Tuesday, 19 September 2017

BAHAYA FITNAH DALAM RAWATAN

Assalamu’alaikum wwt
Saudara pembaca yang saya hormati

Bahaya fitnah tersangatlah besar mudaratnya dalam kehidupan manusia. Kerana fitnah, orang akan saling benci membenci dan tidak bertegur sapa.  Kerana fitnah juga rosaklah hubungan baik yang telah terjalin selama ini. Fitnah itu angkara syaitan yang suka melihat manusia saling bermusuhan.

Tidak kurang bahayanya fitnah dalam bidang rawatan sama ada dari segi rawatan tradisional mahu pun rawatan Islam.  Hal ini kerana, manusia yang ditimpa musibah penyakit misteri yang berkaitan dengan gangguan emosi atau gangguan jin akan mudah menuduh atau berprasangka bahawa sakitnya itu berpunca daripada ‘buatan orang’. Kononnya, ada orang yang dengki kepada dirinya atau keluarganya, lantas mengenakan ilmu hitam (perantara jin) untuk memusnahkan  kehidupannya. Lebih memburukkan keadaan jika orang yang sakit itu berjumpa dengan sesetengah pengamal perubatan ‘tukang tilik’ yang mencari populariti yang mendakwa tahu serba-serbi, mendakwa sakitnya itu berpunca daripada orang itu atau orang ini.

Pesakit yang menerima perkhabaran daripada pengamal perubatan yang sebegini, akan mudah mempercayainya. Tambahan pula jika diberitahu bahawa sakitnya itu berpunca daripada orang yang dekat hubungannnya dengan pesakit seperti ahli keluarga atau jiran tetangga. Lantas timbullah dalam fikiran pesakit akan bayangan wajah orang-orang yang disebutkan oleh pengamal perubatan ini. Apabila hal ini berlaku, sudah tentu akan menimbulkan bibit-bibit dendam dan permusuhan. Aduh, begitu besar bahaya fitnah ini!  Tahukah kita bahawa semua ini adalah angkara bisikan syaitan yang sememangnya suka melihat manusia bersengketa.

Peringatan kepada Perawat

Wahai perawat yang menjalankan usaha merawat penyakit terutama penyakit ‘misteri’, jagalah adab kamu.  Janganlah mengeruhkan keadaan pesakit dengan dakwaan yang direka-reka demi mencari populariti. Janganlah menyebut-nyebut penyakit yang dideritai oleh pesakit itu angkara buatan orang.  Jika ditanya juga oleh pesakit siapakah yang mengenakan sakitnya, memadailah serahkan kepada Allah. Jika sakali pun perawat mempunyai kebolehan tembus pandangan ‘mata batin’ yang nampak akan punca penyakit (sihir) janganlah menceritakan kepada pesakit. Cukuplah kebolehan itu untuk diri sendiri sahaja. Berilah nasihat yang baik-baik kepada pesakit agar meringankan beban sakit yang ditanggungnya. Buatlah kerja kerana Allah, pasti Allah akan merahmati kamu.

Peringatan kepada Pesakit

Pesakit hendaklah menyakini bahawa sakitnya itu berlaku atas izin Allah. Penyakit itu adalah peringatan daripada Allah untuk memberitahu hambanya agar selalu bergantung harap kepada Allah. Sakit juga sebagai ‘kifarah’ untuk membasuh dosa-dosa yang lalu, lantas Allah akan menaikkan darjat atau ‘maqam’ di sisi-Nya. Jika pesakit terkena penyakit misteri yang memusnahkan kehidupannya seperti rosaknya perniagaaan yang berkembang maju, perkelahian antara suami-isteri, adik beradik dan sebagainya. Jika ini berlaku, janganlah cepat berprasangka bahawa puncanya daripada angkara orang lain (sihir). Pesakit juga janganlah berjumpa dengan perawat ‘tukang tenung’ atau ‘tukang tilik’ lantas mempercayai perkhabaran dari mulut penipu itu. Nabi kita melarang kerasa akan perbuatan ini yang boleh merosakkan akidah kita.

Mencari Redha Allah

Carilah redha Allah dalam semua perbuatan dan tindakan termasuklah dalam bidang rawatan. Bagi perawat, buatlah kerja kerana Allah. Janganlah berbuat syirik dan dosa dalam kerjaya ini. Bantulah manusia lain yang memerlukan khidmat kita dengan sebaik-baiknya. Bagi pesakit pula, carilah redha Allah dalam musibah penyakit itu. Jagalah hati dan janganlah mudah menuduh orang lain. Janganlah berjumpa dengan perawat ‘tukang tilik’ yang akan membuatkan kita jauh dari rahmat Allah.

Elakkan fitnah dalam rawatan.


Sekian sahaja coretan daripada saya setelah sekian lama menyepi.
Post a Comment