Monday, 22 February 2016

MERAWAT PESAKIT TUA DARI SUDUT GANGGUAN JIN SAKA

Assalamu’alaikum wwt..
Saudara pembaca yang dihormati,

Orang tua memang patut kita sayangi dan diberi perhatian yang khusus. Hal ini kerana, tanpa orang tua, siapalah kita di dunia ini? Sebesar mana kekayaan dan kemegahan yang kita perolehi, tidak dapat dapat membayar jasa dan pengorbanan orang tua kita. Apabila orang tua kita sakit, maka menjadi tugas dan tanggung jawab kita mendapatkan ubat dan penawar bagi kesembuhannnya. Kalau sakit biasa seperti demam, batuk dan selsema, mudahlah kita berikhtiar mendapatkan rawatan di klinik ataupun di hospital. Dengan izin Allah, setelah makan ubat maka legalah penyakit tersebut. Namun, apa yang lebih merisaukan kita ialah jika penyakit tersebut tidak dapat dirawat dengan perubatan moden. Saya percaya, saudara pembaca dapat meneka apakah penyakit tersebut. Ya..., penyakit yang saya maksudkan ialah penyakit yang berkaitan dengan gangguan jin terutamanya yang melibatkan gangguan jin saka.

Orang tua perlu disayangi

Saya tidak mahu mengulas panjang lebar berkenaan dengan gangguan jin saka, kerana sebelum ini saya ada paparkan artikel berkenaan dengan gangguan jin saka. Cuma saya ingin membincangkan dari sudut gangguannya ketika usia kita semakin tua. Saya bukanlah orang yang arif sangat berkenaan bab-bab jin saka ini, namun melalui pemerhatian dan pengalaman merawat pesakit tua sebelum ini, banyak membantu dalam menganalisis penyakit tersebut. Maklumat berkenaan dengan penyakit gangguan jin saka ini juga saya perolehi melalui perbualan dengan waris atau ahli keluarga pesakit itu sendiri.

Sedikit Analisis

Pada bulan ini, saya banyak menerima kes berkaitan dengan merawat pesakit tua yang didakwa ahli keluarga mereka memiliki jin saka. Sebelum merawat, saya akan mendapatkan sedikit sebanyak gambaran tentang simpton-simpton penyakit tersebut. Antara simpton-simpton tersebut yang menjadi panduan dalam rawatan adalah seperti berikut;

Berkaitan dengan amalan

Adakah amalan yang lazim dilakukan oleh pesakit tersebut sebelum ini? Maksud saya, adakah pesakit tersebut ada menerima ilmu warisan daripada datuk neneknya sebelum ini. Contoh yang popular ialah berkaitan dengan ilmu perbidanan. Biasanya ilmu perbidanan ini diwarisi secara turun temurun. Kebolehan ini akan datang dengan sendirinya tanpa melalui proses belajar. Jika ada kes orang hendak bersalin, bidan ini akan pandai dengan sendirinya menyambut kelahiran bayi. Kebolehan seperti ini memanglah sangat diperlukan suatu masa dahulu terutama orang yang tinggal di kawasan pedalaman. Di kawasan pedalaman tersebut, selalunya jauh dengan kemudahan perubatan. Jadi, khidmat bidan seperti ini memang menjadi keutamaan. Saya tidaklah menyalahkan amalan tersebut, kerana memang itulah satu-satunya alternatif yang ada. Namun, seiirng dengan perubahan masa, khidmat bidan tua tersebut semakin dilupakan kerana adanya kemudahan perubatan moden. Walaupun khidmat bidan lama tersebut tidak diperlukan, namun sumber kebolehan istimewa tersebut yang dirujuk kepada jin saka bidan tetap berterusan selagi tidak dipisahkan atau diputuskan.  Khidmat atau perjanjian (MOU) tersebut tetap berlangsung setelah kematian waris terdahulu.

MOU antara manusia dan jin saka perlu diputuskan terlebih dahulu agar jelas bahawa kita tidak mahu lagi perhubungan mistik ini terus berjalan. Sejumlah kalimat atau dipanggil Ikrar Pemutus perlu diucapkan dengan suara yang jelas. Jika pesakit tua yang sudah uzur, maka warisnya boleh mengucapkan ikrar tersebut. Perawat perlulah berhemah dalam menangani masalah ini. Seterusnya rawatlah atau ruqyahlah dengan ayat-ayat Quran yang dipelajari. Insya Allah, akan ada kesembuhan.

