Saturday, 11 March 2017

NILAI UPAH RAWATAN

Assalamu’alaikum wwt.
Rakan-rakan pembaca yang dihormati sekalian,

Tugas sebagai perawat Islam ada kalanya begitu meletihkan. Saya menjalankan amanah ini secara sukarela sahaja tanpa membuka premis perniagaan seperti pusat rawatan yang lain.  Konsep saya mudah iaitu tidak mahu terikat dengan masa dan jadual kerja yang tetap.  Hal ini kerana saya sudah ada pekerjaan tetap yang bekerja mengikut masa dan arahan.

Hargai Usaha

           Saya suka membantu orang yang memerlukan pertolongan mengikut masa lapang  saya sahaja. Kedatangan orang sakit ke rumah, saya sambut sebagai tetamu. Hubungn kemesraan ini diharapkan terjalin tanpa menjejaskan perasaaan kedua-dua belah pihak. Pertolongan yang saya hulurkan buat membantu mereka yang sakit seharusnya dihargai dengan sewajarnya. Pada pendapat saya, kedatangan tetamu (pesakit) ke rumah saya membawa seribu rahmat. Sekurang-kurangnya rumah saya tidak sunyi daripada kunjungan tetamu, walaupun tetamu itu tidak saya kenali sebelum ini.     

Para pesakit harus sedar bahawa ilmu saya merawat orang sakit bukanlah datang secara bergolek. Ilmu pengetahuan tentang rawatan Islam saya pelajari dengan tidak mengira masa, tenaga dan wang ringgit. Justeru itu, usaha saya merawat pesakit perlulah diberi upah yang sewajarnya.  Ada ketikanya, saya baru pulang dari kerja atau urusan tertentu, setibanya saya di rumah, sudah ada tetamu (pesakit) yang datang. Takkanlah, saya hendak menyuruh mereka pulang begitu sahaja, walaupun pada ketika itu badan saya agak penat. Hendak tak hendak, mereka dipersilakan masuk ke rumah. Sebab itulah, saya sangat mengharapkan agar pesakit menelefon saya terlebih dahulu dan bertanyakan saya sama ada saya boleh merawat atau tidak pada masa yang diminta.

Kalau saya membuka pusat rawatan secara berdaftar, memang ada masa yang ditetapkan. Jadi, pesakit boleh datang pada masa tersebut dan membayar upah rawatan yang ditetapkan. Upah ini sangat perlu bagi menampung sewa bangunan, membayar bil air dan api dan sebagainya. Tidak timbul isu membayar upah ikut ikhlas hati. Tetapi, saya cuma menjalankan rawatan secara sukarela sahaja. Walaupun secara sukarela, namun upah rawatan perlu juga diberi sebagai menghargai usaha saya. Persoalannya, kadang kala upah yang diberi tidak sepadan dengan usaha rawatan yang saya berikan. Kalau berbunyi dalam hati, nanti takut tak ikhlas pula. Namun, dah banyak kali juga berbunyi di dalam hati.

Situasi

Ada beberapa situasi yang berkaitan dengan upah rawatan. Dalam tulisan ini, saya hanya memaparkan beberapa peristiwa sahaja. Ada satu kali tu, saya baru pulang dari kerja dan berehat sebentar. Tiba-tiba saya dikejutkan dengan orang memberi salam di luar rumah. Saya sudah mengagak tentu ada pesakit yang datang tanpa menelefon terlebih dahulu. Telahan saya betul. Ada orang yang memerlukan rawatan. Saya menyuruhnya tunggu sebentar sementara saya menyiapkan diri terlebih dahulu. Saya perlu mandi dan membersihkan diri setelah seharian bekerja. Setelah selesai, rawatan pun dibuat dan mengambil masa hampir setengah jam juga kerana pesakit mengalami penyakit tidak dapat tidur malam selama hampir setahun. Setelah selesai rawatan, upah yang saya terima cuma RM 10.00 sahaja (sepuluh ringgit). Adakah itu nilai rawatan yang saya berikan kepada beliau? Saya bertanya untuk kepastian “ sepuluh sahaja”? pesakit cuma tersengih sahaja. Saya berlapang dada dan mengagak mungkin mereka susah.

Dalam situasi yang lain pula, ada satu keluarga datng untuk mendapatkan rawatan, yang bermula dengan ibu, ayah dan anak-anaknya sekali yang berjumlah 5 orang. Wah, macam-macam keluhan penyakit yang diluahkan. Seperti biasa, saya menjalankan rawatan tanpa mengira penat dan berusaha sebaik mungkin. Namun begitu, pada akhir bersalaman dihulurkan sekeping sampul surat yang berisi wang upah. Tidaklah pula saya mahu membuka di depan mereka. Apabila dibuka isinya bernilai RM17.00 sahaja. Aduh, rasa tidak berbaloi langsung pemberian ikhlas mereka. Saya tahu mereka bukanlah orang susah.

Ada pula pada satu malam tu lebih kurang pukul 10.00 malam, ada suami isteri membawa ibu mereka yang sakit mata sejak sekian lama. Sebenarnya pada waktu itu saya telah tidur awal kerana keletihan. Namun saya gagahkan juga menyambut kedatangan mereka dan merawat penyakit ibu mereka walaupun hati tidak berapa selesa kerana keatangannya tidak berjanji. Main redah sahaja datang mendapatkan rawatan. Kalau ikutkan, dengan cara mereka itu saya boleh mengenakan upah yang mahal juga. Namun, diselitkan upah dalam sampul surat yang berisi RM20.00.

Nilai Ikhlas

Sebenarnya nilai ikhlas tidak boleh diukur dengan wang ringgit. Nilai ikhlas itu terbit di dalam HATI. Dalam bab memberi upah kepada perawat, detikkan di dalam hati anda berapa yang hendak diberi. Lihatlah kepada nilai kesungguhan perawat merawat penyakit anda. Adakah berbaloi dengan memberi upah yang tidak sepadan dengan usaha yang diberikan? Asal sahaja perawat Islam yang memberikan rawatan, upah yang diberi ala kadar sahaja.

Saya pula rasanya tidak sampai hati meletakkan upah rawatan yang tinggi kepada pesakit, namun pandai-pandailah menilai agar wujud situasi MENANG-MENANG. Buat masa ini, saya masih lagi berpegang kepada nasihat salah seorang guru saya agar tidak meletakkan upah. Namun, mungkin pada suatu hari nanti saya terpaksa meletakkan nilai upah atas usaha saya ini untuk mewujudkan situasi menang-menang itu tadi. Apa yang penting, saya tidak mahu pesakit mengambil kesempatan atas budi baik saya ini.


Tidakkah terfikir bahawa usaha saya merawat penyakit gangguan jin, saka dan sihir mengundang risiko yang besar ke atas diri saya dan keluarga saya. Lihatlah berapa rawat perawat yang tumbang kerana serangan dan tindak balas makhluk jin saka dan jin sihir. Jika usaha yang berisiko ini dibayar upah yang ‘kecil’ atau tidak sepadan, faham-faham sendirilah. 
Post a Comment