Wednesday, 30 March 2016

PENTINGNYA MENUNTUT ILMU DENGAN BERGURU DAN BERSANAD DALAM ISLAM

Assalamu’alaikum wwt.
Saudara pembaca yang dihormati,

Menuntut ilmu adalah wajib ke atas setiap manusia. Dengan adanya ilmu, manusia akan ada nilainya dalam kehidupan. Manuntut ilmu perlu kepada berguru dan bukannya hanya melalui pembacaan buku atau melayari internet semata-mata.  Gaya hidup masyarakat pada hari ini amat menggusarkan hati kita, kerana pada mereka cukuplah ilmu itu dipelajari melalui buku-buku atau berguru  di dalam internet. Memang boleh mendapatkan ilmu dan pengetahuan tanpa mengadap guru. Hal ini kerana banyak buku di pasaran dan di alam maya. Saya tidak nafikan hal tersebut, cuma yang terlebih baik ialah hendaklah kita menuntut ilmu dengan berguru dan bersanad. Ilmu yang memang perlu kita berguru ialah ilmu yang berkaitan dengan amalan agama Islam itu sendiri.

Dalam hal ini tidak terkecuali menuntut ilmu pengubatan Islam dengan cara mengadap guru. Memang ada kelainan jika kita menuntut ilmu dengan berguru dan tidak berguru. Sebagai contoh, ayat-ayat ruqyah yang dibaca memang ramai yang mengetahuinya seperti surah al Fatehah dan ayatul Qursi namun keberkesanannya dalam rawatan ada bezanya. Jika begitu, sudah tentu para ustaz atau guru-guru agama boleh menjadi perawat kerana mereka memang ahli dalam pembacaan ayat-ayat al-Quran tetapi hakikatnya tidak begitu.

Di bawah ini saya bawakan banyak hujah atau dalil tentang keharusan menuntut ilmu dengan berguru dan bersanad dalam Islam. Mudah-mudahan info ini akan menyedarkan akan diri kita agar segera berguru untuk mendapatkan sesuatu ilmu.


Dari Abdullah ibn Mas’ud ra., Rasulullah saw bersabda: “Sebaik-baik manusia adalah (yang hidup) di zamanku, kemudian orang-orang setelahnya, kemudian orang-orang setelahnya”. (HR. Bukhari, No. 2652, Muslim, No. 6635).

Rasulullah saw. bersabda, “Barangsiapa menghuraikan Al Qur’an dengan akal pikirannya sendiri (tanpa guru) dan merasa benar, maka sesungguhnya dia telah berbuat kesalahan.”. (HR. Ahmad)

Dari Ibnu ‘Abbas r.a. berkata Rasulullah saw bersabda, “Di dalam agama itu tidak ada pemahaman berdasarkan akal pikiran, sesungguhnya agama itu dari Tuhan, perintah-Nya dan larangan-Nya.” (HR. Ath Thabarani)

Ibnul Mubarak berkata: ”Sanad merupakan bahagian dari agama, kalaulah bukan karena sanad, maka pasti akan bisa berkata siapa saja yang mau dengan apa saja yang diinginkannya.” (Diriwayatkan oleh Imam Muslim dalam Muqoddimah kitab Shahihnya 1/47 No. 32 )

Dari Ibnu Abbas ra., Rasulullah saw Bersabda: ”Barangsiapa yang berkata mengenai Al-Qur’an tanpa ilmu maka ia menyediakan tempatnya sendiri di dalam neraka.”. (HR.At Tirmidzi)

Imam Malik ra. berkata: “Hendaklah seseorang penuntut itu hafalannya (matan hadith dan ilmu) daripada ulama, bukan daripada Suhuf (lembaran)”. (Al-Kifayah oleh Imam Al Khatib m/s 108)

Imam Asy Syafi’i ra. mengatakan: “Tiada ilmu tanpa sanad.”.
Imam Asy Syafi’i ra. juga berkata: “Barangsiapa yang bertafaqquh (coba memahami agama) melalui isi kandungan buku-buku, maka dia akan mensia-siakan hukum (kefahaman sebenar-benarnya).”. (Tazkirah As-Sami’e: 87)
Berkata Imam Asy Syafi’i ra.: “Orang yang belajar ilmu tanpa sanad guru bagaikan orang yang mengumpulkan kayu bakar digelapnya malam, ia membawa pengikat kayu bakar yang terdapat padanya ular berbisa dan ia tak tahu” (Faidhul Qadir juz 1 hal 433)

Berkata pula Imam Ats Tsauri ra.: “Sanad adalah senjata orang mukmin, maka bila kau tak punya senjata maka dengan apa kau akan berperang?”

Berkata pula Imam Ibnul Mubarak: “Pelajar ilmu yang tak punya sanad bagaikan penaik atap namun tak punya tangganya, sungguh telah Allah muliakan ummat ini dengan sanad.”. (Faidhul Qadir juz 1 hal 433).

Al-Hafidh Imam Ats Tsauri ra. mengatakan: “Penuntut ilmu tanpa sanad adalah bagaikan orang yang ingin naik ke atap rumah tanpa tangga.”.

