Friday, 11 November 2016

MEMBUNUH JIN

Assalamu’alaikum wwt

Sahabat pembaca yang dihormati sekalian.  Walaupun kita tidak bersua muka, namun anda tetap saya sayangi kerana setia mengikuti blog saya ini.  Mudah-mudahan kita semua dirahmati Allah. Perjuangan menegakkan ilmu rawatan berteraskan Islam perlu dilakukan secara istiqamah dan kalau boleh biarlah ramai yang boleh merawat diri sendiri dan orang lain.

Menjadi seorang perawat atau mualij memerlukan ILMU yang secukupnya. Hal ini kerana, banyak cabaran dan dugaan yang sentiasa bersilih ganti. Hati perlu kental dan semangat perlu kuat untuk berhadapan dengan risiko terutama yang melibatkan permainan makhluk halus (jin). Jin kiriman ahli sihir biasanya bertindak agresif jika ada perawat yang cuba merawat pesakit tersebut. Jin-jin sihir ini rela mati demi melaksanakan arahan si tukang sihir. Hal-hal yang semacam inilah yang kadangkala memerlukan perawat bertindak keras sehingga ke tahap ‘membunuh’ jin-jin yang degil setelah pelbagai peringatan diberikan.

Ada banyak kisah saya berhadapan dengan jin-jin degil dan agresif ini. Saya pula jenis pantang dicabar dan bersedia berjuang hingga ke titisan terakhir. Pada saya, apa yang perlu ditakutkan kerana jin-jin itu juga makhluk Allah dan tidak berupaya memberi bekas kecuali dengan izin Allah. Saya hanya bersandar kepada Allah sahaja dan yakin bahawa yang HAQ akan menang dan yang BATIL akan kalah. Manusia itukan makhluk yang mulia dan sempurna kejadiannya malah diberi jawatan KHALIFAH di atas muka bumi ini. Mana boleh manusia tunduk kepada jin. Sepatutnya jin yang kena tunduk kepada manusia.

Kuasa Allah memang tidak terbatas, malah kadangkala diluar jangkauan fikiran manusia. Selagi manusia bersandar kepada Allah, selagi itulah bantuan Allah akan sampai. Dalam berhadapan dengan gangguan jin ini, kadangkala kekuatan makrifat (visualisasi) memainkana peranan. Niat dan tindakan berpadu menjadi satu. Ketika itulah apa sahaja yang diniat akan menjadi kenyataan. Misalnya, jika perawat berniat tangannya menjadi pedang yang amat tajam, maka seketika itu juga tangannya akan menjadi pedang yang mampu memenggal leher jin-jin yang degil dan kejam. Hal ini sudah saya  lakukan dan dengan izin Allah berjaya. Tapi satu sahaja syaratnya iaitu harus YAKIN. Tanpa keyakinan yang jitu, pasti gagal. Bukankah Allah itu menurut persangkaan hambaNya. Fikirkan wahai saudaraku...

Pedang

Ada juga situasi yang lain iaitu saya memandu pesakit ‘memeriksa’ gangguan di rumah dan didalam badannya. Jika pandangan mata batinnya terbuka, pesakit akan dapat melihat gangguan jin di luar atau di dalam rumahnya. Dalam kes-kes tertentu, saya menyuruh pesakit membayangkan ditangannya ada sebilah pedang yang nantinya digunakan untuk menyerang atau menghapuskan gangguan jin yang selama ini mengganggunya. Alhamdulillah...berjaya.

Paparan kisah ini bukanlah bermaksud asal sahaja gangguan jin terus sahaja hendak dibunuh. Tidak sama sekali. Jin-jin pun ada kehidupannya yang tersendiri. Jangan nanti tindakan kita membunuhnya akan mengakibatkan perasaaan tidak puas hati dan balas dendam kaum keluarga jin tersebut kepada kita. Tetapi jika kita ada alasan yang munasabah, maka terserahlah pada budi bicara kita. Sebagai khalifah, kita perlu ada sifat SIDDIQ, AMANAH, TABLIGH dan FATONAH.

Sekian. Semoga berjumpa lagi..

Assalamu’alaikum.
Post a Comment