Sunday, 6 March 2016

HIKMAH PENGGUNAAN BAHAN UNTUK RAWATAN GANGGUAN JIN

Assalamu’alaikum wwt..
Sidang pembaca yang dikasihi,
     
Setiap ciptaan Allah yang berada di atas muka bumi ini ada manfaatnya yang tersendiri bagi kegunaan manusia. Manusia hanya perlu meneroka dan membuat kajian akan keberkesanan setiap tumbuhan tersebut. Ada sesetengah bahan atau tumbuh-tumbuhan yang boleh dijadikan atau penawar yang mujarab bagi sesuatu penyakit. Gabungan bahan tumbuhan dan ruqyah ayat-ayat suci al-Quran boleh mempercepatkan proses penyembuhan sesuatu penyakit dengan izin Allah.

Tulisan pada kali ini ingin menyorot serba sedikit kelebihan penggunaan bahan-bahan dalam ikhtiar pengubatan Islam. Bahan-bahan tersebut dikatakan dapat membantu dalam mengatasi masalah penyakit akibat gangguan jin. Ada sesetengah testimoni yang turut mengakui akan keberkesanan dan kelebihan bahan ini dalam rawatan. Berikut adalah beberapa contoh bahan-bahan yang boleh digunakan dalam ikhtiar penyembuhan penyakit akibat gangguan jin.

LIMAU PURUT atau LIMAU NIPIS

Limau purut dikatakan mempunyai anti oksidan yang tinggi, kaya dengan flavonoid dan polifenol yang dikatakan sangat berkesan untuk membantu penyakit jantung dan kanser. Ianya juga mengandungi pelbagai vitamin dan bahan mineral termasuk vitamin C, B1, B2, Sodium, Kalium dan zat besi. Limau juga mengandungi Tannin, Triterpenouid dan Saponin. Khasiat limau purut juga berfungsi untuk merawat masalah kulit seperti Ekzema dan Proriosis. Kulit limau purut tersebut sangat baik untuk darah dan merawat masalah sistem pencernaan.

Limau purut

Hikmah Sifat Bahan

Guru saya ada mengajarkan tentang penggunaan limau nipis atau limau purut  untuk membantu merawat penyakit-penyakit akibat gangguan jin. Dalam konteks ini, penggunaan bahan tersebut dikiaskan kepada sifat buah tersebut yang mengandungi  bahan-bahan yang mengandungi asid-asid tertentu yang diakui memberi bekas dan kesan yang memudaratkan terhadap fizikal jin dalam tubuh pesakit.

Walaupun tiada nas qat’ie daripada Al-Quran dan hadis akan tetapi ianya boleh diqiaskan dengan sebuah hadis yang mana baginda Rasulullah melarang kita menjirus air panas dan kencing dalam lubang kerana kemungkinan ada jin yang mendiami lubang tersebut.

Kita bukan melihat daripada sudut larangan menjirus air panas atau kencing, tetapi kita melihat sifat kepada kencing tersebut adalah panas dan tajam. Maka diqiaskan dengan limau tersebut dengan air panas. Sifat limau adalah tajam dan mengandungi asid yang tertentu dan bau limau tersebut yang mengharumkan, kerana jin jahat amat benci kepada wangi-wangian. Apatah lagi jika limau tersebut telah diruqyah dengan ayat-ayat Al-Quran yang doa. Maka ianya sangat-sangat memberi  bekas dan kesan yang memudaratkan jin dalam tubuh pesakit atau persekitaran.

Biasanya saya memberi pilihan kepada pesakit yang mengalami masalah gangguan jin agar membawa limau nipis ataupun limau purut dalam bilangan yang ganjil sama ada tiga, lima atau tujuh biji. Bahan tersebut akan diruqyah bersama-sama air dan digunakan untuk mandian bilasan terakhir. Dengan izin Allah, biasanya gangguan tersebut akan beransur-ansur hilang.

DAUN BIDARA

Pokok Bidara juga dikenali dengan nama Pokok Epal Cina atau Bidara Cina. Daun daripada pokok bidara ini boleh digunakan dalam perubatan Islam. Penggunaan daun bidara ini sangat efektif bagi membantu proses penyembuhan penyakit kerana gangguan jin. Telah dinyatakan keharusan penggunaan daun bidara ini oleh Syeikh Islam Ibnu Taimiah, Syeikh Islam Ibnu Qayyim, Syeikh Ibnu Al-Bazz, Syeikh Wahhab bin Munabbih radiallahu a’nhum ajmaen.

Daun Bidara

Hikmah Sifat Bahan

Pada daun bidara itu sendiri ada khasiat yang tertentu dan bersifat tajam dan mampu melumpuhkan fizikal jin. Syeikh Wahhab bin Munabbih R.A menyarankan menggunakan tujuh helai daun bidara yang ditumbuk lumat halus, kemudian dilarutkan di dalam air yang telah diruqyah dengan ayat-ayat Al-Quran untuk dibuat minum dan mandi.

