Selayang Pandang
RUQYAH SYARIYAH merupakan kumpulan ayat-ayat
al-Quran dan hadis Rasulullah saw yang menjadi doa-doa perlindungan yang perlu
dibaca dan diamalkan oleh setiap muslim ke atas dirinya sendiri, keluarga dan
umat Islam sebagai perlindungan diri daripada sebarang bentuk kejahatan manusia
dan jin, histeria dan kerasukan, sihir ataupun penyakit fizikal yang lain.
Ruqyah merupakan amalan yang dilakukan oleh
Rasulullah, para sahabat dan salafus soleh bagi menjaga kesihatan fizikal dan
jiwa. Terdapat banyak hadis sahih dan hasan yang melaporkan berkenaan ruqyah
dan perkara yang berkaitan dengannya. Rasulullah pernah diruqyah oleh Malaikat
Jibrail. Rasulullah sendiri pernah meruqyah sahabat beliau iaitu Saad bin Abi
Waqas dan isterinya Hafsah binti Umar. Ada banyak lagi contoh amalan ruqyah ini
dipraktikkan sehinggalah sekarang ini.
Sesungguhnya
rawatan yang menggunakan doa yang dan ayat-ayat suci al-Quran sebagai
satu kaedah pengubatan untuk merawat penyakit ataupun mengatasi masalah
spiritual bukan sesuatu yang mudah, yang dapat diterima oleh masyarakat biarpun
kaedah ini telah diamalkan sejak zaman Rasulullah saw. Sukar rasanya hendak menerima kenyataan bagaimana
mungkin sakit boleh sembuh hanya dengan berdoa.
Pengetahuan yang berkaitan dengan doa yang
dikaitkan dengan usaha-usaha penyembuhan penyakit merupakan satu bidang khusus,
yang terpisah dengan ilmu Fekah, Usuluddin, Ilmu Tafsir dan sebagainya, biarpun
tidak dinafikan doa-doa yang dibaca untuk tujuan rawatan itu sebahagian
daripadanya dipelajari oleh mereka yang mempelajari agama. Kerana itu, mereka yang mempelajari agama
tidak semestinya arif tentang konsep dan kaedah-kaedah doa yang digunakan dalam
rawatan. Begitulah sebaliknya, mereka
yang mempelajari kaedah-kaedah rawatan yang menggunkan doa, tidak semestinya
arif mengenai hukum-hukum fekah, Usuluddin dan sebagainya, kecuali mereka yang
mempelajarinya secara khusus ilmu-ilmu tersebut. Kerana itu, sekiranya ada
dikalangan mereka yang mempunyai latar belakang agama menafikan doa itu boleh
digunakan sebagai satu usaha rawatan bukanlah sesuatu yang memeranjatkan.
Doa adalah Otak Ibadah
Pada manusia, otak adalah penggerak
segala-galanya. Otak yang dikaitkan
dengan akal adalah faktor pembeza antara manusia dan binatang. Tanpa doa, ibadah seseorang tidak ubah
seperti manusia yang hidup tanpa otak. Allah menyuruh setiap hamba-hambaNya
agar selalu berdoa. Allah berjanji akan
memperkenankan doa seseorang, sama ada diberi cepat ataupun lambat, di dunia
ataupun di akhirat, bergantung kepada qada’ dan qadar Allah. Semakin hampir seseorang hamba itu kepada
Allah, maka semakin mudahlah doa yang dipohon itu diperkenankan. Dengan kata
lain, untuk meraih kemakbulanm doa, seseorang itu perlu mempunyai sifat-sifat
terpuji di sisi Allah, bukan mereka yang banyak melakukan maksiat. Orang-orang
yang melakukan rawatan menggunkan doa perlu sentiasa terus menerus bertaqarub
kepada Allah. Berdoalah dengan penuh harapan,
khyusuk dan jiwa tenang. Manusia tidak berupaya meraih ketenangan jiwa kecuali
dengan mengingati Allah.
