Sunday, 22 December 2013

ADAKAH JIN SAKA ITU BAIK ?



Assalamu’alaikum wwt..

Pengenalan

Masyarakat Melayu umumnya tidak terlepas daripada mewarisi jin saka. Hal ini berpunca daripada banyak sebab.  Antara sebab utamanya ialah adanya perjanjian  yang disedari atau tidak disedari  antara datuk nenek moyang kita terdahulu dengan segolongan jin. Jin saka ini banyak kategorinya seperti digunakan untuk menjaga rumah atau kebun, untuk tujuan rawatan perbomohan, untuk membantu menjadi bidan dan sebagainya.  Kita janganlah menyalahkan 100% kepada datuk nenek moyang kita atas keterlibatan perbuatan tersebut kerana perbuatan tersebut adalah perlu pada waktu itu.  Semoga Allah mengampuni mereka.

Namun seiring dengan perkembangan zaman sehinggalah pada zaman sekarang, nampaknya khidmat jin saka tersebut tidak diperlukan lagi. Ramai anak cucu yang tidak mahu mewarisi jin saka tersebut, namun hal tersebut tidak bagi jin saka. Bagi tanggapan jin saka, tugas mereka adalah untuk memberikan khidmat kepada anak cucu tersebut biarpun khidmatnya tidak diperlukan lagi. Jin saka akan terus mencari darah pertalian yang rapat untuk terus bersarang dalam tubuh manusia. Jin saka ini umpama parasit yang akan terus mendiami jasad anak cucu Adam.

Persoalannya apakah jin saka itu baik? Jika ada kebaikannya, dari sisi mana untuk dinilai kebaikan tersebut?

Tiada jin saka yang baik

Saya berpendapat tidak ada jin saka yang baik. Jin-jin saka biasanya mengaku sebagai saka yang baik bagi tujuan rawatan, perbidanan, urut-mengurut, membantu dalam kerja perladangan dan menjaga kebun. Ini semua adalah penipuan jin-jin jahat yang berpura-pura membantu manusia, tetapi pada akhirnya menuntut balasan kepada pemilik asalnya dengan menyebabkan sakit, nyanyuk ataupun dikuasai oleh jin ketika umur tuanya..kasihan

Jin-jin saka yang baik, mereka mengaku kononya beragama Islam dan atas dasar itu, mereka berlaku baik kononya demi menolong manusia ataupun mengajar manusia.  Hakikat yang sebenarnya, jin-jin saka ini hanya menyamar sebagai jin-jin Islam.

Ya... jin-jin saka ini adalah jin-jin kafir tetapi mengaku Islam dan menipu orang Islam. Hal ini tidaklah menghairankan kerana misi dan visi utama mereka adalah untuk menyesatkan serta menimbulkan elemen syirik dalam amalan seperti memohon bantuan daripada jin-jin...bukan kepada Allah (syirik khafi).

Petunjuk daripada al-Quran sememangnya melarang manusia meminta pertolongan daripada jin-jin bagi melaksanakan tugas-tugas harian atau sebarang hajat. Allah berfirman, maksudnya;

“Dan sesungguhnya ada beberapa orang lelaki dalam kalangan manusia, menjaga dan melindungi dirinya dengan meminta pertolongan daripada ketua-ketua golongan jin, kerana permintaan itu, golongan jin menjadikan mereka bertambah sesat.” (Surah Jin , ayat 6)

Jin-jin kafir yang mengaku Islam ini selalunya berselindung di sebalik gelaran seperti khadam,khadam ayat, rijalulghaib, wali-wali Allah, syeikh-syeikh, malaikat penjaga dan sebagainya yang mengelirukan. Semuanya ini mampu merosakkan akidah seseorang kerana penipuan halus ini dapat memperdayakan manusia termasuklah dari kalangan orang-orang alim dalam agama.  Bukankah Allah memerintahkan supaya kita semua meminta dan berdoa terus kepadaNya tanpa apa-apa perantaraan?  Sekiranya individu itu bersetuju dengan konsep perantara bagi merapatkan hubungan denga Allah, apakah pula bezanya orang itu dengan penyembah berhala yang menyakini berhala itu bukan tuhan tetapi hanya sebagai perantara mendekatkan diri dengan Tuhan?

