Saturday, 6 February 2016

ADAKAH JIN BOLEH DITUNDUKKAN?

Assalamu’alaikum wwt.

Persoalan mengenai perhubungan di antara makhkuk jin dan manusia sentiasa diperkatakan. Seiiring dangan perkembangan masa, perhubungan tersebut dilihat banyak menjurus kepada keburukan. Walaupun begitu, tidak dinafikan ada juga beberapa perhubungan yang baik wujud diantara jin dan manusia.


Perhubungan di antara jin dan manusia memang wujud dan ditegaskan di dalam al-Quran, sunnah dan Ijma’ Ulama. Namun begitu perhubungan tersebut adalah secara khusus dan terbatas menurut undang-undang dan peraturan yang telah ditentukan oleh Allah SWT.

Jin ada kalanya boleh masuk ke dalam badan manusia dengan cara yang hanya Allah SWT sahaja yang mengetahuinya. Hal ini dapat disaksikan bahawa ada dalam kalangan manusia yang menderita sakit lumpuh, gila, lupa diri, was-was, sesat dan berbagai-bagai lagi tindakan mereka.

Golongan jin yang melakukan perbuatan ini adalah yang kafir dan fasik. Tetapi jin yang beriman tidak akan melakukan perbuatan seumpama ini.  Mereka adalah golongan yang baik sebagaimana manusia yang beriman juga.

Kita bersyukur kepada Allah SWT kerana dengan kurniaanNya, kita (umat Islam) diajar kaedah-kaedah utnuk mempertahankan diri daripada golongan jin jahat ini.

Nabi Sulaiman a.s diberi kekuasaan oleh Allah dapat menundukkan golongan jin dan memerintahkan jin-jin berkhidmat untuk baginda tanpa sebarang bantahan. Begitu juga, Allah telah melimpahkan kurnianya kepada Nabi Muhammad saw kemudahan dalam beberapa perkara dalam urusan jin.

Keistimewaan Rasulullah dalam Menundukkan Jin

Hadis yang diriwayatkan oleh Muslim daripada Abdullah bin Mas’ud r.a. sesungguhnya baginda Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “setiap kamu akan diwakilkan satu qarin (sahabat) daripada bangsa jin. Mereka (sahabat) bertanya apakah engkau pun ada ya Rasulullah, sabda baginda ya, aku pun ada, tetapi Allah membantu aku mengatasinya sehingga aku selamat (atau dia telah Islam) maka tidak menyuruh aku melainkan yang baik semata-mata”

Abu-Darda’ r.a meriwayatkan bahawa pada suatu ketika baginda Rasulullah SAW berdiri di kalangan kami, Baginda menyebut “Aku berlindung kepada Allah daripada Kamu” kemudian sambungnya : “Aku laknat kamu dengan laknat Allah”, tiga kali kemudian dibuka tangannya seolah-olah mengambil sesuatu setelah sembahyang, kami bertanya “Ya Rasulullah kami mendengar engkau berkata di dalam sembahyang tadi sesuatu yang tidak pernah kami dengar sebelum ini dan engkau buka pula tanganmu.” Jawab baginda, “Sesungguhnya musuh Allah iaitu Iblis datang membawa bara api untuk membakar mukaku, maka aku berkata, aku laknat mereka yang yang hendak menggangguku, demi Allah kalau aku tidak teringat doa saudara kita Sulaiman aku akan ikat mereka supaya anak-anak penduduk Madinah boleh bermain dengan mereka”

Al-Qadhi Iyadh berkata maksudnya Nabi Muhammad SAW teringat firman Allah SWT mengenai doa Nabi Sulaiman, “Jangan ada selepas aku sama kekuasaan yang ada padanya,” bermakna Nabi Muhammad boleh juga menagkap jin itu dan menguasainya tetapi sebagai menghormati dan merendahkan dirinya maka tidak ditangkapnya jin itu

Begitu juga Abu Hurairah r.a. meriwayatkan katanya, Sesungguhnya baginda Rasul bersabda yang bermaksud : “Sesungguhnya jin Ifrit telah mengacau aku semalam supaya memutuskan solatku, dan sesungguhnya Allah mebolehkan aku menguasainya. Maka sesungguhnya aku bercita-cita untuk mengikatnya ke kota masjid. Sehinggakan orang ramai boleh melihatnya, kemudiaan aku teringat kata-kata abangku Sulaiman, “ Ya Allah ya tuhanku ampunlah dosaku, berikanlah kepadaku kekuasaan tidak dapat pada orang lain selain aku.” Maka Allah menolak jin itu dengan penuh kehinaan

Kesimpulan

Nabi Muhammad SAW juga diberi kemudahan oleh Allah untuk memerintah jin dan syaitan itu. Ibnul-Jauzi berkata jin dimudahkan untuk Nabi Sulaiman tetapi Nabi Muhammad banyak dibantu oleh para malaikat. Bagaimana pula dengan kita, umat baginda yang lemah ini? Jangan takut dan jangan bimbang, sesungguhnya Allah akan membantu kita jika kita tetap berpegang teguh kepada tali Allah (Al-Quran dan Hadis). Sesungguhnya tipu daya jin itu amatlah lemah..

Sekian sahaja untuk kali ini.

Sumber: Perubatan Islam Darussalam Malaysia

Post a Comment