Monday, 22 February 2016

MERAWAT PESAKIT TUA DARI SUDUT GANGGUAN JIN SAKA

Assalamu’alaikum wwt..
Saudara pembaca yang dihormati,

Orang tua memang patut kita sayangi dan diberi perhatian yang khusus. Hal ini kerana, tanpa orang tua, siapalah kita di dunia ini? Sebesar mana kekayaan dan kemegahan yang kita perolehi, tidak dapat dapat membayar jasa dan pengorbanan orang tua kita. Apabila orang tua kita sakit, maka menjadi tugas dan tanggung jawab kita mendapatkan ubat dan penawar bagi kesembuhannnya. Kalau sakit biasa seperti demam, batuk dan selsema, mudahlah kita berikhtiar mendapatkan rawatan di klinik ataupun di hospital. Dengan izin Allah, setelah makan ubat maka legalah penyakit tersebut. Namun, apa yang lebih merisaukan kita ialah jika penyakit tersebut tidak dapat dirawat dengan perubatan moden. Saya percaya, saudara pembaca dapat meneka apakah penyakit tersebut. Ya..., penyakit yang saya maksudkan ialah penyakit yang berkaitan dengan gangguan jin terutamanya yang melibatkan gangguan jin saka.

Orang tua perlu disayangi

Saya tidak mahu mengulas panjang lebar berkenaan dengan gangguan jin saka, kerana sebelum ini saya ada paparkan artikel berkenaan dengan gangguan jin saka. Cuma saya ingin membincangkan dari sudut gangguannya ketika usia kita semakin tua. Saya bukanlah orang yang arif sangat berkenaan bab-bab jin saka ini, namun melalui pemerhatian dan pengalaman merawat pesakit tua sebelum ini, banyak membantu dalam menganalisis penyakit tersebut. Maklumat berkenaan dengan penyakit gangguan jin saka ini juga saya perolehi melalui perbualan dengan waris atau ahli keluarga pesakit itu sendiri.

Sedikit Analisis

Pada bulan ini, saya banyak menerima kes berkaitan dengan merawat pesakit tua yang didakwa ahli keluarga mereka memiliki jin saka. Sebelum merawat, saya akan mendapatkan sedikit sebanyak gambaran tentang simpton-simpton penyakit tersebut. Antara simpton-simpton tersebut yang menjadi panduan dalam rawatan adalah seperti berikut;

Berkaitan dengan amalan

Adakah amalan yang lazim dilakukan oleh pesakit tersebut sebelum ini? Maksud saya, adakah pesakit tersebut ada menerima ilmu warisan daripada datuk neneknya sebelum ini. Contoh yang popular ialah berkaitan dengan ilmu perbidanan. Biasanya ilmu perbidanan ini diwarisi secara turun temurun. Kebolehan ini akan datang dengan sendirinya tanpa melalui proses belajar. Jika ada kes orang hendak bersalin, bidan ini akan pandai dengan sendirinya menyambut kelahiran bayi. Kebolehan seperti ini memanglah sangat diperlukan suatu masa dahulu terutama orang yang tinggal di kawasan pedalaman. Di kawasan pedalaman tersebut, selalunya jauh dengan kemudahan perubatan. Jadi, khidmat bidan seperti ini memang menjadi keutamaan. Saya tidaklah menyalahkan amalan tersebut, kerana memang itulah satu-satunya alternatif yang ada. Namun, seiirng dengan perubahan masa, khidmat bidan tua tersebut semakin dilupakan kerana adanya kemudahan perubatan moden. Walaupun khidmat bidan lama tersebut tidak diperlukan, namun sumber kebolehan istimewa tersebut yang dirujuk kepada jin saka bidan tetap berterusan selagi tidak dipisahkan atau diputuskan.  Khidmat atau perjanjian (MOU) tersebut tetap berlangsung setelah kematian waris terdahulu.

MOU antara manusia dan jin saka perlu diputuskan terlebih dahulu agar jelas bahawa kita tidak mahu lagi perhubungan mistik ini terus berjalan. Sejumlah kalimat atau dipanggil Ikrar Pemutus perlu diucapkan dengan suara yang jelas. Jika pesakit tua yang sudah uzur, maka warisnya boleh mengucapkan ikrar tersebut. Perawat perlulah berhemah dalam menangani masalah ini. Seterusnya rawatlah atau ruqyahlah dengan ayat-ayat Quran yang dipelajari. Insya Allah, akan ada kesembuhan.

Berkaitan dengan Perbuatan

Ada kalanya, pesakit tua ini akan berkelakuan aneh dan pelik pada pandangan mata kasar warisnya. Ada yang menceritakan bahawa datuk atau nenek mereka bercakap seorang diri seolah-olah ada yang dilawannya bercakap. Ada juga yang mendakwa pesakit tersebut kuat makan yang tidak padan dengan keadaan dirinya uzur. Malah yang paling membimbangkan ialah si pesakit suka mengamuk walaupun atas kesilapan yang sedikit. Hal yang sedemikian ini akan membuatkan ahli keluarga yang lain berasa tidak sedap hati lantas membuat andaian bahawa ada jin saka yang menganggunya. Sejauh mana kebenarannya, Allah jua yang mengetahui. Perlu diingat bahawa bukan semua simpton kelakuan aneh tersebut berpunca daripada gangguan jin saka.

Saya suka mengingatkan kepada waris si pesakit tua agar berbaik sangka dengan penyakit dan punca penyakit tersebut. Pada pendapat saya, tidak semestinya kelaluan pelik pesakit disebabkan oleh gangguan jin. Mungkin sakit tersebut merupakan kifarah Allah atas dosa-dosanya yang lalu. Dengan adanya penderitaan penyakit tersebut, maka gugurlah sebahagian dosa-dosanya atas rahmat Allah Taala. Kadang-kala pesakit tua tersebut sudah nyanyuk atau lemah ingatan.

Kesimpulan

Buatlah kebaikan walau dimana jua kita berada. Jagalah amalan dan perbuatan agar selalu mendapat rahmat dan kasih sayang Allah. Putuskan segera segala ikatan perjanjian dengan jin-jin saka semasa usia muda. Jika tidak diputuskan, maka akan mendatangkan kesusahan pada usia tua. Sandarkan seluruhnya pertolongan kepada Allah Taala. Dialah yang Maha Berkuasa diatas segala sesuatu.


Sekian sahaja coretan daripada hamba yang fakir ini...

Sumber:
Pengalaman diri sendiri dan olahan daripada pembacaan buku-buku.

Post a Comment