Jin-jin saka yang menyamar sebagai penganut agama Islam dan jin-jin saka yang kononnya baik ini akan memastikan hidup pemilik-pemiliknya susah ketika tua.  Tujuan terakhir mereka sama seperti tujuan asal permusuhan iblis dan manusia, iaitu menghalang manusia daripada bertauhid kepada Allah dan Rasul dengan sebenar-benarnya.  Pada ketika itu, pemiliknya akan berada dalam keadaan nazak, jin-jin itu akan menyusahkan dan menghalang habis-habisan pemilik-pemilik asal mereka mengucap Dua Kalimah Syahadah...

Jin Islam tidak mengganggu

Sebenarnya, jin-jin Islam tidak bercampur dengan orang Islam.  Sekiranya ada hubungan sekalipun, hubungan tersebut adalah bersifat minimun dan bukan disengajakan.  Jin-jin Islam haram memasuki rumah orang Islam apatah lagi masuk ke dalam tubuh badan manusia. Sekiranya ada jin yang mengaku Islam masuk ke dalam tubuh manusia, rumah, membuat kekacauan ataupun mendatangkan penyakit ke  atas manusia, sebenarnya mereka adalah golongan jin kafir yang mengaku beragama Islam..  

Kesimpulan

Jelaslah daripada perbahasan yang ringkas tersebut, saya berharap dapat membuka mata kita akan kepalsuan dan penipuan jin-jin saka.  Sekali lagi ditegaskan bahawa tiada ada jin saka yang baik kerana mereka semua pada hakikatnya adalah jin kafir yang menunggu masa menyesatkan manusia secara sepenuhnya, iaitu pada ketika akhir kalam waktu tibanya sakaratulmat (mati).  Jika anda atau keluarga anda disyakki mempunyai jin saka, maka cepatlah-cepatlah anda membuangnya  Mintalah bantuan daripada mereka yang ahli dalam kalangan perawat islam untuk membuang jin saka. Ingat,  cegah sebelum parah!!!

Saya sayang anda....jumpa lagi.

Rujukan:
Perangi Sihir, oleh Engku Ansaruddin Agus dan Dr. Mohd Azlee A. Mutalib.
 PTS Minennia Sdn. Bhd. (2012)

Tuesday, 17 December 2013

RAHSIA KEHEBATAN AIR



Assalamu’alaikum wwt.

Saya terpanggil untuk berkongsi tentang kehebatan air dalam kehidupan. Air merupakan salah satu komponen kejadian jasad kasar kita selain daripada tanah, api dan angin. Marilah kita merenung sejenak akan rahsia kehebatan air ini, mudah-mudahan kita semua dirahmati Allah.

Firman Allah S.W.T :
“Dan KAMI jadikan daripada air, segala sesuatu yang hidup”
(Surah Al-Anbia, ayat 30 )

Maha Suci Allah yang telah mencipta makhluk yang bernama air ini! Sesungguhnya air adalah makhluk yang paling setia dan amat sekali peka dan menjalankan perintah Tuhannya!

Di dalam Al-Quran ada menyatakan peratusan Hydrogen (air) ini adalah 72% dan bakinya tanah adalah hanya 28% sahaja. Tubuh badan manusia adalah kunci kepada rahsia air ini. Rahsia manusia ada jaluran elektrik yang dinamakan AURA adalah kerana rahsia air ini juga! Lupakah kita sewaktu dalam kandungan perut ibu di dalam kandungan air semata-mata?