Berkaitan dengan Perbuatan

Ada kalanya, pesakit tua ini akan berkelakuan aneh dan pelik pada pandangan mata kasar warisnya. Ada yang menceritakan bahawa datuk atau nenek mereka bercakap seorang diri seolah-olah ada yang dilawannya bercakap. Ada juga yang mendakwa pesakit tersebut kuat makan yang tidak padan dengan keadaan dirinya uzur. Malah yang paling membimbangkan ialah si pesakit suka mengamuk walaupun atas kesilapan yang sedikit. Hal yang sedemikian ini akan membuatkan ahli keluarga yang lain berasa tidak sedap hati lantas membuat andaian bahawa ada jin saka yang menganggunya. Sejauh mana kebenarannya, Allah jua yang mengetahui. Perlu diingat bahawa bukan semua simpton kelakuan aneh tersebut berpunca daripada gangguan jin saka.

Saya suka mengingatkan kepada waris si pesakit tua agar berbaik sangka dengan penyakit dan punca penyakit tersebut. Pada pendapat saya, tidak semestinya kelaluan pelik pesakit disebabkan oleh gangguan jin. Mungkin sakit tersebut merupakan kifarah Allah atas dosa-dosanya yang lalu. Dengan adanya penderitaan penyakit tersebut, maka gugurlah sebahagian dosa-dosanya atas rahmat Allah Taala. Kadang-kala pesakit tua tersebut sudah nyanyuk atau lemah ingatan.

Kesimpulan

Buatlah kebaikan walau dimana jua kita berada. Jagalah amalan dan perbuatan agar selalu mendapat rahmat dan kasih sayang Allah. Putuskan segera segala ikatan perjanjian dengan jin-jin saka semasa usia muda. Jika tidak diputuskan, maka akan mendatangkan kesusahan pada usia tua. Sandarkan seluruhnya pertolongan kepada Allah Taala. Dialah yang Maha Berkuasa diatas segala sesuatu.


Sekian sahaja coretan daripada hamba yang fakir ini...

Sumber:
Pengalaman diri sendiri dan olahan daripada pembacaan buku-buku.

Saturday, 13 February 2016

JIN TIDAK TAHU PERKARA GHAIB

Assalamu’alaikum wwt..

Pada zaman moden ini, masih ramai dalam kalangan umat Islam yang masih mempercayai tukang tilik (bomoh). Mereka menyakini bahawa tukang tilik (bomoh)  boleh menyelami rahsia alam ghaib sama ada mengetahui siapakah pencuri yang melakukan pengkhianatan atau meramalkan perkara yang akan datang dan perkara-perkara yang ghaib yang akan berlaku. Sedarlah oleh kita bahawa perkhabaran yang dibawa oleh tukang tilik (bomoh)  itu adalah bohong semata-mata. Hal ini kerana mereka telah menerima bisikan daripada syaitan atau jin yang suka melakukan pendustaan dan pembohongan sedangkan mereka memang tidak sedikitpun mengetahui alam ghaib.

Ada banyak bukti tentang perihal jin yang tidak tahu akan perkara ghaib.

Tidak Tahu Kewafatan Nabi Sulaiman

Pada zaman pemerintahan Nabi Sulaiman as, para jin terpaksa akur dan patuh pada arahan Nabi Sulaiman as. Jikalau para jin tersebut ingkar atau tidak mahu menjalankan perintah Nabi Sulaiman as, nescaya mereka akan diazab oleh Allah. Itulah diantara keistimewaan yang Allah berikan kepada Nabi Sulaiman as. Jin telah diperintahkan oleh  Nabi Allah Sulaiman a.s supaya membangunkan suatu bangunan, maka mereka semua melakukan siang dan malam tanpa hentinya, kerana terlalu takut. Sehinggalah Nabi Sulaiman wafat di hadapan mereka sedangkan mereka tidak mengetahuinya. Ini menunjukkan mereka tidak mengetahui alam ghaib. Kalaulah mereka mengetahui tentang kewafatan Nabi Sulaiman a.s tentulah mereka akan berhenti daripada meneruskan pembinaan bangunan itu. Sedangkan bangunan yang diarahkan itu memang terlalu sukar untuk dibangunkan sebagaimana yang telah disebutkan oleh Allah SWT didalam al-Quran.

