Tuesday, 14 March 2017

KAEDAH MEMETIK DAUN SEBAGAI UBAT

Asssalamu’alaikum wwt.

Dalam disiplin ‘Perubatan Islam’, tunjang utamanya ialah mempercayai dan meyakini bahawa Allah jua yang menurunkan penyakit dan Allah jua yang menyembuhkan penyakit. Namun begitu, dalam ikhtiar merawat penyakit, tidak sekadar berdoa sahaja tetapi juga menggunakan herba-herba terpilih yang bersesuaian untuk mengubati penyakit. Salah satu herba yang biasa digunakan ialah daun.

Adab Memetik Daun

Untuk memerik daun sebagai bahan ubat, ada adab-adab tertentu yang perlu dijaga agar keberkesanan ubat itu terpelihara. Walaupun kita berurusan dengan daun sekalipun, namun sedarlah bahawa daun juga makhluk Allah.  Ketahuilah bahawa daun itu ada penjaganya yang khas iaitu Nabi Ilyas as.  Antara kaedah memetik daun untuk dijadikan ubat adalah seperti berikut:

1) Daun dipetik dalam keadaan menghadap kiblat.

2) Mula-mula hendaklah membaca dua kalimah syahadah, diikuti dengan membaca:


أعوذ بالله من الشيطان الرجيم
بسم الله الرحمن الرحيم

3) Selawat ke atas Nabi Muhammad SAW.

4) Kemudian baca al-Fatihah yang dihadiahkan kepada Nabi Muhammad dan Nabi Ilyas a.s

5) Beri salam kepada Nabi Ilyas as.

السلام عليكم يَا نَبِيِّ إِلْيَاسْ

6) Minta izin daripada Nabi Ilyas as untuk memetik bahan tersebut bagi kegunaan rawatan. Kemudian baru petik daun tadi. Kalau daun tadi hendak digunakan untuk seorang sahaja sebut nama orang yang berkenaan. 

7) Oleh sebab daun itu adalah untuk kegunaan rawatan, pilihlah daripada daun yang terbaik, tidak rosak, koyak atau berlubang dimakan ulat. 

8) Bacalah Surah al fatihah dan diikuti dengan ayat-ayat yang lain pada daun tadi.


Kisah Nabi Musa

Ada satu kisah yang terkenal tentang Nabi Musa yang sakit dan kaitannya dengan penggunaan herba (daun). Kesahihan cerita ini tidaklah dapat saya jelaskan, namun jadikan cerita ini sebagai iktibar. Mungkin kisah ini bersumber daripada kisah Israiliat.

Pada suatu hari, Nabi Musa a.s telah diserang satu penyakit. Bila diketahui oleh Bani Israil maka mereka pun berjumpa dengan Nabi Musa a.s dengan berkata: “Wahai Musa, kami telah mengetahui penyakit kamu itu, oleh itu kami harap kamu tidak menolak ubat yang kami bawa ini. Kalau kamu berubat dengan ubat yang kami bawa ini, nescaya kamu akan sembuh”

Berkata Nabi Musa a.s: “Aku tidak akan berubat sehingga aku di sembuhkan oleh Allah s.w.t tanpa menggunakan ubat.”

Setelah gagal memujuk Nabi Musa a.s, maka mereka pun meninggalkan Nabi Musa a.s. Penyakit Nabi Musa a.s tidak sembuh hingga beberapa lama. Kemudian Bani Israil datang lagi dengan berkata: “Wahai Musa, ubat yang kami bawa ini memang terkenal kerana mujarabnya. Kami sendiri sewaktu diserang penyakit yang kamu hidapi ini telah kami gunakan terhadap diri kami, dan penyakit kami hilang apabila kami menggunakan ubat ini.”

Berkata Nabi Musa a.s: “Aku tetap tidak akan berubat sehingga Allah menyembuhkan aku tanpa menggunakan ubat.”

Kemudian Nabi Musa a.s mendiamkan diri buat seketika, lalu Allah s.w.t menurunkan wahyu kepada Nabi Musa a.s yang bermaksud: “Wahai Musa, Demi kemuliaanKU dan keagunganKU! Aku tidak akan menyembuhkan kamu sebelum kamu berubat dengan apa yang mereka (Bani Israil) sebutkan kepadamu.”

Lalu Nabi Musa a.s berkata kepada Bani Israil: “Ubatilah aku dengan ubat yang kamu katakana itu.”

Kaum Bani Israil pun mengubati Nabi Musa a.s dengan ubat dari tumbuh-tumbuhan, dengan izin Allah s.w.t, maka sembuhlah penyakit Nabi Musa a.s itu. Hal ini menyebabkan Nabi Musa kurang senang, kemudian Allah s.w.t menurunkan wahyu yang bermaksud: “Wahai Musa, apakah kamu mengkehendaki Aku batalkan hikmatKu dengan tawakal engkau kepadaKu. Tidak kah kamu fikir bahawa siapakah yang meletakkan ubat pada tumbuh-tumbuhan itu untuk memberi manfat kepada sesuatu. Bukankah Aku yang menjadikannya?” Kemudian sedarlah Nabi Musa a.s dari kebimbangan yang melandanya.

Dapatlah dirumuskan bahawa segala-galanya dengan Izin Allah s.w.t. Benda-benda yang dijadikan di dunia ini hanyalah asbab untuk kita berusaha, bertawakal dan mendapatkan keredhaan serta rahmat dariNya.


Post a Comment