Assalamu'alaikum wwt.
Petang itu saya terpaksa pergi ke
Kampung Paya Luas di Kuala Krau, Pahang. Hal ini disebabkan saya terpaksa
menghadiri satu majlis bersama YB. Kuala Krau untuk menerima sumbangan wang
surau sempena Ramadan. Saya pergi seorang diri sahaja kerana tiada siapa yang
boleh menemani. Sudahlah tempatnya tidak pernah saya kunjungi hingga beberapa
kali saya tersesat dan terpaksa meminta pertolongan penduduk setempat untuk
menunjukkan arah. Majlis tersebut
berlangsung sehingga melewati waktu isyak.
Agak lewat saya sampai ke rumah
dan sebenarnya isteri saya beberapa kali menelefon saya. Isyarat panggilan tidak dapat diterima kerana
di Kampung Paya Luas tiada liputan. Sesampai saja di rumah, isteri memberitahu
bahawa ada sepasang suami isteri yang telah lama menunggu kepulangan saya bagi
mendapatkan rawatan. Tidak sampai hati, saya membenarkan pasangan tersebut yang
datang dari Jerantut untuk mendapatkan khidmat rawatan. Sebenarnya isterinya
yang sakit dan kelihatan tidak bermaya.
Sesi rawatan dijalankan dengan
bertanyakan beberapa soalan berkaitan simpton-simpton yang dialami. Saya seakan diberi petunjuk bahawa ada
gangguan yang dialaminya. Ayat-ayat ruqyah dialunkan sambil mengharapkan pertolongan
Allah. Siapalah saya yang mampu
mengubati penyakit jika tiada dengan izin Allah? Pada kebiasaannya pesakit yang
mengalami simpton gangguan akan menunjukkan gejala-gejala seperti panas, muntah
dan sebagainya, namun pesakit ini tidak ketara reaksinya. Saya mengagak
gangguan ini berpunca di rumah ibunya kerana dari penceritaannya bahawa setiap
kali dia balik ke rumah ibunya, mesti badannya lemah dan sakit.
Saya menukar teknik ruqyah dengan
melakukan teknik kembara dan rawat (TKR) untuk mengesan punca gangguan di rumah
ibunya. Saya menutup matanya dengan serban yang sentiasa saya gunakan dan
membaca beberapa potong ayat suci al Quran. Niat saya padukan bersama tumpuan
pengharapan kepada Allah. Saya
membimbing pesakit untuk pergi ke rumah ibunya secara batin (vizual). Selang
beberapa lama, pesakit itu terperanjat kerana hijab matanya terbuka dan nampak
beberapa makhluk (jin) yang mengerikan di sekitar rumah ibunya. Pesakit
ketakukan, namun saya menenangkannya sambil memberi kata-kata penguat semangat.
Kali ini tidak boleh berlembut lagi. Pengajaran mesti diberikan kepada makhluk
pengganggu tersebut. Saya minta pesakit memohon kepada Allah sambil
memakrifatkan ditangannya ada sebilah pedang yang tajam. Setelah yakin, saya
arahkan pesakit agar melibas makhluk gangguan itu dengan pedang
ditangannya. Satu persatu makhluk
pengganggu itu dipancungnya.
Mungkin ini agaknya gambaran makhluk yang dilihat |
Setelah sesi scanning di luar
rumah, maka saya arahkan pula pesakit untuk berdiri di muka pintu rumahnya dan
seterusnya meninjau di dalam rumah. Wah, nampaknya ada lagi beberapa makhluk
dengan rupa yang mengerikan berada di dalam rumah tersebut! Apa lagi, tanpa
membuang masa saya arahkan pesakit menggunakan pedang yang berada di tangannya
untuk memancung lembaga hodoh tersebut. Dengan penuh kesungguhan, pesakit
mematuhi arahan saya. Nampaknya pesakit agak keletihan kerana inilah pengalaman
baru yang menakutkan yang telah ditempuhinya.
Penutup mata pesakit dibuka dan
doa dibaca agar gambaran tersebut ditutup. Bimbang pula saya kalau-kalau
gambaran yang dilihat itu sentiasa
terpambang di depan mata. Alhamdulillah, sesi rawatan ditamatkan sambil
berharap kepada Allah agar gangguan misteri yang dialami oleh pesakit tidak
berulang lagi. Hanya Allah jua yang
mengetahui segala-galanya. Wallahu’aklam.
Sekian... jumpa lagi`