Bahkan Al Imam Abu Yazid Al Bustamiy ra. berkata: “Barangsiapa tidak memiliki susunan guru dalam bimbingan agamanya, tidak ragu lagi niscaya gurunya syetan.”. (Tafsir Ruhul-Bayan Juz 5 hal. 203)

Asy Syeikh As Sayyid Yusuf Bakhour Al Hasani menyampaikan bahwa: “Maksud dari pengijazahan sanad itu adalah agar kamu menghafazh bukan sekadar untuk meriwayatkan tetapi juga untuk meneladani orang yang kamu mengambil sanad daripadanya, dan orang yang kamu ambil sanadnya itu juga meneladani orang yang di atas di mana dia mengambil sanad daripadanya dan begitulah seterusnya hingga berujung kepada kamu meneladani Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam. Dengan demikian, keterjagaan al-Qur’an itu benar-benar sempurna baik secara lafazh, makna dan pengamalan.“.

Sheikh Ibn Jama’ah berkata: “Sebesar-besar musibah adalah dengan bergurukan sahifah (lembaran-lembaran atau buku).”. (Ibn Al-Jama’ah: 87 dan dinukilkan dalam Muqoddimah Syarh Al-Maqawif 1/90)

Imam Badruddin ibn Jama’ah: “Hendaklah seseorang penuntut ilmu itu berusaha mendapatkan Syeikh yang mana dia seorang yang menguasai ilmu-ilmu Syariah secara sempurna, yang mana dia melazimi para syeikh yang terpercaya di zamannya yang banyak mengkaji dan dia lama bersahabat dengan para ulama’, bukan berguru dengan orang yang mengambil ilmu hanya dari lembar kertas dan tidak pula bersahabat dengan para syeikh (ulama’) yang agung.”. (Tazkirah As-Sami’ wa Al-Mutakallim 1/38)


Itulah beberapa hadits dan dalil-dalil tentang pentingnya menuntut ilmu dengan berguru dan bersanad.
Wallahu a’lm bishshowab.

Sumber dan ubah suai dari;
Oleh: Muhammad Shulfi bin Abunawar Al ‘Aydrus.

http://www.elhooda.net/

Tuesday, 29 March 2016

TANDA-TANDA SIHIR, KERASUKAN dan PENYAKIT ‘AIN

Assalamu’alaikum wwt

Sebagai perawat atau pengamal perubatan Islam berteraskan ruqyah ayat-ayat suci al-Quran, perlu sentiasa peka akan tanda-tanda pada diri pesakit. Kepekaan ini akan semakin tajam apabila kerap merawat pesakit terutamanya yang melibatkan gangguan sihir dan kerasukan. Sebab itulah apabila perawat memberitahu akan tanda-tanda yang dialami oleh pesakit, kebanyakan tanda-tanda tersebut diakui benar. Hal ini bukanlah bermakna seseorang perawat itu kasyaf atau terbuka mata batinnya, tetapi  tanda-tanda  tersebut menjadi petunjuk dalam rawatan seterusnya.

Ada tanda-tanda yang memang betul disertai oleh gangguan jin dan ada juga yang tidak melibatkan gangguan jin. Penelitian yang tepat akan membantu merawat pesakit dan dengan izin Allah akan ada kesembuhan.

Pesakit juga perlu sedar akan tanda-tanda pelik yang dialami pada dirinya dan segeralah berjumpa dengan perawat untuk mendapatkan rawatan. Rawatan pada peringkat awal adalah sangat bagus agar tidak menjadi bertambah teruk.

Berikut adalah tanda-tanda yang dapat dijadikan panduan kepada perawat dan juga pesakit bagi merawat penyakit gangguan sihir atau kerasukan. Tanda-tanda tersebut sebenarnya hasil daripada penelitian para pengamal perubatan Islam terdahulu. Tanda-tanda tersebut dialami oleh pesakit dan perlu diambil kira oleh perawat.

Pertama: Tanda-tanda Sebelum di Ruqyah

Sakit Fizikal
  • Wajah menjadi pucat atau kekuningan, atau muncul kesan lebab pada tubuh yang cenderung berwarna biru atau coklat tanpa diketahui puncanya.
  • Berasa sesak di dalam dada terutama selepas solat asar dan solat maghrib.
  • Kerap mengalami pening kepala atau demam mengejut.
  • Badan berasa sangat letih walaupun tidak melakukan kerja-kerja berat atau sudah tidur secukupnya.
  • Sentiasa merasa kehilangan keseimbangan ketika berjalan. Dirasakan jalannya terhoyong-hayang.
  • Rasa sakit di kawasan sekitar rahim bagi perempuan atau terjadi pendarahan berlebih-lebihan ketika sedang haid.
  • Rasa sakit yang berterusan pada bahagian bawah atau bahagian tulang belakang dan rasa skait di antara kedua bahu.
  • Kulit sensitif yang disertai dengan rasa gatal atau muncul bintik-bintik pada bahagian anggota badan.
  • Kerap cirit-birit, kentut, perut berasa mual, perut kembung dan sukar buang air besar.
  • Dari segi penglihatan pula, pandangan mata semakin lemah dan kerap mengalami rabun penglihatan secara mengejut.
  • Kerap mengeluarkan peluh sejuk dan sering kali hendak membuang air kecil.
  • Kekuatan jimak seorang suami mula melemah atau isteri kehilangan ghairah untuk berjimak.


Perubahan Sikap dan Emosi
  • Enggan bekerja atau cenderung menjauhi pergaualan masyarakat atau malas belajar disertai kecenderungan untuk mengasingkan diri.
  • Pesakit sering merasakan telah melakukan sesuatu padahal dia tidak pernah melakukannya.
  • Kerap menimbulkan pergaduhan diantara suami isteri dan hubungan mesra diantara keduanya sukar diwujudkan.
  • Kerap bergaduh dengan sesama ahli keluarga meskipun atas sebab-sebab yang remeh.
  • kerap berasa hendak marah walaupan atas perkara-perkara yang kecil atau dipanggil ‘panas baran’.
  • Kerap berkhayal yang bukan-bukan.
  • Berasa malas dan tidak bersemangat untuk melakukan sebarang kerja atau sanggup meninggalkan kerja yang sedang dibuat.
  • Tidak ada selera makan dan minum. Kalau makan pun hanya sedikit sahaja.
  • Kerap mendengar dengungan pada kedua-dua telinga atau salah satu dari keduanya.
  • Sukar tidur dan sukar pula untuk bangun ketika dikejutkan.
  • Mendengar suara yang memanggil namanya namun dia tidak melihat orang yang memanggil namanya itu.
  • Kerap berasa sedih, berduka cita dan suka termenung bersendirian. Rasa cemas, kalut, kerap terkejut dan perasaan takut yang berlebihan.
  • Mengalami was-was yang keterlaluan yang diluar kawalan dirinya.
  • Fikiran bercelaru dan kerap lupa.
  • Tercium bau peluh yang tidak seperti biasanya atau tercium bau  busuk atau bau aneh yang kerap tercium oleh pesakit, meskipun hal itu kadang-kala tidak tercium oleh orang lain yang berada di sisinya.
  • Kerap bermimpi melihat perkara-perkara yang mengerikan seperti bermimpi melihat haiwan-haiwan berbisa seperti ular, kala jengking, dan lain-lain lagi atau haiwan yang tidak berbisa seperti unta atau melihat perkuburan, tempat sampah, jatuh secara mengejut dari tempat yang tinggi, tenggelam ke dalam air dan mimpi-mimpi lain yang mengerikan.
  • Kerap mengigau ketika sedang tidur, sering melagakan giri, sentiasa mengeluh dan merintih ketika tidur.
  • Sentiasa ditindih oleh objek berat ketika sedang tidur.
  • Kerap bangun berjalan meskipun dalam keadaan tidru atau bercakap yang bukan-bukan ketika sedang tidur.


Kedua : Gejala-gejala Ketika Sedang di Ruqyah
  • Pengsan atau berpeluh sejuk
  • Berasa sesak nafas.
  • Kelopak mata bergerak-gerak dengan cepat di luar kesedarannya.
  • Memekik dengan suara yang kuat.
  • Perut terasa mual atau kembung.
  • Suara mengalami perubahan atau keluar suara aneh yang tidak seperti biasanya.
  • Urat leher tiba-tiba membengkak.
  • Kerap menguap dan rasa mengantuk yang teramat sangat atau tidur secara tiba-tiba.
  • Tertawa atau menangis tanpa ada sebab-sebab tertentu.
  • Berasa pening, kepala terasa sakit, atau hendak muntah.
  • Berasa berat dan lenguh pada bahagian anggota badan.
  • Suhu badan secara tiba-tiba panas atau sejuk.
  • Berasa ada sesuatu yang menarik salah satu anggota tubuhnya.
  • Berasa sakit hampir seluruh tubuh.
  • Anggota tubuh bergerak dan bergetar di luar kawalan.
  • Banyak mengeluarkan kahak.
  • Penglihatan mata tiba-tiba berubah menjadi rabun.
  • Bercakap tanpa disedari atau bercakap diluar kawalan.
  • Banyak mengeluarkan pleuh lebih-lebih lagi di kawasan tulang belakang.
  • Air mata kerap berjatuhan atau hingus mengalir dengan banyak.
  • Badan berasa gatal atau muncul bintik-bintik di tubuh atau warna kulit menjadi kemerah-merahan.
  • Menggigil secara mengejut dan boleh dirasakan hampir di seluruh tubuh.
  • Kerap tidak sedarkan diri atau suara pernafasan terdengar tidak seperti biasanya.
  • Wajah berubah menjadi hitam, namun ketika sebaik bacaan ruqyah selesai, wajahnya kembali bersinar.
  • Tercium bau yang teramat busuk yang keluar dari dalam perut menerusi mulut.
  • Denyutan jantung yang begitu cepat disertai getaran pada dada yang tidak menentu.
  • Kerap memejamkan mata atau mata sukar dipejamkan.
  • Lidah terasa pahit ketika meminum air yang dibacakan ayat-ayat suci al-Quran semasa ruqyah berlangsung.

Sekian sahaja coretan daripada hamba yang fakir..

Sumber dan ubah suai

Tuesday, 8 March 2016

TEKNIK PENGGUNAAN AIR YANG DIRUQYAH BAGI MENGUBATI PENYAKIT

Assalamu’alaikum wwt,
Saudara pembaca yang dikasihi,

Sesungguhnya pada kejadian air itu terdapat seribu satu macam faedah kepada manusia. Tanpa air, maka tanduslah bumi ini dan matilah segala kehidupan termasuklah manusia. Air adalah sumber segala segala sesuatu yang hidup.

