Wednesday, 9 November 2016

SAKIT SEJUK BADAN

Pada petang itu, saya dikejutkan dengan satu panggilan yang entah daripada siapa. Nombor yang tertera di skrin telefon bimbitku  tidak tersenarai dalam kenalanku.  Namun saya terpaksa menjawabnya kerana memang inilah rutinku yang ada kalanya kerap menerima panggilan daripada pesakit yang memerlukan bantuan rawatan daripadaku. Kedengaran sayup sayup suara milik wanita berusia yang cuba menceritakan keadaan dirinya yang sedang sakit. Seperti biasa, saya hanya menjadi pendengar setia sambil sesekali menyampuk.

Dalam helaan nafasnya yang lemah, pesakit wanita itu sangat mengharapkan pertolongan saya untuk membantu merawat dirinya yang sedang sakit.  Dalam kepayahan tutur katanya yang sedikit cemas dan mengharap, dia menceritakan akan penyakit misteri yang sedang dialaminya iaitu badannya sering berasa sangat sejuk hingga ke tahap menggeletar kesejukan. Di samping itu, tidur malamnya sering tergangggu kerana apabila matanya hampir terlelap, hujung jari kakinya seakan direntap sesuatu yang tidak kelihatan. “Ustaz, tolonglah saya, bila ustaz boleh datang ke rumah?”, rayunya meminta simpati saya. Kasihan juga saya mendengarnya, tapi pada masa itu saya agak sibuk dan tidak dapat pergi ke rumahnya.  “Kalau makcik dapat datang ke rumah saya elok juga. Biar saya rawat dulu apa yang patut”, balas saya untuk tidak menghampakan harapannya. Nampaknya, makcik itu bersetuju untuk datang ke rumah saya pada malam itu.

Air batu
Rawatan

Saya menunggu kedatangan makcik tersebut ke rumah saya. Hampir jam sembilan malam kedengaran salam diucapkan di luar rumah. Kelihatan makcik tersebut berjalan dengan langkah longlai masuk ke dalam rumah. Beliau ditemani oleh anak perempuan dan menantunya.

Saya ingin juga mendengar akan permaslahan penyakitnya itu sebelum meneruskan rawatan. Dikatakan bahawa penyakitnya itu sudah hampir lapan bulan. Sudah puas berubat ke sana ke mari namun ternyata Tuhan belum mengizinkan untuk sembuh. Yang pastinya sudah banyak juga wang yang dihabiskan untuk merawat penyakitnya itu. Ada satu hal yang menyentap perasaan saya iaitu makcik tersebut pernah berubat secara syirik dengan seorang bomoh Siam. Dalam salah satu cara tersebut, bomoh itu menggunakan tanah kubur sebagai bahan rawatan. Sejak daripada itulah kejadian pelik-pelik sering berlaku di dalam rumah makcik tersebut.

Saya memulakan rawatan dengan menyuruh pesakit beristighfar dan selawat akan nabi. Seterusnya saya meminta pesakit menghadiahkan fatihan kepada Nabi Muhammad saw, kepada ibu dan bapa dan kepada diri sendiri. Hal ini penting dilakukan agar proses rawatan mendapat keberkatan dan pertolongan daripada Allah. Saya mendoakan pada air dan menyuruh pesakit minum agar air tersebut bertindak menyerang mana-mana gangguan penyakit dan seterusnya merawat penyakit tersebut. proses menarik penyakit dan gangguan saya lakukan dengan medium sehelai kain.  Dengan doa-doa pilihan, saya memohon kepada Allah agar segala penyakit dan gangguan jin yang bersarang di dalam badan pesakit dapat ditarik keluar. Kelihatan kaki pesakit bergetar dengan hebat hingga ke hujung jari kaki.

Saya meminta menantu pesakit tersebut untuk memetik tujuh helai daun yang berlainan jenis di luar rumah saya.  Daun tersebut saya doakan dengan hikmah surah al-Fatihah yang kemudiannya digunakan dalam proses mandian. Saya meminta pesakit bersabar dan lihat kesannya dalam tempoh tiga hari.

Pagar Rumah

Keesokan harinya, sekali lagi saya mendapat panggilan telefon daripada makcik tersebut. Beliau mengatakan masih lagi sakit sejuk badan. Dalam fikiran saya, makcik ini tidak dapat bersabar menempuh ujian. Beliau ingat baru sehari berubat terus boleh sembuh.  Nampaknya nasihat saya supaya menunggu tempoh tiga hari tidak diendahkannya. Beria-ia makcik tersebut meminta saya datang ke rumahnya di Felda  Jengka 16 untuk memagar rumahnya. Dalam terpaksa, saya berjanji akan datang ke rumahnya pada petang itu.

Hampir jam lima setengah petang saya bergerak ke rumahnya. Berpandukan alamat yang diberikan, saya dapat mengesan dengan mudah rumahnya itu.  Saya meminta anaknya menyediakan bahan-bahan seperti garam kasar, lada hitam dan air mineral. Kesemua bahan-bahan tersebut saya doakan dengan harapan keyakinan Allah akan memakbulkan. Seterusnya, proses ‘pemagaran’ saya lakukan di dalam dan di luar rumah.

Setelah selesai, saya meneruskan pula meraat makcik tersebut. Dari pemerhatian saya, kesan tindak balas tidaklah seteruk sebagaimana pada rawatan kali pertama semalam.

Jam hampir menunjukkan jam tujuh petang dan sebentar lagi azan maghrib akan kedengaran. Nampaknya selesai juga proses rawatan rumah dan pesakit dalam masa hampir sejam. Saya memohon diri untuk berundur pulang ke rumah.


Harapan dan doa saya agar penyakit makcik tersebut sembuh dengan izin Allah. Ameenn. 

Post a Comment