Wednesday, 19 July 2017

DERITA PESAKIT TIADA SAKIT

Mukadimah...

Apa yang lebih menyedihkan dan membingunkan apabila pesakit sedang bertarung dengan sakit tetapi hasil keputusan rawatan moden mengatakan pesakit  sebenarnya tidak mengalami sakit. Hal ini demikian kerana, pesakit sudah jenuh berjumpa dengan doktor pakar berulang kali hingga akhirnya disuruh pulang sahaja ke rumah kerana hasil keputusan ujian tidak menemukan punca penyakit. Malah, ada seorang doktor pakar menasihati pesakit agar pergi berubat secara rawatan alternatif. Dalam hal ini, kecanggihan peralatan moden di hospital belum tentu dapat mengesan punca penyakit  Penyudahnya, pesakit terlantar sahaja di rumah hingga kesihatan diri semakin merosot.

Merawat Sahabat yang Sakit

Senario ringkas di atas merupakan antara beberapa kes yang saya hadapi ketika merawat penyakit. Ringkas kata, penyakit tersebut tergolong dalam penyakit misteri. Ada banyak faktor yang menyebabkan penyakit misteri dan salah satunya dikaitkan dengan amalan ilmu sihir yang ditujukan kepada seseorang yang tidak disenangi.

Ada seorang sahabat saya yang bertugas sebagai guru kaunseling telah ditimpa penyakit sejak dua tahun yang lepas. Pada mulanya penyakit tersebut dianggap sebagai penyakit biasa-biasa sahaja dan boleh sembuh dengan rawatan moden. Hal ini kerana, doktor yang merawatnya memberi harapan bahawa kes penyakit tersebut boleh sembuh dalam masa terdekat. Saya hanya mampu berdoa agar sahabat saya ini segera sembuh. Namun begitu, dari hari ke hari hingga memakan masa hampir dua tahun, perubahan kesihatannya semakin menurun sehingga tidak mampu bergerak. Saya tidaklah kerap melawatnya lantaran kesibukan masa dan sikap bertangguh untuk menjenguknya sehinggalah saya tergerak untuk melawatnya pada minggu lepas. MasyaAllah....begitu berat derita yang dihadapinya. “Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul”.

Kerusi menjadi peneman setia

Badannya susut dengan mendadak hingga kelihatan begitu kurus, pipinya cengkung dan air liur berjatuhan tanpa kawalan. Hendak bangun bergerak begitu susah sehingga bertongkat. Apabila baring sukar pula untuk bangun. Masanya dihabiskan dengan duduk di atas ‘kerusi malas’ sahaja. Bercakap pun tidak boleh hingga terpaksa menulis di atas kertas sahaja. Keadaannya seperti orang yang berusia 90 tahun. Melalui tulisannya, dia mengatakan bahawa ujian perubatan moden mengesahkan bahawa dia sebenarnya tidak sakit. Kalau itu keputusannya, bermakna dia sebenarnya SIHAT.

Kalau sihat dia sepatutunya perlu pergi bekerja.. Pelik bukan? Dengan keadaan fizikalnya yang lemah dan tidak mampu bertutur, masakan pula sahabat saya ini mampu bekerja. Namun begitu, pihak majikan faham akan penderitaan yang dihadapinya. Dia hanya perlu menjenguk ke sekolah walau hanya satu jam sahaja. Cuti sakitnya hanya diberi dua minggu dan kalau mahu disambung perlu memohon untuk dua minggu selanjutnya.

Sabahat saya ini bukanlah pasrah sahaja tanpa berusaha. Sebut sahaja mana tempat rawatan alternatif, maka isterinya yang setia akan menemani suaminya berubat. Dalam hal ini, soal DUIT tolak tepi. Yang penting, ada harapan untuk pulih seperti biasa. Tidak hairanlah ada antara rawatan yang ditempuhi itu mendakawa dapat mengeluarkan barang-barang daripada badannya seperti paku, batu dan sebagainya. Buktinya, objek tersebut dirakam di dalam telefon bimbitnya..benarkah begitu? Wallahu’aklam.

Terpanggil akan penderitaan sahabat saya ini yang saya namakan Cikgu J, saya berazam akan menolongnya secara berterusan. Riak wajahnya begitu gembira dan terharu atas bantuan yang saya tawarkan dan sememangnya dia mengharap. Beberapa kali dia menyatakan terharu hingga menitis air mata.

Rawatan Pertama

Pada satu petang yang tidak sibuk, saya bertandang ke rumah cikgu J. Saya meruqyahnya dengan ayat-ayat suci al-Quran sambil meletakkan tapak tangan ke ubun-ubun kepalanya. Saya tiupkan ke ubun-ubunnya dengan niat memasukkan penawar dan antibiotik yang paling mujarab dan memusnahkan simpulan-simpulan penyakit dan sihir. Saya memohon kepada Allah supaya  memberi memberkati usaha saya ini. Saya memakrifatkan bahawa diri saya sebenarnya hancur binasa, yang ada hanyalah Allah semata-mata. Saya pandang bahawa ;
La hayyun (tiada hidup),
La a’limu (tiada ilmu),
La sami’un (tiada mendengar),
La basirun (tiada melihat),
La qodirun (tiada kuasa),
La muridun (tiada kehendak)
La mutakallimun (tiada berkata-kata)

Hanya ALLAH semata-mata...
Hancur DIRI ku..

Rawatan pertama ini lebih kepada membongkar penyakit dan akan diteruskan pada hari-hari seterusnya. InsyaAllah.


Bersambung...

Sunday, 30 April 2017

TANDA-TANDA TERKENA GANGGUAN JIN

Asssalamu’alaikum wwt

Pada kebiasaannya, penyakit yang disebabkan oleh gangguan jin akan ada tanda-tanda tersendiri. Pesakit perlu peka akan perubahan yang berlaku pada dirinya. Dalam tulisan ini, saya akan menyenaraikan beberapa tanda yang menunjukkan penyakit yang terkena gangguan jin.

