Wednesday, 19 October 2016

PENCIPTAAN MANUSIA PERTAMA : NABI ADAM

Assalamu’alaikum wwt.

Sesungguhnya penciptaan manusia pertama iaitu Nabi Allah Adam as mengandungi hikmah yang sangat besar buat manusia. Hal ini kerana dengan mengetahui perihal penciptaan Adam, maka kita akan sedar akan potensi diri kita yang sangat istimewa iaitu dikurniai dengan pangkat KHALIFAH. Marilah kita menyelusuri hikmah penciptaan Nabi Adam ini sebagai ingatan dan panduan hidup.

Mukadimah

Nabi Adam a.s merupakan nabi dan juga manusia pertama yang bergelar Khalifah Allah yang dimuliakan dan ditinggikan darjatnya sebagai nabi yang pertama. Nabi Adam a.s pada mulanya ditempatkan di syurga tetapi telah diturunkan ke bumi bersama isterinya, Hawa kerana mengingkari perintah Allah SWT.

Penciptaan Adam diriwayatkan sebagai salah satu daripada ciptaan Allah yang paling berkontroversi atau paling disebut-sebut oleh makhluk Allah yang lain. Peristiwa tersebut disebut dalam al-Quran apabila para malaikat mempersoalkan kejadian manusia sebagai kahlifah atau pengganti di muka bumi.
Allah berfirman dalam al Baqarah ayat 30 bermaksud;

Ketika Allah berfirman kepada malaikat: “Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi”. Mereka bertanya (tentang ketetapan Tuhan itu dengan berkata): “Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan dibumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah, sedangkan kami sentiasa bertasbih dengan memujiMu dan mensucikanMu?”. Tuhan berfirman: “Sesungguhnya Aku mengetahui apa yang kamu tidak ketahui”.

Allah telah memerintahkan malaikat Jibril turun ke bumi untuk mengambil sebahagian tanah sebagai bahan untuk menjadikan Adam. Walau bagaimanapun, bumi enggan membenarkan tanahnya diambil malah bersumpah dengan nama Allah yang bumi tidak rela menyerahkannya kerana kebimbangannya seperti yang dibimbangkan oleh para malaikat.

Jibril kembali setelah mendengar sumpahan tersebut, lalu Allah mengutuskan pula malaikat Mikail dan kemudiannya malaikat Israfil, tetapi kedua-duanya juga tidak berdaya hendak berbuat apa-apa akibat sumpahan yang dibuat oleh bumi.

Maka, Allah SWT memerintahkan  malaikat Izrail untuk melakukan tugas tersebut dan menggesa agar tidak berundur walaupun bumi bersumpah kerana tugas tersebut dijalankan atas perintah dan nama Allah.

Lantas malaikan Izrail turun ke bumi dan mengatakan yang kedatangannya adalah atas perintah Allah dan memberi amaran kepada bumi untuk tidak membantah yang memungkinkan bumi menderhaka kepada Allah. Menurut Ibnu Abbas, terdapat beberapa tempat terpilih di bumi yang tanahnya diambil untuk menempa lembaga Adam.

Proses Penyempurnaan

Tubuh Nabi Adam as mempunyai sembilan rongga atau liang.  Tujuh di kepala dan dua di bawah badan iaitu dua mata, dua telinga, dua hidung, satu mulut, satu dubur dan satu uretra (saluran kencing)

Lima pancaindera dilengkapkan dengan anggota tertentu seperti mata untuk melihat, telinga untuk mendengar, hidung untuk mengesan bau-bauan, lidah untuk merasa seperti masam, masin, manis dan pahit. Sementara itu, kulit untuk sentuhan bagi panas, sejuk, dan sakit.

Ketika Allah SWT menjadikan tubuh Adam, tanah dicampurkan dengan air tawar, masin dan hanyir berserta api dan angin. Kemudian Allah meresapkan NUR ke dalam tubuh Adam dengan pelbagai SIFAT. Lalu tubuh Adam digenggam dengan genggaman JABARUT dan diletakkan di dalam ALAM MALAKUT.

