Thursday, 30 March 2017

JANGAN KETERLALUAN

Assalamualaikum wwt.
Sidang pembaa yang dihormati.

Dalam dunia rawatan Islam, berbagai-bagai karenah pesakit yang terpaksa saya tempuhi. Kalau dalam ruang lingkup hubungan antara perawat dan pesakit sahaja tidaklah saya hiraukan sangat. Kata orang, adatlah sebagai perawat yang terpaksa merawat setiap penyakit selagi boleh diikhtiarkan. Selepas merawat, biasanya hubungan tersebut akan berlalu begitu sahaja. Maksud saya akan berakhirlah sesi rawatan sama ada pesakit itu sembuh atau tidak, bukanlah kerja saya. Kalau pesakit menghubungi saya menyatakan penyakitnya sudah sembuh, bersyukurlah kepada Allah.

Namun, ada juga berlaku kes yang saya sifatkan keterlaluan. Dalam konteks ini, keterlaluan yang saya maksudkan ialah sentiasa menghubungi saya walaupun tidak pernah bersua muka. Pada mulanya, memanglah mengadu pasal penyakit dan meminta nasihat saya untuk diikhtiarkan pengubatannya. Namun selepas itu, lain pula jadinya. Menelefon saya tidak mengira masa dan menghantar mesej yang entah apa-apa. Kononnya hendak jadikan saya sebagai sahabat. Kalau sebagai sahabat tidak mengapalah, tetapi fikirlah yang dia perempuan dan saya lelaki. Macam hendak jadikan saya kekasihnya pula.  Aduh, pening pula saya!

Nombor telefon yang saya sertakan di dalam blog ini adalah bertujuan untuk memudahkan pesakit yang benar-benar memerlukan rawatan. Bukannya menjadikan nombor terlefon saya sekadar suka-suka dan membuang masa saya melayannya. Saya faham, bukan semua yang berbuat perangai seperti itu. Namun, kejadian itu membuatkan saya rasa rimas dan tidak tenteram.

Nasihat


Jadikan perhubungan telefon sebagai medium untuk kemudahan antara perawat dan pesakit. Saya galakkan pesakit yang hendak menghubungi saya gunalah aplikasi WHATSAPP. Kalau anda menelefon saya, mungkin pada waktu itu saya sibuk yang membuatkan panggilan anda tidak dijawab. Jika anda menggunakan whatsapp, saya akan membalasnya sama ada cepat atau lambat.

Tuesday, 14 March 2017

KAEDAH MEMETIK DAUN SEBAGAI UBAT

Asssalamu’alaikum wwt.

Dalam disiplin ‘Perubatan Islam’, tunjang utamanya ialah mempercayai dan meyakini bahawa Allah jua yang menurunkan penyakit dan Allah jua yang menyembuhkan penyakit. Namun begitu, dalam ikhtiar merawat penyakit, tidak sekadar berdoa sahaja tetapi juga menggunakan herba-herba terpilih yang bersesuaian untuk mengubati penyakit. Salah satu herba yang biasa digunakan ialah daun.

Adab Memetik Daun

Untuk memerik daun sebagai bahan ubat, ada adab-adab tertentu yang perlu dijaga agar keberkesanan ubat itu terpelihara. Walaupun kita berurusan dengan daun sekalipun, namun sedarlah bahawa daun juga makhluk Allah.  Ketahuilah bahawa daun itu ada penjaganya yang khas iaitu Nabi Ilyas as.  Antara kaedah memetik daun untuk dijadikan ubat adalah seperti berikut:

1) Daun dipetik dalam keadaan menghadap kiblat.

2) Mula-mula hendaklah membaca dua kalimah syahadah, diikuti dengan membaca:


أعوذ بالله من الشيطان الرجيم
بسم الله الرحمن الرحيم

3) Selawat ke atas Nabi Muhammad SAW.

4) Kemudian baca al-Fatihah yang dihadiahkan kepada Nabi Muhammad dan Nabi Ilyas a.s

5) Beri salam kepada Nabi Ilyas as.

السلام عليكم يَا نَبِيِّ إِلْيَاسْ

6) Minta izin daripada Nabi Ilyas as untuk memetik bahan tersebut bagi kegunaan rawatan. Kemudian baru petik daun tadi. Kalau daun tadi hendak digunakan untuk seorang sahaja sebut nama orang yang berkenaan. 