Berikut adalah antara tanda-tanda yang menunjukkan seseorang itu telah terkena atau adanya gangguan Jin dan Syaiton (angkara Sihir, Saka, Lintasan atau A'in):

1.   Badan terasa berat / lemah / panas / sejuk tanpa sebab munasabah.
2.   Badan terasa bisa-bisa / gatal / miang tanpa sebab klinikal.
3.   Batuk yang berpanjangan tanpa sebab klinikal.
4.   Bau nafas yang terlalu busuk.
5.   Bau wangian / busuk / hanyir / hangit yang tidak diketahui puncanya.
6.   Bayi kerap menangis.
7.   Belakang tengkuk / bahu terasa berat.
8.   Benda bergerak / berubah tempat dengan sendirinya tanpa sebab  munasabah.
9.   Bermimpi bayi / kanak-kanak.
10. Bunyi air pili dibuka di tandas / bilik mandi.
11. Bunyi perabot / benda berat / tukul besi diseret / dihempas di rumah atas (flat) 
12. Bunyi guli / bola ping-pong / menumbuk dengan lesung di rumah atas (flat)
13. Bunyi orang berjalan di dalam / tingkat atas rumah.
14. Bunyi pasir jatuh di atas syiling atau bumbung rumah.
15. Bunyi sesuatu mencakar bumbung / pintu / tingkap.
16. Darah haid turun lebih dari 15 hari.
17. Gagal melakukan hubungan kelamin tanpa sebab munasabah.
18. Gelisah dan panas di tengkuk bila dengar bacaan Al-Quran.
19. Hujung jari kaki / tangan sering terasa menyucuk / kebas.
20. Kaki atau tangan berasa berat.
21. Kaki, tangan atau anggota badan lain terasa panas.
22. Kemurungan yang berpanjangan.
23. Kerap berdebar / takut / gagap / sesak nafas.
24. Kerap keguguran.
25. Kerap sendawa bila mendengar Al-Quran
26. Ketumbuhan ganjil pada anggota badan
27. Kuat berangan  / berkhayal / hilang daya tumpuan
28. Lampu / alat elektrik terpadam dengan sendirinya
29. Loya / sebu perut tanpa sebab klinikal
30. Malas mengerjakan Solat dan beribadat
31. Marah secara keterlaluan / panas baran
32. Melihat lembaga / jin / hantu secara terus
33. Mendengar suara berbisik / menyergah / memanggil nama
34. Mengantuk bila dengar Al-Quran
35. Mengunyah gigi sewaktu tidur
36. Mimpi jatuh dari tempat tinggi, melayang atau terbang
37. Mimpi makan 
38. Mimpi ular, kelawar, lembu, anjing, serigala, gajah, harimau dan binatang buas
39. Mimpi apa jua yang menakutkan
40. Mimpi serangga berbisa seperti lipan, kala jengking, labah-labah dan sebagainya
41. Mimpi tempat yang kotor; seperti tandas, longkang dan sebagainya
42. Nafsu seks yang melampau / tidak normal
43. Nampak kepulan asap hitam / putih dalam rumah / bilik / premis perniagaan
44. Pelupa / Nyanyuk tanpa sebab klinikal
45. Pintu / Tingkap bergegar / terbuka dengan sendirinya
46. Ragu-ragu tentang keimanan diri / ingin murtad
47. Sakit / takut ketika ziarah orang meninggal 
48. Sakit bebola mata
49. Sakit di bahagian ulu hati, tulang rusuk, pinggang atau belikat tanpa sebab klinikal
50. Sakit jiwa / mental / gila
51. Sakit kepala, dada, tangan atau kaki selepas waktu Asar ke atas
52. Sakit perut tanpa sebab klinikal
53. Sakit tapak kaki / tumit yang berpanjangan
54. Sayang melampau-lampau pada orang yang baru dikenali
55. Selalu ditindih / dicekik ketika tidur
56. Selalu melihat kelibat / bayangan di rumah
57. Sering kehilangan wang secara tiba-tiba
58. Sering pengsan tanpa sebab klinikal
59. Sering terjaga di waktu malam / tengah malam
60. Sesuatu menyentap kaki semasa sedar atau tidur
61. Sikap berubah secara tiba-tiba (kepada yang negatif)
62. Suami isteri / penghuni rumah / pekerja kerap bertengkar walaupun perkara kecil
63. Suka bangun tidur selepas tengahari
64. Suka bercakap besar, takbur, riak dan bangga-diri
65. Suka bercakap seorang diri tanpa sebab munasabah
66. Suka berbuat maksiat
67. Suka melihat diri di dalam cermin
68. Suka menggulung rambut dengan jari
69. Suka mengingati / bercakap tentang perkara-perkara lucah
70. Suka tidur di dalam keadaan berbogel dan meniarap
71. Suka melakukan onani / gemar pada pakaian dalam orang lain
72. Suka tidur pada siang hari
73. Sukar mendapat jodoh
74. Sukar mendapat zuriat
75. Sukar tidur malam
76. Tanda lebam pada anggota badan
77. Terasa ada lembaga tidur bersama / bersetubuh / menganggu / berdialog ketika tidur
78. Terasa benda bergerak-gerak di bawah kulit
79. Terasa diri selalu diperhatikan / diekori
80. Terlalu rasa rendah diri / tidak berkeyakinan / hilang semangat
81. Terasa bahu ditepuk dari belakang
82. Terasa terkena renjisan air
83. Udara di dalam rumah / premis perniagaan berasa mampat
84. dan sebagainya lagi...


PERINGATAN: 
Jika anda ada mengalami sekurang-kurangnya TIGA (3) tanda yang disenaraikan di atas, segeralah berjumpa dengan Perawat Islam yang diyakini untuk mendapatkan rawatan. Gangguan Jin dan Syaiton yang berterusan boleh membawa kepada berbagai gejala Penyakit dan Masalah yang lebih serius, kronik dan sukar untuk disembuhkan. Wallahua'lam.


Rujukan:


Saturday, 15 April 2017

SIHIR SURUH PINDAH RUMAH

Assalamu’alaikum wwt.

Dalam kehidupan di dunia ini, pelbagai ragam manusia yang kita temui. Kadang-kala ragam tersebut dilihat tidak masuk akal yang tentunya memberi kesan kepada orang lain. Antara salah satu ragam manusia yang saya jumpa ialah menggunakan ilmu sihir dengan perantaraan jin untuk memaksa satu keluarga berpindah rumah. Hal yang sedemikian ini saya jumpa apabila merawat pesakit perempuan yang mengadu sakit-sakit pada beberapa bahagian badannya. Pada mulanya dia ingatkan sakit biasa sahaja, namun apabila begitu kerap sakit yang tidak kunjung sembuh, dia datang berjumpa saya untuk mendapatkan rawatan. Saya tidak pun pelik akan sikap yang sedemikian ini, kerana kebanyakkan pesakit lebih suka menjadikan rawatan perubatan Islam berteraskan doa-doa sebagai pilihan terakhir mereka. Tidak mengapalah, sekurang-kurangnya pesakit sedar bahawa perubatan Islam ada nilainya yang tinggi dalam merawat penyakit.

Rela Mati

Saya mendapat satu panggilan telefon daripada seorang perempuan yang mengatakan dia tinggal di Jengka 2. Katanya, dia mendapat nombor telefon saya daripada salah seorang bekas pesakit saya. Dia hendak datang berjumpa saya untuk mendapatkan rawatan penyakitnya yang sudah tertahan rasanya.

Pada pukul 6.00 petang, pesakit tersebut datang bersama suami dan anaknya.  Sebelum rawatan, adalah perlu untuk perawat bertanya sedikit sebanyak simpton penyakit agar mudah membuat pengecaman dan rawatan. Katanya, dia kerap sakit pada bahgian perut dan kepala. Tinggal di dalam rumahpun terasa rimas dan membosankan, sebaliknya apabila berada di luar rumah tidak pula begitu. Simpton yang sama juga berlaku kepada anak lelakinya yang tidak betah tinggal lama di rumah. Anak lelakinya itu merupakan bekas anak murid saya semasa di tingkatan 5 tahun 2016. Apa yang saya perhatikan semasa mengajar anaknya dulu, dia kerap tidur di dalam kelas. Mengantuk kerana kerap keluar rumah dan balik jauh malam.