Air telah diperakui oleh saintis sedunia sebagai alat perakam terbaik sekali kerana ketepatannya apabila disukat pada dasarnya. Air sebenarnya boleh merakam setiap gema getaran yang dihadirkan baik dari bunyi termasuk dengan kata-kata dan juga dari hanya niat kita (tanpa kata-kata). Itulah keistimewaan air yang kita sangka hanya untuk pembersihan semata-mata. Islam mendidik kita mengambil wuduk dengan air dengan niat, begitu juga dengan mandian dari hadas kecil ataupun besar yang harus di letakkan dengan niat. Tidakkah kita pernah terfikir air itu sedang merakam niat kita?

Air dari Sudut Sains

Molekul air mempunyai struktur yang mudah. Namun begitu, struktur ini dapat menghasilkan tindak balas yang kompleks. Air terdiri daripada satu atom oksigen dan dua atom  hidrogen. (H2O)

Setiap atom hidrogen mempunyai satu proton di dalam nukleus dan satu elektron mengorbit nukleus. Nukleus atom oksigen pula terdiri daripada lapan proton. Mengorbit nukleus atom oksigen ialah lapan elektron yang bercas negatif. Dua elektron mengorbit petala yang berhampiran dengan nukleus, manakala enam elektron lagi di petala luar. Petala luar ini masih tidak lengkap dan memerlukan dua elektron lagi untuk menstabilkan aras tenaga. Elektron-elektron tambahan ini disumbangkan oleh hidrogen memandangkan atom hidrogen mempunyai ruang untuk satu lagi elektron.

Disebabkan ini, dua atom hidrogen dan satu atom oksigen boleh bergabung dan membentuk H2O, formula kimia yang kita semua kenali. Disebabkan daya penolakan dua atom hidrogen antara satu dengan lain, maka kedua-dua atom hidrogen terpisah pada sudut 105. Konfigurasi ini menghasilkan molekul air yang asimetri.

Ikatan atom yang membentuk molekul air merupakan ikatan kovalen yang berasaskan perkongsian elektron. Walau bagaimanapun, disebabkan bilangan proton di dalam atom oksigen lebih besar daripada atom hidrogen, pasangan elektron yang dikongsi lebih hampir dengan atom oksigen. Ini bermakna perkongsian elektron adalah tidak sama.

Atom oksigen mempunyai tarikan yang lebih terhadap elektron yang dikongsi. Oleh itu, oksigen lebih elektronegatif kerana seolah-olah mempunyai sedikit cas negatif. Disebabkan oleh kehilangan sebahagian daripada komplemennya, atom hidrogen pula bertindak seolah- olah membawa sedikit cas positif. Disebabkan taburan cas yang tidak sama, molekul air dikenali sebagai molekul dwikutub. Molekul air bertindak sama seperti magnet, satu hujungnya bercas positif dan satu hujung lagi pula bercas negatif.

Sifat dwikutub ini penting kerana membenarkan molekul air membentuk ikatan dengan molekul air yang berdekatan. Ikatan ini dikenali sebagai ikatan hidrogen. Atom hidrogen yang mempunyai cas positif yang sedikit boleh ditarik secara lemah oleh satu lagi atom oksigen daripada molekul air lain yang mungkin wujud berdekatan memandangkan oksigen ini bercas sedikit negatif. Dengan kata lain, hujung positif (hidrogen) satu molekul air akan tertarik kepada hujung negatif (oksigen) molekul air yang lain.

Kajian saintifik di Jepun

Dr. Masaru Emoto dari Universiti Yokohama dengan tekun melakukan penyelidikan tentang perubahan molekul air. Air murni dari mata air di Pulau Honshu didoakan secara agama Shinto, lalu didinginkan sehingga -5 °C di makmal, kemudian diambil gambar dengan mikroskop elektron dengan kamera halaju tinggi. Ternyata molekul air tersebut membentuk kristal segi enam yang indah.