Firman Allah S.W.T :
“Dan KAMI jadikan daripada air, segala sesuatu yang hidup”
(Surah Al-Anbia, ayat 30 )

 Air telah diperakui oleh saintis sedunia sebagai alat perakam terbaik sekali kerana ketepatannya apabila disukat pada dasarnya. Air sebenarnya boleh merakam setiap gema getaran yang dihadirkan baik dari bunyi termasuk dengan kata-kata dan juga dari hanya niat kita (tanpa kata-kata). Itulah keistimewaan air yang kita sangka hanya untuk pembersihan semata-mata. Islam mendidik kita mengambil wuduk dengan air dengan niat, begitu juga dengan mandian dari hadas kecil ataupun besar yang harus di letakkan dengan niat. Tidakkah kita pernah terfikir air itu sedang merakam niat kita?

Air boleh merakam bacaan ayat-ayat suci al-Quran

Meruqyah Air

Dalam kitab Sunan Abi Daud diriwayatkan menerusi hadis Aisyah bahawa ia mengkhabarkan ,”Pesakit ain pada masa Nabi SAW di suruh berwudhuk, kemudian mandi.”  Ini menunjukkkan bahawa kaedah perawatan ini menggunakan wudhuk dan mandian. Sedangkan dalam berwudhuk, sunat hukumnya membaca taa’wwuz dan basmalah. Taa’wwuz dan basmalah termasuk dalam rangkaian ar-ruqyah.

Kisah sahabat yang bernama Abu Said Al-Khudri RA dengan seorang ketua kabilah yang disengat binatang berbisa. Abu Said Al-Khudri RA datang dan membacakan al-Fatihah dan menyapu pada anggota yang terkena sengatan binatang berbisa itu dan dikurniakan kesembuhan oleh Allah Taala. Al-Fatihah tadi berfungsi sebagai penawar dengan cara dibacakan dan disapukan kepada tubuh pesakit.

Kisah cucu Rasullullah bernama Saidina Hussain bin Ali RA yang demam panas. Apabila semakin panas badan cucunya, lalu baginda susah hati lalu diilhamkan oleh Allah SWT untuk membaca Al-Fatihah di dalam air lalu Baginda SAW membacanya dan ditiupkan ke dalam air. Diberi minum kepada cucu baginda. Izin Allah SWT, tiba-tiba demam panas tadi hilang dengan serta merta. Al-Fatihah tadi berfungsi sebagai penawar kepada demam panas dengan cara dibacakan dan diminum.  

Rasululah SAW bersabda:  “Sesungguhnya penyakit demam (panas) adalah berasal dari neraka jahanam. Kerana itu dinginkanlah dengan air.” (HR Imam al-Bukhari RHM) . Hadis ini sebagai dalil menunjukkan kaedah rawatan menggunakan air sebagai penyejuk sama ada untuk dijelum, disapu, direnjis, diminum dan dimandikan terhadap pesakit.


Maka hukumnya HARUS untuk meruqyah pada air dan dibuat mandi, sapuan dan renjis sama ada kepada pesakit, kediaman, pejabat, kenderaan dan selainnya. Apa yang penting seklai ialah niatnya semata-mata kerana Allah SWT dan bebas daripada unsur-unsur syirik.

Wallahu'aklam.
Segala sesuatu itu terjadi dengan Izin Allah..

Sunday, 6 March 2016

HIKMAH PENGGUNAAN BAHAN UNTUK RAWATAN GANGGUAN JIN

Assalamu’alaikum wwt..
Sidang pembaca yang dikasihi,
     
Setiap ciptaan Allah yang berada di atas muka bumi ini ada manfaatnya yang tersendiri bagi kegunaan manusia. Manusia hanya perlu meneroka dan membuat kajian akan keberkesanan setiap tumbuhan tersebut. Ada sesetengah bahan atau tumbuh-tumbuhan yang boleh dijadikan atau penawar yang mujarab bagi sesuatu penyakit. Gabungan bahan tumbuhan dan ruqyah ayat-ayat suci al-Quran boleh mempercepatkan proses penyembuhan sesuatu penyakit dengan izin Allah.

Tulisan pada kali ini ingin menyorot serba sedikit kelebihan penggunaan bahan-bahan dalam ikhtiar pengubatan Islam. Bahan-bahan tersebut dikatakan dapat membantu dalam mengatasi masalah penyakit akibat gangguan jin. Ada sesetengah testimoni yang turut mengakui akan keberkesanan dan kelebihan bahan ini dalam rawatan. Berikut adalah beberapa contoh bahan-bahan yang boleh digunakan dalam ikhtiar penyembuhan penyakit akibat gangguan jin.

LIMAU PURUT atau LIMAU NIPIS

Limau purut dikatakan mempunyai anti oksidan yang tinggi, kaya dengan flavonoid dan polifenol yang dikatakan sangat berkesan untuk membantu penyakit jantung dan kanser. Ianya juga mengandungi pelbagai vitamin dan bahan mineral termasuk vitamin C, B1, B2, Sodium, Kalium dan zat besi. Limau juga mengandungi Tannin, Triterpenouid dan Saponin. Khasiat limau purut juga berfungsi untuk merawat masalah kulit seperti Ekzema dan Proriosis. Kulit limau purut tersebut sangat baik untuk darah dan merawat masalah sistem pencernaan.

