Monday, 14 November 2016

FIRASAT MUKMIN

Nabi muhammad saw bersada;
“Takutlah kalian akan firasat orang mukmin, sebab dia melihat dengan cahaya Allah” (HR. Tarmizi)

Firasat bermaksud ketetapan dan penglihatan.  Sedangkan menurut istilah ahli hakikat, firasat bererti terbukanya keyakinan dan menyaksikan yang ghaib.  Firasat juga dikatakan sebagai fikiran yang menyerang hati, atau sesuatu yang nampak di dalamnya.  Biasanya dia tidak akan salah, apabila hati itu bersih.

Firasat dapat juga digelar kasyaf merupakan anugerah Allah kepada hamba-hambaNya yang terpilih. Firasat berbeza-beza antara setiap orang sesuai dengan tingkat kedekatan dan makrifat (Mengenal) kepada Allah.  Semakin kuat kedekatan dan makrifat, maka firasat akan semakin benar.  Sebab, apabila jiwa sudah dekat dengan Allah, maka tidak akan nampak di hatinya kecuali kebenaran.

Kasyaf merupakan cahaya yang membolehkan seseorang itu sampai kepada Allah. Allah akan membuka panghalang atau hijab bagi mereka sehingga dapat bertemu Allah. Penglihatan mereka akan tercermin dalam mata hati mereka dan dapat melihat dengan cahaya Allah. Barangsiapa yang menjaga pandangannya dari hal-hal yang diharamkan, menjauhkan dirinya dari semua syahwat, membangun hatinya dengan pengawasan Allah, memakan makanan yang halal, maka kasyaf dan firasatnya tidak akan salah. 

Pokok dari kasyaf adalah apabila seseorang hamba berpaling dari pandangan zahirnya kepada pandangan batinnya, maka jiwanya akan menguasai sifat kebinatangan yang ada pada tubuhnya. Dalam lain perkataan, penyebab kasyaf ini adalah apabila roh berpindah dari pandangan zahir menuju pandangan batin, maka pandangan zahir akan menjadi lemah dan roh akan menjadi kuat.  Akhirnya, roh akan menguasai kekuatan zahirnya dan menjadi lebih berpengaruh. Dalam hal ini ZIKIR sangat membantu, kerana zikir merupakan makanan untuk pertumbuhan roh.

Kasyaf banyak sekali dialami oleh ahli mujahadah.  Mereka dapat mengetahui hakikat hidup yang tidak diketahui oleh orang lain.  Pada zaman dahulu, para sahabat melakukan mujahadah seperti ini dan mereka banyak memperoleh karomah (kemuliaan). Meskipun begitu, mereka tidak menjadikan karomah tersebut sebagai tujuan.

Firasat (kasyaf) merupakan warisan Nabi Muhammad saw yang benar yang diwarisi oleh para sahabatnya kerana ketulusan, keyakinan dan kesucian hati mereka.

Firasat berbeza dengan menilik atau meramal. Meramal biasanya manusia meneliti tanda-tanda yang pernah terjadi lalu membuat dugaan. Dugaan tersebut boleh jadi benar dan boleh jadi salah. Ada satu lagi sudut meramal ialah dengan menggunakan perantaraan jin dan syaitan. Biasanya kaedah meramal yang meminta pertolongan jin ini dilakukan oleh ahli sihir (bomoh). Menerusi kaedah atau upacara tertentu, para ahli sihir ini boleh mengetahui perkara-perkara ghaib menerusi bisikan jin tersebut. Kaedah seumpama ini jika benar sekalipun tetap salah dari sisi agama Islam. Hal ini kerana ahli sihir ini telah melakukan syirik (menduakan) kepada Allah.


Sekian sahaja coretan ringkas pada kali ini..
Post a Comment