Percubaan diulang dengan membacakan kata, “Arigato (terima kasih dalam bahasa Jepun)” di depan botol air tadi. Kristal yang terbentuk sangat indah. Lalu dicuba dengan menghadapkan tulisan huruf Jepun, “Arigato”. Kristal membentuk dengan keindahan yang sama. Selanjutnya ditunjukkan kata “setan”, kristal berbentuk buruk. Diputarkan muzik Symphony Mozart, kristal muncul berbentuk bunga. Ketika musik heavy metal diperdengarkan, kristal hancur. Ketika 500 orang berkonsentrasi memusatkan pesanan “peace” di depan sebotol air, kristal air tadi mengembang bercabang-cabang dengan indahnya. Dan ketika dicuba dibacakan doa Islam, kristal bersegi enam dengan lima cabang daun muncul berkilauan. Subhanallah!

Mata Air Zam-Zam

Molekul Air Zam-zam
Semasa di suatu seminar yang rata–ratanya dihadiri oleh bukan Islam, Prof. Masaru Emoto menunjukkan beberapa molekul air yang buruk rupanya. Kemudian yang terakhir beliau menunjukkan molekul-molekul air yang begitu indah, berbentuk kristal yang bercabang-cabang dan berkilauan. Beliau kemudiannya bertanya kepada hadirin tentang molekul air tersebut. Hadirin senyap. Dengan yakinnya seorang peserta seminar dari Malaysia bangun dan berkata “Itu molekul air zam-zam, air yang paling mulia”. Prof. Emoto menggangguk “Saya tidak pasti sama ada itu adalah air yang paling mulia atau tidak tetapi memang benar itu adalah molekul air zam-zam”. Dr. Emoto akhirnya mengelilingi dunia melakukan percubaan dengan air di Swiss, Berlin, Perancis, Palestin, dan ia kemudian diundang ke Markas Besar PBB di New York untuk membentangkan hasil penemuannya pada bulan Mac 2005 lalu. Ternyata air boleh ”mendengar” kata-kata, “membaca” tulisan, dan boleh “mengerti” pesanan.

Persidangan Air Sedunia baru-baru ini di salah sebuah Universiti di Malaysia membuktikan segala fakta tentang air. Sewaktu persidangan itu, air dari merata dunia diambil dan diperiksa akan “kehebatannya“. Kamera berfrekuensi tinggi berjarak jauh digunakan untuk melihat akan gambaran yang terjadi kepada air yang sedang di uji itu. Maka air dari Sungai Ganges dan juga termasuk Air Zam-Zam diuji dan dikenal pasti. Sesuatu yang nyata adalah Air Zam-Zam sahajalah air yang begitu kukuh dalam merakam segala perubahan pada kadar gelombang alam semesta ini dan strukturnya begitu kukuh (segi tiga). Keunikan Air Zam-Zam ini juga adalah strukturnya tidak berubah, ia tidak akan terjejas di dalam apa sekali pun tekanan yang sedang diberikan padanya. Ia tetap utuh sehinggakan seorang Professor dari Jepun memeluk agama Islam kerana keunikan Air Zam-Zam yang beliau ketahui hanya ada di Kaabah. Lagi satu kehebatan air Zam-Zam ini adalah ia sahaja didapati boleh merakam dengan tepat gelombang warna alam yang sering bertukar pada waktu-waktu yang tertentu.

Air Zam-Zam Merakam Niat

Rahsia kehebatan air begitu terserlah apabila rahsia di Kaabah disingkap. Di bawah 4 penjuru (4 segi) bentuk Kaabah ada terkandung rahsia air yang bersifat Alkali. Itulah dia Air Zam-Zam, air yang merakam segala niat jemaah-jemaah yang datang secara gema gelombang, penyerahan yang harus di tekad niatkan dan sebaliknya bukan niat yang negatif umpama menunjuk-nunjuk, angkuh-sombong, riak-takbur dan sebagainya. Betapa ramai yang telah kita dengar akan jemaah yang tersesat dari dapat keluar dari pintu Masjidil Haram, juga yang tersesat balik ke Hotel, juga hilang entah ke mana, hanya menyimpan niat yang negatif, maka terakamlah segala niat kita maka dimakbulkan akan permintaan tadi sebagai suatu ujian getir dan diterbalikkan segala niat kita agar menjadi suatu peringatan supaya insaf dan sedar!

