Tuesday, 28 February 2017

TERPEGANG BARANG SIHIR

Assalamu’alaikum wwt..

Praktik amalan sihir seolah-olah tiada kesudahannya. Ada-ada sahaja manusia yang berhati dengki dan iri hati kepada manusia lain. Tidakkkah manuisa ini mengetahui bahawa sihir adalah perbuatan yang terkeji dan termasuk dalam tujuh golongan dosa besar? Untuk mengenakan ilmu sihir kepada seseorang tidaklah sesukar mana. Hal ini demikian kerana ada sahaja manusia yang mengambil upah untuk mengenakan sihir kepada suspek yang dikehendaki.  Bayar sahaja upahnya, maka tunggulah saat dan ketikanya untuk ilmu sihir itu bertindak. Ilmu sihir sering dikaitkan dengan peranan jin-jin jahat sebagai perantara. Jin-jin jahat inilah yang berperanan menjayakan ilmu sihir tersebut.

Barang Sihir

Salah satu medium untuk mengenakan ilmu sihir kepada seseorang ialah dengan menggunakan barang sihir. Pada kebiasaanya, beberapa barang tertentu akan digunakan untuk memastikan keampuhan ilmu sihir tersebut. Barang-barang sihir tersebut akan dijampi atau dipuja dengan mentera tertentu dan memasukkan jin untuk dikenakan kepada sasaran.

Mungkin ini bungkusan barang sihir

Jika barang-barang sihir tersebut dipegang atau dilangkah, maka secara automatik jin-jin sihir akan aktif dan bertindak terhadap sasaran yang dituju.  Apatah lagi jika barang-barang sihir tersbut dibuka balutannya tanpa memohon perlindungan kepada Allah.

Satu Pengalaman

Ada seorang pesakit perempuan datang berjumpa saya bersama ahli keluarganya untuk mendapatkan rawatan tentang penyakit misteri yang dialami sekian lama. Pesakit itu menceritakan bahawa penyakit gatal-gatal satu badan. Saya lihat kesan-kesan gatal di tangannya begitu teruk seoalah-olah ‘makan dalam’. Kasihan sungguh saya melihat keadaannya itu.

Menurutnya, penyakit gatal-gatal badannya bermula apabila dia membuka satu bungkusan misteri di tempat kerjanya. Di dalam bungkusan tersebut terdapat benda-benda pelik dan dia membuangnya begitu sahaja. Sejak itulah penyakit misteri telah menyerangnya sekian lama. Dalam hal ini, sepatutnya kita tidak boleh suka-suka membuka bungkusan yang kelihatan pelik kerana dikuatiri mengandungi kiriman sihir.

Diringkaskan cerita, saya merawatnya dengan ruqyah ayat-ayat suci Al-quran. Dia merasakan seluruh badannya kebas-kebas dan kakainya agak berat. Apabila simpton ini berlaku, usaha terakhir ialah dengan menarik semua gangguan jin angkasa sihir tersebut dan ‘memasungnya’ atau memindahkan ke dalam botol yang telah didoakan. Dengan izin Allah, segala gangguan tersebut tidak dibiarkan bebas lagi. Sampai masa dan ketikanya, gangguan di dalam botol tersebut akan dihanyutkan ke sungai atau laut.

Selang tiga hari, pesakit perempuan itu datang semula ke rumah saya untuk mendapatkan rawatan ulangan. Gatal-gatal dibadannya sudah kelihatan mengering dan dia nampaknya sudah selesa. Pada kali ini saya mengambil 21 helai daun bidara dan menumbuknya di dalam lesung batu. Daun bidara yang telah dihancurkan ini akan dicampur dengan air. Airnya diberi minum kepada pesakit sementara daun yang tinggal akan dibuat mandian bilasan terakhir.  Saya juga mendoakan pada bedak sejuk untuk disapu ditempat gatal-gatal badanya. Disamping itu, saya juga membekalkan pesakit dengan gel mandian garam bukit yang didoakan.

Saya berdoa agar Allah menyembuhkan penyakit misteri pesakit tersebut dan dapat menjalani kehidupan dengan tenang dan gembira. Untuk makluman, suaminya adalah kenalan saya sekian lama, namun dia tidak tahu saya pandai berubat.

Iktibar


Berhati-hatilah di dalam melakukan sesuatu perkara terutama apabila berjumpa dengan barang-barang sihir. Tanyalah orang yang arif untuk melupuskanya. Perbanyakkan amalan dan sentiasa memohon perlindungan kepada Allah.
Post a Comment