Berbalik kepada pesakit perempuan tadi, saya merasakan ada yang tidak kena dengan dirinya. Terlebih dahulu saya doakan pada air untuk diminum oleh pesakit. Hal ini penting untuk mengesan keberadaan jin di dalam badan. Dengan izin Allah, sebaik sahaja pesakit meminum air doa tadi, badannya tiba-tiba berasa panas dan gelisah tidak menentu. Saya hanya tersenyum sahaja kerana jin di dalam badannya mula menunjukkan diri. Seterusnya, saya melakukan teknik tarikan di bahagian jari kaki dan tangan yang semestinya disertai doa dan ilmu. Apabila sahaja saya memakrifatkan menarik gangguan jin tersebut, pesakit berteriak kesakitan dan disertai muntah.

Apabila berhadapan dengan gangguan jin yang merasuk ke dalam badan, saya memberinya dua pilihan iaitu keluar daripada badan pesakit atau berhadapan dengan tindakan keras sehingga ke tahap mati dengan izin Allah. Saya menyediakan sebuah botol yang didoakan yang bertujuan memerangkap jin supaya keluar daripada tubuh pesakit dan masuk ke dalam botol.  Saya membentak dengan agak keras supaya keluar namun satu suara keluar melalui mulut pesakit. 
“Aku tak mahu keluar”, katanya berkeras.
“Kalau kau tak nak keluar engkau mati”, balas saya.
“Aku rela mati”, jawabnya kembali.
“Ada berapa banyak jin dalam badan pesakit ini”, tanya saya.
“Banyak”, jawabnya ringkas.
“Siapa ketua kau, panggil dia kemari”, perintah saya sambil membaca satu potongan ayat pemanggil. Beberapa saat kemudian saya memanggil ketua jin itu berbicara.
“Engkaukah ketua jin di dalam badan pesakit ini?”, soal saya keras.
“Ya, aku ketuanya”, balas suara satu suara garau.
“Apa tujuan engkau mengganggu keluarga pesakit ini?”, soal saya ingin mengetahui.
“Aku mahu keluarga ini pindah dari rumahnya”, jawab ketua jin itu. Entah betul, entah tidak. Percakapan jin bukan boleh dipercayai sangat.
“Aku bagi engkau dua pilihan. Kau keluar dari tubuh pesakit ini atau engkau mati”, gertak saya.
“Aku tak mahu keluar, aku rela mati”, balasnya.

Mendengar kata-kata sombong jin tersebut, saya tidak bertangguh mengisyaratkan pedang makrifat dan terus mengelar leher pesakit wanita tersebut dengan niat membunuh jin yang berada di dalam badan pesakit itu. Seketika itu juga pesakit mengelepar kesakitan dan terbaring keletihan. Segala sakit-sakit di dalam badannya hilang serta merta. MasyaAllah...

Nasihat Saya

Persiapkanlah diri dengan amalan yang soleh seperti selalu solat dan membaca al-Quran. Janganlah jadikan rumah sebagai kuburan. Bentenglah diri dengan doa-doa yang pernah diajar oleh Nabi kita. sebaik-baiknya sebarang amalan yang diterima untuk diamalkan hendaklah dengan bertalaqi dan berguru dengan guru yang ahli dalam bidangnya.


Friday, 7 April 2017

BESI MELINGKARI BADAN

Assalamu’alaikum wwt.

Amalan ilmu sihir dilihat sebagai jalan pintas untuk mengenakan mangsa (manusia) yang tidak disukai. Penyihir seolah-olah berasa puas hati apabila melihat mangsa tersebut kesakitan dan tidak dapat meneruskan kehidupan harian seperti biasa. Pada mereka, biarlah ‘padan muka’ orang yang didendami itu menderita sehingga terlantar tidak bermaya di atas katil bertahun lamanya. Situasi ini pernah saya lihat dan cuba merawat pesakit tersebut. Kata peribahasa, “berat mata memandang, berat lagi bahu memikul”. 

Ceritanya begini...

Saya ada dihubungi melalui telefon oleh seorang wanita pertengahan umur yang meminta saya merawat suaminya yang terlantar sakit misteri. Katanya sudah lama sakitnya dan sudah ramai juga perawat rawatan Islam yang datang membantu, namun kesembuhan yang total masih belum dirasai lagi. Saya menyuruhnya bersabar, kerana  itu adalah ujian daripada Tuhan buat hamba-hambaNya. Dalam nada suaranya, sangat mengharapkan bantuan saya untuk datang bertandang ke rumahnya buat merawat suaminya dan juga merawat rumah kediamannya. “Tolonglah ustaz, makcik tunggu ustaz datang ke rumah makcik, berapa pun bayarannya makcik tak kisah” , begitulah lebih kurang nada pegharapannya kepada saya. “Insya-Allah makcik, jika ada kelapangan masa, saya akan datang”, balas saya memberinya harapan.

Pada hari yang telah ditatapkan, saya bertolak pergi ke rumahnya di satu perkampungan felda di Jengka. Sampai ke satu tempat, saya telah ditunggu oleh anaknya yang memandu saya menuju  ke rumahnya. Maklumlah jalan di kawasan felda memang banyak jalan dan simpangnya yang mudah membuatkan kita sesat. Lebih baik ada orang menunggu saya dan saya mengekorinya berkereta dari belakang.

Sesampainya saya ke rumah pesakit, saya disambut mesra oleh makcik tersebut. Saya mengambil masa berbual-bual bagi mendapatkan penerangan lanjut tentang penyakit suaminya. Dari sudut ruang tamu saya melihat sosok tubuh tua pesakit terbaring. Terasa sayu juga di hati apabila isteri pesakit mengadu dan bercerita kepada saya akan penderitaan suaminya sejak tahun 1999 hinggalah sekarang, iaitu 2017. Pada saya, agak lama juga penderitaan yang ditanggung oleh keluarga malang ini.

Pagar Rumah

Saya mengambil keputusan untuk  melakukan ikhtiar merawat rumah atau dalam bahasa mudahnya memagar rumah secara ghaib bagi menangkis serangan makhluk ghaib. Melalui kaedah yang saya pelajari, ikhtiar ini saya lakukan dengan dimulai dari dalam rumahnya dan seterusnya memagar di kawasan luar rumahnya. Saya ‘memakrifatkan’ kawasan dalam dan luar rumahnya dilingkungi besi yang tebal dan kukuh yang tidak membolahkan makhluk ghaib atau jin kiriman sihir menembusinya, dengan izin Allah. Empat buah botol kosong saya doakan dan diletakkan di empat penjuru rumah. Dengan izin Allah, sebarang serangan jin dan sihir akan tersedut masuk ke dalam botol tersebut jika cuba juga merempuh pagar ghaib tersebut. Mudah-mudahan usaha ini dimakbulkan oleh Allah.  Siapalah saya yang dapat menjamin kaedah ini seratus peratus berhasil?