Doa bukan jampi mantera atau serapah, biarpun
hal ini sering dikelirukan oleh kebanyakan orang. Dalam keadaan tertentu,
masyarakat mengharapkan agar orang yang melakukan rawatan menggunakan doa itu
memastikan jenis dan punca penyakit yang dialami. Istilah yang popular ialah
meminta ‘scan’ penyakit mereka. Kalau tidak kena gaya dan caranya, ‘scan’ ini
menggunakan khidmat jin sebagai perantara. Saya tidak menafikan ada manusia
yang diberi kelebihan oleh Allah untuk ‘scan’ penyakit atau digelar ‘kasyaf’.
Amalan berdoa adakalanya dimomok-momokkan dan
diperli. Kononnya kaedah doa ini ketinggalan zaman. Zaman sekarang sudah moden dan adanya
kepakaran daripada mereka yang profesional untuk merawat penyakit. Betulkah begitu?
Keutamaan Membaca
al-Quran
Sesungguhnya membaca al-Quran itu adalah salah satu usaha membina iman (al-Baqarah: 121). Al-Quran mengandungi
keberkatan yang perlu difikiri (Sad:29).
Kandungannya begitu kukuh, tersusun rapi dan jelas yang
diturunkan dari Allah saw yang maha bijaksana lagi mengetahui (Hud:1). Al-Quran
juga menjadi penawar dan rahmat bagi mereka yang beriman
(al-Isra’:82)
Rasulullah saw ada bersabda menyatakan bahawa ibadah umatnya yang paling utama ialah
membaca al-Quran. Pada hari kiamat nanti, al-Quran akan dapat memberi
syafaat kepada orang yang membacanya.
Al-Quran memberi syafaat dan diterima syafaatnya, dan petunjuk yang
diakui kebenarannya. Barang siapa
menjadikan al-Quran itu sebagai pemimpin, ia akan menuntun orang yang berkenaan
masuk syurga. Sebaliknya, barang siapa menafikannya, al-Quran itu akan menghelanya ke neraka. Orang
yang membaca al-Quran, mendirikan sembahyang dan membelanjakan sebahagian
daripada rezeki yang diberi oleh Allah dengan berterangan atau secara sulit,
serta mengharapkan perniagaan yang tidak pernah rugi akan diberi pahala, juga
kurnia Allah. sesungguhnya Allah maha
pengampun lagi mengasihi.
Kesimpulan
Tidak syak lagi bahawa ikhtiar pengubatan
melalui ruqyah syariyah merupakan salah satu ikhtiar untuk penyembuhan daripada
penyakit rohani dan jasmani. Pembacaannya mendapat pahala dan menjadi santapan
rohani kepada jiwa. Malah, amalan ruqyah syariyah merupakan benteng ampuh untuk
melawan ilmu hitam, sihir, guna-guna, iri hati dan sebagainya yang bersifat
mistik. Jangan kita ingat bahawa pada zaman moden ini amalan mistik yang jahat
sudah tidak diamalkan..anda silap. Hal ini kerana selagi manusia hidup
bertopeng kepada nafsu dan hasutan syaitan, maka amalan mistik dan ilmu hitam
yang bersekongkol dengan jin semakin subur. Jika terkena kepada diri sendiri
barulah anda yakin..
Nasihat saya, marilah kita belajar kaedah
pengubatan Islam berteraskan ruqyah syariyah ini. Janganlah mengharapkan ada
orang lain yang boleh merawat diri kita. Rawat diri sendiri dan rawatlah keluarga sendiri dahulu. Jangan berharap sangat dengan orang lain jika kita sendiri mampu mempelajari ruqyah syariyah.
Kasihan dan simpati |
Keberkesanan amalan ruqyah ini bukanlah boleh
dicapai dalam masa yang singkat. Istiqamah itu yang penting. Amalkan doa-doa
dan ayat-ayat ruqyah yang dipelajari secara ansur maju. Buat sedikit-sedikit
dahulu, kemudian barulah ditambah mengikut kesesuaian masa dan tenaga. Yang
penting ISTIQAMAH. Bila wirid amalan ini dibuat secara istiqamah, maka akan
lahirlah pertolongan daripada Allah. Wirid amalan tersebut menjadi NUR yang
bertindak mengikut niat kita...cubalah.