak orang ataupun diragut binatang. 
  • Kapur kulit kerang dibuat daripada kulit kerang yang telah dibakar dengan api yang kuat.


Perhatian:
Menurut pemerhatian dan rawatan yang dilakukan, ternyatan kebarangkalian pesakit barah dapat disembuhkan melalui kaedah ini, asalkan tempat barah tersebut tidak terkena besi. Maksudnya, pesakit barah belum lagi menjalani pembedahan. Seelok-eloknya, sebelum dibuat pembedahan, ikhtiarlah dahulu dengan rawatan doa dan bahan. InsyaAllah sembuh.
Andainya tidak sembuh juga, itu adalah diluar kemampuan perawat.  Siapalah perawat untuk menyembuhkan penyakit barah atau kanser?

Kesimpulan

Cegahlah barah atau kanser sebelum parah. Jagalah pemakanan dan amalkan cara hidup sihat. Rawatan Islam diutamakan dan rawatan moden jangan ditinggalkan. Kesembuhan penyakit adalah dengan izin Allah.

Buku:
Tuan Guru Dato’ Dr. Haron Din, Rawatan  Penyakit  Jasmani (1), Darussyifa’, 2011

Saturday, 29 November 2014

PENYAKIT KAYAP : RAWATAN DOA DAN BAHAN



Pengenalan

Kayap tergolong dalam keluarga penyakit herpes yang disebabkan oleh sejenis virus yang dikenali sebagai Varicella Zoster. Virus ini mula menghuni badan seseorang pesakit apabila dia menghidapi penyakit cacar air (chickenpox). Selepas cacar air sembuh, virus ini berhibernasi di dalam pusat saraf (ganglion). Apabila sistem imun menjadi lemah, virus ini menjadi aktif semula. Virus ini akan menyerang urat saraf dan menyebakan keradangan saraf tersebut.

Risiko-risiko utama penyakit ini adalah disebabkan oleh umur yang semakin meningkat (lebih daripada 50 tahun)  ketika ketahanan sistem imun berkurangan dan kelemahan sistem imun (pertahanan badan) kerana pelbagai sebab seperti jangkitan kuman  HIV dan kesan ubat-ubatan (seperti ubat steroid). Sepanjang hayat seseorang, lebih kurang 10% hingga 30% akan menghidapi penyakit ini.

Contoh Kayap
Gejala  Penyakit Kayap

Kayap selalunya menyebabkan keradangan satu urat saraf (dermatome) pada satu bahagian badan sahaja. Ia lazimnya melibatkan bahagian dada (thoracic) dan muka (trigeminal). Tanda terawal penyakit ini adalah rasa sakit, kebas dan panas di bahagian urat saraf yang terlibat, demam, keletihan dan sakit kepala. Simptom tersebut dialami sebelum tanda-tanda kulit timbul. Ia lazimnya dialami oleh 80% pesakit. Ia akan berterusan untuk 3 hingga 5 hari.

Pada bahagian urat saraf yang terlibat, tanda pertama adalah tompok-tompok kemerahan yang menyakitkan. Selepas 1 hingga 2 hari, timbul gelembong-gelembong air yang kecil. Air di dalam gelembong-gelembong tersebut berwarna kekuningan. Dua hari kemudian, air tersebut akan menjadi semakin keruh dan akhirnya gelembong-gelembong tersebut akan kering. Kulit kering (crusts) tersebut akan jatuh dengan sendiri dalam masa 1 hingga 2 minggu yang berikutnya.

Selalunya doktor akan dapat mengenali penyakit kayap sekiranya pesakit datang dengan tanda-tanda yang lazim bagi penyakit ini termasuk gelembong-gelembong air pada urat saraf di satu bahagian badan. Namun demikian, jikalau pesakit datang dengan tanda terawal tanpa tanda-tanda pada kulit, doktor mungkin mengalami kesulitan untuk membuat diagnosa penyakit ini.

Komplikasi

Komplikasi awal semasa adanya tanda-tanda kulit termasuk jangkitan kuman bakteria pada gelembong-gelembong air pada kulit dan pendarahan di dalam gelembong-gelembong tersebut. Kadang-kadang gelembong-gelembong tersebut mungkin merebak ke kawasan yang lain. Ini selalunya berlaku pada pesakit-pesakit yang mengalami kelemahan sistem imun. Pesakit-pesakit tersebut juga mungkin mengalami tanda-tanda kulit untuk jangka masa berpanjangan.

Jika kayap melibatkan bahagian muka, ia mungkin menyebabkan komplikasi kepada mata termasuk menjadi buta dan kepada saraf facial menyebabkan paralisis otot-otot muka (facial palsy). Kadang-kadang, kayap akan menyebabkan keradangan organ dalaman termasuk otak (meningoencephalitis), jantung (carditis), paru-paru (pneumomitis) and usus (enterocolitis).

Setelah tanda-tanda kulit sembuh, bahagian kulit tersebut mungkin akan menjadi parut. Komplikasi kronik yang lain lazimnya adalah post herpetic neuralgia (kesakitan pada bahagian urat saraf yang terlibat untuk jangka masa yang panjang). Komplikasi tersebut selalunya dialami oleh pesakit-pesakit yang lebih tua (lebih daripada 65 tahun). Kesakitan berterusan ini akan menjejaskan kualiti hidup pesakit. Komplikasi kronik yang lain termasuk komplikasi mata (keradangan mata dan menjadi buta) dan komplikasi urat saraf (keradangan urat saraf dan saraf tunjang).

