Friday, 4 March 2016

GANGGUAN BAYI MENANGIS MALAM

Assalamu’alaikum wwt..

Pasangan yang sudah berkahwin dan dikurniakan cahaya mata tentunya berasa amat gembira kerana cahaya mata adalah penambat kasih sayang yang telah dibina. Sudah semestinya anak kecil itu dijaga dengan penuh perhatian. Sedikit tangisan bayi boleh menimbulkan kegusaran di dalam hati. Menangis bagi bayi atau anak kecil merupakan perkara biasa, bukan semestinya kerana ada masalah atau kerana kecuaian ibu. Malah menangis merupakan suatu pernyataan bayi atau kanak-kanak sebagai ganti kepada pertuturan yang tidak dapat diluahkan terhadap sesuatu yang berlaku. Namun begitu, ada juga bayi yang menangis kerana gangguan makhluk halus.


Menangis tanpa henti


Punca Menangis Yang Normal

Terdapat bayi yang mula menangis apabila tidurnya terganggu, biarpun oleh suara yang perlahan seperti bunyi benda jatuh, bunyi tapak kaki, bunyi pintu tertutup dan sebagainya. Pada kebiasaannya tangisan akibat gangguan tersebut berlaku dalam tempoh yang singkat. Tangisan biasa selalunya ada kaitan dengan punca yang jelas seperti tercucuk pin pakaian, pakaian terlalu ketat menyebabkan bayi terasa tidak selesa, lampin basah, rasa terlalu panas, sakit perut, dahaga, lapar, rasa kesepian dan sebagainya.

Sesetengah bayi atau anak kecil akan menangis apabila berubah tempat tidur, dari tempat gelap yang biasa dia tidur berpindah ke tempat terang atau sebaliknya. Anak-anak yang dibawa balik kampung menghadiri majlis kenduri mungkin akan menangis kerana suasana tempat tidur yang berubah atau sebaliknya.

Punca Menangis Kerana Gangguan Makhluk Halus

Ada orang yang mengaitkan keadaan sedemikian rupa, yang dikenali sebagai sawan tangis ini, akibat gangguan makhluk-makhluk halus, tidak kira sama ada gangguan tersebut akibat perbuatan makhluk halus yang dilibatkan dengan perbuatan manusia, ataupun akibat gangguan jin yang menggemari manusia, sejak seseorang itu dilahirkan, yang dikenali sebagai qarin atau makhluk halus yang datang menumpang bersama manusia.

Perkataan qarin berasal daripada bahasa Arab bererti teman atau pasangan. Istilah qarin bererti roh-roh jahat, yang terdiri daripada makhluk-makhluk halus yang sentiasa mendampingi manusia, sejak seseorang itu dilahirkan sehinggalah dia meninggal dunia. Kewujudan qarin di samping manusia ialah untuk membiasakan, iaitu untuk menggoda atau menyesatkan, sehingga manusia itu tunduk kepada nafsu, yang akhirnya melakukan dosa, tidak kira sama ada dosa itu dosa kecil berpanjangan atau dosa besar seperti membunuh, berzina, makan harta anak yatim dan sebagainya. Cara lain ialah dengan memesongkan iktikad mereka sehingga membawa kepada perbuatan syirik atau murtad.
Selain itu, qarin juga berusaha untuk mencederakan fizikal dan roh manusia secara bersendirian ataupun dengan perantaraan manusia, menyebabkan manusia menggunakan jin-jin untuk melakukan perbuatan tertentu seperti untuk menyakiti orang lain dan sebagainya. Apabila ini berlaku, maka dari sini terjadilah kegiatan sihir.

Mengikut keterangan daripada guru saya, makhluk halus yang sering mengganggu bayi tersebut dikenali sebagai Ummu`s-Sibyan, iaitu sejenis makhluk jin yang sering mengganggu bayi, yang boleh menyebabkan timbul pelbagai masalah termasuk gangguan tidur pada waktu malam, yang akhirnya boleh menyebabkan demam panas ataupun sawan tangis.

Simpton-simpton bayi Menangis Akibat Gangguan Makhluk Halus

Saya percaya bahawa dalam menangani bayi yang menangis akibat punca semulajadi atau yang dapat dilihat, mudah untuk ditenangkan tetapi jika disebabkan oleh gangguan makhluk halus agak sukar ditenangkan jika tidak tahu caranya. Dalam tulisan ini, saya ingin meninjau serba sedikit tentang gangguan makhluk halus yang menjadi punca bayi menangis.

Bayi atau anak kecil boleh terganggu akibat gangguan yang tidak dapat dilihat oleh mata kasar, ataupun melalui eksperimen teknologi moden. Dalam masa tertentu anak tadi kadang-kadang memperlihatkan reaksi luar biasa dengan wajah yang ketakutan seolah-olah sedang melihat satu objek yang menggerunkan di hadapannya.

