Wednesday, 19 July 2017

DERITA PESAKIT TIADA SAKIT

Mukadimah...

Apa yang lebih menyedihkan dan membingunkan apabila pesakit sedang bertarung dengan sakit tetapi hasil keputusan rawatan moden mengatakan pesakit  sebenarnya tidak mengalami sakit. Hal ini demikian kerana, pesakit sudah jenuh berjumpa dengan doktor pakar berulang kali hingga akhirnya disuruh pulang sahaja ke rumah kerana hasil keputusan ujian tidak menemukan punca penyakit. Malah, ada seorang doktor pakar menasihati pesakit agar pergi berubat secara rawatan alternatif. Dalam hal ini, kecanggihan peralatan moden di hospital belum tentu dapat mengesan punca penyakit  Penyudahnya, pesakit terlantar sahaja di rumah hingga kesihatan diri semakin merosot.

Merawat Sahabat yang Sakit

Senario ringkas di atas merupakan antara beberapa kes yang saya hadapi ketika merawat penyakit. Ringkas kata, penyakit tersebut tergolong dalam penyakit misteri. Ada banyak faktor yang menyebabkan penyakit misteri dan salah satunya dikaitkan dengan amalan ilmu sihir yang ditujukan kepada seseorang yang tidak disenangi.

Ada seorang sahabat saya yang bertugas sebagai guru kaunseling telah ditimpa penyakit sejak dua tahun yang lepas. Pada mulanya penyakit tersebut dianggap sebagai penyakit biasa-biasa sahaja dan boleh sembuh dengan rawatan moden. Hal ini kerana, doktor yang merawatnya memberi harapan bahawa kes penyakit tersebut boleh sembuh dalam masa terdekat. Saya hanya mampu berdoa agar sahabat saya ini segera sembuh. Namun begitu, dari hari ke hari hingga memakan masa hampir dua tahun, perubahan kesihatannya semakin menurun sehingga tidak mampu bergerak. Saya tidaklah kerap melawatnya lantaran kesibukan masa dan sikap bertangguh untuk menjenguknya sehinggalah saya tergerak untuk melawatnya pada minggu lepas. MasyaAllah....begitu berat derita yang dihadapinya. “Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul”.

Kerusi menjadi peneman setia

Badannya susut dengan mendadak hingga kelihatan begitu kurus, pipinya cengkung dan air liur berjatuhan tanpa kawalan. Hendak bangun bergerak begitu susah sehingga bertongkat. Apabila baring sukar pula untuk bangun. Masanya dihabiskan dengan duduk di atas ‘kerusi malas’ sahaja. Bercakap pun tidak boleh hingga terpaksa menulis di atas kertas sahaja. Keadaannya seperti orang yang berusia 90 tahun. Melalui tulisannya, dia mengatakan bahawa ujian perubatan moden mengesahkan bahawa dia sebenarnya tidak sakit. Kalau itu keputusannya, bermakna dia sebenarnya SIHAT.

Kalau sihat dia sepatutunya perlu pergi bekerja.. Pelik bukan? Dengan keadaan fizikalnya yang lemah dan tidak mampu bertutur, masakan pula sahabat saya ini mampu bekerja. Namun begitu, pihak majikan faham akan penderitaan yang dihadapinya. Dia hanya perlu menjenguk ke sekolah walau hanya satu jam sahaja. Cuti sakitnya hanya diberi dua minggu dan kalau mahu disambung perlu memohon untuk dua minggu selanjutnya.

Sabahat saya ini bukanlah pasrah sahaja tanpa berusaha. Sebut sahaja mana tempat rawatan alternatif, maka isterinya yang setia akan menemani suaminya berubat. Dalam hal ini, soal DUIT tolak tepi. Yang penting, ada harapan untuk pulih seperti biasa. Tidak hairanlah ada antara rawatan yang ditempuhi itu mendakawa dapat mengeluarkan barang-barang daripada badannya seperti paku, batu dan sebagainya. Buktinya, objek tersebut dirakam di dalam telefon bimbitnya..benarkah begitu? Wallahu’aklam.

Terpanggil akan penderitaan sahabat saya ini yang saya namakan Cikgu J, saya berazam akan menolongnya secara berterusan. Riak wajahnya begitu gembira dan terharu atas bantuan yang saya tawarkan dan sememangnya dia mengharap. Beberapa kali dia menyatakan terharu hingga menitis air mata.

Rawatan Pertama

Pada satu petang yang tidak sibuk, saya bertandang ke rumah cikgu J. Saya meruqyahnya dengan ayat-ayat suci al-Quran sambil meletakkan tapak tangan ke ubun-ubun kepalanya. Saya tiupkan ke ubun-ubunnya dengan niat memasukkan penawar dan antibiotik yang paling mujarab dan memusnahkan simpulan-simpulan penyakit dan sihir. Saya memohon kepada Allah supaya  memberi memberkati usaha saya ini. Saya memakrifatkan bahawa diri saya sebenarnya hancur binasa, yang ada hanyalah Allah semata-mata. Saya pandang bahawa ;
La hayyun (tiada hidup),
La a’limu (tiada ilmu),
La sami’un (tiada mendengar),
La basirun (tiada melihat),
La qodirun (tiada kuasa),
La muridun (tiada kehendak)
La mutakallimun (tiada berkata-kata)

Hanya ALLAH semata-mata...
Hancur DIRI ku..

Rawatan pertama ini lebih kepada membongkar penyakit dan akan diteruskan pada hari-hari seterusnya. InsyaAllah
Post a Comment