Rawatan Moden : Menerusi Vaksin

Pemvaksinan ialah satu-satunya cara mengurangkan risiko menghidap kayap dan rasa sakit jangka panjang berikutannya. Apabila seseorang itu terdedah kepada organisme penyebab penyakit, sistem imunnya akan cuba melawan virus berkenaan. Hasil barisan pertahanan badan yang berjaya biasanya ialah keimunan. Bagi vaksin kayap, pemvaksinan menguatkan keimunan semula jadi yang mula-mula diperoleh oleh pesakit semasa menghidapi cacar air sewaktu kecil. Keimunan yang diperkuat oleh vaksin ini menghalang virus cacar air menjadi aktif semula apabila keimunan semula jadi pesakit itu beransur lemah dengan usia yang meningkat.

Rawatan Islam : Menerusi Doa dan Bahan

Ada banyak kaedah untuk merawat penyakit kayap. Apa yang ingin saya kongsikan di sini ialah kaedah yang pernah saya pelajari suatu ketika dahulu melalui Darussyifa dan pernah saya gunakan untuk merawat penyakit kayap.  Paparan ini bukanlah bermakna saya ingin mengajar para pembaca akan cara rawatan ini. Hal ini kerana adab berguru mestilah diutamakan. Belajar biarlah berguru. Sekurang-kurangnya kaedah ini berguna pada saat kecemasan apabila di tempat saudara tiada orang yang mahir mengubati penyakit kayap menerusi doa dan bahan rawatan. Saya tidak menyertakan secara penuh akan doa tersebut tetapi biarlah saudara mencarinya atau bertanya dengan orang yang ahli dalam bidangnya..

Doa yang dianjurkan:
  • Surah al-Fatihah 
  • Doa Bismillah 5 
  • Ayat Pemecah Kebuntuan (Surah al-Hasyr ayat 21 – 24) 
  • Selawat Syifa’ 
  • Surah al-Qalam ayat 1
  
Bahan untuk Rawatan Kayap:
  • Rumput sambau beserta akarnya 
  • Bedak sejuk asli (dibuat daripada beras yang direndam selama 6 bulan) 
  • Sebiji mangkuk putih yang tidak bercorak

Cara Penyediaan dan Penggunaan Bahan
  • Ambil rumput sambau beserta akarnya. Pilih yang segar kemudian dibersihkan. 
  • Bancuhkan bedak sejuk dengan air (kepekatan sederhana) di dalam mangkuk putih yang tidak bercorak. 
  • Pegang batang rumput sambau kemudian kacau bancuhan bedak sejuk dan air dalam mangkuk mengikut arah pusingan lawan jam (arah pusingan tawaf) dengan menggunakan akarnya. Sambil mengacau, bacakan doa. (Perhatian: selepas baca doa jangan sentuh dengan jari akar rumput sambau dan bedak sejuk) 
  • Sapu pada tempat kayap dengan menyentuhkan akar rumput sambau pada tempat yang sakit. 
  • Kayap mempunyai kepala dan ekor. Tempat mula tumbuh kayap dipanggil ekor manakala tempat akhir tumbuh kayap dipanggil kepala. 
  • Cara merawat ialah dengan menyapu secara memotong di bahagian depan kepala. Sapuan kemudiannya bermula di kepada dan berakhir di ekor.

Rawatan Alternatif Lain

Berikut dipaparkan juga beberapa petua untuk merawat kayap. Perhatian: Petua ini tidak pernah saya cuba. Saya cuma memetik daripada blog yang lain. Jika ada kesan sampingan, janganlah salahkan saya pula. Kalau anda ragu-ragu maka janganlah dicuba.

Petua 1 :
Asah kulit pokok kerayong dan disapukan di tempat yang dijangkiti . Kayap tersebut akan kering dan boleh dikoyakkan . 

Petua 2 :
Potong batang keladi candik (keladi merbah) dan ambil airnya lalu disapukan ke tempat sakit. Besoknya  kayap boleh dikoyakkan dan pulih. 

Petua 3 :
Ambilkan 10 duri pokok kekabu dan asahkan duri itu sehingga keluar cecair yang agak pekat. Tadahkan dalam satu bekas, kemudian sapukan cecair duri kekabu ini dan sapukan pada bahagian anggota badan anda yang ada kayap itu. Amalkan petua ini berulangkali sehingga kayap anda kering dan sembuh. 

Petua 4 :
Daun cili boleh mengubati penyakit kayap . Ambil beberapa daun cili dan kapur makan dan kemudian tumbuk dan ramaskan daun cili serta campurkan dengan sedikit kapur makan. Sapukan di bahagia yang terkena kayap . Lakukan sehari 2 kali . Kayap akan pudar dan baik dalam masa beberapa hari. 

Kesimpulan

Setiap penyakit ada ubatnya. Kadang-kala penyakit merupakan kifarah atas dosa-dosa kita yang lalu atau untuk meninggikan darjat kita di sisi Allah. Namun begitu, kita wajib berikhtiar untuk mengubati penyakit. Kesembuhan penyakit adalah dengan izin Allah

Rujukan:
Rawatan Penyakit Jasmani (1) oleh Tuan Guru Dato’ Dr. Haron Din. Darussyifa’, 2011