7) Oleh sebab daun itu adalah untuk kegunaan rawatan, pilihlah daripada daun yang terbaik, tidak rosak, koyak atau berlubang dimakan ulat. 

8) Bacalah Surah al fatihah dan diikuti dengan ayat-ayat yang lain pada daun tadi.


Kisah Nabi Musa

Ada satu kisah yang terkenal tentang Nabi Musa yang sakit dan kaitannya dengan penggunaan herba (daun). Kesahihan cerita ini tidaklah dapat saya jelaskan, namun jadikan cerita ini sebagai iktibar. Mungkin kisah ini bersumber daripada kisah Israiliat.

Pada suatu hari, Nabi Musa a.s telah diserang satu penyakit. Bila diketahui oleh Bani Israil maka mereka pun berjumpa dengan Nabi Musa a.s dengan berkata: “Wahai Musa, kami telah mengetahui penyakit kamu itu, oleh itu kami harap kamu tidak menolak ubat yang kami bawa ini. Kalau kamu berubat dengan ubat yang kami bawa ini, nescaya kamu akan sembuh”

Berkata Nabi Musa a.s: “Aku tidak akan berubat sehingga aku di sembuhkan oleh Allah s.w.t tanpa menggunakan ubat.”

Setelah gagal memujuk Nabi Musa a.s, maka mereka pun meninggalkan Nabi Musa a.s. Penyakit Nabi Musa a.s tidak sembuh hingga beberapa lama. Kemudian Bani Israil datang lagi dengan berkata: “Wahai Musa, ubat yang kami bawa ini memang terkenal kerana mujarabnya. Kami sendiri sewaktu diserang penyakit yang kamu hidapi ini telah kami gunakan terhadap diri kami, dan penyakit kami hilang apabila kami menggunakan ubat ini.”

Berkata Nabi Musa a.s: “Aku tetap tidak akan berubat sehingga Allah menyembuhkan aku tanpa menggunakan ubat.”

Kemudian Nabi Musa a.s mendiamkan diri buat seketika, lalu Allah s.w.t menurunkan wahyu kepada Nabi Musa a.s yang bermaksud: “Wahai Musa, Demi kemuliaanKU dan keagunganKU! Aku tidak akan menyembuhkan kamu sebelum kamu berubat dengan apa yang mereka (Bani Israil) sebutkan kepadamu.”

Lalu Nabi Musa a.s berkata kepada Bani Israil: “Ubatilah aku dengan ubat yang kamu katakana itu.”

Kaum Bani Israil pun mengubati Nabi Musa a.s dengan ubat dari tumbuh-tumbuhan, dengan izin Allah s.w.t, maka sembuhlah penyakit Nabi Musa a.s itu. Hal ini menyebabkan Nabi Musa kurang senang, kemudian Allah s.w.t menurunkan wahyu yang bermaksud: “Wahai Musa, apakah kamu mengkehendaki Aku batalkan hikmatKu dengan tawakal engkau kepadaKu. Tidak kah kamu fikir bahawa siapakah yang meletakkan ubat pada tumbuh-tumbuhan itu untuk memberi manfat kepada sesuatu. Bukankah Aku yang menjadikannya?” Kemudian sedarlah Nabi Musa a.s dari kebimbangan yang melandanya.

Dapatlah dirumuskan bahawa segala-galanya dengan Izin Allah s.w.t. Benda-benda yang dijadikan di dunia ini hanyalah asbab untuk kita berusaha, bertawakal dan mendapatkan keredhaan serta rahmat dariNya.


Saturday, 11 March 2017

NILAI UPAH RAWATAN

Assalamu’alaikum wwt.
Rakan-rakan pembaca yang dihormati sekalian,

Tugas sebagai perawat Islam ada kalanya begitu meletihkan. Saya menjalankan amanah ini secara sukarela sahaja tanpa membuka premis perniagaan seperti pusat rawatan yang lain.  Konsep saya mudah iaitu tidak mahu terikat dengan masa dan jadual kerja yang tetap.  Hal ini kerana saya sudah ada pekerjaan tetap yang bekerja mengikut masa dan arahan.