Rawatan Pertama

Usaha seterusnya, saya mendekati pesakit lelaki tersebut dan cuba berbicara dengannya. Usaha tersebut tidak berhasil kerana pesakit tersebut enggan memandang saya dan berbicara dengan saya. Hal tersebut tidaklah menyinggung perasaaan saya kerana saya faham mungkin pesakit sudah putus asa ataupun sudah jemu di rawat oleh perawat sebelumnya yang tidak kunjung sembuh. Sepatutnya, pesakit mesti tabah akan ujian tersebut dan meyakini bahawa Allah pasti menyembuhkannya. Rawatan saya mulakan dengan doa-doa ruqyah pilihan daripada ayat-ayat suci al-        Quran. Nampaknya tiada reaksi yang agresif daripada pesakit. Seterusnya saya lanjutkan dengan kaedah menarik penyakit melalui kaedah ‘tarikan kain’ iaitu memakrifatkan menarik panyakit zahir dan batin dan gangguan jin dan mengumpulkan di kaki. Terasa agak bergetar juga rasa tangan saya ketika itu. Seterusnya, segala penyakit yang terkumpul tadi saya makrifatkan juga  menyimpannya di dalam botol. Air bersama tujuh helai daun saya doakan untuk digunakan sebagai mandian bilasan terakhir. Airnya diminum agar dapat merawat bahagian dalaman pesakit.

Saya meminta diri untuk pulang. Makcik tersebut dengan nada mengharap agar saya dapat meneruskan rawatan kali kedua. Saya berkata padanya, tunggulah seminggu dahulu untuk melihat kesan rawatan pertama ini.

Rawatan Kedua

Sudah seminggu berlalu, saya mendapat panggilan lagi daripada makcik tersebut. Nampaknya, makcik ini betul-betul tidak berputus asa. Secara ringkasnya, makcit tersebut memberitahu akan keadaan suaminya yang ada sedikit perubahan. Rawatan susulan amat diperlukan agar ada perubahan yang ketara. Saya bersetuju untuk melakukan rawatan kali kedua dan pergi ke rumahnya.

Kedatangan saya disambut oleh makcik tersebut tanpa kehadiran anak-anaknya yang lain. Semua anaknya sudah bekerja di tempat lain dan akan pulang pada hujung nminggu sahaja. Diringkaskan cerita, saya memikirkan akan melakukan kaedah rawatan yang lebih mencabar pula iaitu melakukan kaedah “Kembara dan Rawat”.  Biasanya kaedah ini saya akan praktikkan untuk mencari punca secara batin terutama penyakit yang berkaitan dengan gangguan jin dan sihir. Tidak ada orang lain selain makcik tersebut yang akan saya gunakan untuk menjejak punca sakit suaminya. Mata makcik tersebut saya ikat dengan kain agar derianya lebih fokus. Bacaan ayat-ayat suci al-Quran pilihan saya bacakan dan dihembus ke ubun-ubun makcik itu.

Setelah agak tenang, saya memerintahak makcik tersebut melihat secara batian akan keadaan suaminya. Dengan izin Allah, makcik itu terlihat sekujur tubuh suaminya itu dililit oleh satu besi rantai yang panjang. Besi tersebut dipegang oleh seorang lelaki berkepala botak. Saya memberi arahan agar makcik itu menarik besi tersebut dan membuangkannya ke laut. Arahan saya segera dipatuhi oleh makcik tersebut. 

Rantai besi
Seterusnya, saya meminta makcik itu memeriksa semula keadaan suaminya. Adakah masih ada lagi besi yang melingkari tubuh suaminya? Makcik itu melaporkan tidak ada lagi besi rantai tersebut sebaliknya makcik itu nampak seolah-olah ada seseorang yang menabur-naburkan sesuatu kepada suaminya. Kali ini saya memerintahkan agar membuang bayangan orang tersebut jauh-jauh.

Pada kesempatan yang ada itu, saya memerintahkan makcik itu menjejak tukang sihir yang membuat aniaya kepada suaminya. Dengan izin Allah, makcik itu diperlihatkan tempat pemujaan sihir tetapi tidak nampak si tukang sihir. Saya mengarahkan agar tempat pemujaan tersebut dimusnahkan.

Teknik Rawatan Kembara dan Rawat saya hentikan kerana banyak masa yang sudah dihabiskan. Bimbang pula makcik itu letih. Nampaknya makcik itu berpuas hati kerana berjaya mengesan punca penyakit suaminya itu. Mudah-mudahan usaha saya yang tidak seberapa ini dapat membantu merawat pesakit tersebut. Harapan saya biarkah pesakit itu dapat sembuh dan menjalani hidup secara normal.


Sekian sahaja coretan pengalaman hamba yang fakir ini.

Thursday, 30 March 2017

JANGAN KETERLALUAN

Assalamualaikum wwt.
Sidang pembaa yang dihormati.

Dalam dunia rawatan Islam, berbagai-bagai karenah pesakit yang terpaksa saya tempuhi. Kalau dalam ruang lingkup hubungan antara perawat dan pesakit sahaja tidaklah saya hiraukan sangat. Kata orang, adatlah sebagai perawat yang terpaksa merawat setiap penyakit selagi boleh diikhtiarkan. Selepas merawat, biasanya hubungan tersebut akan berlalu begitu sahaja. Maksud saya akan berakhirlah sesi rawatan sama ada pesakit itu sembuh atau tidak, bukanlah kerja saya. Kalau pesakit menghubungi saya menyatakan penyakitnya sudah sembuh, bersyukurlah kepada Allah.

Namun, ada juga berlaku kes yang saya sifatkan keterlaluan. Dalam konteks ini, keterlaluan yang saya maksudkan ialah sentiasa menghubungi saya walaupun tidak pernah bersua muka. Pada mulanya, memanglah mengadu pasal penyakit dan meminta nasihat saya untuk diikhtiarkan pengubatannya. Namun selepas itu, lain pula jadinya. Menelefon saya tidak mengira masa dan menghantar mesej yang entah apa-apa. Kononnya hendak jadikan saya sebagai sahabat. Kalau sebagai sahabat tidak mengapalah, tetapi fikirlah yang dia perempuan dan saya lelaki. Macam hendak jadikan saya kekasihnya pula.  Aduh, pening pula saya!

Nombor telefon yang saya sertakan di dalam blog ini adalah bertujuan untuk memudahkan pesakit yang benar-benar memerlukan rawatan. Bukannya menjadikan nombor terlefon saya sekadar suka-suka dan membuang masa saya melayannya. Saya faham, bukan semua yang berbuat perangai seperti itu. Namun, kejadian itu membuatkan saya rasa rimas dan tidak tenteram.