Nabi Sulaiman a.s wafat di hadapan mereka pun tidak dapat mereka kesan. Bagaimana mungkin para jin dapat membolosi rahsia alam ghaib dan perkara-perkara yang hanya Allah sahaja mengetahuinya. Sebenarnya golongan jin ini sebelum turunnya al-Quran boleh mencuri berita dari langit tetapi setelah al-Quran diturunkan mereka tidak lagi dapat menaiki langit sebagimana firmanNya yang bermaksud:
"Dan Sesungguhnya kami Telah mencoba mengetahui (rahasia) langit, Maka kami mendapatinya penuh dengan penjagaan yang Kuat dan panah-panah api. Dan Sesungguhnya kami dahulu dapat menduduki beberapa tempat di langit itu untuk mendengar-dengarkan (berita-beritanya). tetapi sekarang[1524] barangsiapa yang (mencoba) mendengar-dengarkan (seperti itu) tentu akan menjumpai panah api yang mengintai (untuk membakarnya). Dan Sesungguhnya kami tidak mengetahui (dengan adanya penjagaan itu) apakah keburukan yang dikehendaki bagi orang yang di bumi ataukah Tuhan mereka menghendaki kebaikan bagi mereka.”

Ar-Razi di dalam kitab tafsirnya menghuraikan tentang kematian Nabi Sulaiman a.s  sedangkan jin bekerja di hadapan baginda pun tidak disedari oleh mereka. Jadi jelaslah di sini bahawa jin sebenarnya tidak mengetahui perkara ghaib. Sekiranya mereka mengetahui alam ghaib itu tentulah mereka tidak akan meneruskan kerja yang amat berat, kerana menganggap Nabi Allah Sulaiman masih hidup.

Terhalang Mendapat Berita dari Langit

Begitu juga apabila mereka ditegah mengintai untuk mencuri berita dari langit mereka tidak tahu mengapa mereka ditegah berbuat demikian sehingga meeka bertanya sesama sendiri dan sekiranya mereka tahu alam ghaib tentulah mereka mengetahui mengenai kebangkitan Nabi SAW terlebih dahulu. Jin memang boleh terbang kesana dan kemari dengan cepat dan segera. Oleh itu mereka mampu mengetahui peristiwa yang telah berlaku di benua yang jauh atau peistiwa yang berlaku yang berlaku pada masa lalu. Walau bagaimana pun apa yang mereka sampaikan tidak semestinya betul kerana berita itu dibawa oleh satu jin yang boleh jadi lurus dan betul atau mungkin berdusta, kerana dalam kalangan mereka ada yang maksiat, kafir dan sebagainya.


Dahulu jin dapat mencuri berita dari langit


As Syeikh Mohammad Al Ghazali mengatakan jin itu mempunyai kuasa melebihi kuasa atau kudrat manusia. Mereka boleh menyeberangi udara dengan tenaga biasa sejak zaman dahulu kala lagi tetapi mereka tidak mengetahui alam ghaib. Adakalanya berita itu ghaib nisbah kepada kita tetapi tenyata zahir nisbah kepada mereka. Contohnya sekarang kita dapat mengetahui apa yang belaku di negara lain sama ada melalui satelit televisyen sedangkan jarak kita dengan mereka amat jauh. Ini bukanlah bererti kita mengetahui alam ghaib, sekadar peristiwa yang jauh dari pandangan mata di alam nyata.

Untuk mengetahui pekara-perkara yang ghaib pada masa akan datang sesuatu yang mustahil melainkan melalui wahyu. Dengan hal yang demikian, kalau seseorang yang bertanya kepada tukang tilik atau tukang tenung dan ia menjelaskan perkara-perkara yang akan datang maka itu adalah suatu perkhabaran yang jelas membawa kepada kebinasaan.