Hanya mereka yang benar-benar ingin mengambil tahu akan rahsia kehebatan air ini yang akan mendapat ganjaran kehebatan dan keunikan air ini. Di Kaabah, apabila niat kita benar-benar ikhlas, memohonkan ampun dan taubat, maka dengan sendirinya, kekuatan air iaitu Air Zam-Zam merakam niat jemaah tadi. Setelah ia melakukan tawaf  7 kali pusingan ke kanan, maka di situlah berlaku resonan (pusingan dengan geseran sesama manusia) maka penyerapan dosa-dosa itu terjadi, Insyaallah iaitu rahsia Kaabah yang memegang rahsia hitam serta Hajar Aswad yang juga hitam. Jemaah itu akan terasa begitu hening, tenang serta lapang jesteru akan terasa sebak lalu menangis teresak-esak kerana dapat merasakan kebesaran Allah SWT semata-mata.

Simbolik Kejadian Manusia daripada Air

Sebenarnya rahsia Kaabah dan Hajar Aswad ini adalah rahsia pada kejadian manusia di dalam perut. Majalah Medical Journal keluaran tahun 2000 ada menyatakan bahawa saintis mendapati apabila air mani dari lelaki memasuki ruang rahim wanita, berjuta-juta sperma berenang arah kanan ke kiri sebanyak 7 kali pusingan sebelum hanya satu sperma yang berjaya bercantum dengan telur maka persenyawaan pun terjadi maka samalah dengan rahsia pusingan jemaah di Kaabah iaitu apabila penyerahan adalah bersungguh-sungguh, penyerapan dosa akan terjadi, ciuman Hajar Aswad seakan-akan kita baru sahaja dijadikan iaitu bersih dari segala dosa! Maha Suci Allah yang Maha Pencipta, Maha Pengasih, Maha Penyayang pada hamba-hambanya. Apa yang disangkakan alam yang besar di dunia ini rupa-rupanya hanyalah kecil sahaja kerana “alam pada diri manusia” itu jauh lebih besar dan memegang segala rahsia luaran dan dalaman.

Kesimpulan

Air adalah sumber penyucian. Air berupaya merakam gema serta niat, umpama kita mengambil wuduk membaca niat, mandi wajib berniat dan sebagainya. Setiap tempat yang sudah pun bertekanan rendah, akan berlaku pelbagai istilah “musibah” yang “berbunyi” umpama taufan, ombak, gempa bumi dan pelbagai lagi untuk menyerap/seimbangkan semula gema/getaran kepada tahap tenaga asal tempat-tempat itu. Tidak lain tidak bukan Allah Maha Pengasih Maha Penyayang menghantar suatu “Isyarat” agar jangan kita “terbuai dan terhanyut jauh” oleh nafsu nafsi dan kembali ke pangkal jalanNya!

Apabila kita renungkan berpuluh-puluh ayat Al-Quran tentang air, kita akan tersentak bahawa Allah rupanya selalu menarik perhatian kita kepada air. Bahawa air tidak sekadar benda mati. Air menyimpan kekuatan, daya ingatan, daya penyembuh, dan sifat-sifat aneh lagi yang menunggu disingkap manusia. Islam adalah agama yang paling melekat dengan air. Solat fardhu wajib air wuduk 5 kali sehari, ketika solat sunat, malah untuk memegang Al-Quran. Persetubuhan, suami isteri wajib mandi wajib. Wanita yang datang haid selepas itu pun wajib mandi. Setelah matipun jenazah wajib dimandikan. Oleh itu kita mestilah menghormati air. Jaga kebersihan dan jaga adab–adab serta jangan membazir.

