Tuesday 4 August 2015

MENGAMUK TIBA-TIBA

Assalamu’alaikum wwt..

Kejadian pesakit mengamuk apabila didatangi perawat memang biasa berlaku. Hal ini tidaklah menghairankan kerana yang marah itu sebenarnya bukan diri pesakit itu tetapi gangguan (jin) yang berada di dalam badan pesakit itu sendiri. Mungkin gangguan (jin) itu sudah terasa bahang dan akibat buruk jika  berhadapan dengan perawat. Saya percaya, hal ini berlaku disebabkan keberkatan wirid dan amalan istiqamah perawat itu sendiri. Fenomena inilah yang saya cuba paparkan dalam coretan kali ini.

Petang itu saya sedang berehat-rehat di rumah sementara menunggu masuknya waktu maghrib. Saya bersiap-siap untuk pergi ke surau yang berdekatan dengan rumah bagi menunaikan solat maghrib berjemaah. Tiba-tiba saya dikejutkan dengan suara seorang wanita memberi salam di luar rumah. Saya ingatkan salam itu diberi kepada penghuni rumah jiran sebelah, maklumlah rumah yang saya diami ini rumah teres. Jadi saya tidak mahulah tergesa-gesa menyahut salam. Namun rupanya ada dua orang wanita itu terjongol di depan pintu rumah dalam keadaan yang tergesa-gesa sambil memastikan adakah betul saya orang yang mahu dicarinya.

Apabila saya mengiyakan, maka terus dia meminta saya menurutinya untuk pergi ke sebuah rumah kenalannya di Taman Jengka Impian. Serba ringkas dia menyatakan bahawa ada gangguan histeria di rumah rakannya itu. Saya serba-salah untuk memenuhi permintaan mereka kerana waktu itu hampir masuk maghrib. Namun, melihat akan kesungguhan mereka, saya pun mengikutnya dengan menaiki motosikal.

Disambut dengan Amarah

Dalam perjalanan untuk sampai ke rumah pesakit itu, saya mempersiapkan benteng pertahanan diri dengan amalan yang dipelajari. Guru saya ada berpesan, agar selalu berwaspada dan berjaga-jaga apabila melangkah keluar dari rumah untuk merawat. Mantapkan lidah dan hati dengan zikrullah sambil memohon perlindungan daripada Allah. Sebaik-baiknya, amalan ini perlulah dilakukan secara istiqamah sehingga sebati dan menjadi automatik sahaja tanpa perlu kita berusaha untuk mengerahnya. Apabila amalan menjadi sebati dan serasi dengan kita, maka mudahlah jadinya seperti kata peribahasa  ‘alah bisa tegal biasa’.Perjalanan menuju ke rumah pesakit mengambil masa yang singkat sahaja kerana jarak yang dekat.

Sesampai sahaja saya ke rumah pesakit, tiba-tiba anak remaja perempuan tuan rumah yang sakit itu terus mengamuk dan menghalau saya keluar. Saya tidak menghiraukan perlakuan agresifnya itu tetapi tetap berwaspada. Namun, tanpa diduga, dia terus menolak saya hingga saya hampir-hampir hilang keseimbangan. “Main kasar nampaknya”, bisik saya perlahan. Saya pun perlu ‘bermain kasar’ juga  supaya dia menghormati saya. Dalam keadaan kritikal begini, bacaan ruqyah tidak banyak membantu. Jadi saya terpaksa menggunakan teknik serangan ringkas untuk melemahkannya. Gerakan ‘pancung’ menggunakan pedang ghaib saya gunakan sambil bertakbir beberapa kali. Alhamdulillah, pesakit kelihatan lemah dan terbaring. Saya tidak percaya akan ‘lakonan bodoh’ tersebut. Masih ada lagi sisa-sisa gangguan jin di dalam badan pesakit tersebut. Nampaknya, saya terpaksa menangguhkan rawatan untuk menunaikan solat maghrib. Biarlah pesakit itu terbaring sambil dikawal oleh ahli keluarganya.

Sesi Ruqyah

Sebelum memulakan sesi ruqyah, emak pesakit menceritakan serba sedikit punca gangguan yang menimpa anaknnya itu. Sakit anaknya itu telah lama terjadi iaitu sejak anaknya itu bersekolah di Sekolah Menengah Agama di Jerantut. Nampaknya gangguan tersebut terus berlanjutan sehingga anaknya itu melanjutkan pelajaran di UiTM, Jengka. Sesi pengajian terpaksa ditangguhkan akibat penyakit yang dialami oleh anaknya itu. Soal berubat dan mendapatkan rawatan usah ceritalah. Sebut sahaja mana ada perawat yang boleh merawat nescaya akan dibawanya ke situ. Wang ringgit , masa dan tenaga sudah banyak terbuang, namun kesembuhan yang diharapkan belum kunjung sembuh. Kata orang tua-tua,  ‘tidak rasi’ lagi untuk sembuh.

Apabila keadaan sedikit tenang, saya memulakan dengan sesi ruqyah Nabawiyah. Bacaan ayat-ayat suci al-Quran saya alunkan dengan tenang dan jelas hingga jiwa terasa sebak mengenang kebesaran Allah. Harus diingat, bukan ayat-ayat suci al-Quran yang menjadi sebab penyembuh sesuatu penyakit tetapi Allah jua yang menyembuhnya. Pesakit kelihatan gelisah dan menjerit-jerit namun saya tidak menghiraukan semua itu. Sesekali pesakit muntah-muntah dan kesakitan. Saya membentak gangguan jin supaya keluar dari tubuh badan pesakit itu. Saya percaya ada banyak lapis gangguan jin di dalam badan pesakit itu. Usaha penyembuhan akan memakan masa dan proses rawatan ulangan perlu dilakukan supaya benar-benar sembuh dengan Izin Allah.

Keluarga pesakit menaruh harapan yang tinggi kepada saya untuk membantu merawat anaknya itu. Saya mengatakan kepadanya, janganlah menaruh harapan kepada saya, tetapi taruhlah harapan kepada Allah.

Rawatan Ulangan

Tiga hari berselang, keluarga pesakit membawa anak remaja perempuannya yang sakit itu ke rumah saya. Seperti biasa, saya menyuruhnya membaca ikrar pemutus jin saka dan sihir supaya tiada lagi pertalian dan hubungan dengan pesakit. Nampaknya ada jin yang menyukai remaja perempuan ini dan tidak mahu melepaskannya. Saya bermohon kepada Allah agar mendatangkan pasangan yang sesuai dengan jin ini. Tiba-tiba jin tersebut bersetuju untuk keluar, mungkin dia nampak akan pasangannya itu. Subhanallah...

Semoga remaja perempuan itu sembuh dan dapat meneruskan kembali pengajiannya di UiTM yang telah tertangguh. Amin..

Sekian sahaja coretan saya pada kali ini.
Moga berjumpa lagi.


Hp. 01132280112

No comments: