Friday, 12 February 2016

BAHAYA TIDUR SELEPAS WAKTU ASAR

Assalamu’alaikum wwt..

Saya berasa terpanggil untuk menulis tentang tabiat sesetengah daripada kita yang suka tidur selepas waktu Asar, lebih-lebih lagi tidur selepas waktu Asar hingga membawa ke waktu Maghrib atau Isyak. Amalan atau tabiat sebegini kalau boleh, hendaklah kita elakkan. Walau penat sekalipun atau rasa mengantuk sekalipun pada waktu itu, cubalah jangan tidur. Buatlah aktiviti-aktiviti lain yang boleh mengalih daripada tidur. Saya percaya masih ramai yang tidak ambil peduli akan tabiat kuat tidur selepas waktu Asar ini. Pada pandangan mereka, tidak mengapa tidur selepas waktu asar ini kerana tidak pernah mendengar akan bahayanya tabiat ini jika terus diamalkan dalam jangka waktu yang lama.
Gambar hiasan : Tertidur kerana penat

Guru saya pernah berpesan agar jangan tidur selepas waktu Asar. Jika tabiat buruk ini terus dilakukan selama 40 hari berturut-turut, nescaya akan mewarisi penyakit gila atau fikiran akan terganggu. Bukan itu sahaja, kekuatan tubuh badan akan merosot dan agak tidak bermaya. Saya tidak menafikan bahawa ada ketikanya kita akan berasa amat letih lantaran kerja-kerja yang banyak, lantas kita tertidur selepas waktu Asar.  Saya pun begitu juga...sering juga tertidur kerana mata amat mengantuk. Cuma, janganlah amalan tidur selepas Asar ini menjadi  kebiasaan.  Apabila amalan ini menjadi kebiasaan, maka sangat sukar untuk mengubahnya.

Tabiat suka tidur selepas waktu Asar ini eloklah ditinggalkan terus. Banyak kerja yang dapat kita buat pada waktu ini. Lagipun, tidur pada waktu ini tidak normal dan sia-sia sahaja. Bagi perempuan pula, jika biasa tidur selepas waktu  Asar, kadang-kadang akan ada tanda lebam pada pehanya. Lebam ini berwarna biru kehitaman. Jika diamati dengan menggunakan kanta, akan ada tiga atau lima tusukan di tengah-tengah tanda lebam tersebut. Jaga-jagalah...itu tandanya ada jin yang sudah suka akan diri kita yang boleh diberi nama Jin Asyik.  Apabila ada jin yang suka akan kita, maka sukar untuk memutuskan ikatan cinta tersebut. Wallahu’aklam..

Hukum

Ada ulama yang berpendapat bahawa tidur selepas waktu Asar ini hukumnya makruh dan tidaklah jatuh kepada haram. Namun, melalui penelitian dan pengamatan orang tua-tua dahulu, sangat sedikit manfaat tidur selepas waktu Asar berbanding banyak keburukan yang diperoleh. Oleh itu, janganlah kita amalkan tabiat ini.

Al kisah

Saya ada satu kes berkaitan dengan akibat suka tidur selepas waktu Asar ini. Baru-baru ini saya didatangi seorang pesakit lelaki yang dibawa oleh isteri dan kakaknya ke rumah saya. Pada mulanya, saya ingatkan sakit biasa sahaja tetapi saya rasa lain macam sahaja kerana tutur kata bicaranya agak merapu sahaja. Dia banyak bercakap tentang hal-hal mistik dan kerohanian. Katanya dia ada jumpa wali dan mendengar bisikan-bisikan ghaib. Dia marah kalau isterinya atau kakaknya menyanggah pendapatnya. Untuk mengambil hatinya saya mengiyakan sahaja segala kata-katanya, tetapi sampai satu ketika, bosan juga saya mendengarnya lalu membetulkan sesetengah kata-katanya. Nampaknya dia begitu marah kepada saya lalu merajuk dan tidak mahu meneruskan rawatan.

Melalui perbualan dengan isterinya, saya diberitahu bahawa suaminya itu memang suka tidur selepas waktu Asar dan terlajak sehingga ke malam. Pada tengah malamnya, dia suka membaca buku-buku agama dan terjemahan al-Quran. Nampaknya belajar tanpa guru juga menimbulkan masalah buat beliau kerana penjelasan yang tepat tidak akan diperolehi. Pemahaman yang timbul semata-mata diatas andaian dan agakan sahaja. Hal sedemikian lagi memberi kesan kepada pesakit tersebut.

Kesimpulan

Saya percaya, anda yang sedang membaca tulisan ini juga pernah tidur selepas waktu Asar, cuma kekerapannya berbeza. Walau apapun, nasihat saya cubalah jangan tidur selepas waktu Asar dikhuatiri akan menjadi GILA. Kasihanlah kepada diri sendiri dan orang yang tersayang.

Sekian coretan daripada saya. Mudah-mudahan memberi manfaat kepada semua.

Sumber:
1. Pesanan guru saya (Allahyarham Ayat Mat, Pekan)
2. Rakaman kuliah Ustaz Kazim Elias di Youtube bertajuk “Bahaya tidur selepas waktu Asar”.
Post a Comment