Hukum

Kalaulah ditanya kerana hendak membenarkan apa yang mereka katakan, maka hukumnya adalah haram sebagaimana telah disabdakan oleh Rasulullah SAW apabila ditanya oleh Muawiyah bin Abi Sullami bermaksud: "Ya Rasulullah, pekara-perkara yang kami lakukan di zaman jahilliah ialah mendatangi tukang nujum. Sabda baginda, "kamu jangan mendatangi tukang nujum”

Begitu juga dalam hadis yang lain bermaksud
“Barangsiapa yang mendatangi tukang tilik dan ditanya mengenai sesuatu maka tidak diterima  solatnya selama 40 hari."

Kalau ada diantara kita yang mendengar sesuatu yang diceritakan atau dikhabarkan oleh jin melalui tukang nujum atau tukang tilik maka dalam perkara ini perlu kepada bukti yang menyokong perkhabarannya itu sebagaimana fiman Allah SWT bermaksud "Hai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu”.

Kesimpulan:

Berdasarkan kepada hujah-hujah tersebut, maka dapatlah disimpulkan bahawa sebenarnya jin-jin tidak mengetahui perkara ghaib. Maka amat malanglah bagi tukang tilik (bomoh) yang mendakwa mengetahui perkara gahib hasil daripada bisikan jin kerana telah tertipu. Malah amat malang lagi bagi manusia yang mempercayai perkhabaran daripada mulut si tukang tilik (bomoh) kerana telah dua kali ditipu. Sudahlah ditipu, amalan pula tertolak selama 40 hari jika mempercayai dan membenarkan perkhabaran tersebut.

Sekian coretan daripada hamba yang fakir.

Sumber dan olahan:

Perubatan Islam Darussalam Malaysia.

Friday, 12 February 2016

BAHAYA TIDUR SELEPAS WAKTU ASAR

Assalamu’alaikum wwt..

Saya berasa terpanggil untuk menulis tentang tabiat sesetengah daripada kita yang suka tidur selepas waktu Asar, lebih-lebih lagi tidur selepas waktu Asar hingga membawa ke waktu Maghrib atau Isyak. Amalan atau tabiat sebegini kalau boleh, hendaklah kita elakkan. Walau penat sekalipun atau rasa mengantuk sekalipun pada waktu itu, cubalah jangan tidur. Buatlah aktiviti-aktiviti lain yang boleh mengalih daripada tidur. Saya percaya masih ramai yang tidak ambil peduli akan tabiat kuat tidur selepas waktu Asar ini. Pada pandangan mereka, tidak mengapa tidur selepas waktu asar ini kerana tidak pernah mendengar akan bahayanya tabiat ini jika terus diamalkan dalam jangka waktu yang lama.
Gambar hiasan : Tertidur kerana penat

Guru saya pernah berpesan agar jangan tidur selepas waktu Asar. Jika tabiat buruk ini terus dilakukan selama 40 hari berturut-turut, nescaya akan mewarisi penyakit gila atau fikiran akan terganggu. Bukan itu sahaja, kekuatan tubuh badan akan merosot dan agak tidak bermaya. Saya tidak menafikan bahawa ada ketikanya kita akan berasa amat letih lantaran kerja-kerja yang banyak, lantas kita tertidur selepas waktu Asar.  Saya pun begitu juga...sering juga tertidur kerana mata amat mengantuk. Cuma, janganlah amalan tidur selepas Asar ini menjadi  kebiasaan.  Apabila amalan ini menjadi kebiasaan, maka sangat sukar untuk mengubahnya.

Tabiat suka tidur selepas waktu Asar ini eloklah ditinggalkan terus. Banyak kerja yang dapat kita buat pada waktu ini. Lagipun, tidur pada waktu ini tidak normal dan sia-sia sahaja. Bagi perempuan pula, jika biasa tidur selepas waktu  Asar, kadang-kadang akan ada tanda lebam pada pehanya. Lebam ini berwarna biru kehitaman. Jika diamati dengan menggunakan kanta, akan ada tiga atau lima tusukan di tengah-tengah tanda lebam tersebut. Jaga-jagalah...itu tandanya ada jin yang sudah suka akan diri kita yang boleh diberi nama Jin Asyik.  Apabila ada jin yang suka akan kita, maka sukar untuk memutuskan ikatan cinta tersebut. Wallahu’aklam..

Hukum

Ada ulama yang berpendapat bahawa tidur selepas waktu Asar ini hukumnya makruh dan tidaklah jatuh kepada haram. Namun, melalui penelitian dan pengamatan orang tua-tua dahulu, sangat sedikit manfaat tidur selepas waktu Asar berbanding banyak keburukan yang diperoleh. Oleh itu, janganlah kita amalkan tabiat ini.

Al kisah

Saya ada satu kes berkaitan dengan akibat suka tidur selepas waktu Asar ini. Baru-baru ini saya didatangi seorang pesakit lelaki yang dibawa oleh isteri dan kakaknya ke rumah saya. Pada mulanya, saya ingatkan sakit biasa sahaja tetapi saya rasa lain macam sahaja kerana tutur kata bicaranya agak merapu sahaja. Dia banyak bercakap tentang hal-hal mistik dan kerohanian. Katanya dia ada jumpa wali dan mendengar bisikan-bisikan ghaib. Dia marah kalau isterinya atau kakaknya menyanggah pendapatnya. Untuk mengambil hatinya saya mengiyakan sahaja segala kata-katanya, tetapi sampai satu ketika, bosan juga saya mendengarnya lalu membetulkan sesetengah kata-katanya. Nampaknya dia begitu marah kepada saya lalu merajuk dan tidak mahu meneruskan rawatan.

Melalui perbualan dengan isterinya, saya diberitahu bahawa suaminya itu memang suka tidur selepas waktu Asar dan terlajak sehingga ke malam. Pada tengah malamnya, dia suka membaca buku-buku agama dan terjemahan al-Quran. Nampaknya belajar tanpa guru juga menimbulkan masalah buat beliau kerana penjelasan yang tepat tidak akan diperolehi. Pemahaman yang timbul semata-mata diatas andaian dan agakan sahaja. Hal sedemikian lagi memberi kesan kepada pesakit tersebut.

Kesimpulan

Saya percaya, anda yang sedang membaca tulisan ini juga pernah tidur selepas waktu Asar, cuma kekerapannya berbeza. Walau apapun, nasihat saya cubalah jangan tidur selepas waktu Asar dikhuatiri akan menjadi GILA. Kasihanlah kepada diri sendiri dan orang yang tersayang.

Sekian coretan daripada saya. Mudah-mudahan memberi manfaat kepada semua.

Sumber:
1. Pesanan guru saya (Allahyarham Ayat Mat, Pekan)
2. Rakaman kuliah Ustaz Kazim Elias di Youtube bertajuk “Bahaya tidur selepas waktu Asar”.

Monday, 8 February 2016

BUKA HIJAB MELIHAT JIN (MAKHLUK HALUS)

Assalamu’alaikum wwt..

Saya sering ditanya oleh pesakit akan keboleham melihat jin atau syaitan atau makhluk halus lainnya. Sebenarnya manusia biasa tidak mampu melihat keberadaan jin dalam bentuk asalnya tetapi boleh melihat jin tersebut apabila bentuknya telah bertukar rupa. Cuba fikirkan bagaimana jika sepanjang masa mata kita terbuka hijabnya sehingga nampak makhluk jin tersebut? Sudah tentu kehidupan kita akan terganggu kerana banyaknya jumlah mereka yang menghuni alam ini. sudah tentu aktiviti seharian kita akan menjadi kacau kerana kelebihan yang tidak normal ini.

Kita boleh melihat jin jika ia menukarkan bentuknya tetapi tidak boleh melihat bentuknya yang asal sebagaimana firman Allah s.w.t bermaksud :

“Wahai anak-anak Adam! janganlah kamu diperdayakan oleh syaitan sebagaimana ia telah mengeluarkan kedua ibu bapa kamu dari syurga, sambil ia menyebabkan terlucutnya pakaian mereka berdua untuk memperlihatkan kepada mereka: aurat mereka (yang sebelum itu tertutup). Sesungguhnya syaitan dan kaumnya melihat kamu dengan keadaan yang kamu tidak dapat melihat mereka. Sesungguhnya Kami telah menjadikan syaitan-syaitan itu teman rapat bagi orang-orang yang tidak beriman.”  (Surah Al-A’raf Ayat: 27)

Al Hafiz Ibnu Hajar mengatakan, “kadang-kadang syaitan itu membentukkan dirinya dalam pelbagai bentuk, maka kita kadang-kadang dapat melihatnya. Ayat ini menyatakan kita tidak dapat melihatnya di dalam bentuknya yang asal.”

Al Imam Asy Syafie r.a mengatakan sebagaimana yang didengar oleh Ar Rabi’ yang diriwayatkan oleh Al Baihaqi r.a di dalam Kitab Manaqib Asy Syafie, “ Barangsiapa yang mengaku dia melihat jin kita tolak pengakuannya kecuali ia seorang Nabi.”

Walaubagaimanapun dapat kita buat satu kesimpulan bahawa seseorang itu dapat melihat jin dalam bentuk yang lain tetapi tidak dalam bentuknya yang asli.

Nabi Muhammad s.a.w menjelaskan baginda ternampak Ifrit melintas baginda sewaktu baginda sedang sembahyang, sebagaimana sabdanya yang bermaksud :
“Ifrit melintas di hadapan aku semalam untuk mengganggu sembahyangku, Allah s.w.t membenarkan aku sehingga aku ingin mengikatnya di pagar masjid sehingga subuh dan kamu boleh melihatnya tetapi aku teringatkan perkataan / doa saudara ku Sulaiman, “ Ya Tuhanku, kurniakanlah kepoadaku kekuasaan yang tidak akan dicapai oleh orang selepas aku.”

Di dalam hadis di atas dapatlah kita membuat kesimpulan : 
  • Keupayaan manusia melihat jin adalah sesuatu yang mustahil. Firman Allah s.w.t yang disebutkan itu adalah secara umum tetapi para Nabi dikecualikan. Mereka ada kebolehan yang diberikan Allah untuk melihat bahkan boleh menguasai mereka sebagaimana Nabi Sulaiman boleh menaguasai jin.
  • Menunjukkan jin itu tidaklah kekal dalam bentuk asal mereka (api).
  • Melihat Ifrit oleh Baginda Rasulullah s.a.w adalah sesuatu yang khusus untuknya sebagaimana Baginda boleh juga melihat malaikat dalam bentuknya yang asli sehingga dapat melihat Malaikat Jibril yang mempunyai 600 kepak.
  • Manusia-manusia yang lain tidak mempunyai kelebihan sebagaimana yang Allah anugerahkan kepada Nabi-nabi berkenaan. Walaubagaimanapun setengah-setengah  binatang juga dapat melihat jin sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:

“Apabila kamu mendengar kokok ayam, mintalah kurnia dari Allah kerana ia melihat malaikat dan apabila engkau mendengar suara himar berlindunglah kepada Allah daripada gangguan syaitan kerana yang dilihatnya ialah syaitan.” (AL Bukhari, Muslim, Abu Daud dan Tarmizi)

Kelebihan binatang-binatang ini bukanlah sesuatu yang pelik kerana ulama telah mentahkikkan (memperakukan) kelebihan binatang yang boleh melihat sesuatu yang kita tidak dapat melihatnya. Lebah boleh melihat cahaya, mereka boleh melihat matahari di waktu awam gelap. Burung hantu dapat melihat tikus di waktu malam yang gelap gelita.


Sumber: Perubatan Islam Darussalam Malaysia

Saturday, 6 February 2016

ADAKAH JIN BOLEH DITUNDUKKAN?

Assalamu’alaikum wwt.

Persoalan mengenai perhubungan di antara makhkuk jin dan manusia sentiasa diperkatakan. Seiiring dangan perkembangan masa, perhubungan tersebut dilihat banyak menjurus kepada keburukan. Walaupun begitu, tidak dinafikan ada juga beberapa perhubungan yang baik wujud diantara jin dan manusia.


Perhubungan di antara jin dan manusia memang wujud dan ditegaskan di dalam al-Quran, sunnah dan Ijma’ Ulama. Namun begitu perhubungan tersebut adalah secara khusus dan terbatas menurut undang-undang dan peraturan yang telah ditentukan oleh Allah SWT.

Jin ada kalanya boleh masuk ke dalam badan manusia dengan cara yang hanya Allah SWT sahaja yang mengetahuinya. Hal ini dapat disaksikan bahawa ada dalam kalangan manusia yang menderita sakit lumpuh, gila, lupa diri, was-was, sesat dan berbagai-bagai lagi tindakan mereka.