Ingat.... Air juga digunakan sebagai salah satu medim pengubatan untuk menyembuhkan segala penyakit.  Ingatkah kita akan kisah Nabi Ayub yang ditimpa penyakit?  Penyembuhnya ialah AIR dengan izin Allah.

Sumber dan ubah suai daripada;

Friday, 13 December 2013

EMPAT ZIKIR AGUNG



Assalamu’alaikum wwt.

Janganlah kita  lalai daripada berzikir (ingat) kepada Allah. Zikir itu ada dua kategori iaitu Zikir Hasanah dan Zikir Darajat. Zikir Hasanah contohnya berzikir Laa illaha ilaaah dengan tiada syarat dan tiada kaedahnya. Manakala zikir darajat pula iaitu zikir-zikir yang mempunyai kaedah pengamalan dan petua daripada ilmu tareqat yang diterima daripada guru.

Berzikir Selepas Solat

Bicara pada kali ini bukanlah untuk membahas tentang Zikir Hasanah mahupun Zikir Darajah tetapi saya ingin memetik sebuah hadis Nabi berkenaan dengan Empat Zikir Agung yang besar faedahnya kepada kita.
Maksud Hadis yang diriwayatkan oleh Ahmad dari Samurah bin Jundab’

“Ucapan yang paling disukai Allah Taala ialah empat. Subhanallah, Alhamdulillah. Laaillahaillah dan AllahuAkbar. Tidak mengapa anda mulakan ucapan itu dengan
mana-mana satu darinya.”

Tujuannya:

Allah telah memilih empat jenis zikir yang amat luas hikmatnya dan amat kaya pengertiannya sebagai zikir-zikir utama yang mengatasi seluruh zikir-zikir yang lain.  Zikir yang empat itu merupakan  seolah-olah cogan kata lengkap yang diterapkan di dalamnya seluruh konsep tauhid yang menjadi tiang seri sistem hidup Islam yang murni.

Pertama : Subhanallah

Subhanallah bermaksud “Maha Suci Allah” atau “Allah itu Maha Suci”. Konsep Subhanallah ialah membersihkan zat Allah daripada segala rupa bentuk dan segala sifat yang tidak layak dengan-Nya sebagai khaliq (pencipta) yang wajib bersifat dengan segala kesempurnaan dan kemuliaan yang tiada tanding dan sekutu bagi-Nya baik di alam nyata mahupun di luar alam nyata.   Selaian itu, zikir Subhanallah adalah untuk membersihkan Allah dari segala anggapan yang salah ingatan dan sangkaan yang bukan-bukan, perasaan-perasaan kecewa dan kecil hati terhadap Allah. Kerana itu zikir Subhanallah merupakan ungkapan pembersih untuk menyapu segala fikiran dan segala ingatan yang kotor terhadap Allah Yang Maha Suci.

Kedua : Alhamdulillah

Alhamdulillah bermaksud “Segala Kepujian kembali kepada Allah”.  Konsep Alhamdulillah ialah memulangkan seluruh sanjungan, puji-pujian, syukur dan terima kasih hanya kepada Allah sahaja yang menjadi sumber seluruh kenikmatan, kebesaran, keadilan, kealiman, kepakaran dan sebagainya. Tiada satu pun makhluk pun yang layak menerima sanjungan dan terima kasih yang hakiki, sebab apa yang ada pada makhluk itu hanya merupakan pinjaman dan kurniaan daripada Allah belaka. Demikian juga, apa yang diberi oleh seseorang manusia kepada  manusia yang lain tidak lebih dari penyaluran nikmat dan rezeki dari Allah yang diberikan menerusinya. Jelaslah, ucapan Alhamdulillah adalah merupakan ungkapan penyedar, agar setiap manusia tidak terlalu terpesona dengan darjah-darjah kebesaran, kekayaan, kealiman dan sebagainya yang ada pada manusia, kerana kepesonaan itu akan menurunkan manusia ke darjah abdi-abdi yang hina kepada sesama makhluk.

