Friday, 7 April 2017

BESI MELINGKARI BADAN

Assalamu’alaikum wwt.

Amalan ilmu sihir dilihat sebagai jalan pintas untuk mengenakan mangsa (manusia) yang tidak disukai. Penyihir seolah-olah berasa puas hati apabila melihat mangsa tersebut kesakitan dan tidak dapat meneruskan kehidupan harian seperti biasa. Pada mereka, biarlah ‘padan muka’ orang yang didendami itu menderita sehingga terlantar tidak bermaya di atas katil bertahun lamanya. Situasi ini pernah saya lihat dan cuba merawat pesakit tersebut. Kata peribahasa, “berat mata memandang, berat lagi bahu memikul”. 

Ceritanya begini...

Saya ada dihubungi melalui telefon oleh seorang wanita pertengahan umur yang meminta saya merawat suaminya yang terlantar sakit misteri. Katanya sudah lama sakitnya dan sudah ramai juga perawat rawatan Islam yang datang membantu, namun kesembuhan yang total masih belum dirasai lagi. Saya menyuruhnya bersabar, kerana  itu adalah ujian daripada Tuhan buat hamba-hambaNya. Dalam nada suaranya, sangat mengharapkan bantuan saya untuk datang bertandang ke rumahnya buat merawat suaminya dan juga merawat rumah kediamannya. “Tolonglah ustaz, makcik tunggu ustaz datang ke rumah makcik, berapa pun bayarannya makcik tak kisah” , begitulah lebih kurang nada pegharapannya kepada saya. “Insya-Allah makcik, jika ada kelapangan masa, saya akan datang”, balas saya memberinya harapan.

Pada hari yang telah ditatapkan, saya bertolak pergi ke rumahnya di satu perkampungan felda di Jengka. Sampai ke satu tempat, saya telah ditunggu oleh anaknya yang memandu saya menuju  ke rumahnya. Maklumlah jalan di kawasan felda memang banyak jalan dan simpangnya yang mudah membuatkan kita sesat. Lebih baik ada orang menunggu saya dan saya mengekorinya berkereta dari belakang.

Sesampainya saya ke rumah pesakit, saya disambut mesra oleh makcik tersebut. Saya mengambil masa berbual-bual bagi mendapatkan penerangan lanjut tentang penyakit suaminya. Dari sudut ruang tamu saya melihat sosok tubuh tua pesakit terbaring. Terasa sayu juga di hati apabila isteri pesakit mengadu dan bercerita kepada saya akan penderitaan suaminya sejak tahun 1999 hinggalah sekarang, iaitu 2017. Pada saya, agak lama juga penderitaan yang ditanggung oleh keluarga malang ini.

Pagar Rumah

Saya mengambil keputusan untuk  melakukan ikhtiar merawat rumah atau dalam bahasa mudahnya memagar rumah secara ghaib bagi menangkis serangan makhluk ghaib. Melalui kaedah yang saya pelajari, ikhtiar ini saya lakukan dengan dimulai dari dalam rumahnya dan seterusnya memagar di kawasan luar rumahnya. Saya ‘memakrifatkan’ kawasan dalam dan luar rumahnya dilingkungi besi yang tebal dan kukuh yang tidak membolahkan makhluk ghaib atau jin kiriman sihir menembusinya, dengan izin Allah. Empat buah botol kosong saya doakan dan diletakkan di empat penjuru rumah. Dengan izin Allah, sebarang serangan jin dan sihir akan tersedut masuk ke dalam botol tersebut jika cuba juga merempuh pagar ghaib tersebut. Mudah-mudahan usaha ini dimakbulkan oleh Allah.  Siapalah saya yang dapat menjamin kaedah ini seratus peratus berhasil?