Limau purut

Hikmah Sifat Bahan

Guru saya ada mengajarkan tentang penggunaan limau nipis atau limau purut  untuk membantu merawat penyakit-penyakit akibat gangguan jin. Dalam konteks ini, penggunaan bahan tersebut dikiaskan kepada sifat buah tersebut yang mengandungi  bahan-bahan yang mengandungi asid-asid tertentu yang diakui memberi bekas dan kesan yang memudaratkan terhadap fizikal jin dalam tubuh pesakit.

Walaupun tiada nas qat’ie daripada Al-Quran dan hadis akan tetapi ianya boleh diqiaskan dengan sebuah hadis yang mana baginda Rasulullah melarang kita menjirus air panas dan kencing dalam lubang kerana kemungkinan ada jin yang mendiami lubang tersebut.

Kita bukan melihat daripada sudut larangan menjirus air panas atau kencing, tetapi kita melihat sifat kepada kencing tersebut adalah panas dan tajam. Maka diqiaskan dengan limau tersebut dengan air panas. Sifat limau adalah tajam dan mengandungi asid yang tertentu dan bau limau tersebut yang mengharumkan, kerana jin jahat amat benci kepada wangi-wangian. Apatah lagi jika limau tersebut telah diruqyah dengan ayat-ayat Al-Quran yang doa. Maka ianya sangat-sangat memberi  bekas dan kesan yang memudaratkan jin dalam tubuh pesakit atau persekitaran.

Biasanya saya memberi pilihan kepada pesakit yang mengalami masalah gangguan jin agar membawa limau nipis ataupun limau purut dalam bilangan yang ganjil sama ada tiga, lima atau tujuh biji. Bahan tersebut akan diruqyah bersama-sama air dan digunakan untuk mandian bilasan terakhir. Dengan izin Allah, biasanya gangguan tersebut akan beransur-ansur hilang.

DAUN BIDARA

Pokok Bidara juga dikenali dengan nama Pokok Epal Cina atau Bidara Cina. Daun daripada pokok bidara ini boleh digunakan dalam perubatan Islam. Penggunaan daun bidara ini sangat efektif bagi membantu proses penyembuhan penyakit kerana gangguan jin. Telah dinyatakan keharusan penggunaan daun bidara ini oleh Syeikh Islam Ibnu Taimiah, Syeikh Islam Ibnu Qayyim, Syeikh Ibnu Al-Bazz, Syeikh Wahhab bin Munabbih radiallahu a’nhum ajmaen.

Daun Bidara

Hikmah Sifat Bahan

Pada daun bidara itu sendiri ada khasiat yang tertentu dan bersifat tajam dan mampu melumpuhkan fizikal jin. Syeikh Wahhab bin Munabbih R.A menyarankan menggunakan tujuh helai daun bidara yang ditumbuk lumat halus, kemudian dilarutkan di dalam air yang telah diruqyah dengan ayat-ayat Al-Quran untuk dibuat minum dan mandi.

Jika dilihat dalam beberapa hadis, bahawa Baginda Rasulullah SAW pernah menyuruh menggunakan daun bidara untuk memandikan jenazah, kemungkinan kelebihan daun bidara ini mampu untuk membunuh atau menghapuskan gas ammonia pada jenazah yang menyebabkan mereka yang memandikan jenazah berasa tidak tenang atau demam dikenali dengan nama badi mayat akibat dijangkiti kuman yang terhasil daripada gas ammonia. Oleh sebab itulah ada hadis riwayat Imam Muslim RA menyatakan bahawa disunatkan bagi wanita yang datang haidh untuk mandi air yang dicampur daun bidara.

Pada penjuru pagar rumah saya telah ditanam dengan sebatang pokok bidara yang sekarang sangat rimbun dan subur. Jika ada pesakit yang ada gangguan jin dan susah untuk dikeluarkan, saya akan memetik 21 helai daun bidara ini. Daun bidara ini saya ruqyahkan dan digunakan dalam rawatan selama tiga hari (7 helai x 3 hari). Daun ini ditumbuk di dalam lesung batu dan kemudian dicampur dengan air ruqyah. Airnya diminum sementara serdaknya dicampur dalam air mandian untuk bilasan terakhir. Cara ini dapat membantu dalam prose rawatan. InsyaAllah..

GARAM KASAR

Garam kasar merupakan antara bahan-bahan yang seringkali digunakan dalam pengubatan Islam. Kelebihan dan khasiatnya telah diakui oleh Allah SWT dan Rasulullah seperti yang telah dinyatakan dalam sebuah hadis Baginda Rasulullah yang  bermaksud:

“Sesungguhnya ada empat benda yang diturunkan oleh Allah SWT ke muka bumi mempunyai keberkatan : Besi, Api, Air, Garam”.

Garam kasar

Hikmah Sifat Bahan

Radiasi dan kecelaruan hanya boleh dirungkai dan diurai oleh getaran yang kuat dan bertenaga. Garam mempunyai getaran yang amat kuat bacaannya yang sama dengan unsur-unsur kerohanian yang bersifat Latifatur Rabbaniah dan suci. Melalui konsep sains, ianya berfungsi untuk meleraikan radiasi serta gelombang yang kurang sihat dalam tubuh badan pesakit.

