Friday, 8 January 2016

PESAKIT PERLU MUHASABAH DIRI

Assalamu’alaikum wwt.

Saudara pembaca yang dihormati sekalian,

Hampir sebulan saya tidak menulis di dalam blog ini. Saya memohon maaf sekiranya pembaca tertunggu-tunggu hasil nukilan saya. Sokongan dan keprihatinan pembaca amat saya hargai.

Sakit dan sihat adalah dua elemen yang sentiasa bertukar ganti dalam kehidupan manusia. Hal ini adalah normal. Jika manusia tidak merasai sakit, manakan tahu nikmatnya sihat.  Sesungguhnya Allah itu Maha Kaya.

Seringkali manusia tidak mahu memeriksa punca berlakunya penyakit yang dideritai. Manusia sering menyalahkan faktor luar daripada menyalahkan diri sendiri.  Padahal diri sendiri itulah yang menjadi punca berlakunya penyakit tersebut. Apabila manusia ditimpa penyakit misteri, maka lekas-lekas menuduh itu adalah buatan orang atau angkara perbuatan jin dan sihir. Begitu juga apabila diserang penyakit fizikal seperti kencing manis atau darah tinggi, bukankah penyebabnya berpunca daripada sikap kita yang tidak menjaga pemakanan dan riadah. Apabila sudah ditimpa penyakit, maka mulalah berasa keluh kesah dan menyesal tidak sudah.

Perlu diingat dan diambil perhatian bahawa setiap penyakit yang menimpa diri kita sebenarnya adalah berpunca daripada diri sendiri.

Saya masih ingat beberapa kes pesakit yang datang mendapatkan rawatan daripada saya suatu ketika dahulu. Pesakit mengadu badannya lemah-lemah dan sakit-sakit. Seperti biasa, saya meruqyahnya dan menyediakan air penawar. Apabila diselidiki dengan lebih lanjut melalui perbualan dan pertanyaan, saya dapat membuat kesimpulan bahawa ada yang tidak kena dengan aktiviti seharian mereka.

Sikap dan amalan

Kadang-kala sikap dan amalan seharian kita yang menjadi faktor berlakunya sesuatu musibah. Jika seorang peniaga, mungkin tidak mematuhi kaedah urusniaga yang betul. Berlakunya sikap tidak jujur dan menipu untuk mengaut keuntungan yang berlipat kali ganda. Mungkin penyakit yang menimpa mereka adalah sebagai kifarah daripada Allah untuk menyedarkan mereka.

Jika seorang anak yang menderita musibah dari segi zahir dan batin, mungkin perlu merenung kembali akan hubungan dengan kedua ibu bapanya. Perlu diingat bahawa keredhaan Allah bergantung kepada keredhaan ibu bapa dan kemurkaan Allah juga di atas derhaka kita kepada ibu bapa. Ada banyak cerita dan teladan yang boleh dijadikan iktibar. Ada kes, seseorang yang berasa tidak tenteram dalam kehidupannya sekian lama. Apa sahaja kerja yang dibuatnya serba tidak kena. Rezeki dirasakan sempit dan ditmpa banyak masalah. Rupa-rupa setelah direnung barulah dia faham bahawa dia ada berbuat salah dengan ibunya suatu ketika dahulu. Maka setelah mendapat keampunan daripada ibunya, barulah dia berasa lega dan tenang seolah-olah telah melepas satu bebanan yang berat selama ini.

Bagi seorang wanita yang telah berkahwin pula, hendaklah taat kepada suaminya. Sikap menderhaka kepada suami sendiri boleh mengundang penyakit di dunia ini dan balasan yang teruk di akhirat kelak. Bawalah seberapa ramai perawat sekalipun untuk mengubati penyakit tersebut, nescaya tidak akan sembuh. Kesembuhan hanya akan berlaku apabila suaminya memaafkan semua kesalahannya dan redha kepadanya.

Begitulah antara beberapa contoh yang dapat saya bawa untuk renungan kita bersama. Kita digalakkan untuk bertafakur merenung atau muhasabah diri kita. Janganlah terlalu menuding jari kepada pihak lain jika ditimpa penyakit.  Sebaliknya tudinglah jari kepada diri sendiri dahulu sebelum menuding jari kepada orang lain. Ingatlah bahawa Allah tidak sekali-kali bersifat zalim kepada hamba-hamba-Nya.


Sekian. Jumpa lagi.
Post a Comment