Ketiga : Laaillahaillahah

Kalimah ucapan tauhid Laaillahaillah ini bermaksud “Tiada Tuhan yang sebenar melainkan Allah”. Konsep Laaillahillah ialah menegakkan tauhid dalam seluruh bidang kehidupan manusia.  Tauhid dalam aqidah berupaya menolak segala kepercayaan berbilang Tuhan dan segala rupa kepercayaan syirik. Hanya Allah sahaja yang wajib disembah, bukan bertuhankan yang lain. Ucapan ini merupakan ungkapan dasar bagi setiap muslim untuk selamat dan mendapat keredhaan hidup di dunia dan di akhirat. Para rasul dan nabi diutus oleh Allah untuk menyampaikan tauhid yang agung ini kepada seluruh umat manusia. Hanya kepada Allah sahaja kita wajib menyembah dan berserah.

Keempat : Allahu Akbar

Ucapan AllahuAkbar bermaksud “Allah itu Maha Besar”.  Konsep AllahuAkbar adalah untuk membangunkan semangat dan kehormatan diri setiap mukmin supaya tidak terpesona dan tunduk hina kepada segala kebesaran, kemuliaan dan kekuatan yang lain daripada Allah. Ini kerana, hanya kebesarabn Allah sahaja merupakan satu-satunya kebesarabn hakiki yang mengatasi seluruh kebesaran yang wujud di dunia ini.  Apabila konsep Allah Yang Maha Besar itu telah diterima dan diimani dengan jujur, maka pasti pula diterima bahawa agama atau undang-undang yang diturunkan kepada manusia adalah satu-satunya agama atau panduan hidup yang paling besar, paling tinggi dan paling baik dari seluruh agama atau panduan hidup ciptaan manusia.  Ucapan AllahuAkbar dijadikan ucapan yang diulang-ulang dalam setiap gerak pindah sembahyang, dalam azan, dan seterusnya dikumandangkan beramai-ramai di dalam upacara-upacara dua hari raya Islam agar konsep AllauAkbar itu benar-benar menjadi darah daging dan penggerak umat Islam ke arah kemuliaan dan kemajuan yang diredhai Allah.


Kesimpulan:

Apabila lidah kita sentiasa berzikir dengan zikir Subahnallah, Alhamdulillah, Laaillahaillah dan AllahuAkbar maka sertakan dan mesrakan sekali fikiran dan perasaan kita bersama-sama pengertian dan tujuan-tujuan yang terkandung di dalam zikir-zikir yang agung itu agar fikiran kita benar-benar dapat menghayati faedah-faedah ruhaniah yang tersembunyi.  Zikir tanpa penyertaan akal dan perasaan (hati) hanya merupakan kumat-kamit dan laungan-laungan yang tidak bererti.

Ayuh, janganlah kita melupakan zikir kepada Allah. Amalkan 4 zikir agung ini pada setiap waktu dan setiap tempat serentah melalui lidah, anggota dan hati...

Rujukan:
Pedoman  Hidup dari Hadith-hadith Rasulullah S.A.W. Dikumpul oleh As-Sayyid Ahmad Al-Hasyimi dan Al-Imam An-Nawawi. Di ulas oleh Hj. Yusoff Zaky Hj. Yacob. (1989)

Thursday, 12 December 2013

ZIKIR ALLAH



Salam sejahtera buat pengunjung blog yang saya kasihi..

Tulisan kali ini ialah berkaitan dengan amalan yang paling disukai oleh Alah iaitu sentiasa berzikir kepada-Nya. Zikir bermaksud Ingat kepada Allah. Zikir adalah merupakan amalan yang paling utama sebagaimana tersebut dalam sebuah hadis Nabi yang diriwayatkan oleh al-Baihaqi dari Muaz, maksudnya;

“Amalan yang paling dikasihi Allah ialah anda mati, sedangkan lidah anda
sentiasa lembut dengan Zikrullah.”

