Assalamu’alaikum wwt.
Salam Ramadan Al Kareem.
Apa agaknya yang akan kita rasai apabila tidak dapat
makan dalam jangka masa yang lama? Sudah tentu hal ini akan mengganggu
kesihatan kita. Tubuh badan tidak bermaya dan sukar melakukan pelbagai aktiviti
lasak lantaran tiada tenaga. Penyakit seperti ini kedengaran agak pelik namun
tidak mustahil penyakit ini boleh berlaku. Kalau saya katakan bahawa penyakit
ini ada kaitan dengan gangguan makhluk halus tentu ramai yang tidak akan
percaya. Hakikatnya, penyakit itulah yang pernah saya rawat.
Al kisah
Saya ada seorang kenalan yang selalu bertegur sapa apabila
berjumpa. Tambahan pula, dia begitu menghormati saya kerana saya pernah
mengajar anaknya di sekolah. Namun dia tidak tahu bahawa saya ada kebolehan
merawat (sekadar pinjaman daripada Allah). Apabila dia tahu saya boleh merawat,
maka dia berhasrat untuk membawa kakaknya yang mengalami penyakit misteri iaitu
tidak boleh menjamah makanan. Asal sahaja dia menyuapkan makanan ke dalam
mulutnya maka pasti akan dimuntahkan semula. Tidak tahu mengapa terjadi begitu.
Mujurlah kakaknya itu boleh minum sedikit air untuk kesinambungan hidup.
Keadaan penyakit kakaknya itu terjadi hampir 3 bulan. Lama juga penderitaannya
itu..
Setelah masa rawatan ditetapkan, maka dibawanya
kakaknya itu ke rumah saya. MasyaAllah, memang kurus kelihatannya. Kasihan juga
saya melihatnya. Saya mengambil kesempatan berbual-bual bertanyakan punca
penyakit dan apa yang dirasainya sehingga kini.
![]() |
Tiada selera makan |
Rawatan
Saya mulakan dengan niat untuk merawat dan memohon
izin dari Allah untuk merawatnya. Saya berharap agar Allah memperkenankan
permohonan saya ini. Permohonan ini perlu disertai keyakinan bahawa Allah pasti
akan menyembuhkannya. Saya tuntun pesakit untuk memohon ampun kepada Allah di
atas segala dosa-dosa dan berselawat kepada Nabi Muhammad saw memohon diberi
berkat dan syafaat baginda. Tanpa berkat baginda, siapalah saya untuk membaca
ayat-ayat suci al-Quran sebagai medium penyembuhan. Seterusnya, saya
menganjurkan agar pesakit berniat dan berdoa untuk sembuh daripada segala
penyakit yang zahir dan yang batin, mahupun yang berpunca daripada gangguan
jin.
Setelah semuanya lancar, barulah saya meruqyahnya
dengan lantunan ayat-ayat suci al-Quran terpilih. Mudah-mudahan getaran suara
dan energi ruqyah ini akan menyembuhkan penyakitnya. Setelah dirasakan agak
cukup, saya bertanyakan kepada pesakit apakah kesan yang dirasainya. Pesakit
memberitahu bahawa ada semacam ulat-ulat bergerak-gerak di dalam badannya dan
turun ke kaki. Mendengarkan pengakuanya, saya tersenyum kerana yakin itulah
punca penyakitnya selama ini. Biasanya jika ada petanda seperti itu, mudahlah
saya menariknya keluar dengan izin Allah. Teknik seterusnya, saya menarik
segala penyakit dan punca penyakit dengan kaedah tarikan serban yang diniatkan
dan didoakan. Mudah-mudahan Allah memberkati usaha saya yang kerdil ini.
Panggilan Telefon
Setelah beberapa hari, saya menerima panggilan telefon
daripada kenalan saya itu memberitahu bahawa kakaknya itu sudah ada perubahan
dan berselera makan. Diceritakan bahawa sekembalinya kakaknya daripada berubat
di rumah saya, nafsu makannya terus terbuka dan ‘kemaruk’ untuk makan. Terima
kasih banyak-banyak diucapkan kepada saya dengan nada gembira. Saya katakan
kepadanya bahawa hendaklah bersyukur kepada Allah yang menyembuhkannya. Saya
hanyalah sebab sahaja untuk kakaknya itu sembuh.
Sekian sahaja coretan saya pada kali ini.
Selamat menunaikan ibadah puasa.
12/06/2016 (Ahad)