Hargai Usaha

           Saya suka membantu orang yang memerlukan pertolongan mengikut masa lapang  saya sahaja. Kedatangan orang sakit ke rumah, saya sambut sebagai tetamu. Hubungn kemesraan ini diharapkan terjalin tanpa menjejaskan perasaaan kedua-dua belah pihak. Pertolongan yang saya hulurkan buat membantu mereka yang sakit seharusnya dihargai dengan sewajarnya. Pada pendapat saya, kedatangan tetamu (pesakit) ke rumah saya membawa seribu rahmat. Sekurang-kurangnya rumah saya tidak sunyi daripada kunjungan tetamu, walaupun tetamu itu tidak saya kenali sebelum ini.     

Para pesakit harus sedar bahawa ilmu saya merawat orang sakit bukanlah datang secara bergolek. Ilmu pengetahuan tentang rawatan Islam saya pelajari dengan tidak mengira masa, tenaga dan wang ringgit. Justeru itu, usaha saya merawat pesakit perlulah diberi upah yang sewajarnya.  Ada ketikanya, saya baru pulang dari kerja atau urusan tertentu, setibanya saya di rumah, sudah ada tetamu (pesakit) yang datang. Takkanlah, saya hendak menyuruh mereka pulang begitu sahaja, walaupun pada ketika itu badan saya agak penat. Hendak tak hendak, mereka dipersilakan masuk ke rumah. Sebab itulah, saya sangat mengharapkan agar pesakit menelefon saya terlebih dahulu dan bertanyakan saya sama ada saya boleh merawat atau tidak pada masa yang diminta.

Kalau saya membuka pusat rawatan secara berdaftar, memang ada masa yang ditetapkan. Jadi, pesakit boleh datang pada masa tersebut dan membayar upah rawatan yang ditetapkan. Upah ini sangat perlu bagi menampung sewa bangunan, membayar bil air dan api dan sebagainya. Tidak timbul isu membayar upah ikut ikhlas hati. Tetapi, saya cuma menjalankan rawatan secara sukarela sahaja. Walaupun secara sukarela, namun upah rawatan perlu juga diberi sebagai menghargai usaha saya. Persoalannya, kadang kala upah yang diberi tidak sepadan dengan usaha rawatan yang saya berikan. Kalau berbunyi dalam hati, nanti takut tak ikhlas pula. Namun, dah banyak kali juga berbunyi di dalam hati.

Situasi

Ada beberapa situasi yang berkaitan dengan upah rawatan. Dalam tulisan ini, saya hanya memaparkan beberapa peristiwa sahaja. Ada satu kali tu, saya baru pulang dari kerja dan berehat sebentar. Tiba-tiba saya dikejutkan dengan orang memberi salam di luar rumah. Saya sudah mengagak tentu ada pesakit yang datang tanpa menelefon terlebih dahulu. Telahan saya betul. Ada orang yang memerlukan rawatan. Saya menyuruhnya tunggu sebentar sementara saya menyiapkan diri terlebih dahulu. Saya perlu mandi dan membersihkan diri setelah seharian bekerja. Setelah selesai, rawatan pun dibuat dan mengambil masa hampir setengah jam juga kerana pesakit mengalami penyakit tidak dapat tidur malam selama hampir setahun. Setelah selesai rawatan, upah yang saya terima cuma RM 10.00 sahaja (sepuluh ringgit). Adakah itu nilai rawatan yang saya berikan kepada beliau? Saya bertanya untuk kepastian “ sepuluh sahaja”? pesakit cuma tersengih sahaja. Saya berlapang dada dan mengagak mungkin mereka susah.

Dalam situasi yang lain pula, ada satu keluarga datng untuk mendapatkan rawatan, yang bermula dengan ibu, ayah dan anak-anaknya sekali yang berjumlah 5 orang. Wah, macam-macam keluhan penyakit yang diluahkan. Seperti biasa, saya menjalankan rawatan tanpa mengira penat dan berusaha sebaik mungkin. Namun begitu, pada akhir bersalaman dihulurkan sekeping sampul surat yang berisi wang upah. Tidaklah pula saya mahu membuka di depan mereka. Apabila dibuka isinya bernilai RM17.00 sahaja. Aduh, rasa tidak berbaloi langsung pemberian ikhlas mereka. Saya tahu mereka bukanlah orang susah.