Nasihat


Jadikan perhubungan telefon sebagai medium untuk kemudahan antara perawat dan pesakit. Saya galakkan pesakit yang hendak menghubungi saya gunalah aplikasi WHATSAPP. Kalau anda menelefon saya, mungkin pada waktu itu saya sibuk yang membuatkan panggilan anda tidak dijawab. Jika anda menggunakan whatsapp, saya akan membalasnya sama ada cepat atau lambat.

Tuesday, 14 March 2017

KAEDAH MEMETIK DAUN SEBAGAI UBAT

Asssalamu’alaikum wwt.

Dalam disiplin ‘Perubatan Islam’, tunjang utamanya ialah mempercayai dan meyakini bahawa Allah jua yang menurunkan penyakit dan Allah jua yang menyembuhkan penyakit. Namun begitu, dalam ikhtiar merawat penyakit, tidak sekadar berdoa sahaja tetapi juga menggunakan herba-herba terpilih yang bersesuaian untuk mengubati penyakit. Salah satu herba yang biasa digunakan ialah daun.

Adab Memetik Daun

Untuk memerik daun sebagai bahan ubat, ada adab-adab tertentu yang perlu dijaga agar keberkesanan ubat itu terpelihara. Walaupun kita berurusan dengan daun sekalipun, namun sedarlah bahawa daun juga makhluk Allah.  Ketahuilah bahawa daun itu ada penjaganya yang khas iaitu Nabi Ilyas as.  Antara kaedah memetik daun untuk dijadikan ubat adalah seperti berikut:

1) Daun dipetik dalam keadaan menghadap kiblat.

2) Mula-mula hendaklah membaca dua kalimah syahadah, diikuti dengan membaca:


أعوذ بالله من الشيطان الرجيم
بسم الله الرحمن الرحيم

3) Selawat ke atas Nabi Muhammad SAW.

4) Kemudian baca al-Fatihah yang dihadiahkan kepada Nabi Muhammad dan Nabi Ilyas a.s

5) Beri salam kepada Nabi Ilyas as.

السلام عليكم يَا نَبِيِّ إِلْيَاسْ

6) Minta izin daripada Nabi Ilyas as untuk memetik bahan tersebut bagi kegunaan rawatan. Kemudian baru petik daun tadi. Kalau daun tadi hendak digunakan untuk seorang sahaja sebut nama orang yang berkenaan. 

7) Oleh sebab daun itu adalah untuk kegunaan rawatan, pilihlah daripada daun yang terbaik, tidak rosak, koyak atau berlubang dimakan ulat. 

8) Bacalah Surah al fatihah dan diikuti dengan ayat-ayat yang lain pada daun tadi.


Kisah Nabi Musa

Ada satu kisah yang terkenal tentang Nabi Musa yang sakit dan kaitannya dengan penggunaan herba (daun). Kesahihan cerita ini tidaklah dapat saya jelaskan, namun jadikan cerita ini sebagai iktibar. Mungkin kisah ini bersumber daripada kisah Israiliat.

Pada suatu hari, Nabi Musa a.s telah diserang satu penyakit. Bila diketahui oleh Bani Israil maka mereka pun berjumpa dengan Nabi Musa a.s dengan berkata: “Wahai Musa, kami telah mengetahui penyakit kamu itu, oleh itu kami harap kamu tidak menolak ubat yang kami bawa ini. Kalau kamu berubat dengan ubat yang kami bawa ini, nescaya kamu akan sembuh”

Berkata Nabi Musa a.s: “Aku tidak akan berubat sehingga aku di sembuhkan oleh Allah s.w.t tanpa menggunakan ubat.”

Setelah gagal memujuk Nabi Musa a.s, maka mereka pun meninggalkan Nabi Musa a.s. Penyakit Nabi Musa a.s tidak sembuh hingga beberapa lama. Kemudian Bani Israil datang lagi dengan berkata: “Wahai Musa, ubat yang kami bawa ini memang terkenal kerana mujarabnya. Kami sendiri sewaktu diserang penyakit yang kamu hidapi ini telah kami gunakan terhadap diri kami, dan penyakit kami hilang apabila kami menggunakan ubat ini.”

Berkata Nabi Musa a.s: “Aku tetap tidak akan berubat sehingga Allah menyembuhkan aku tanpa menggunakan ubat.”

Kemudian Nabi Musa a.s mendiamkan diri buat seketika, lalu Allah s.w.t menurunkan wahyu kepada Nabi Musa a.s yang bermaksud: “Wahai Musa, Demi kemuliaanKU dan keagunganKU! Aku tidak akan menyembuhkan kamu sebelum kamu berubat dengan apa yang mereka (Bani Israil) sebutkan kepadamu.”

Lalu Nabi Musa a.s berkata kepada Bani Israil: “Ubatilah aku dengan ubat yang kamu katakana itu.”

Kaum Bani Israil pun mengubati Nabi Musa a.s dengan ubat dari tumbuh-tumbuhan, dengan izin Allah s.w.t, maka sembuhlah penyakit Nabi Musa a.s itu. Hal ini menyebabkan Nabi Musa kurang senang, kemudian Allah s.w.t menurunkan wahyu yang bermaksud: “Wahai Musa, apakah kamu mengkehendaki Aku batalkan hikmatKu dengan tawakal engkau kepadaKu. Tidak kah kamu fikir bahawa siapakah yang meletakkan ubat pada tumbuh-tumbuhan itu untuk memberi manfat kepada sesuatu. Bukankah Aku yang menjadikannya?” Kemudian sedarlah Nabi Musa a.s dari kebimbangan yang melandanya.

Dapatlah dirumuskan bahawa segala-galanya dengan Izin Allah s.w.t. Benda-benda yang dijadikan di dunia ini hanyalah asbab untuk kita berusaha, bertawakal dan mendapatkan keredhaan serta rahmat dariNya.


Saturday, 11 March 2017

NILAI UPAH RAWATAN

Assalamu’alaikum wwt.
Rakan-rakan pembaca yang dihormati sekalian,

Tugas sebagai perawat Islam ada kalanya begitu meletihkan. Saya menjalankan amanah ini secara sukarela sahaja tanpa membuka premis perniagaan seperti pusat rawatan yang lain.  Konsep saya mudah iaitu tidak mahu terikat dengan masa dan jadual kerja yang tetap.  Hal ini kerana saya sudah ada pekerjaan tetap yang bekerja mengikut masa dan arahan.

Hargai Usaha

           Saya suka membantu orang yang memerlukan pertolongan mengikut masa lapang  saya sahaja. Kedatangan orang sakit ke rumah, saya sambut sebagai tetamu. Hubungn kemesraan ini diharapkan terjalin tanpa menjejaskan perasaaan kedua-dua belah pihak. Pertolongan yang saya hulurkan buat membantu mereka yang sakit seharusnya dihargai dengan sewajarnya. Pada pendapat saya, kedatangan tetamu (pesakit) ke rumah saya membawa seribu rahmat. Sekurang-kurangnya rumah saya tidak sunyi daripada kunjungan tetamu, walaupun tetamu itu tidak saya kenali sebelum ini.     