Garam mampu memberikan kesan mudarat kepada seseorang dan tindakannya bergantung niat seseorang itu juga. Akan tetapi sekiranya terdapat kesan-kesan gangguan spiritual, maka penggunaan garam itu adalah digalakkan kerana memandangkan garam itu berada di dalam Rahsia Api dalam ilmu metafizik dan bertindak sebagai gelombang julat tinggi kerana ada juga kes kecemasan yang juga berpunca daripada keadaan julat yang tinggi.

Salah satu bahan yang sering digunakan oleh pengamal perubatan Islam  dalam ikhtiar “Pagar Rumah” ialah dengan menggunakan garam kasar. Garam kasar yang relah didoakan, akan ditabur atau direjam di dalam rumah dan di bahagian luar rumah. Kaedah ini dikatakan mujarab untuk menghalau gangguan jin yang berada di dalam rumah.

Garam juga boleh menyakitkan dan mampu melukakan jin secara fizikalnya apabila dibacakan ayat-ayat ruqyah pada garam tersebut. Ianya juga boleh diqiaskan sepertimana dengan hadis yang berkaitan dengan air panas kerana garam mempunyai asid yang tertentu dan mineral asli yang bersifat tajam, juga mampu mengeluarkan jin yang merasuki tubuh pasakit. Baginda Rasulullah telah bersabda dalam sebuah hadis yang bermaksud :

          “Barangsiapa yang memulakan makan dengan secubit garam, nescaya Allah SWT akan hindarkan 330 penyakit, antaranya yang paling kurang ialah gila, kusta, taun, sakit gigi dan yang bakinya Allah SWT lebih Maha Mengetahui.”

Maka tidak mustahillah kemungkinan salah satu daripadanya adalah yang bersifat spiritual: gangguan jin dan sebagainya. Ini juga hujah kepada mereka yang mendakwa bahawa Perubatan Islam yang meniru kaedah rawatan mereka sedangkan kaedah ini telah dinyatakan oleh Baginda Rasulullah 1400 tahun yang lalu.


Sekian sahaja untuk perkongsian pada kali ini. Mudah-mudahan bermanfaat..
Wallahu’aklam...



Sumber dan pengubahsuaian;

Friday, 4 March 2016

GANGGUAN BAYI MENANGIS MALAM

Assalamu’alaikum wwt..

Pasangan yang sudah berkahwin dan dikurniakan cahaya mata tentunya berasa amat gembira kerana cahaya mata adalah penambat kasih sayang yang telah dibina. Sudah semestinya anak kecil itu dijaga dengan penuh perhatian. Sedikit tangisan bayi boleh menimbulkan kegusaran di dalam hati. Menangis bagi bayi atau anak kecil merupakan perkara biasa, bukan semestinya kerana ada masalah atau kerana kecuaian ibu. Malah menangis merupakan suatu pernyataan bayi atau kanak-kanak sebagai ganti kepada pertuturan yang tidak dapat diluahkan terhadap sesuatu yang berlaku. Namun begitu, ada juga bayi yang menangis kerana gangguan makhluk halus.


Menangis tanpa henti


Punca Menangis Yang Normal

Terdapat bayi yang mula menangis apabila tidurnya terganggu, biarpun oleh suara yang perlahan seperti bunyi benda jatuh, bunyi tapak kaki, bunyi pintu tertutup dan sebagainya. Pada kebiasaannya tangisan akibat gangguan tersebut berlaku dalam tempoh yang singkat. Tangisan biasa selalunya ada kaitan dengan punca yang jelas seperti tercucuk pin pakaian, pakaian terlalu ketat menyebabkan bayi terasa tidak selesa, lampin basah, rasa terlalu panas, sakit perut, dahaga, lapar, rasa kesepian dan sebagainya.

Sesetengah bayi atau anak kecil akan menangis apabila berubah tempat tidur, dari tempat gelap yang biasa dia tidur berpindah ke tempat terang atau sebaliknya. Anak-anak yang dibawa balik kampung menghadiri majlis kenduri mungkin akan menangis kerana suasana tempat tidur yang berubah atau sebaliknya.

Punca Menangis Kerana Gangguan Makhluk Halus

Ada orang yang mengaitkan keadaan sedemikian rupa, yang dikenali sebagai sawan tangis ini, akibat gangguan makhluk-makhluk halus, tidak kira sama ada gangguan tersebut akibat perbuatan makhluk halus yang dilibatkan dengan perbuatan manusia, ataupun akibat gangguan jin yang menggemari manusia, sejak seseorang itu dilahirkan, yang dikenali sebagai qarin atau makhluk halus yang datang menumpang bersama manusia.