Mungkin sukar untuk menjelaskan bagaimana gangguan yang tidak dapat dilihat itu boleh mengganggu bayi menyebabkan dia tidak berhenti-henti menangis, terkujat-kujat dan terketar mulut sehingga tidak terdengar suara tangisannya menyebabkan ibu dan juga bapanya menggelabah.

Ada beberapa tanda lumrah yang boleh diperhatikan oleh mata kasar sekiranya bayi atau kanak-kanak itu menangis akibat gangguan seperti yang dijelaskan, bukan disebabkan akibat luaran.

Tangisan biasa selalunya disertai dengan air mata. Keadaan ini jarang berlaku pada mereka yang menangis akibat gangguan, manakala suara tangisannya juga berlainan daripada tangisan biasa. Dalam keadaan tertentu tangisan ini mungkin disertai dengan air mata yang bersangatan.
Kanak-kanak ini kadang-kadang berhenti menangis sebentar, kemudian menangis semula. Mata yang pejam ketika berhenti menangis itu akan melahirkan ombak pada kelopak mata, seolah-olah kedua-dua biji matanya itu sedang memerhatikan sesuatu di bahagian kanan dan kiri.

Tangisan akibat gangguan selalunya mengeluarkan suara yang mendayu-dayu dan berpanjangan. Mata bayi kelihatan pejam. Tangisan terjadi seumpama dalam keadaan tidak sedarkan diri (tidur). Dahi atau bahagian tengah, antara dua alis kadang-kadang berkerut, seolah-olah ada sebiji mata di bahagian tersebut yang sedang memerhatikan sesuatu.

Sering terjadi pada anak-anak kecil yang terganggu, mereka menangis dan menjerit dalam keadaan ketakutan dan menggigil seolah-olah disergah oleh sesuatu yang menakutkan. Anak ini setelah puas menangis, akan tidur sebentar, lalu menangis lagi dalam keadaan teresak-esak yang disertai dengan tarikan nafas yang tersekat-sekat.

Kaedah Merawat Secara Islam

Ada banyak kaedah atau usaha boleh dilakukan yang diajar oleh Rasulullah s.a.w. dalam usaha mengatasi masalah seperti ini, di antaranya ialah dengan membacakan surah al-Fatihah, ayat al-Kursi, surah an-Nas dan surah al-Falaq, kemudian hembuskan pada ubun-ubun anak. Lakukan sebanyak tiga kali. Sekiranya anak-anak ini masih juga menangis, bacakan azan di telinga kanannya dan iqamah di telinga kiri. Lakukan sekali ataupun tiga kali.

Dalam sebuah hadis riwayat oleh Abu Isa at-Tarmizi, katanya telah diriwayatkan oleh Aqabah bin Amir al-Juhani, daripada Nabi sabdanya: “Sesungguhnya Allah telah menurunkan kepada aku beberapa ayat yang tidak diperlihatkan seumpamanya, iaitu Qul a'uzu bi rabbinnas dan Qul a'uzu bi rabbilfalaq sehingga akhirnya.”

Hadis ini bermaksud bahawa Allah telah menurunkan dua ayat di atas kepada Rasulullah yang mempunyai fadilat yang amat besar, iaitu untuk melindungi diri daripada bahaya teguran hasad dan pandangan mata jahat (ain).  Termasuk dalam kategori pandangan mata jahat ialah manusia yang dibantu oleh jin-jin untuk melakukan perbuatan sihir, yang memancarkan pandangan jahatnya kepada mangsa melalui pandangan mata, termasuk bayi atau anak-anak yang menyebabkan berlakunya gangguan roh.

Mudarat akibat daripada pandangan mata jahat memang boleh berlaku. Dalam menghadapi masalah seperti ini Rasulullah membenarkan Asma' Binti Umays (isteri seorang sahabat) untuk meminta pertolongan kepada orang yang tahu menjampi dalam usaha untuk menolong merawat anak Jaafar, iaitu saudara kepada Ali Abu Talib.

Sebagai alternatif tambahan, saya lebih suka merawat bayi menangis akibat gangguan makhluk halus ini dengan menggunakan minyak wangi kasturi hitam yang telah dibacakan dengan ruqyah pilihan. Ruqyah yang paling asas ialah dengan dibacakan surah al Fatihah, ayatul Kursi, dan tiga Qul (Al Ikhlas, Al Falak dan An Nas). Minyak kasturi ini dicalitkan pada setiap sendi bayi atau kanak-kanak tersebut sebelum tidur.

Wallahu’aklam...

Sumber dan olahan;
Artikel Soal Jawab Agama Bersama Dr. Amran Kasimin di http://ww1.utusan.com.my/utusan/ 

ARKIB : 31/03/2002
Post a Comment