Rawatan Pertama

Usaha seterusnya, saya mendekati pesakit lelaki tersebut dan cuba berbicara dengannya. Usaha tersebut tidak berhasil kerana pesakit tersebut enggan memandang saya dan berbicara dengan saya. Hal tersebut tidaklah menyinggung perasaaan saya kerana saya faham mungkin pesakit sudah putus asa ataupun sudah jemu di rawat oleh perawat sebelumnya yang tidak kunjung sembuh. Sepatutnya, pesakit mesti tabah akan ujian tersebut dan meyakini bahawa Allah pasti menyembuhkannya. Rawatan saya mulakan dengan doa-doa ruqyah pilihan daripada ayat-ayat suci al-        Quran. Nampaknya tiada reaksi yang agresif daripada pesakit. Seterusnya saya lanjutkan dengan kaedah menarik penyakit melalui kaedah ‘tarikan kain’ iaitu memakrifatkan menarik panyakit zahir dan batin dan gangguan jin dan mengumpulkan di kaki. Terasa agak bergetar juga rasa tangan saya ketika itu. Seterusnya, segala penyakit yang terkumpul tadi saya makrifatkan juga  menyimpannya di dalam botol. Air bersama tujuh helai daun saya doakan untuk digunakan sebagai mandian bilasan terakhir. Airnya diminum agar dapat merawat bahagian dalaman pesakit.

Saya meminta diri untuk pulang. Makcik tersebut dengan nada mengharap agar saya dapat meneruskan rawatan kali kedua. Saya berkata padanya, tunggulah seminggu dahulu untuk melihat kesan rawatan pertama ini.

Rawatan Kedua

Sudah seminggu berlalu, saya mendapat panggilan lagi daripada makcik tersebut. Nampaknya, makcik ini betul-betul tidak berputus asa. Secara ringkasnya, makcit tersebut memberitahu akan keadaan suaminya yang ada sedikit perubahan. Rawatan susulan amat diperlukan agar ada perubahan yang ketara. Saya bersetuju untuk melakukan rawatan kali kedua dan pergi ke rumahnya.

Kedatangan saya disambut oleh makcik tersebut tanpa kehadiran anak-anaknya yang lain. Semua anaknya sudah bekerja di tempat lain dan akan pulang pada hujung nminggu sahaja. Diringkaskan cerita, saya memikirkan akan melakukan kaedah rawatan yang lebih mencabar pula iaitu melakukan kaedah “Kembara dan Rawat”.  Biasanya kaedah ini saya akan praktikkan untuk mencari punca secara batin terutama penyakit yang berkaitan dengan gangguan jin dan sihir. Tidak ada orang lain selain makcik tersebut yang akan saya gunakan untuk menjejak punca sakit suaminya. Mata makcik tersebut saya ikat dengan kain agar derianya lebih fokus. Bacaan ayat-ayat suci al-Quran pilihan saya bacakan dan dihembus ke ubun-ubun makcik itu.

Setelah agak tenang, saya memerintahak makcik tersebut melihat secara batian akan keadaan suaminya. Dengan izin Allah, makcik itu terlihat sekujur tubuh suaminya itu dililit oleh satu besi rantai yang panjang. Besi tersebut dipegang oleh seorang lelaki berkepala botak. Saya memberi arahan agar makcik itu menarik besi tersebut dan membuangkannya ke laut. Arahan saya segera dipatuhi oleh makcik tersebut. 

Rantai besi
Seterusnya, saya meminta makcik itu memeriksa semula keadaan suaminya. Adakah masih ada lagi besi yang melingkari tubuh suaminya? Makcik itu melaporkan tidak ada lagi besi rantai tersebut sebaliknya makcik itu nampak seolah-olah ada seseorang yang menabur-naburkan sesuatu kepada suaminya. Kali ini saya memerintahkan agar membuang bayangan orang tersebut jauh-jauh.

Pada kesempatan yang ada itu, saya memerintahkan makcik itu menjejak tukang sihir yang membuat aniaya kepada suaminya. Dengan izin Allah, makcik itu diperlihatkan tempat pemujaan sihir tetapi tidak nampak si tukang sihir. Saya mengarahkan agar tempat pemujaan tersebut dimusnahkan.

Teknik Rawatan Kembara dan Rawat saya hentikan kerana banyak masa yang sudah dihabiskan. Bimbang pula makcik itu letih. Nampaknya makcik itu berpuas hati kerana berjaya mengesan punca penyakit suaminya itu. Mudah-mudahan usaha saya yang tidak seberapa ini dapat membantu merawat pesakit tersebut. Harapan saya biarkah pesakit itu dapat sembuh dan menjalani hidup secara normal.


Sekian sahaja coretan pengalaman hamba yang fakir ini.
Post a Comment