Golongan jin yang melakukan perbuatan ini adalah yang kafir dan fasik. Tetapi jin yang beriman tidak akan melakukan perbuatan seumpama ini.  Mereka adalah golongan yang baik sebagaimana manusia yang beriman juga.

Kita bersyukur kepada Allah SWT kerana dengan kurniaanNya, kita (umat Islam) diajar kaedah-kaedah utnuk mempertahankan diri daripada golongan jin jahat ini.

Nabi Sulaiman a.s diberi kekuasaan oleh Allah dapat menundukkan golongan jin dan memerintahkan jin-jin berkhidmat untuk baginda tanpa sebarang bantahan. Begitu juga, Allah telah melimpahkan kurnianya kepada Nabi Muhammad saw kemudahan dalam beberapa perkara dalam urusan jin.

Keistimewaan Rasulullah dalam Menundukkan Jin

Hadis yang diriwayatkan oleh Muslim daripada Abdullah bin Mas’ud r.a. sesungguhnya baginda Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “setiap kamu akan diwakilkan satu qarin (sahabat) daripada bangsa jin. Mereka (sahabat) bertanya apakah engkau pun ada ya Rasulullah, sabda baginda ya, aku pun ada, tetapi Allah membantu aku mengatasinya sehingga aku selamat (atau dia telah Islam) maka tidak menyuruh aku melainkan yang baik semata-mata”

Abu-Darda’ r.a meriwayatkan bahawa pada suatu ketika baginda Rasulullah SAW berdiri di kalangan kami, Baginda menyebut “Aku berlindung kepada Allah daripada Kamu” kemudian sambungnya : “Aku laknat kamu dengan laknat Allah”, tiga kali kemudian dibuka tangannya seolah-olah mengambil sesuatu setelah sembahyang, kami bertanya “Ya Rasulullah kami mendengar engkau berkata di dalam sembahyang tadi sesuatu yang tidak pernah kami dengar sebelum ini dan engkau buka pula tanganmu.” Jawab baginda, “Sesungguhnya musuh Allah iaitu Iblis datang membawa bara api untuk membakar mukaku, maka aku berkata, aku laknat mereka yang yang hendak menggangguku, demi Allah kalau aku tidak teringat doa saudara kita Sulaiman aku akan ikat mereka supaya anak-anak penduduk Madinah boleh bermain dengan mereka”

Al-Qadhi Iyadh berkata maksudnya Nabi Muhammad SAW teringat firman Allah SWT mengenai doa Nabi Sulaiman, “Jangan ada selepas aku sama kekuasaan yang ada padanya,” bermakna Nabi Muhammad boleh juga menagkap jin itu dan menguasainya tetapi sebagai menghormati dan merendahkan dirinya maka tidak ditangkapnya jin itu

Begitu juga Abu Hurairah r.a. meriwayatkan katanya, Sesungguhnya baginda Rasul bersabda yang bermaksud : “Sesungguhnya jin Ifrit telah mengacau aku semalam supaya memutuskan solatku, dan sesungguhnya Allah mebolehkan aku menguasainya. Maka sesungguhnya aku bercita-cita untuk mengikatnya ke kota masjid. Sehinggakan orang ramai boleh melihatnya, kemudiaan aku teringat kata-kata abangku Sulaiman, “ Ya Allah ya tuhanku ampunlah dosaku, berikanlah kepadaku kekuasaan tidak dapat pada orang lain selain aku.” Maka Allah menolak jin itu dengan penuh kehinaan

Kesimpulan

Nabi Muhammad SAW juga diberi kemudahan oleh Allah untuk memerintah jin dan syaitan itu. Ibnul-Jauzi berkata jin dimudahkan untuk Nabi Sulaiman tetapi Nabi Muhammad banyak dibantu oleh para malaikat. Bagaimana pula dengan kita, umat baginda yang lemah ini? Jangan takut dan jangan bimbang, sesungguhnya Allah akan membantu kita jika kita tetap berpegang teguh kepada tali Allah (Al-Quran dan Hadis). Sesungguhnya tipu daya jin itu amatlah lemah..

Sekian sahaja untuk kali ini.

Sumber: Perubatan Islam Darussalam Malaysia