Para pesakit harus sedar bahawa ilmu saya merawat orang sakit bukanlah datang secara bergolek. Ilmu pengetahuan tentang rawatan Islam saya pelajari dengan tidak mengira masa, tenaga dan wang ringgit. Justeru itu, usaha saya merawat pesakit perlulah diberi upah yang sewajarnya.  Ada ketikanya, saya baru pulang dari kerja atau urusan tertentu, setibanya saya di rumah, sudah ada tetamu (pesakit) yang datang. Takkanlah, saya hendak menyuruh mereka pulang begitu sahaja, walaupun pada ketika itu badan saya agak penat. Hendak tak hendak, mereka dipersilakan masuk ke rumah. Sebab itulah, saya sangat mengharapkan agar pesakit menelefon saya terlebih dahulu dan bertanyakan saya sama ada saya boleh merawat atau tidak pada masa yang diminta.

Kalau saya membuka pusat rawatan secara berdaftar, memang ada masa yang ditetapkan. Jadi, pesakit boleh datang pada masa tersebut dan membayar upah rawatan yang ditetapkan. Upah ini sangat perlu bagi menampung sewa bangunan, membayar bil air dan api dan sebagainya. Tidak timbul isu membayar upah ikut ikhlas hati. Tetapi, saya cuma menjalankan rawatan secara sukarela sahaja. Walaupun secara sukarela, namun upah rawatan perlu juga diberi sebagai menghargai usaha saya. Persoalannya, kadang kala upah yang diberi tidak sepadan dengan usaha rawatan yang saya berikan. Kalau berbunyi dalam hati, nanti takut tak ikhlas pula. Namun, dah banyak kali juga berbunyi di dalam hati.

Situasi

Ada beberapa situasi yang berkaitan dengan upah rawatan. Dalam tulisan ini, saya hanya memaparkan beberapa peristiwa sahaja. Ada satu kali tu, saya baru pulang dari kerja dan berehat sebentar. Tiba-tiba saya dikejutkan dengan orang memberi salam di luar rumah. Saya sudah mengagak tentu ada pesakit yang datang tanpa menelefon terlebih dahulu. Telahan saya betul. Ada orang yang memerlukan rawatan. Saya menyuruhnya tunggu sebentar sementara saya menyiapkan diri terlebih dahulu. Saya perlu mandi dan membersihkan diri setelah seharian bekerja. Setelah selesai, rawatan pun dibuat dan mengambil masa hampir setengah jam juga kerana pesakit mengalami penyakit tidak dapat tidur malam selama hampir setahun. Setelah selesai rawatan, upah yang saya terima cuma RM 10.00 sahaja (sepuluh ringgit). Adakah itu nilai rawatan yang saya berikan kepada beliau? Saya bertanya untuk kepastian “ sepuluh sahaja”? pesakit cuma tersengih sahaja. Saya berlapang dada dan mengagak mungkin mereka susah.

Dalam situasi yang lain pula, ada satu keluarga datng untuk mendapatkan rawatan, yang bermula dengan ibu, ayah dan anak-anaknya sekali yang berjumlah 5 orang. Wah, macam-macam keluhan penyakit yang diluahkan. Seperti biasa, saya menjalankan rawatan tanpa mengira penat dan berusaha sebaik mungkin. Namun begitu, pada akhir bersalaman dihulurkan sekeping sampul surat yang berisi wang upah. Tidaklah pula saya mahu membuka di depan mereka. Apabila dibuka isinya bernilai RM17.00 sahaja. Aduh, rasa tidak berbaloi langsung pemberian ikhlas mereka. Saya tahu mereka bukanlah orang susah.

Ada pula pada satu malam tu lebih kurang pukul 10.00 malam, ada suami isteri membawa ibu mereka yang sakit mata sejak sekian lama. Sebenarnya pada waktu itu saya telah tidur awal kerana keletihan. Namun saya gagahkan juga menyambut kedatangan mereka dan merawat penyakit ibu mereka walaupun hati tidak berapa selesa kerana keatangannya tidak berjanji. Main redah sahaja datang mendapatkan rawatan. Kalau ikutkan, dengan cara mereka itu saya boleh mengenakan upah yang mahal juga. Namun, diselitkan upah dalam sampul surat yang berisi RM20.00.

Nilai Ikhlas

Sebenarnya nilai ikhlas tidak boleh diukur dengan wang ringgit. Nilai ikhlas itu terbit di dalam HATI. Dalam bab memberi upah kepada perawat, detikkan di dalam hati anda berapa yang hendak diberi. Lihatlah kepada nilai kesungguhan perawat merawat penyakit anda. Adakah berbaloi dengan memberi upah yang tidak sepadan dengan usaha yang diberikan? Asal sahaja perawat Islam yang memberikan rawatan, upah yang diberi ala kadar sahaja.

Saya pula rasanya tidak sampai hati meletakkan upah rawatan yang tinggi kepada pesakit, namun pandai-pandailah menilai agar wujud situasi MENANG-MENANG. Buat masa ini, saya masih lagi berpegang kepada nasihat salah seorang guru saya agar tidak meletakkan upah. Namun, mungkin pada suatu hari nanti saya terpaksa meletakkan nilai upah atas usaha saya ini untuk mewujudkan situasi menang-menang itu tadi. Apa yang penting, saya tidak mahu pesakit mengambil kesempatan atas budi baik saya ini.


Tidakkah terfikir bahawa usaha saya merawat penyakit gangguan jin, saka dan sihir mengundang risiko yang besar ke atas diri saya dan keluarga saya. Lihatlah berapa rawat perawat yang tumbang kerana serangan dan tindak balas makhluk jin saka dan jin sihir. Jika usaha yang berisiko ini dibayar upah yang ‘kecil’ atau tidak sepadan, faham-faham sendirilah. 

Tuesday, 7 March 2017

KATA NAK DATANG TAPI TAK DATANG

Assalamu’alaikum wwt.

Sedikit keluhan

Kadang-kadang rasa nak marah juga juga kepada sesetengah orang yang menelefon saya tentang rawatan dan kelihatan bersunggguh-sungguh hendak datang mendapatkan rawatan daripada saya. Janji telah diatur namun sampai masa dan ketikanya orang itu tidak datang. Saya tidak kisahlah kalau ada hal-hal penting yang tidak dapat dielakkan pada saat akhir hendak bertemu dengan saya. Saya boleh menerima alasan yang diberikan, kerana kita hanya boleh merancang, tetapi Allah jua yang menentukan. Tetapi yang membuatkan saya rasa kecewa dan ada kalanya marah kerana pembatalan temu janji tidak diberitahu kepada saya. Walhal, saya terpaksa menunda kerja atau urusan yang sepatutnya saya boleh buat. Ini tidak, dengan rasa tidak bersalah orang itu mendiamkan diri. Terus mendiamkan diri tanpa ada khabar berita.

