Monday, 18 July 2016

MENJEJAK TUKANG SIHIR

Assalamu’alaikum wwt
Semoga pembaca dirahmati Allah

Tulisan pada kali ini menceritakan tentang usaha perawat membantu pesakit yang terkena gangguan jin-jin sihir yang dihantar oleh tukang sihir. Sejujurnya, saya ingin mengatakan bahawa bukanlah usaha yang mudah untuk menghentikan gangguan jin-jin sihir yang menyerang pesakit. Hal ini kerana, si tukang sihir akan memuja dan menambah kekuatan jin-jin sihir untuk menyerang kembali pesakit. Katakanlah pada rawatan pertama, usaha yang dilakukan oleh perawat membuahkan kejayaan dengan kalahnya jin sihir, namun di kemudian hari, akan ada pula serangan baru yang datang. Malah, kadang-kala serangan tersebut lebih teruk lagi. Bilakah proses rawatan ini akan berhenti dan berjaya merawat pesakit?

Pada pendapat saya, jika pesakit sekadar diruqyah dan membenteng diri agar menahan serangan sihir, lambat laun akan terkena juga. Selama mana pesakit boleh membenteng diri. Ada kalanya terlalai dan terleka jua. Merasakan diri sudah baik, amalan pembenteng diri ditinggalkan hingga membuka ruang kepada serangan jin dan tukan sihir.  Menyedari hal ini, saya rasa perlu ada satu sistem serangan balas untuk melawan kembali serangan jin-jin sihir.

Sambungan Kisah Lalu..
Pesakit Jerantut

Seminggu sudah berlalu. Pesakit yang pernah saya rawat di Jerantut dulu, kali ini datang ke rumah saya di bawa oleh ahli keluarganya untuk mendapatkan rawatan susulan. Sesampainya di depan pintu pagar rumah saya, pesakit enggan untuk turun dan kelihatan takut. Dia dipaksa oleh suaminya dan seorang adik lelakinya dipapah masuk ke dalam rumah. Terus sahaja pesakit itu mengamuk dan meronta-ronta untuk lari. Saya tahu, pesakit ini sedang dikuasai oleh jin. Sebagai perawat, hal sedemikian tidak perlu dibiarkan. Saya meminta pesakit menggunakan sedikit kesedarannya supaya melawan gangguan tersebut. Ubun-ubunnya saya hembus disertai beberapa ayat untuk menenangkannya. Alhamdulillah, pesakit sedikit reda dan mematuhi arahan saya.

Kesempatan yang ada itu, saya gunakan untuk meruqyah dengan tenang dan melumpuhkan kekuatan jin-jin tersebut dengan izin Allah. Sekarang tibalah masa untuk saya meneruskan fasa kedua rawatan iaitu mengunakan Teknik Kembara dan Rawat. Dengan izin Allah, teknik ini biasanya berjaya menjejak si penyihir dan jin-jin sihir yang bersembunyi. Dengan penuh konsentrasi, saya menutup mata pesakit dengan serban dan membacakan beberapa ayat pilihan dengan harapan Allah memudahkan usaha rawatan ini. Dalam hal ini, perawat hanya memandu sahaja pesakit dan pesakit akan melaporkan apa-apa sahaja yang dia nampak. Pesakit juga perlu mengikut apa-apa sahaja arahan perawat.

Saya meminta pesakit agar menjejak rumah tukang sihir. Dengan izin Allah, pesakit nampak seorang lelaki sedang memuja sesuatu. Saya menyuruh pesakit agar mengikat tubuh lelaki tersebut. Alhamdulillah, pesakit menggayakan mengikat tubuh lelaki tersebut. Seterusnya, saya meminta pesakit meninjau kawasan sekeliling rumah tersebut dan melaporkan apa yang dilihat. Pesakit memberitahu bahawa dia nampak banyak sekali makhluk yang berwajah mengerikan. Saya meminta pesakit menadah tangan kanan dan meminta mengisyaratkan dia menggenggam sebilah pedang. Dengan pedang ghaib tersebut, saya mengarahkan agar menyerang semua makhluk tersebut. Mudah-mudahan usaha yang kelihatan tidak masuk akal ini akan berjaya merawat penyakit yang dideritai oleh pesakit selama ini dan mengajar tukang sihir yang bersekongkol dengan jin-jin jahat. Walaubagaimanapun, perlu juga diingat supaya tidak mempercayai seratus peratus dengan apa yang dilihat secara batin kerana dalam dunia ghaib, ada banyak tipu dayanya. Wallahu’aklam...

Insya-Allah bersambung

“Kesembuhan Milik Allah”
Sekian sahaja coretan daripada hamba yang fakir ini..


Post a Comment