Perkataan qarin berasal daripada bahasa Arab bererti teman atau pasangan. Istilah qarin bererti roh-roh jahat, yang terdiri daripada makhluk-makhluk halus yang sentiasa mendampingi manusia, sejak seseorang itu dilahirkan sehinggalah dia meninggal dunia. Kewujudan qarin di samping manusia ialah untuk membiasakan, iaitu untuk menggoda atau menyesatkan, sehingga manusia itu tunduk kepada nafsu, yang akhirnya melakukan dosa, tidak kira sama ada dosa itu dosa kecil berpanjangan atau dosa besar seperti membunuh, berzina, makan harta anak yatim dan sebagainya. Cara lain ialah dengan memesongkan iktikad mereka sehingga membawa kepada perbuatan syirik atau murtad.
Selain itu, qarin juga berusaha untuk mencederakan fizikal dan roh manusia secara bersendirian ataupun dengan perantaraan manusia, menyebabkan manusia menggunakan jin-jin untuk melakukan perbuatan tertentu seperti untuk menyakiti orang lain dan sebagainya. Apabila ini berlaku, maka dari sini terjadilah kegiatan sihir.

Mengikut keterangan daripada guru saya, makhluk halus yang sering mengganggu bayi tersebut dikenali sebagai Ummu`s-Sibyan, iaitu sejenis makhluk jin yang sering mengganggu bayi, yang boleh menyebabkan timbul pelbagai masalah termasuk gangguan tidur pada waktu malam, yang akhirnya boleh menyebabkan demam panas ataupun sawan tangis.

Simpton-simpton bayi Menangis Akibat Gangguan Makhluk Halus

Saya percaya bahawa dalam menangani bayi yang menangis akibat punca semulajadi atau yang dapat dilihat, mudah untuk ditenangkan tetapi jika disebabkan oleh gangguan makhluk halus agak sukar ditenangkan jika tidak tahu caranya. Dalam tulisan ini, saya ingin meninjau serba sedikit tentang gangguan makhluk halus yang menjadi punca bayi menangis.

Bayi atau anak kecil boleh terganggu akibat gangguan yang tidak dapat dilihat oleh mata kasar, ataupun melalui eksperimen teknologi moden. Dalam masa tertentu anak tadi kadang-kadang memperlihatkan reaksi luar biasa dengan wajah yang ketakutan seolah-olah sedang melihat satu objek yang menggerunkan di hadapannya.

Mungkin sukar untuk menjelaskan bagaimana gangguan yang tidak dapat dilihat itu boleh mengganggu bayi menyebabkan dia tidak berhenti-henti menangis, terkujat-kujat dan terketar mulut sehingga tidak terdengar suara tangisannya menyebabkan ibu dan juga bapanya menggelabah.

Ada beberapa tanda lumrah yang boleh diperhatikan oleh mata kasar sekiranya bayi atau kanak-kanak itu menangis akibat gangguan seperti yang dijelaskan, bukan disebabkan akibat luaran.

Tangisan biasa selalunya disertai dengan air mata. Keadaan ini jarang berlaku pada mereka yang menangis akibat gangguan, manakala suara tangisannya juga berlainan daripada tangisan biasa. Dalam keadaan tertentu tangisan ini mungkin disertai dengan air mata yang bersangatan.
Kanak-kanak ini kadang-kadang berhenti menangis sebentar, kemudian menangis semula. Mata yang pejam ketika berhenti menangis itu akan melahirkan ombak pada kelopak mata, seolah-olah kedua-dua biji matanya itu sedang memerhatikan sesuatu di bahagian kanan dan kiri.

Tangisan akibat gangguan selalunya mengeluarkan suara yang mendayu-dayu dan berpanjangan. Mata bayi kelihatan pejam. Tangisan terjadi seumpama dalam keadaan tidak sedarkan diri (tidur). Dahi atau bahagian tengah, antara dua alis kadang-kadang berkerut, seolah-olah ada sebiji mata di bahagian tersebut yang sedang memerhatikan sesuatu.

Sering terjadi pada anak-anak kecil yang terganggu, mereka menangis dan menjerit dalam keadaan ketakutan dan menggigil seolah-olah disergah oleh sesuatu yang menakutkan. Anak ini setelah puas menangis, akan tidur sebentar, lalu menangis lagi dalam keadaan teresak-esak yang disertai dengan tarikan nafas yang tersekat-sekat.

Kaedah Merawat Secara Islam

Ada banyak kaedah atau usaha boleh dilakukan yang diajar oleh Rasulullah s.a.w. dalam usaha mengatasi masalah seperti ini, di antaranya ialah dengan membacakan surah al-Fatihah, ayat al-Kursi, surah an-Nas dan surah al-Falaq, kemudian hembuskan pada ubun-ubun anak. Lakukan sebanyak tiga kali. Sekiranya anak-anak ini masih juga menangis, bacakan azan di telinga kanannya dan iqamah di telinga kiri. Lakukan sekali ataupun tiga kali.

Dalam sebuah hadis riwayat oleh Abu Isa at-Tarmizi, katanya telah diriwayatkan oleh Aqabah bin Amir al-Juhani, daripada Nabi sabdanya: “Sesungguhnya Allah telah menurunkan kepada aku beberapa ayat yang tidak diperlihatkan seumpamanya, iaitu Qul a'uzu bi rabbinnas dan Qul a'uzu bi rabbilfalaq sehingga akhirnya.”

