Saturday, 13 February 2016

JIN TIDAK TAHU PERKARA GHAIB

Assalamu’alaikum wwt..

Pada zaman moden ini, masih ramai dalam kalangan umat Islam yang masih mempercayai tukang tilik (bomoh). Mereka menyakini bahawa tukang tilik (bomoh)  boleh menyelami rahsia alam ghaib sama ada mengetahui siapakah pencuri yang melakukan pengkhianatan atau meramalkan perkara yang akan datang dan perkara-perkara yang ghaib yang akan berlaku. Sedarlah oleh kita bahawa perkhabaran yang dibawa oleh tukang tilik (bomoh)  itu adalah bohong semata-mata. Hal ini kerana mereka telah menerima bisikan daripada syaitan atau jin yang suka melakukan pendustaan dan pembohongan sedangkan mereka memang tidak sedikitpun mengetahui alam ghaib.

Ada banyak bukti tentang perihal jin yang tidak tahu akan perkara ghaib.

Tidak Tahu Kewafatan Nabi Sulaiman

Pada zaman pemerintahan Nabi Sulaiman as, para jin terpaksa akur dan patuh pada arahan Nabi Sulaiman as. Jikalau para jin tersebut ingkar atau tidak mahu menjalankan perintah Nabi Sulaiman as, nescaya mereka akan diazab oleh Allah. Itulah diantara keistimewaan yang Allah berikan kepada Nabi Sulaiman as. Jin telah diperintahkan oleh  Nabi Allah Sulaiman a.s supaya membangunkan suatu bangunan, maka mereka semua melakukan siang dan malam tanpa hentinya, kerana terlalu takut. Sehinggalah Nabi Sulaiman wafat di hadapan mereka sedangkan mereka tidak mengetahuinya. Ini menunjukkan mereka tidak mengetahui alam ghaib. Kalaulah mereka mengetahui tentang kewafatan Nabi Sulaiman a.s tentulah mereka akan berhenti daripada meneruskan pembinaan bangunan itu. Sedangkan bangunan yang diarahkan itu memang terlalu sukar untuk dibangunkan sebagaimana yang telah disebutkan oleh Allah SWT didalam al-Quran.

Nabi Sulaiman a.s wafat di hadapan mereka pun tidak dapat mereka kesan. Bagaimana mungkin para jin dapat membolosi rahsia alam ghaib dan perkara-perkara yang hanya Allah sahaja mengetahuinya. Sebenarnya golongan jin ini sebelum turunnya al-Quran boleh mencuri berita dari langit tetapi setelah al-Quran diturunkan mereka tidak lagi dapat menaiki langit sebagimana firmanNya yang bermaksud:
"Dan Sesungguhnya kami Telah mencoba mengetahui (rahasia) langit, Maka kami mendapatinya penuh dengan penjagaan yang Kuat dan panah-panah api. Dan Sesungguhnya kami dahulu dapat menduduki beberapa tempat di langit itu untuk mendengar-dengarkan (berita-beritanya). tetapi sekarang[1524] barangsiapa yang (mencoba) mendengar-dengarkan (seperti itu) tentu akan menjumpai panah api yang mengintai (untuk membakarnya). Dan Sesungguhnya kami tidak mengetahui (dengan adanya penjagaan itu) apakah keburukan yang dikehendaki bagi orang yang di bumi ataukah Tuhan mereka menghendaki kebaikan bagi mereka.”

Ar-Razi di dalam kitab tafsirnya menghuraikan tentang kematian Nabi Sulaiman a.s  sedangkan jin bekerja di hadapan baginda pun tidak disedari oleh mereka. Jadi jelaslah di sini bahawa jin sebenarnya tidak mengetahui perkara ghaib. Sekiranya mereka mengetahui alam ghaib itu tentulah mereka tidak akan meneruskan kerja yang amat berat, kerana menganggap Nabi Allah Sulaiman masih hidup.

Terhalang Mendapat Berita dari Langit

Begitu juga apabila mereka ditegah mengintai untuk mencuri berita dari langit mereka tidak tahu mengapa mereka ditegah berbuat demikian sehingga meeka bertanya sesama sendiri dan sekiranya mereka tahu alam ghaib tentulah mereka mengetahui mengenai kebangkitan Nabi SAW terlebih dahulu. Jin memang boleh terbang kesana dan kemari dengan cepat dan segera. Oleh itu mereka mampu mengetahui peristiwa yang telah berlaku di benua yang jauh atau peistiwa yang berlaku yang berlaku pada masa lalu. Walau bagaimana pun apa yang mereka sampaikan tidak semestinya betul kerana berita itu dibawa oleh satu jin yang boleh jadi lurus dan betul atau mungkin berdusta, kerana dalam kalangan mereka ada yang maksiat, kafir dan sebagainya.


Dahulu jin dapat mencuri berita dari langit


As Syeikh Mohammad Al Ghazali mengatakan jin itu mempunyai kuasa melebihi kuasa atau kudrat manusia. Mereka boleh menyeberangi udara dengan tenaga biasa sejak zaman dahulu kala lagi tetapi mereka tidak mengetahui alam ghaib. Adakalanya berita itu ghaib nisbah kepada kita tetapi tenyata zahir nisbah kepada mereka. Contohnya sekarang kita dapat mengetahui apa yang belaku di negara lain sama ada melalui satelit televisyen sedangkan jarak kita dengan mereka amat jauh. Ini bukanlah bererti kita mengetahui alam ghaib, sekadar peristiwa yang jauh dari pandangan mata di alam nyata.

Untuk mengetahui pekara-perkara yang ghaib pada masa akan datang sesuatu yang mustahil melainkan melalui wahyu. Dengan hal yang demikian, kalau seseorang yang bertanya kepada tukang tilik atau tukang tenung dan ia menjelaskan perkara-perkara yang akan datang maka itu adalah suatu perkhabaran yang jelas membawa kepada kebinasaan.

Hukum

Kalaulah ditanya kerana hendak membenarkan apa yang mereka katakan, maka hukumnya adalah haram sebagaimana telah disabdakan oleh Rasulullah SAW apabila ditanya oleh Muawiyah bin Abi Sullami bermaksud: "Ya Rasulullah, pekara-perkara yang kami lakukan di zaman jahilliah ialah mendatangi tukang nujum. Sabda baginda, "kamu jangan mendatangi tukang nujum”

Begitu juga dalam hadis yang lain bermaksud
“Barangsiapa yang mendatangi tukang tilik dan ditanya mengenai sesuatu maka tidak diterima  solatnya selama 40 hari."

Kalau ada diantara kita yang mendengar sesuatu yang diceritakan atau dikhabarkan oleh jin melalui tukang nujum atau tukang tilik maka dalam perkara ini perlu kepada bukti yang menyokong perkhabarannya itu sebagaimana fiman Allah SWT bermaksud "Hai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu”.

Kesimpulan:

Berdasarkan kepada hujah-hujah tersebut, maka dapatlah disimpulkan bahawa sebenarnya jin-jin tidak mengetahui perkara ghaib. Maka amat malanglah bagi tukang tilik (bomoh) yang mendakwa mengetahui perkara gahib hasil daripada bisikan jin kerana telah tertipu. Malah amat malang lagi bagi manusia yang mempercayai perkhabaran daripada mulut si tukang tilik (bomoh) kerana telah dua kali ditipu. Sudahlah ditipu, amalan pula tertolak selama 40 hari jika mempercayai dan membenarkan perkhabaran tersebut.

Sekian coretan daripada hamba yang fakir.

Sumber dan olahan:

Perubatan Islam Darussalam Malaysia.
Post a Comment