Tanah itu dicampurkan lagi dengan istilah wangian dan ramuan dari NUR SIFAT ALLAH dan dirasmikan dengan BAHRUL ULUHIYAH.  Kemudian, tubuh tersebut dibenamkan kedalam KUDRAL ‘IZZAH iaitu JALAL dan JAMAL, lalu disempurnakan tubuh tersebut.

Waktu kejadian manusia tidak disebut berapa lama walaupun melalui apa cara perhitungan sekalipun seperti dalam al-Quran: Al Insan, ayat 1:

Bukankah telah berlalu kepada manusia satu ketika dari masa (yang beredar), sedang dia (masih belum wujud lagi dan) tidak menjadi sesuatu benda yang disebut-sebut.

Menurut keterangan ulama, tubuh Adam diselubungi dalam tempoh 120 tahun iaitu 40 tahun di tanah yang kering, 40 tahun di tanah yang basah dan 40 tahun di tanah yang hitam dan berbau.
Dari sini Allah ubah tubuh Adam dengan kemuliaan dan tertutuplah dari rupa hakikatnya.  Hal ini kerana proses kejadian itu yang telah melalui peringkat yang kotor.

Tidak hairanlah jika Malaikat dan Iblis memandang rendah akan kejadian manusia yang dicipta daripada tanah. Itu DIRI ZAHIR sahaja yang terlihat, tetapi DIRI BATIN iaitu ROH tidak terlihat oleh mereka lantaran itulah Iblis tidak mahu sujud kepada Adam.

Proses Kemasukan Roh

Roh diperinth Allah untuk memasuki jasad Adam. Namun begitu, seperti makhluk lain, roh juga enggan, malas dan malu kerana jasad Adam yang keras seperti batu. Dikatakan, roh berlegar-legar mengelilingi jasad Adam sambil disaksikan malaikat.  Kemudian, Allah memerintahkan malaikat Izrail memaksa roh memasuki tubuh tersebut iaitu masuk ke dalam tubuh Adam.

Roh pun memasuki ke dalam tubuh Adam secara perlahan-lahan hingga ke kepalanya yang mengambil masa selama 200 tahun.  Setelah meresap ke kepala Adam, maka berfungsilah oak dan tersusunlah urat saraf dengan sempurna.  Lalu terjadilah mata dan terus terbuka melihat tubuhnya yang masih keras dan malaikat disekelilingnya.

Telinga mulai berfungsi dan didengarkan kepadanya kalimat tasbih para malaikat.  Apabila roh tiba ke hidung, lalu terbersin dan mulutnya juga terbuka.  Allah mengajarkan kalimat  Alhamdulillah yang merupakan kalimat pertama yang diucapkan Adam dan Allah sendiri yang membalasnya.

Kemudian, roh tiba ke dadanya lalu Adam berkeinginan untuk bangun sedangkan tubuhnya yang bawah masih keras membatu. Ketika itu ditunjukkan sifat manusia yang terburu-buru.  Ketika roh sampai ke perut, organ dalaman dan perut tersusun sempurna dan saat itu juga Adam mula merasakan lapar.

Akhirnya, roh meresapi ke seluruh tubuh Adam maka berfungsilah seluruh anggota seperti tangan dan kaki, segala darah daging, tulang, urat saraf dan kulit.  Menurut riwayat, kulit Adam amat baik ketika itu berbanding kulit manusia kini dan warnanya masih dapat dilihat di kuku sebagai peringatan kepada keturunan manusia.

Dengan itu, sempurnalah sudah kejadian manusia pertama dan Adam digelar Abul Basyar iaitu Bapa Manusia. Walau bagaimanapun, hanya Nabi Muhammad saw mendapat gelaran Abul Roh atau Abul Arwah iaitu Bapa segala Roh.

Kesimpulan

Jelaslah daripada cerita tersebut akan peranan roh yang menghidupkan jasad. Tanpa roh, jasad tidak akan hidup atau mati. Selagi ada roh di dalam jasad (hidup), maka hendaklah kita menjunjung titah perintah Allah dan menjauhi segala larangannya. Kenallah diri rata-rata, kelak mengenal Tuhan yang nyata.

Sekian daripada coretan hamba yang fakir.

Rujukan;


Lafaz Bismillahirrahmanirrahim Kunci Buka Pintu Syurga, susunan Khairul Razali (2008), terbitan Progressive Publishing House Sdn, Bhd.