Orang yang berperangai seperti itu, saya akan pastikan tidak akan melayannya lagi pada masa akan datang. Minta maaflah kalau yang terasa tu, tapi itulah cara saya mengajarnya agar menepati janji dan tidak membuatkan saya membazirkan masa menunggunya.

Saya tidak suka orang mungkir janji kepada saya. Bukankah mungkir janji itu salah satu daripda tanda munafik. Jagalah perasaan orang lain, nescaya perasaan anda juga akan terjaga. Walaupun ada antara orang yang berjanji itu tidak saya kenali kerana membuat panggilan telefon atau ‘whatsApp’ tetapi janji yang dibuat saya pegang dan saya ingat. Kalau kata nak datang, datanglah pada masanya. Kalau tak dapat datang beritahu tak dapat datang, senang cerita.

Harapan

Saya berharap agar janji yang dibuat, mestilah ditepati.  Jangan abaikan janji itu begitu sahaja seolah-olah dibawa angin entah kemana. Banyak mana masalah sekalipun masalah, beritahulah sebabnya. Zaman ini bukan macam zaman dahulu yang sukar perhubungan, tetapi zaman yang serba canggih. Pandai berjanji, pandailah ditepati.


Luahan rasa ini, sedikit sebanyak mengingatkan pada diri saya sendiri agar sentiasa berpegang pada janji. Sekian. Jumpa lagi

Tuesday, 28 February 2017

TERPEGANG BARANG SIHIR

Assalamu’alaikum wwt..

Praktik amalan sihir seolah-olah tiada kesudahannya. Ada-ada sahaja manusia yang berhati dengki dan iri hati kepada manusia lain. Tidakkkah manuisa ini mengetahui bahawa sihir adalah perbuatan yang terkeji dan termasuk dalam tujuh golongan dosa besar? Untuk mengenakan ilmu sihir kepada seseorang tidaklah sesukar mana. Hal ini demikian kerana ada sahaja manusia yang mengambil upah untuk mengenakan sihir kepada suspek yang dikehendaki.  Bayar sahaja upahnya, maka tunggulah saat dan ketikanya untuk ilmu sihir itu bertindak. Ilmu sihir sering dikaitkan dengan peranan jin-jin jahat sebagai perantara. Jin-jin jahat inilah yang berperanan menjayakan ilmu sihir tersebut.

Barang Sihir

Salah satu medium untuk mengenakan ilmu sihir kepada seseorang ialah dengan menggunakan barang sihir. Pada kebiasaanya, beberapa barang tertentu akan digunakan untuk memastikan keampuhan ilmu sihir tersebut. Barang-barang sihir tersebut akan dijampi atau dipuja dengan mentera tertentu dan memasukkan jin untuk dikenakan kepada sasaran.

Mungkin ini bungkusan barang sihir

Jika barang-barang sihir tersebut dipegang atau dilangkah, maka secara automatik jin-jin sihir akan aktif dan bertindak terhadap sasaran yang dituju.  Apatah lagi jika barang-barang sihir tersbut dibuka balutannya tanpa memohon perlindungan kepada Allah.

Satu Pengalaman

Ada seorang pesakit perempuan datang berjumpa saya bersama ahli keluarganya untuk mendapatkan rawatan tentang penyakit misteri yang dialami sekian lama. Pesakit itu menceritakan bahawa penyakit gatal-gatal satu badan. Saya lihat kesan-kesan gatal di tangannya begitu teruk seoalah-olah ‘makan dalam’. Kasihan sungguh saya melihat keadaannya itu.

Menurutnya, penyakit gatal-gatal badannya bermula apabila dia membuka satu bungkusan misteri di tempat kerjanya. Di dalam bungkusan tersebut terdapat benda-benda pelik dan dia membuangnya begitu sahaja. Sejak itulah penyakit misteri telah menyerangnya sekian lama. Dalam hal ini, sepatutnya kita tidak boleh suka-suka membuka bungkusan yang kelihatan pelik kerana dikuatiri mengandungi kiriman sihir.

Diringkaskan cerita, saya merawatnya dengan ruqyah ayat-ayat suci Al-quran. Dia merasakan seluruh badannya kebas-kebas dan kakainya agak berat. Apabila simpton ini berlaku, usaha terakhir ialah dengan menarik semua gangguan jin angkasa sihir tersebut dan ‘memasungnya’ atau memindahkan ke dalam botol yang telah didoakan. Dengan izin Allah, segala gangguan tersebut tidak dibiarkan bebas lagi. Sampai masa dan ketikanya, gangguan di dalam botol tersebut akan dihanyutkan ke sungai atau laut.

Selang tiga hari, pesakit perempuan itu datang semula ke rumah saya untuk mendapatkan rawatan ulangan. Gatal-gatal dibadannya sudah kelihatan mengering dan dia nampaknya sudah selesa. Pada kali ini saya mengambil 21 helai daun bidara dan menumbuknya di dalam lesung batu. Daun bidara yang telah dihancurkan ini akan dicampur dengan air. Airnya diberi minum kepada pesakit sementara daun yang tinggal akan dibuat mandian bilasan terakhir.  Saya juga mendoakan pada bedak sejuk untuk disapu ditempat gatal-gatal badanya. Disamping itu, saya juga membekalkan pesakit dengan gel mandian garam bukit yang didoakan.

Saya berdoa agar Allah menyembuhkan penyakit misteri pesakit tersebut dan dapat menjalani kehidupan dengan tenang dan gembira. Untuk makluman, suaminya adalah kenalan saya sekian lama, namun dia tidak tahu saya pandai berubat.

Iktibar


Berhati-hatilah di dalam melakukan sesuatu perkara terutama apabila berjumpa dengan barang-barang sihir. Tanyalah orang yang arif untuk melupuskanya. Perbanyakkan amalan dan sentiasa memohon perlindungan kepada Allah.

Monday, 6 February 2017

TERAPI URUTAN GUASA (4)

Peringatan Penting Apabila Melakukan Terapi Guasa 

Sebaik-baiknya pesakit yang menerima terapi guasa elakkan daripada terus mandi. Rehat dahulu sekira-kira 2 atau 3 jam.

Perawat perlu menghentikan terapi urutan guasa setelah pesakit mengalami muntah.

Pesakit juga dinasihatkan untuk tidak terus makan selepas melakukan terapi guasa, tetapi boleh minum madu atau minuman yang memulihkan kesegaran.

Terapi guasa terhadap wanita harus dilakukan oleh sesama wanita atau lelaki yang menjadi mahramnya.

Bagi orang tua dan kanak-kanak, hanya dilakukan penggesekan secara ringan sahaja.

Tidak dianjurkan melakukan terapi guasa dalam keadaan sangat kenyang atau sangat lapar.