Jika dilihat dalam beberapa hadis, bahawa Baginda Rasulullah SAW pernah menyuruh menggunakan daun bidara untuk memandikan jenazah, kemungkinan kelebihan daun bidara ini mampu untuk membunuh atau menghapuskan gas ammonia pada jenazah yang menyebabkan mereka yang memandikan jenazah berasa tidak tenang atau demam dikenali dengan nama badi mayat akibat dijangkiti kuman yang terhasil daripada gas ammonia. Oleh sebab itulah ada hadis riwayat Imam Muslim RA menyatakan bahawa disunatkan bagi wanita yang datang haidh untuk mandi air yang dicampur daun bidara.

Pada penjuru pagar rumah saya telah ditanam dengan sebatang pokok bidara yang sekarang sangat rimbun dan subur. Jika ada pesakit yang ada gangguan jin dan susah untuk dikeluarkan, saya akan memetik 21 helai daun bidara ini. Daun bidara ini saya ruqyahkan dan digunakan dalam rawatan selama tiga hari (7 helai x 3 hari). Daun ini ditumbuk di dalam lesung batu dan kemudian dicampur dengan air ruqyah. Airnya diminum sementara serdaknya dicampur dalam air mandian untuk bilasan terakhir. Cara ini dapat membantu dalam prose rawatan. InsyaAllah..

GARAM KASAR

Garam kasar merupakan antara bahan-bahan yang seringkali digunakan dalam pengubatan Islam. Kelebihan dan khasiatnya telah diakui oleh Allah SWT dan Rasulullah seperti yang telah dinyatakan dalam sebuah hadis Baginda Rasulullah yang  bermaksud:

“Sesungguhnya ada empat benda yang diturunkan oleh Allah SWT ke muka bumi mempunyai keberkatan : Besi, Api, Air, Garam”.

Garam kasar

Hikmah Sifat Bahan

Radiasi dan kecelaruan hanya boleh dirungkai dan diurai oleh getaran yang kuat dan bertenaga. Garam mempunyai getaran yang amat kuat bacaannya yang sama dengan unsur-unsur kerohanian yang bersifat Latifatur Rabbaniah dan suci. Melalui konsep sains, ianya berfungsi untuk meleraikan radiasi serta gelombang yang kurang sihat dalam tubuh badan pesakit.

Garam mampu memberikan kesan mudarat kepada seseorang dan tindakannya bergantung niat seseorang itu juga. Akan tetapi sekiranya terdapat kesan-kesan gangguan spiritual, maka penggunaan garam itu adalah digalakkan kerana memandangkan garam itu berada di dalam Rahsia Api dalam ilmu metafizik dan bertindak sebagai gelombang julat tinggi kerana ada juga kes kecemasan yang juga berpunca daripada keadaan julat yang tinggi.

Salah satu bahan yang sering digunakan oleh pengamal perubatan Islam  dalam ikhtiar “Pagar Rumah” ialah dengan menggunakan garam kasar. Garam kasar yang relah didoakan, akan ditabur atau direjam di dalam rumah dan di bahagian luar rumah. Kaedah ini dikatakan mujarab untuk menghalau gangguan jin yang berada di dalam rumah.

Garam juga boleh menyakitkan dan mampu melukakan jin secara fizikalnya apabila dibacakan ayat-ayat ruqyah pada garam tersebut. Ianya juga boleh diqiaskan sepertimana dengan hadis yang berkaitan dengan air panas kerana garam mempunyai asid yang tertentu dan mineral asli yang bersifat tajam, juga mampu mengeluarkan jin yang merasuki tubuh pasakit. Baginda Rasulullah telah bersabda dalam sebuah hadis yang bermaksud :

          “Barangsiapa yang memulakan makan dengan secubit garam, nescaya Allah SWT akan hindarkan 330 penyakit, antaranya yang paling kurang ialah gila, kusta, taun, sakit gigi dan yang bakinya Allah SWT lebih Maha Mengetahui.”

Maka tidak mustahillah kemungkinan salah satu daripadanya adalah yang bersifat spiritual: gangguan jin dan sebagainya. Ini juga hujah kepada mereka yang mendakwa bahawa Perubatan Islam yang meniru kaedah rawatan mereka sedangkan kaedah ini telah dinyatakan oleh Baginda Rasulullah 1400 tahun yang lalu.


Sekian sahaja untuk perkongsian pada kali ini. Mudah-mudahan bermanfaat..
Wallahu’aklam...



Sumber dan pengubahsuaian;

Post a Comment