Hadis ini menggalakkan kita sentiasa berzikir mengingati dan menyebut nama Allah terutama dalam bentuk ucapan-ucapan takbir, tasbih, tahlil dan tahmid. Seseorang yang benar-benar cintakan Allah dan bertakwa kepada-Nya akan mengingati Allah pada setiap waktu dengan penuh rasa khusyuk sampai ia menghembuskan nafasnya yang terakhir (mati).


Konsep zikrullah

Sebenarnya konsep zikrullah amatlah luas sekali. Mengikut pengertian umumnya ialah mengingati dan menyebut Allah dan ini boleh dicapai dengan berbagai-bagai cara.

Pertama : Zikir perseorangan iaitu sama ada dilakukan dalam hati atau dengan pengucapan lisan yang dapat didengar atau tidak dapat didengar.

Kedua : Zikir kelompok yang dilakukan dalam bentuk majlis berzikir, majlis kuliah dan syarahan-syarahan agama, majlis-majlis zikir muzakarah dan sebagainya.

Ketiga : Pembacaan doa-doa, wirid-wirid, pembacaan al-Quran dan tafsirnya, pembacaan kitab-kitab hadis dan apa-apa sahaja kitab yang boleh menebalkan keimanan dan meneroka rahsia-rahsia ilmu Allah.

Sedangkan zikrullah dengan pengertian yang khusus ialah mengingati Allah dengan zikir-zikir tertentu. Ketinggian nilai amalan zikir ialah kerana zikir merupakan anak kunci kepada kesedaran ubudiah, kesedaran kepada tugas-tugas peribadi terhadap Allah, terhadap ajaran-ajaranNya, terhadap undang-undangN, dan yang lebih umum, terhadap sistem hidup yang diatur oleh-Nya. Di samping itu, zikir juga merupakan makanan jiwa/roh yang paling berzat yang dapat memberi kesegaran, ketenangan, kesabaran, ketabahan, kerelaan dan sebagainya menuju ke jalan Allah. Di sisi lain, zikir juga dapat membasmi kuman-kuman takbur, hasad dengki, dendam kesumat dan seluruh perasaan negatif yang merosakkan jiwa manusia malah melawan gangguan jin dan sihir.

Oleh hal yang demikian, terdapat banyak saranan yang mengajak kita agar sentiasa berzikir kepada Allah. Antaranya;


Firman Allah di dalam Al-Quran:
“Sebutlah nama Tuhanmu pagi dan petang.” (Al- Insan:52)

“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu dilalaikan oleh urusan harta benda dan anak-anak kamu dari mengingati Allah” (Al-Munafiqun:9)

 “Tidakkah dengan menyebut Allahi itu menjadikan hati tenang dan tenteram.” (Al-Ra’d:28)

Hadis Nabi:

“Perbandingan di antara orang yang mengingati Tuhannya dengan orang yang tidak mengingati Tuhannya samalah dengan perbandingan di antara seorang yang hidup dengan seorang yang mati.” (riwayat oleh al-Bukhari dan Muslim)

Perbandingan yang disebut oleh Baginda Nabi Muhammad s.a.w tersebut amat tepat dan tajam sekali dengan mengatakan bahawa manusia yang lupa akan Tuhannya adalah sama dengan orang-orang yang mati walaupun mereka pada lahirnya hidup. Apalah gunanya hidup seperti ini.....fikirkanlah.

Sekian, nantikan sambungannya dengan tajuk “Empat Zikir Agung”

Rujukan:
Pedoman  Hidup dari Hadith-hadith Rasulullah S.A.W. Dikumpul oleh As-Sayyid Ahmad Al-Hasyimi dan Al-Imam An-Nawawi. Di ulas oleh Hj. Yusoff Zaky Hj. Yacob. (1989)