Kaedah Gesekan Guasa

Sebaik-baiknya, bagi perawat yang ingin mempraktikkan terapi urutan guasa,  haruslah berguru. Ilmu apapun yang ingin dipelajari perlulah berguru agar tepat dan betul kaedahnya. Jangan hanya belajar melalui buku atau blog sahaja kerana dikhuatiri membahayakan diri pesakit. Namun secara umumnya, terdapat beberapa kaedah gesekan guasa iaitu;

1. Atas ke bawah
2. Dalam ke luar
3. Depan ke belakang
4. Belakang ke hadapan
5. Kiri ke kanan
6. Kanan ke kiri

Seperti yang saya katakan tadi, bergurulah agar anda dapat merasai manfaat yang  maksima dalam melakukan terapi urutan guasa. Jangan sayang akan duit untuk ilmu.

Dalam praktik terapi urutan guasa, saya akan gabungkan dengan berbekam. Dalam hal ini, saya terlebih dahulu akan melakukan terapi urutan guasa, kemudian barulah melakukan bekam. Gabungan dua kaedah ini akan memberi kesan yng maksima dalam penyembuhan penyakit.

Sekian sahaja coretan saya pada kali ini.
Terima kasih kerana terus mengikuti blog saya.
Jumpa lagi.

Assalamu’alaikum...

Thursday, 2 February 2017

TERAPI URUTAN GUASA (3)

Kebaikan Terapi Guasa

1.Meningkatkan metabolisme dalam tubuh
2.Melancarkan peredaran darah.
3.Mengaktifkan sel-sel sehingga meningkatkan kadar penyerapan oksigen
4.Meningkatkan sistem kekebalan (imunisasi)
5.Mempertahankan awet muda dan kecantikan melalui proses penuaan
6.Mengubati penyakit
7.mengesan penyakit

Alat yang diperlukan untuk Terapi Guasa

Pertama : Papan Guasa (Guasa Board)

Papan Guasa

Diperbuat daripada Tanduk Kerbau yang bersifat non konduktor elektrik dan panas.  Sangat efektif untuk menghilangkan panas dan racun dari badan serta tidak menimbulkan gesekan atau panas pada kulit.

Kedua: Minyak Urutan seperti minyak gamat aromatic, minyak zaitun dan minyak bunga matahari.

Perhatian: Untuk terapi guasa, jangan menggunakan minyak kimia / lotion yang mengandungi mentol dan sejenisnya yang menimbulkan rasa hangat. Hal ini kerana khasiat dari guasa tidak akan terlihat dan dapat merosakkkan papan guasa.


Bagaimana Terapi Guasa Dilakukan

Pastikan papan guasa yang akan dilakukan dalam keadaan bersih sebelum terapi dilakukan.

Cara Memegang Papan Guasa

Pegang papan guasa dengan membentuk sudut 45 darjah dari permukaan kulit

Titik atau sapu minyak guasa, dan ratakan pada tulang belakang untuk beberapa penyakit, atau beberapa bahagian dari tubuh lainnya.

Gunakan papan guasa dan digosok secara perlahan pada kulit hingga kelihatan merah.

Setelah terapi guasa, akan terasa sakit atau perit lebih kurang 2 -3 hari. Maka pada hari ke 5 – 7 hari berikutnya, terapi guasa dapat dilakukan lagi.

Gosokan dengan guasa tidak akan menimbulkan kesan sampingan walaupun dilakukan tidak tepat pada titiknya.

Minumlah air sesudah terapi guasa untuk memudahkan pembuangan racun dari tubuh badan.

Terapi guasa jangan dilakukan pada tempat terbuka atau dekat dengan kipas angin / penghawa dingin.

Kaedah Gesekan Guasa

Pertama : Perlahan dengan kekuatan sewajarnya.
Kedua: Perlahan dan kuat
Ketiga : Cepat dan kuat

Timbulnya Bintik-bintik Merah pada Kulit

Pada kebiasaannya, setelah menggesek pada titik-titik fokus berulang kali (bergantung pada kes atau masalah pesakit), maka bintik-bintik merah akan timbul

Bintik-bintik merah

1.Bila bintik-bintik merah sudah timbul, pindahlah gesekan ke tempat lain.
2.Bila meraut titik-titik fokus yang sakit, gunakan guasa dan tekan pada bahagian yang tebal.
3.Bintik-bintik merah akan hilang setelah beberapa hari (bergantung keadaan badan pesakit). Setelah hilang dapat digesek kembali.
4.Jika bintik-bintik merah tidak nampak lagi pada bahagian tubuh badan yang sakit, maka bahagian tersebut telah sembuh.
5.Kebiasaannya, permukaan kulit atau badan akan nterasa perit sampi beberapa hari setelah proses terapi guasa.
6. Setelah selesai proses terapi guasa, pesakit harus minum air suam untuk melancarkan sistem peredaran darah, metabolisme serta membantu mengeluarkan toksin melalui air kencing.
7. Jika penderita berasa pening ketika diterapi guasa, hentikan proses tersebut dan berikan pesakit minum air suam.
8. Setelah terapi guasa, jangan sapukan minyak lain pada bahagian tubuh tersebut.
9. Setelah proses guasa, sebaiknya baru boleh mandi dengan air suam selepas 1 jam.

Kesan Warna Setelah Terapi Guasa

Pertama : Merah muda (normal)
Kedua : Merah tua (angin berlebihan)
Ketiga : Hitam-biru (toksin berlebihan)

Perawatan dan Pencegahan Penyakit Melalui Terapi Guasa

1.Masalah kesihatan yang berhubungan dengan Sistem Peredaran Darah
Seperti : Tekanan darah tinggi, tekanan darah rendah, sakit jantung, stroke, lumpuh separuh badan, kadar kolesterol tinggi dll.

2.Masalah kesihatan yang berhubungan dengan Sistem Pembuangan
Seperti : Buasir, sembelit, radang saluran kencing, sakit pinggang dll.

3. Masalah kesihatan yang berhubungan dengan Sistem Pembiakan
Seperti : haid tidak lancar, kemandulan, lemah seks, ejakulasi pramatang, keputihan dll.

4. Masalah kesihatan yang berhubungan dengan Sistem Urat Saraf
Seperti : sakit bahu, reumatik, migrain dll.

5. Masalah kesihatan yang berhubungan dengan Sistem Pencernaan
Seperti : Gastrik, angin dalam perut atau usus, sembelit, muntah, cirit-birit dll

6. Masalah kesihatan yang berhubungan dengan Sistem Pernafasan
Seperti : sakit tekak, batuk, sakit kerongkong, radang hidung, asma dll.

7. Masalah kesihatan yang berhubungan dengan Sistem Tulang dan Otot
Seperti: radang sendi tulang, sakit tulang rusuk, perkinson, sakit otot kaki, sakit tulang belakang, sakit sendi siku dll.

8. Masalah kesihatan yang berhubungan dengan sistem Endokrin
Seperti : radang tiroid, radang pangkreas, radang hempedu, kencing manis, diabetes dll

9. Masalah kesihatan yang berhubungan dengan Sistem Pencernaan
Seperti: katarak, telinga berdesing, resdung dll.

Bersambung...