Ada pula pada satu malam tu lebih kurang pukul 10.00 malam, ada suami isteri membawa ibu mereka yang sakit mata sejak sekian lama. Sebenarnya pada waktu itu saya telah tidur awal kerana keletihan. Namun saya gagahkan juga menyambut kedatangan mereka dan merawat penyakit ibu mereka walaupun hati tidak berapa selesa kerana keatangannya tidak berjanji. Main redah sahaja datang mendapatkan rawatan. Kalau ikutkan, dengan cara mereka itu saya boleh mengenakan upah yang mahal juga. Namun, diselitkan upah dalam sampul surat yang berisi RM20.00.

Nilai Ikhlas

Sebenarnya nilai ikhlas tidak boleh diukur dengan wang ringgit. Nilai ikhlas itu terbit di dalam HATI. Dalam bab memberi upah kepada perawat, detikkan di dalam hati anda berapa yang hendak diberi. Lihatlah kepada nilai kesungguhan perawat merawat penyakit anda. Adakah berbaloi dengan memberi upah yang tidak sepadan dengan usaha yang diberikan? Asal sahaja perawat Islam yang memberikan rawatan, upah yang diberi ala kadar sahaja.

Saya pula rasanya tidak sampai hati meletakkan upah rawatan yang tinggi kepada pesakit, namun pandai-pandailah menilai agar wujud situasi MENANG-MENANG. Buat masa ini, saya masih lagi berpegang kepada nasihat salah seorang guru saya agar tidak meletakkan upah. Namun, mungkin pada suatu hari nanti saya terpaksa meletakkan nilai upah atas usaha saya ini untuk mewujudkan situasi menang-menang itu tadi. Apa yang penting, saya tidak mahu pesakit mengambil kesempatan atas budi baik saya ini.


Tidakkah terfikir bahawa usaha saya merawat penyakit gangguan jin, saka dan sihir mengundang risiko yang besar ke atas diri saya dan keluarga saya. Lihatlah berapa rawat perawat yang tumbang kerana serangan dan tindak balas makhluk jin saka dan jin sihir. Jika usaha yang berisiko ini dibayar upah yang ‘kecil’ atau tidak sepadan, faham-faham sendirilah. 

Tuesday, 7 March 2017

KATA NAK DATANG TAPI TAK DATANG

Assalamu’alaikum wwt.

Sedikit keluhan

Kadang-kadang rasa nak marah juga juga kepada sesetengah orang yang menelefon saya tentang rawatan dan kelihatan bersunggguh-sungguh hendak datang mendapatkan rawatan daripada saya. Janji telah diatur namun sampai masa dan ketikanya orang itu tidak datang. Saya tidak kisahlah kalau ada hal-hal penting yang tidak dapat dielakkan pada saat akhir hendak bertemu dengan saya. Saya boleh menerima alasan yang diberikan, kerana kita hanya boleh merancang, tetapi Allah jua yang menentukan. Tetapi yang membuatkan saya rasa kecewa dan ada kalanya marah kerana pembatalan temu janji tidak diberitahu kepada saya. Walhal, saya terpaksa menunda kerja atau urusan yang sepatutnya saya boleh buat. Ini tidak, dengan rasa tidak bersalah orang itu mendiamkan diri. Terus mendiamkan diri tanpa ada khabar berita.

Orang yang berperangai seperti itu, saya akan pastikan tidak akan melayannya lagi pada masa akan datang. Minta maaflah kalau yang terasa tu, tapi itulah cara saya mengajarnya agar menepati janji dan tidak membuatkan saya membazirkan masa menunggunya.

Saya tidak suka orang mungkir janji kepada saya. Bukankah mungkir janji itu salah satu daripda tanda munafik. Jagalah perasaan orang lain, nescaya perasaan anda juga akan terjaga. Walaupun ada antara orang yang berjanji itu tidak saya kenali kerana membuat panggilan telefon atau ‘whatsApp’ tetapi janji yang dibuat saya pegang dan saya ingat. Kalau kata nak datang, datanglah pada masanya. Kalau tak dapat datang beritahu tak dapat datang, senang cerita.

Harapan

Saya berharap agar janji yang dibuat, mestilah ditepati.  Jangan abaikan janji itu begitu sahaja seolah-olah dibawa angin entah kemana. Banyak mana masalah sekalipun masalah, beritahulah sebabnya. Zaman ini bukan macam zaman dahulu yang sukar perhubungan, tetapi zaman yang serba canggih. Pandai berjanji, pandailah ditepati.


Luahan rasa ini, sedikit sebanyak mengingatkan pada diri saya sendiri agar sentiasa berpegang pada janji. Sekian. Jumpa lagi