Hadis ini bermaksud bahawa Allah telah menurunkan dua ayat di atas kepada Rasulullah yang mempunyai fadilat yang amat besar, iaitu untuk melindungi diri daripada bahaya teguran hasad dan pandangan mata jahat (ain).  Termasuk dalam kategori pandangan mata jahat ialah manusia yang dibantu oleh jin-jin untuk melakukan perbuatan sihir, yang memancarkan pandangan jahatnya kepada mangsa melalui pandangan mata, termasuk bayi atau anak-anak yang menyebabkan berlakunya gangguan roh.

Mudarat akibat daripada pandangan mata jahat memang boleh berlaku. Dalam menghadapi masalah seperti ini Rasulullah membenarkan Asma' Binti Umays (isteri seorang sahabat) untuk meminta pertolongan kepada orang yang tahu menjampi dalam usaha untuk menolong merawat anak Jaafar, iaitu saudara kepada Ali Abu Talib.

Sebagai alternatif tambahan, saya lebih suka merawat bayi menangis akibat gangguan makhluk halus ini dengan menggunakan minyak wangi kasturi hitam yang telah dibacakan dengan ruqyah pilihan. Ruqyah yang paling asas ialah dengan dibacakan surah al Fatihah, ayatul Kursi, dan tiga Qul (Al Ikhlas, Al Falak dan An Nas). Minyak kasturi ini dicalitkan pada setiap sendi bayi atau kanak-kanak tersebut sebelum tidur.

Wallahu’aklam...

Sumber dan olahan;
Artikel Soal Jawab Agama Bersama Dr. Amran Kasimin di http://ww1.utusan.com.my/utusan/ 

ARKIB : 31/03/2002

Wednesday, 2 March 2016

MENGGUNAKAN JIN SEBAGAI KHADAM


Assalamu'alaikum wwt..

Selalu dipersoalkan orang apakah hukumnya jika seseorang itu menggunakan jin sebagai khadam? Jawapannya, manusia memang boleh menggunakan jin sebagai khadam, bahkan ini banyak berlaku, baik di negara kita Malaysia maupun di negara-negara Afrika dan sebagainya.Mereka menggunakan jin untuk tujuan kejahatan seperti merosakkan orang, menyakiti mereka dan sebagainya.

Sebenarnya, mengapakah jin itu boleh menuruti dan mematuihi arahan dan perintah manusia? Ini berlaku kerana manusia menggunakan azimat, pujaan, dan jampi serapah yang boleh membawa kepada syirik dan kufur, sehingga jin kafir sedia berkhidmat semata-mata supaya manusia yang kufur bertambah kufur dan yang beriman akan menjadi kafir. 

Ibn Taimiyah di dalam kitabnya “Majmuul fatawa” mengatakan: 
“Mana-mana orang yang boleh mengarahkan jin mematuhi perintah Allah dan Rasulnya, beribadat kepada Allah , dan mentaati Nabi-Nya sebagaimana ia menyuruh manusia maka ini adalah sesuatu kemulian yang dikurniakan Allah kepada wali-walinya dan juga untuk para khalifah Rasul dan penggantinya”.

Situasi Penggunaan

Khadam Jin
Sekiranya jin itu digunakan untuk tujuan yang harus samalah dengan menyuruh manusia kepada perkara yang harus. Samalah juga kalau kita arahkan mereka kepada perkara yang wajib. Keadaan ini samalah seperti seorang raja yang memerintahkan rakyat melakukan perkara-perkara yang mesti dan yang harus. Sebagaimana juga para nabi yang dianugerahkan oleh Allah SWT kelebihan kepada mereka, seperti Nabi Allah Sulaiman, Nabi Yusuf, Ibrahim, Musa, Isa, dan Nabi Muhammad SAW.

Tetapi kalau mereka disuruh untuk melakukan sesuatu yang diharamkan oleh Allah dan Rasulnya, sama ada berbentuk syirik, membunuh orang yang tidak berdosa, menyiksa orang, sehingga merosakkan otaknya sampai mereka lupa, amalan ini adalah berdosa di sisi Allah SWT.

Samalah juga kalau menolong seseorang supaya kufur maka ia menjadi kafir dan kalau seseorang menolong menganjurkan maksiat maka ia juga dikira melakukan maksiat.

Jika seseorang itu memohon pertolongan jin supaya membawanya ke sana ke mari, membawanya ke padang Arafah, menerbangkannya ke suatu tempat atau sebagainya. Kesemuanya ini adalah suatu tipu daya jin belaka dan hajinya itu tidak dikira haji Syarie.

Kesimpulannya :

i. Kalau boleh diperintah jin supaya ia mentaati Allah, mengerjakan ibadat dan sebagainya maka iaitu merupakan kurniaan Allah kepada seseorang.

ii. Menggunakan jin dalam perkara-perkara yang diharuskan oleh Allah seperti menyuruh mereka bekerja dalam pembinaan dan sebagainya. Nabi Sulaiman selalu memerintahkan jin melakukan bermacam-macam urusan dan kerja, termasuk menyelam dalam laut dan mengangkat batu. Ini adalah suatu anugerah Allah kepada baginda dan juga kepada Nabi-nabi yang lain dan begitu juga wali-wali Allah.

iii. Menggunakan jin untuk tujuan kejahatan seperti menyiksa dan membunuh manusia, menyebabkan manusia itu lupa diri, dan apa juga yang boleh menyusahkan orang maka hukumnya berdosa, maksiat, dan berdosa besar.

Sumber: