Sunday, 17 July 2016

MEMANG AKU TAK KUAT... YANG KUAT ALLAH

Assalamu’alaikum wwt.

Saudara  pembaca yang dihormati,
Selamat menyambut hari raya aidil fitri, maaf zahir dan batin.

Sedikit Catatan Hari Raya

Pada tahun ini, saya sekeluarga menyambut hari raya aidil fitri di rumah mentua di Felda Jengka 11. Sepatutnya giliran raya pertama adalah di Felda Chini 1, namun atas beberapa kekangan, saya terpaksa mengalah. Lagipun jarak antara Bandar Jengka ke Chini tidaklah jauh sangat iaitu sekadar lebih kurang 2 jam perjalanan berkereta. Pada hari raya ke tiga, saya telah mengadakan kunjungan silaturrahim keluarga sebelah arwah bapa yang berada di Segamat dan di Muar, Johor. Sudah lama saya tidak berjumpa dengan saudara mara di Johor ini. Lagipun tidak elok memutuskan tali silaturrahim, apatah lagi sejak bapa yang sudah meninggal dunia hampir 12 tahun lalu. Pada kesempatan berkunjung ke rumah kakak di Muar, saya berkesempatan merawat anak saudara yang tekena penyakit misteri. Harap-harap penyakitnya sembuh dengan izin Allah.

Pesakit di Jerantut

Tugas sebagai perawat atau mualij boleh dikatakan tiada noktah. Ada-ada sahaja pertolongan yang perlu dihulurkan kepada mereka yang memerlukan. Setakat ini saya tiada apa-apa masalah untuk memikul amanah yang diberi oleh guru. Apa-apapun saya sentiasa bersyukur kepada Allah yang memberikan pertolongan dan perlindungan.

Pada minggu pertama syawal baru-baru ini iaitu pada hari Ahad, saya dihubungi melalui telefon oleh seseorang yang tidak dikenali yang meminta saya merawat kakaknya yang kerasukan di Jerantut. Pada mulanya saya agak keberatan untuk merawatnya kerana saya baru balik ke rumah. Badan pun masih terasa penat lagi. Lagipun jarak ke tempat pesakit agak jauh juga. Namun, keluarga pesakit tidak berputus asa dan terus mengharapkan pertolongan saya untuk merawatnya. Saya pun tidak berani berjanji dengan pasti kerana bimbang tidak ditepati. Saya cuba mencadangkan agar pesakit tersebut di bawa sahaja ke rumah saya. Namun, keluarga pesakit mengatakan tidak boleh, kerana pesakit terlalu agresif dan kemungkinan perkara buruk akan berlaku dalam perjalanan.  Akhirnya saya terpaksa mengalah kerana berasa kasihan melihat gambar pesakit yang dikirim melalui telefon bimbit. Kelihatan di dalam gaambar tersebut, pesakit terpaksa diikat kaki dan tangannya di sebuah kerusi lantaran terlalu agresif mengamuk sehingga mencederakan dirinya dan orang lain. Dalam hati saya berkata, berat juga nampaknya kes ini. Sebagai perawat, saya tidak akan mengalah sebelum berjuang. Saya percaya akan pertolongan Allah dan pasti ada jalan penyelesaian.

Pada petang Ahad itu, saya bergerak ke Jerantut berkereta seorang diri menuju ke rumah pesakit. Kebetulan waktu asar baru masuk, jadi saya menunaikan solat asar dahulu di Masjid Lama Jerantut. Sebelumnya saya berpesan kepada adik lelaki pesakit agar menunggu saya di masjid tersebut kerana saya tidak tahu lokasi rumahnya. Selesai solat saya di bawa ke rumah pesakit di taman berhampiran. Saya meneliti dahulu kawasan persekitaran luar rumah dan mendapati agak besar juga rumah tersebut. Doa-doa perlindungan dibaca memohon kepada Allah agar dipermudahkan urusan. Maklumlah berhadapan dengan kes-kes sebegini memerlukan semangat dan hati yang ikhlas dalam merawat.

Sesi Rawatan

Saya dipersilkan naik ke rumah untuk merawat pesakit. Pada masa itu pesakit sedang duduk di atas tilam dalam keadaan yang agak tidak terurus. Tatapan matanya kelihatan kosong dan saya cuba berbicara dengannya. Saya bertanya apa yang dia rasa apabila berdepan dengan saya. katanya, dia rasa berdebar-debar dan tidak senang duduk. Saya cuba berbicara seadanya supaya dia berasa selesa, namun sebaik saya memulakan bacaan ayat-ayat suci al-Quran, tiba-tiba sahaja dia melompat dan cuba hendak lari.

Kudratnya ketika itu, masyaAllah betul-betul kuat sehingga terpaksa dipegang oleh suami dan adik-beradiknya yang lain. Dalam pada sedikit leka itu, tiba-tiba satu tendangan hinggap di kepala saya. wah...ini tidak boleh jadi. Main kasar nampaknya. Kesabaran saya sedikit tergugat, namun masih terkawal. Saya terpaksa memegang tangan pesakit tanpa berlapik kerana perlu mengunci geraknya. Dalam pada itu mulut pesakit terus mengomel tanpa henti yang antara lainnya meminta saya tidak mencampuri urusannya.

Apabila keadaan sedikit reda, saya terus mengalunkan bacaan ayat-ayat suci ruqyah sebagai terapi. Saya lihat jin di dalam badan pesakit terkesan dan merasakan azab, namun masih berlagak dan degil. Pada saya, hal-hal semacam ini sudah menjadi asam garam perawat. Sesekali jin tersebut memperli saya dengan mengatakan bahawa saya bukanlah tandingannya. Dikatakan bahawa saya lemah dan tidak hebat. Saya hanya tersenyum sahaja dan mengiyakan kata-katanya. Saya jelaskan bahawa saya memanglah lemah dan tdak hebat kerana yang kuat dan hebat adalah ALLAH SWT. Jin tersebut diam kerana saya mematahkan hujahnya.

Saya tahu bahawa saya tidak perlu melayannya bercakap. Sesekali saya membentak menyuruhnya keluar dan jika berdegil, azab Allah akan menantinya dan sesungguhnya azab Allah amatlah pedih. Namun, memang menjadi dasar dan perangai jin yang bersifat degil. Jin  tersebut rela mati demi melaksanakan tugas yang disuruh oleh tuannya, si tukang sihir. Jin itu sanggup melaksanakan arahan tuannya dengan alasan tuannya telah memberi makanan kepadanya.

Saya terus membaca beberapa ayat-ayat tertentu yang berisi ayat-ayat azab dan tidak menghiraukan teriakan pesakit (jin) tersebut. Apabila saya membacakan surah Assofat (Ayat 1 – 10) kedengaran raungan suara pesakit yang sungguh kuat dan selepas itu pesakit terus sedar tetapi dalam keadaan keletihan. Saya memberi sedikit masa buat pesakit berehat. Lagipun saya juga terasa letih.

Rawatan tersebut saya akhiri dengan membuat air penawar dan mengajar pesakit membenteng dirinya sendiri. Saya tegaskan kepada ahli keluarganya supaya membuat rawatan ulangan sehingga diri pesakit benar-benar sembuh. Untuk rawatan ulangan, eloklah dibawa pesakit ke rumah saya.

Nantikan sambungan...rawatan ulangan


Salam hormat daripada saya.
Post a Comment