Friday 31 July 2015

KONSEP KESIHATAN DAN PENYAKIT DALAM ISLAM

Assalamu’alaikum wwt

Apakah anda tahu apakah yang dikatakan sihat (kesihatan) dan apakah yang dikatakan penyakit? Dua konsep ini selalu dibicarakan oleh setiap orang. Saya percaya semua orang mahukan sihat dan tidak mahu penyakit menimpa mereka.

"Kesihatan" masih ditakrifkan dengan takrif yang negatif iaitu "tanpa penyakit" sehinggalah pihak pertubuhan Kesihatan Sedunia (1948) memberikan takrifannya untuk kesihatan. Kesihatan yang sempurna ialah, sihat jasmani, akal dan sosial. Maksudnya, kesihatan bukanlah hanya sekadar ketidakhadiran penyakit. Takrif ini memberikan satu dimensi kemanusiaan kepada kesihatan iaitu takrif yang timbul dari kepercayaan, tradisi dan nilai-nilai yang menjadi pegangan sesuatu masyarakat. Takrif ini juga mempunyai hubungan dengan gambaran dan konsep-konsep lain seperti politik, kemasyarakatan, kebudayaan atau moral, dan berkaitan juga dengan keperluan-keperluan yang ditentukan oleh undang-undang, tanggungjawab dan tugas-tugas sosial. Takrif ini adalah lebih menyeluruh.

Namun begitu takrif ini tidak lengkap, kerana yang dipentingkan dalam konsep kesihatan hanyalah konsep kebendaan iaitu hanya menekankan tentang kesihatan jasmani manusia sahaja. Takrif ini tidak membicarakan kesihatan keagamaan atas dasar bahawa apa yang dinamakan spiritual atau roh. Roh itu seolah-olah tidak wujud dan tidak diberikan perhatian. Itulah konsep yang wujud di dalam ilmu sains moden sekarang. Dalam hal ini, roh itu tidak tunduk di bawah ujian dan percubaan-percubaan makmal.

Konsep Kesihatan di dalam Islam

Konsep kesihatan di dalam Islam adalah amat berbeza sekali daripada konsep yang tersebut. Islam memberikan pengertian yang suci kepada kesihatan dan kesakitan. Islam adalah agama yang mementingkan roh dan jasad. Kesihatan adalah merangkumi kesihatan di dunia dan di akhirat. Sihat dalam kehidupan dunia ialah bersih dari segala penyakit dunia yang ada hubungan dengan hati dan badan. Sihat di akhirat pula ialah terselamat dari seksaan di akhirat kelak.

Jadi konsep kesihatan menurut pandangan Islam adalah merangkumi kesihatan badan dan kesihatan hati, sedangkan penyakit pula adalah merupakan dua jenis penyakit iaitu penyakit hati dan penyakit badan.

Tiap-tiap satu daripada penyakit ini terdapat doktor yang khusus bagi merawatnya. Rawatan hati mempunyai hubungan dengian keselamatan dan kesejahteraan hati, iaitu merupakan rawatan kerohanian. Rawatan penyakit jasmani pula adalah tertumpu kepada rawatan penyakit yang menimpa jasmani dan cara mengawal penyakit-penyakit tersebut. Tugas ini adalah terserah kepada para doktor penyakit jasmani. Manakala bagi penyakit rohani (hati), maka memerlukan kepada kepakaran yang berlainan pula.

Pada pendapat saya, perawatan bagi penyakit rohani (hati) tidak banyak dititikberatkan oleh manusia. Antara contoh penyakit rohani ialah sombong, takbur, riak dan sebagainya. Hanya segelintir manusia sahaja yang peka dan mengambil berat akan penyakit yang tidak nampak dek mata kasar ini. Banyak manusia yang tidak sedar bahawa mereka telah ditimpa penyakit rohani tetapi cubalah kalau manusia itu ditimpa oleh penyakit jasmani seperti demam, luka dan sebagainya, maka cepat-cepat mereka mendapatkan rawatan yang banyak tumbuh di dalam masyarakat. Manusia yang terkena penyakit rohani (hati) perlu segera mendapatkan rawatan daripada pakar-pakar yang mahir dan berkebolehan

Kesihatan  Rohani (Hati)

Hati di sini tidaklah dimaksudkan hati jasmani yang boleh dirawati oleh doktor jasmani, tetapi yang dimaksudkan ialah roh dan jiwa.

Penyakit hati adalah muncul di dalam berbagai-bagai jenis sama seperti penyakit jasmani. Di antara penyakit hati ialah penyelewengan daripada konsep perhambaan kepada Allah seperti berlaku zalim dan aniaya, penyakit syak wasangka seperti munafik, dan penyakit syahwat seperti syahwat zina dan memakan harta benda orang lain dengan cara yang salah, penyakit jiwa seperti sombong dan hasad dengki. Punca penyakit-penyakit ini ialah penguasaan syaitan ke atas roh yang cemar dan jiwa yang sakit kerana kelemahan agama dan perhubungan yang renggang dengan Allah, malah jauh sekali dari mengingati-Nya.

Maka syaitan itu tidak akan dapat menguasai seseorang kecuali yang benar-benar bersedia dan mahu mengikutinya dan menurut jejak langkahnya. Kesejahteraan hati adalah terletak di atas mentauhidkan Allah dan ketaqwaan serta keredaan-Nya, juga di atas sifat tawakal dan sentiasa mengingati-Nya; bertaubat, memohon ampun dan meninggalkan segala dosa. Hawa nafsu adalah merupakan penyakit jiwa yang terbesar sekali, dan ubatnya yang paling mujarab ialah melawan hawa nafsu dan berjuang melawannya.

Merawat penyakit hati adalah merupakan tugas para ‘doktor agama’. Tujuan rawatannya ialah mengubat hati yang sakit dengan cara membimbingnya kembali kepada Tuhan semesta alam. Cara pengubatan kerohanian ini adalah berasaskan kerohanian ketuhanan yang terdiri dari zikrullah, istighfar, membaca al-Qur'an, mujahadah atau melawan nafsu, supaya dengan itu hati akan mendapat tiupan suci ketuhanan dan roh dapat meningkat tinggi. Disamping itu dapat menekan jiwa syaitan yang mungkar dan menolak keburukannya.

Gangguan Makhluk Halus

Salah satu aspek pengubatan yang diajarkan oleh Nabi ialah kaedah menjaga diri daripada hasutan dan gangguan makhluk halus (jin  dan syaitan). Ada banyak cara yang dianjurkan untuk membenteng diri daripada terkena gangguan makhluk halus yang jahat ini. Perkara pokoknya ialah kita perlu kembali kepada al-Quran dan sunnah Nabi. Namun begitu, bukan semua orang mampu mempraktikkan amalan tersebut. Jika dipraktik sekalipun, masih ada juga ruang yang mampu dibolosi oleh jin dan syaitan ini untuk menyesatkan hidup manusia. Maka tidak hairanlah semakin ramai manusia yang datang mendapatkan rawatan kepada tokoh-tokoh perawat Islam untuk merawat gangguan makhluk halus tersebut. Pada pendapat saya, ada perkaitan yang erat tentang cara merawat gangguan makhluk halus ini dengan cara merawat penyakit hati.

Sekian sahaja coretan perkongsian daripada saya buat kali ini..

Semoga bermanfaat kepada semua.

Rujukan:
Ahmad Taha : Kedoktoran Islam. Penterjemah : Ismail Ibrahim. Dewan Bahasa dan Pustaka, 1992

Thursday 30 July 2015

PENGUBATAN NABI

Assalamu’alaikum wwt..
Saudara pembaca yang dihormati,

Tulisan pada kali ini ingin mengajak pembaca merenung sebentar akan satu bidang yang sangat penting iaitu perubatan yang pernah diajar dan dipraktikkan oleh Nabi Muhammad saw. Saya berasa terpanggil untuk mengungkapkan sedikit bicara mengenai perubatan ini, apatah lagi saya telah membaca sebuah buku yang menarik mengenainya bertajuk “Kedoktoran Islam” yang ditulis oleh Ahmad Taha dan diterjemah oleh Ismail Ibrahim.

Terdapat  hadith-hadith yang mengandungi beberapa isyarat dan pendekatan tertentu terhadap perubatan, dan hal ini dikenali sebagai "Perubatan Nabi". Ada para ulama' di antaranya Ibn al-Qayyim (691-751 H/I291 1330 M), Hafiz al-Zahari (673-748/1274 1348 M) dan Jalal al-Din al-Sayuti (849-911 H) yang menulis beberapa buah buku mengandungi kajian tentang Hadith-hadith tersebut. Salah seorang ulama yang paling terkenal ialah Ibn al-Qayyim yang telah menulis Kitab al-Tib al-Nabawi oleh, iaitu yang merupakan satu bahagian daripada bukunya Zad al-Ma'ad.

Bagaimanapun, terdapat juga orang yang mempertikaikan tentang Hadith-hadith Rasulullah s.a.w. tentang bidang perubatan ini, iaitu adalah merupakan wahyu Allah atau ijtihad Rasul sendiri. Hal ini samalah seperti satu peristiwa di mana Rasulullah s.a.w. menyuruh supaya dicantumkan pokok kurma, maka hasilnya tidak menjadi. Maka dalam hal ini Rasulullah s.a.w. bersabda bahawa; “Sekiranya sesuatu itu mempunyai hubungan dengan duni kamu, maka itu adalah urusan kamu sendiri, dan sekiranya sesuatu itu mempunyaoi hubungan dengan agama kau, maka itu adalah urusanku” (Riwayat Ahmad dan Muslim).

Konsep Perubatan Nabi

Sesungguhnya perubatan Nabi adalah perubatan yang timbul daripada wahyu Allah, dan perubatan Nabi adalah perubatan ketuhanan berasaskan kepada keyakinan dan kesempurnaan kenabian serta kesempurnaan akal. Perubatan manusia lain kebanyakannya adalah merupakan ramalan, prasangka dan percubaan-percubaan. Namun begitu tidaklah dapat dinafikan bahawa terdapat para pesakit yang tidak mendapat manfaat daripada perubatan Nabi, kerana yang dapat memanfaatkannya ialah orang-orang yang mahu menerimanya dan yakin terhadap kesembuhan penyakit serta beriman penuh bahawa al-Qur'an adalah penyembuh segala penyakit di dalam dada manusia. Jadi sekiranya seseorang itu tidak beriman dan tidak yakin maka ia tidak akan dapat disembuhkan, terutamanya penyakit-penyakit dalam diri manusia. maka dengan ini orang-orang yang munafik akan bertambah sifat buruknya dan orang-orang yang sakit akan bertambah sakitnya.

Dengan kata lain, perubatan Nabi ini hanyalah sesuai untuk jasmani yang suci dan baik sama juga seperti penyembuhan al-Qur'an hanyalah sesuai untuk rohani yang bersih dan hati yang hidup. Maka manusia yang menjauhkan diri daripada perubatan Nabi adalah merupakan manusia yang menjauhkan diri daripada mendapatkan rawatan daripada al-Qur'an yang merupakan ubat yang paling mujarab. Mereka berbuat demikian bukanlah kerana kelemahan rawatan al-Qur'an dan Hadith, tetapi kerana keburukan tabiat dan ketidaksediaan badan yang rosak untuk menerimanya.

Dalam hal ini, kami lebih cenderung kepada Ibn al-Qayyim kerana maksud perubatan ialah menjaga kesihatan dan memelihara jiwa yang merupakan satu daripada matlamat syariah. Oleh itu tidaklah boleh dikatakan bahawa perubatan merupakan satu perkara ijtihad semata-mata. Penyembuh sebenarnya ialah Allah s.w.t. Para tabib dan ubat-ubatan hanyalah merupakan jalan-jalan dan ikhtiar sahaja.  Maka, sekiranya diberkati Allah dalam sesuatu keadaan yang tertentu, nescaya Allah akan memberikan kesembuhan tanpa memerlukan sesuatu ubat kimia yang diproses di dalam makmal untuk menyembuhkannya.

Bagaimanapun, penggunaan ubat-ubatan seperti yang terdapat di dalam perubatan Nabi itu tidak pula menghalang pesakit daripada menggunakan ubat-ubatan yang ternyata berkesan bagi menyembuhkan sesuatu penyakit yang tertentu. Malah Nabi Muhammad s.a.w. sendiri menyuruh kita berusaha mengubat penyakit dan baginda menerangkan bahawa cara perubatan pada masa yang akan datang, dan baginda selalu mengingatkan para sahabatnya supaya mendapatkan rawatan daripada para tabib yang paling mahir dan paling baik.

Hadith-hadith Nabi Muhammad s.a.w. yang merupakan panduan sejati untuk orang-orang Islam, sungguhpun tidak mengemukakan satu sistem perubatan yang tertentu, tetapi Hadith-hadith itu adalah memainkan peranan yang penting untuk menyediakan persekitaran dan iklim yang sesuai untuk perubatan Islam. Hadith-hadith itu juga meletakkan asas pemakanan yang betul dan peraturan-peraturan kesihatan umum yang diikuti oleh generasi Muslim di sepanjang zaman. Di samping itu, perubatan Nabi adalah merupakan kisah pertama yang dipelajari oleh pelajar kedoktoran sebelum melakukan tugas kerjayanya.

Oleh yang demikian, sesungguhnya perubatan Nabi telah dapat menolong menyediakan pemikiran yang terbuka yang sentiasa bersedia untuk menerima dan mengamalkan ilmu perubatan pada masa yang akan datang. Perubatan Nabi iuga sebenarnva telah meletakkan sempadan-sempadan dan garis panduan yang tertentu yang sewajarnya dihormati dalam bidang perubatan.

Perubatan Pencegahan

Perubatan Nabi mementingkan pencegahan, kebersihan badan, tempat dan jalan-jalan, dan memerangi adat-adat cemar seperti membuang air kecil dan air besar di tali-tali air, atau menggunakan air kotor, mengotorkan tempat duduk orang serta tempat-tempat laluan mereka.

Perubatan Nabi juga mengenakan hukuman kuarantin apabila lahir tanda-tanda wabak sesuatu penyakit. Di bawah ini diperturunkan beberapa hadith yang membicarakan hal-hal di atas

"Jagalah kebersihan, sesungguhnya Islam itu adalah bersih". (Riwayat Ibn Habban).

"Sesungguhnya Allah itu mulia. Ia sukakan kemuliaan, bersih. Ia sukakan kebersihan, pemurah. Ia sukakan kemurahan. Maka jagalah kebersihan halaman kamu dan janganlah menyerupai orang-orang Yahudi. mereka mengumpulkan sampah-sampah di rumah mereka". (Masnad al-Bazzaar).

"Peliharalah kamu daripada tiga laknat, buang air besar di tali air, di tengah jalan dan di bawah naungan". (Riwayat Abu Dawud).

"Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. mencegah buang air di dalam air yang mengalir".

"Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. mencegah buang air di dalam air yang tidak mengalir". (Diriwayatkan oleh limat riwayat).
"Janganlah seseorang di antara kamu membuang air kecil dalam air mandi, kemudian mandi atau berwudu' di dalamnya". (muttafaq 'alaihi).

"Penyakit taun itu adalah wabak cemar, dihantarkan oleh Allah kepada segolongan orang-orang Bani Israel atau kepada orang-orang sebelum kamu. Apabila kamu mendengar tentangnya di satu tempat maka janganlah kamu pergi ke sana, dan apabila terjadi di tempat yang kamu berada di dalamnya, maka janganlah kamu keluar melarikan diri daripadanya". (Riwayat al-Bukhari).

Perubatan Rawatan

"Penyembuhan berlaku melalui tiga perkara; minuman manisan lebah, berbekam dan berdiang di api, dan aku mencegah umatku daripada berdiang".

Dalam satu riwayat lain disebutkan:
"dan aku tidak suka berdiang".

Di samping itu terdapat juga beberapa jenis rawatan yang ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w. yang sehingga ke hari ini masih digunakan, diantaranya ialah merawat penyakit demam dengan air. Seperti yang disebutkan di dalam hadith sahih:

"Sesungguhnya demam atau terlalu tinggi suhu panas itu adalah merupakan percikan-percikan neraka, maka sejukkanlah dengan air".


Rujukan :
Ahmad Taha : Kedoktoran Islam. Penterjemah: Ismail Ibrahim, Dewan Bahasa dan Pustaka, 1992

Tuesday 28 July 2015

MENJEJAK PUNCA SAKIT MISTERI

Assalamu’alaikum wwt..
Saudara pembaca yang dihormati,

Dalam  tulisan terdahulu, saya ada menyentuh tentang penyakit yang dideritai oleh pesakit tetapi punca sakitnya itu tidak dapat dikesan oleh perubatan moden.  Dalam hal ini, bukanlah saya menidakkan akan keupayaan ilmu dan peralatan perubatan moden, namun kita harus berlapang dada menerima kenyataan bahawa ada juga faktor lain yang menyebabkan sesuatu penyakit itu berlaku. Faktor tersebut berkemungkinan berpunca daripada gangguan jin.

Kisah ini merupakan rentetan kisah yang pernah saya ceritakan dalam tulisan terdahulu. Ceritanya  berkaitan dengan penyakit yang dideritai oleh pesakit wanita iaitu anak kepada Datok J. Pesakit ini masih meneruskan rawatan ulangan daripada saya dan saya berdoa kepada Allah, mudah-mudahan penyakit yang dideritainya sejak sekian lama akan sembuh..InsyaAllah.

Sakit bertambah teruk

Setelah rawatan ulangan kali kedua, ada sedikit tindak balas yang berlaku kepada pesakit wanita itu. Namun tindak balas tersebut tidaklah ketara dan sedikit reda setelah meminum air penawar yang dibekalkan kepadanya. Hendak dijadikan cerita, pada suatu hari, ada seorang kenalan bapa kepada pesakit ini berkunjung ke rumahnya. Kenalan bapanya dikatakan tahu serba sedikit berkaitan kaedah rawatan. Kaedah yang macam mana tidaklah saya ketahui. Dalam hal ini, kita perlu berhati-hati dan hendaklah menyelidik terlebih dahulu akan kaedah rawatan yang digunakan. Kita bimbang takut-takut, pengamal perubatan ini menggunakan ‘pendamping’ atau ‘sahabat ghaib’ untuk membantunya dalam perawatan penyakit. Jika menggunakan pendamping yang terdiri daripada kalangan jin, maka bertambah rumit sedikit usaha penyembuhan. Wallahu’aklam..

Perawat kenalan bapanya menawarkan pertolongan dengan menyediakan air jampi untuk diminum kepada pesakit wanita ini dan meninjau-ninjau kawasan rumah untuk tujuan pemagaran katanya. Pesakit wanita itu terpaksa menerima pertolongan itu kerana bimbang perawat itu terasa hati.

Selepas meminum air yang dijampi oleh perawat kenalan bapanya itu, secara tiba-tiba penyakit wanita itu bertambah teruk sehingga terpaksa dikejarkan ke hospital dan ditahan di wad selama 2 hari. Pesakit ada menelefon kepada saya dan bertanyakan mengapa terjadi begitu?  Agak sukar juga untuk saya menjelaskannya kerana adanya campurtangan orang lain dalam usaha merawat penyakitnya itu. Apa yang berlaku hanya Allah sahaja yang tahu.

Menjejak Punca Penyakit

Pada malam itu, pesakit wanita itu datang ke rumah saya bersama anak lelakinya untuk mendapatkan rawatan ulangan kali ketiga. Sebelum sesi rawatan dibuat, saya bertanya sedikit sebanyak akan simpton penyakit yang dialaminya. Saya memutuskan untuk melakukan Teknik Kembara dan Rawat untuk memohon petunjuk kepada Allah akan punca penyakitnya itu. Saya mulakan dengan sesi ruqyah terlebih. Ruqyah ini penting untuk memberi tekanan dan kesan kepada gangguan jin yang berada di dalam badan pesakit. Setelah selesai set bacaan ruqyah, saya mula beralih kepada Teknik Kembara dan Rawat.

Mata pesakit wanita itu saya ikat dengan sehelai serban agar pandangan mata zahirnya tertutup dan lebih memberi fokus kepada teknik yang akan saya lakukan. Saya memintanya bertenang dan memohon kepada Allah agar diperkenankan permohonan. Saya mulakan dengan bacaan Ummul Kitab Al Fatehah dan diikuti dengan bacaan ayat-ayat suci yang terpilih. Apabila selesai, saya memerintahkan pesakit agar pergi ke rumahnya secara batin. Pesakit saya arahkan agar meninjau keadaan di luar rumah dan memerhati apa-apa tanda atau petunjuk. Seketika pesakit wanita itu tersentak kerana dia melihat ada dua orang yang tidak dikenali sedang melakukan ‘Ritual Berubat’. Saya arahkan agar pesakit itu mengusir dua tubuh yang tidak dikenali itu beredar. Setelah selesai peninjauan di luar rumah, saya perintahkan pula pesakit wanita itu untuk berdiri di hadapan pintu rumah. Saya arahkan agsar pesakit meninjau di ruang tamu. Sekali lagi pesakit wanita itu terkejut kerana dia juga melihat ada dua orang yang melakukan perkara yang sama di luar rumah tadi. saya menyuruhnya mengusir gangguan itu.

Gambar hiasan : Ritual Berubat

Pesakit wanita itu agak tidak bermaya dan suhu badannya panas mendadak dan selepas itu tiba-tiba tubuhnya berasa tersangat sejut sehingga menggeletar. Saya tidak menghiraukan semua itu dan menyuruhnya bertenang.

Langkah seterusnya, saya arahkan pula pesakit wnaita itu untuk memeriksa pula gangguan yang berada di dalam tubuh badannya. Saya memmintanya menggerakkan tangan kanan untuk ‘scan’ bahagian-bahagian tertentu di tubuhnya. Tangan digerakkan yang bermula di bahagian kepala dan seluruh anggota badannya. Saya memintanya melakukan isyarat tarik dan buang penyakit yang ada.

Sesi rawatan ditamatkan...Saya berharap agar Allah memakbulkan usaha saya ini dan memberi kesembuhan kepada pesakit wanita ini.

Sekian sahaja coretan pada kali ini.
Semoga bersua lagi.


HP: 0113-228-0112

Saturday 25 July 2015

TEKANAN DARAH TINGGI MENDADAK

Assalamu’alaikum wwt..

Penceritaan melalui pengalaman lebih mudah diterjemahkan ke dalam penulisan. Hal ini kerana, kita merasai dan menjiwai sendiri akan kisah-kisah tersebut. Inilah yang saya cuba terapkan di dalam penulisan blog ini. Saya bukanlah wartawan hebat untuk mengungkapkan kisah-kisah tersebut. Namun, saya berlatih menulis sedikit demi sedikit. Melalui cara ini, dapat membantu saya berkongsi paparan artikel demi tatapan semua. Saya menulis bukan kerana nama.

Masih ingatkah lagi akan kisah saya yang terdahulu, iaitu kisah mengenai seorang wanita yang mengalami penyakit misteri? Sebenarnya kisah ini adalah lanjutan daripada kisah wanita tersebut.

Dalam tulisan yang lepas saya membicarakan tentang seorang wanita yang selalu merasakan ada benda yang bergerak-gerak di dalam badannya. Saya ada mengingatkan kepada beliau bahawa, penyakitnya itu ada harapan untuk sembuh tetapi haruslah kerap membuat rawatan ulangan. Maksud saya, jika sekali berubat sahaja terus mengharapkan kesembuhan yang total, mana mungkin boleh berlaku? Pesakit yang mengalami penyakit yang teruk dan memakan masa yang lama perlu mendapatkan rawatan secara berkala atau berulang-kali sehinggalah benar-benar sembuh dengan izin Allah. Dalam hal ini, pesakit perlulah sabar kerana orang tua-tua pernah berkata “penyakit datang seperti ribut, hendak sembuh seperti semut”. Faham-fahamkanlah.

Pada petang Rabu, sekali lagi pesakit wanita itu datang semula ke rumah saya untuk mendapatkan rawatan ulangan. Kali ini, dia membawa bersama bapanya untuk membuat rawatan. Bapanya seorang usahawan yang terkenal di Bandar Jengka. Sebut sahaja namanya, saya rasa semua orang Jengka tahu. Namun biarlah saya merahsiakan namanya. Fokus bicara pada ini ialah mengenai penyakit bapanya itu.

Bual Bicara Penyakit

Bapa pesakit wanita itu saya namakan Datok J begitu peramah dalam bicara. Ada-ada sahaja cerita yang keluar daripada mulutnya yang berkaitan dengan penyakit yang dideritai selama ini. Beliau nampaknya begitu menitikberatkan kesihatan dan sanggup berhabis wang dan tenaga untuk mendapatkan penyembuhan. Sebut sahaja pusat rawatan atau tokoh-tokoh yang yang pandai merawat, nescaya beliau akan mengungjunginya. Bahkan beliau pernah mendapatkan rawatan sehingga ke Kemboja dan Selatan Thailand katanya. Pernah dibacakan surah-surah tertentu oleh pelajar pondok agama di sana untuk bermohon kesembuhan penyakitnya itu. Namun sehingga kini kesihatan yang dicari belum ditemui.


Tekanan Darah Tinggi
Menurut Datok J, pemeriksaan moden yang dilalui di hospital tidak dapat menemui punca penyakit itu. Pernah tekanan darahnya naik mendadak sehingga membingungkan dirinya sedangkan beliau tiada penyakit darah tinggi.  Begitu juga bacaan gula di dalam darahnya juga ada kalannya meningkat, sedangkan beliau tiada penyakit kencing manis sebelum ini. Kalau begitu simptonnya, nampaknya ada sesuatu yang tidak kena dan perlu kepada perawatan pengubatan Islam. Mungkin dengan izin Allah, bacaan ruqyah yang bersanad hingga kepada Rasulullah saw dapat merungkai punca penyakit tersebut. InsyaAllah..



Ikrar Pemutus dan Meruqyah

Kalau saya melayannnya berbicara, mungkin proses perawatan akan mengambil masa yang lama. Jadi, saya potong ceritanya dan menyuruhnya duduk berlunjur bersama dengan anaknya itu. Sebelum bacaan ruqyah saya alunkan, terlebih dahulu saya menuntunnya membaca ikrar pemutus saka dan pemutus sihir. Bacaan mereka tesekat-sekat dan sesekali kelihatan gementar. Saya lanjutkan dengan bacaan ruqyah Nabawiyah dan sesekali tangan saya tempelkan di bahagian belakang dan kepala pesakit. Point-point tertentu saya tekan dan kelihatan ada reaksi. Bahang panas terasa mengalir di tangan saya dan anak Datok J kelihatan gelisah sambil sendawa tidak berhenti-henti. Kelihatan peluh memercik keluar dari badan kedua-duanya. Saya tidak menghiraukan semua itu dan terus membacakan ayat-ayat ruqyah sambil diselangi dengan arahan supaya jika ada jin yang mengganggu pesakit ini, maka ‘mereka’ wajib keluar. Jikalau ‘mereka’ degil dan ingkar, maka siksa Allah amat pedih.

Setelah set bacaan ruqyah selesai, saya menyuruh pesakit duduk berlunjur dan melakukan teknik menarik keluar penyakit dan punca penyakit. Nampaknya, masih ada gangguan (jin) yang berdegil. Hal ini jelas apabila saya menekan sedikit kuku ibu jari pesakit, kelihatan pesakit mengeliat kesakitan terutama di kaki kiri.  Saya tersenyum, kerana yakin Allah akan membantu saya mengeluarkan gangguan (jin) tersebut. Cukuplah sesi rawatan untuk kali ini.

Dalam perbualan selanjutnya, rupa-rupanya sakit yang dideritai oleh mereka juga hampir semua dideritai oleh ahli keluarga mereka yang lain. Senang cerita, sakit yang hampir sama dan simpton yang hampir sama.  Nampaknya satu keluar perlu diruqyah. Wallahu’aklam...

Sekian dahulu coretan daripada hamba yang fakir ini..
Semoga berjumpa lagi.

HP: 01132280112

Friday 24 July 2015

BENDA BERGERAK DALAM BADAN

Assalamu'alaikum wwt..

Kisah kali ini berkisar tentang penyakit misteri yang dialami oleh seorang wanita. Penyakit yang dideritainya sudah agak lama dan puas berubat katanya, namun takdir Allah telah tersurat bahawa penyakitnya agak lambat sembuh. Tentu ada hikmah disebaliknya. Kisah ini masih baru lagi berlaku iaitu selepas saya pulang berhari raya aidil fitri baru-baru ini.

Kisahnya begini,

Ada seorang pesakit dari Bandar Jengka telah datang berjumpa saya untuk mendapatkan rawatan akan penyakit misteri yang dialaminya. Pesakit ini seorang wanita yang berstatus janda dan merupakan anak seorang yang terkenal di Bandar Jengka. Pada mula bicaranya, beliau tidak tahupun akan adanya perawat yang mengamalkan kaedah pengubatan Islam di Bandar Jengka ini. Beliau hanya tahu apabila ada orang yang menyarankanya supaya datang berjumpa saya. Dalam bidang rawatan pengubatan Islam ini, saya mengambil sikap tidak menonjolkan diri. Tiada papan tanda dan tiada kad nama yang mempromosikan akan khidmat saya ini. Sebab itulah ada orang terdekat yang tidak tahu akan rawatan Islam yang saya jalankan.  Lagipun saya mempunyai kerja tetap dan khidmat rawatan Islam ini hanya sampingan sahaja dan merawat jika ada kelapangan masa.

Berbalik kepada kisah pesakit wanita tadi,
Dalam penceritaannya kepada saya, beliau mengatakan bahawa dia selalu sakit-sakit badan selepas waktu asar dan berlarutan dalam waktu yang lama. Kata beliau lagi bahawa ada semacam ‘benda’ yang tidak diketahui bentuknya yang bergerak-gerak di dalam badannya. ‘Benda’ tersebut selalu bergerak di sekitar perut, bahu dan di bahagian belakang badan. Beliau perasan bahawa sakitnya akan tiba apabila kakinya terasa sejuk selepas waktu asar dan selepas itu bermulalah sakitnya. Apabila sakitnya datang, beliau berasa sungguh tidak selesa kerana kerap sendawa mengeluarkan angin yang banyak di dalam badan. Kadang-kala tidurnya tidak lena dan terasa nak demam. Bahkan beliau mengatakan bahawa beliau kerap bermimpi yang menakutkan dan berada di tempat kotor.

Saya bertanyakannya sama ada beliau telah mendapatkan rawatan di hospital dan berjumpa dengan doktor pakar. Dengan perasaan hampa, beliau mengatakan bahawa sudah puas mendapatkan rawatan dan pemeriksaan namun doktor mendapati beliau tidak mengalami sebarang sakit. Dalam hati saya sudah mengagak bahawa pasti ada sesuatu yang tidak kena dan berkemungkinan sakit beliau ini angkara perbuatan jahat jin. Saya tidak berani menuduh bahawa sakit tersebut angkara perbuatan jin, namun melalui tanda-tanda sakit tersebut berkemungkinan besar ada campur tangan jin. Wallahu’aklam..

Seperti biasa, saya bacakan doa-doa ruqyah ringkas kepada air. Kombinasi ayat-ayat tersebut terdiri daripada Surah AlFatihah, AyatulKursi, Surah Al Ikhlas, Surah Al Falaq dan Surah Annas. Jikalau kita yakin, memadailah kombinasi surah-surah ini sahaja yang perlu kita amalkan. Saya lihat pesakit tersandar keletihan di kerusi. Langkah seterusnya ialah, saya menyuruh pesakit mengikut saya membaca ikrar pemutus saka dan ikrar pemutus sihir. Lafaz ikrar tersebut diucapkan dengan suara yang agak berat oleh pesakit tersebut.

Gambar hiasan : Letih dan penat

Seterusnya, saya lanjutkan pula dengan bacaan ruqyah Nabawiyah yang saya terima daripada Al-Fadhil Syeikh Muhamad Rajab Akmal bin Abdul Halim AlIdrisi sambil tangan saya sesekali diletakkan di atas kepalanya. Pesakit terus sendawa angin tetapi tidak sampai muntah. Pesakit mengatakan bahawa ada sesuatu benda yang tersekat di kerongkongya tetapi tidak mahu keluar. Lanjutnya lagi,  ‘benda’ atau gangguan di dalam badannya terasa bergerak turun ke kaki dan kakinya terasa kebas terutama di sebelah kiri. Pesakit masih lagi kelihatan tidak bermaya.

Seperti biasa, saya akhiri rawatan dengan memohon kepada Allah agar mengizinkan saya menarik keluar semua penyakit dan punca penyakit yang zahir dan yang batin termasuk gangguan jin.

Pada malamnya, pesakit menelefon saya mengatakan ada perubahan mendadak pada dirinya. Terasa perutnya semakin sakit dan tekanan darahnya naik mendadak. Saya kira, ini adalah simpton tindak balas dan menyuruhnya bertahan sambil terus meminum air yang telah saya doakan. Mudah-mudahan sakit beliau segera sembuh. Insya Allah...

Sekian sahaja coretan buat kali ini...


Thursday 23 July 2015

SAKIT GANGGUAN JIN

Assalamu’alaikum wwt.

Sakit akibat daripada gangguan jin kadang-kala sukar untuk dibezakan dengan sakit yang berpunca daripada tindak balas semula jadi di dalam badan. Hal ini kerana simptonnya hampir sama tetapi jika dirujuk kepada perubatan moden, doktor mengatakan bahawa pesakit itu tidak sakit kerana penyakitnya tidak dapat dikesan. Keadaan ini kadang-kala membingungkan para doktor yang terdidik dengan disiplin perubatan moden. Malah ada sesetengah kes yang pernah diceritakan oleh pesakit kepada saya bahawa walaupun dilakukan ujian scan, ujian darah dan sebagainya tidak dapat menunjukkan bahawa pesakit itu sakit. Walhal, pesakit itu sebenarnya sakit. Pening juga memikirkannya..

Gambar hiasan: Meruqyah pesakit
Pada pendapat saya, situasi ini tidaklah menghairankan kerana teknologi di alam jin lebih canggih dan dapat memudharatkan manusia. Apabila jin dapat menguasai manusia atau lebih tepat lagi dapat masuk ke dalam tubuh manusia, jin itu dapat bergerak dalam salur darah  manusia. Maka pada ketika itu, mereka bebas untuk melakukan apa sahaja yang diingini dan lebih parah lagi jika jin tersebut mengikut arahan daripada tukang sihir untuk menyakiti manusia. Tempat utama yang disukai oleh jin ialah di saraf pusat di otak manusia. Dari sini, jin-jin tersebut dapat mengawal semua deria dan saraf utama manusia. Sebab itu, ada pesakit yang mengadu sakit jantung, walhal sebelum ini dia tiada pun sakit jantung. Hal ini terjadi kerana ada gangguan jin pada bahagian jantung tersebut. Apabila diruqyah dengan ayat-ayat suci al-Quran, dengan izin Allah, jin-jin pengganggu itu hancur atau keluar daripada tubuh pesakit. Secara automatiknya, sakit jantung itu akan pulih seperti sediakala. Hal ini semuanya berlaku dengan izin Allah. Izin Allah akan terjadi jika kita berusaha dan berikhtiar. Usaha dan ikhtiar yang dianjurkan ialah dengan kembali kepada Perubatan Sunah Nabi. Ada banyak pecahan atau cabang perubatan Sunah Nabi yang boleh kita amalkan yang meliputi dari segi pemakanan, berbekam, berpuasa dan melakukan Ruqyah Nabawiyah.

Ruqyah Nabawiyah dan Pemakanan Sunah merupakan dua kombinasi asas untuk menjaga kesihatan badan. Jika kita selalu melazimi membaca ayat-ayat suci al-Quran secara amnya dan ayat-ayat ruqyah secara khasnya, maka secara beransur-ansur penyakit gangguan jin akan hilang dan kita dapat hidup dengan sihat. Untuk kesan yang lebih cepat, selalulah juga memakan makanan yang dianjurkan oleh Nabi seperti meminum madu lebah, menggunakan minyak zaitun dalam masakan, memakan habbatussauda’ (jintan hitam), meminum khal (cuka) kurma dan sebagainya.  Para pembaca bolehkah merujuk sendiri akan keberkesanan pemakanan sunah tersebut dimana-mana sumber rujukan.


Gambar hiasan : Melakukan bekam
Tidak lupa juga, janganlah tinggalkan amalan berbekam. Berbekam atau Hijamah mempunyai khasiat yang amat tinggi dalam perubatan. Nabi sangat menganjurkan umatnya agar selalu berbekam untuk mengeluarkan toksid atau asid berlebihan di dalam badan. Jika kena dengan caranya, berbekam juga dapat mengeluarkan gangguan jin yang berada di dalam darah dengan izin Allah. Saya selalu mempraktikkan bekam kepada pesakit untuk mengeluarkan darah kotor dan juga menarik keluar gangguan jin melalui darah tersebut. Ada doa-doa khusus untuk menarik keluar gangguan jin tersebut. semuanyua terjadi dengan izin Allah jua. 


Apa yang penting ialah niat, ruqyah dan teknik yang digunakan. Niat tanpa ruqyah (ayat-ayat suci al-Quran) tidak berhasil. Ruqyah tanpa teknik kadang-kala memakan masa untuk penyembuhan. Apa yang penting, teknik-teknik yang digunakan biarlah selari dengan syariat dan hakikat. Wallahu’aklam..


Sekian sahaja coretan daripada hamba yang fakir ini... 

Saya menulis berdasarkan pengalaman yang pernah saya tempuhi dan sekadar untuk perkongsian sahaja. Tidak lebih daripada itu..

Wednesday 22 July 2015

BAHANA ILMU HITAM ATAU SIHIR

Assalamu’alaikum wwt..

Ada satu peristiwa yang masih terpahat dalam memori saya yang tidak akan saya lupa sampai bila-bila. Kalau tidak silap saya, kisah ini terjadi pada tahun 2013, namun ketika itu tidak sampai hati untuk saya menceritakan kepada umum. Apa yang hendak saya kongsikan di sini ialah betapa kejamnya perbuatan seseorang yang sanggup mengkhianati rakannya sendiri dengan menggunakan ilmu hitam atau sihir. Nama dan tempatnya biarlah saya rahsiakan kerana kejadiannya mengaibkan. Kisah ini berkisar akan perbuatan mengenakan ilmu hitam atau sihir kepada keluarga pesakit. Si penyihir yang saya namakan A telah mengenakan sihir kepada rakan sekerja perempuan yang telah bersuami. Akibat serangan sihir ini, hubungan suami isteri pesakit sentiasa bermasalah dan hampir-hampir berlaku perceraian. Akhirnya  si isteri telah berhenti kerja dan membantu perniagaan suaminya. Namun mesej yang hendak saya sampaikan ialah kita hendaklah menjauhi ilmu hitam dan kita hendaklah bersikap tabah dalam menempuh ujian hidup bahana ilmu hitam.

Meruqyah Pesakit

Pada suatu hari saya mendapat panggilan telefon daripada seseorang yang saya kenali yang juga berjiran dengan tempat kediaman saya di Bandar Jengka. Dia berhajat untuk mendapatkan pertolongan saya dalam usaha mengubati penyakit dirinya dan terutama sekali isterinya. Sayapun berkunjung ke rumahnya dan sebelum proses merawat, sedikit sesi soal selidik saya lakukan untuk memahami permasalahan mereka secara sepintas lalu. Saya kira agak berat juga masalah mereka dan saya hanya berserah kepada Allah. Rumah tangga yang dibina sekian lama dan dikurniakan dua orang cahaya mata telah  bergolak akibat gangguan ilmu hitam.

Seperti biasa, saya meminta sepasang suami isteri tersebut mengucapkan ikrar pemutus sihir dengan sepenuh hati dan memohon kepada Allah agar diberi pertolongan. Saya mulakan proses ruqyah dengan surah al-Fatihan dan diikuti dengan ayat-ayat suci al-Quran yang terpilih. Dengan izin Allah, isterinya telah bereaksi dan muntah. Saya juga memeriksa di setiap bilik dan ruang di dalam rumahnya sambil membaca doa-doa pengusir syaitan.

Pada hari yang lain pula, sekali lagi saya dijemput ke rumahnya untuk rawatan ulangan kali kedua. Kali ini saya tidak memberi ruang kepada gangguan (jin) untuk berdolak-dalik lagi. Dengan izin Allah, saya memerintahkan gangguan (jin) yang berada di dalam badan pesakit untuk mengeluarkan semua barangan sihir yang terdapat dalam badan pesakit. Kelihatan, tangan si pesakit membuat gerakan seolah-olah menarik sesuatu dari beberapa bahagian tertentu dari badannya. Saya juga memberi amaran supaya gangguan (jin) tersebut segera keluar dan tidak kembali lagi kepada pesakit. Sejauh mana jin tersebut mematuhi arahan saya itu, hanya Allah jua yang mengetahui. Hal ini kerana, mungkin jin pengganggu itu telah keluar tetapi tidak mustahil ada lagi jin lain yang mengambil alih tempatnya. Pergerakan keluar dan masuk jin ke dalam badan manusia tidaklah dapat dilihat dengan mata kasar manusia. Sebab itulah para perawat tidak boleh mendabik dada kononya dia telah berjaya mengusir keluar jin.

Memerangkap Si Penyihir

Selang beberapa lama masa berlalu, satu strategi telah diatur untuk menyelesaikan masalah ini daripada berlarutan. Si suami telah menghubungi keluarga A  supaya datang bersemuka dengan kedua-dua belah pihak bagi mendengar sendiri pengakuan daripada mulut A. Pada hari yang dipilih itu, A sebenarnya bercuti di luar negara dan saya bersama-sama kedua-dua pihak keluarga tersebut telah menunggu kepulangan A.

Seperti dijangka, setelah diasak dengan pelbagai soalan dan beberapa bukti, akhirnya A mengakui telah melakukan perbuatan yang diluar batasan kepada isteri sahabat saya ini. Astagfirullahal ‘azim... Apa yang mengagumkan saya ialah, kesabaran tinggi yang dimiliki oleh sahabat saya itu. Sebelum itu, dia telah memohon kepada Allah agar mengurniakan kesabaran dan dapat menerima apa sahaja berita yang bakal didengar. Semoga Allah menolongnya dan memberinya kekuatan.

Nasihat saya,
Berhati-hatilah dalam setiap tindakan. Jangan sampai kita terkena musibah ilmu hitam atau sihir. Kalau bukan terkena kepada kita, mungkin terkena kepada isteri atau anak-anak kita. Ingat...sihir tidak mengenal sesiapa. Bujur lalu, melintang patah. Cegah sebelum parah.

Sekian coretan daripada hamba yang fakir..


Tuesday 21 July 2015

SALAM AIDIL FITRI 1436 H (NOSTALGIA LAMA MENGGAMIT KENANGAN)

Assalamualaikum wwt.

Salam seahtera dan salam syawal  1436 H

Suasana menyambut hali lebaran atau hari raya aidil fitri masih terasa. Justeru, pada kesempatan ini, saya ingin mengucapkan selamat hari raya aidil fitri, maaf zahir dan batin.

Pada hari raya tahun ini, sekali lagi saya menyambutnya di rumah mentua di Felda Jengka 11, Pahang. Ini bermakna sudah dua tahun berturut-turut saya menyambut 1 Syawal di sana. Sepatutnya saya menyambut 1 Syawal di rumah ibu saya di Felda Cini 1, Pahang, namun atas sebab-sebab tertentu saya terpaksa menyambutnya di rumah mentua. Namun begitu, suasananya tetap ceria dan meriah.  Bagi anak-anak saya, mereka lebih suka beraya di Jengka 11 kerana mereka sudah biasa berkunjung di rumah datuknya.

Nostalgia Pertama
Pada hari raya ke-2, barulah saya bergerak ke rumah ibu saya di Felda Cini 1, Pahang. Dalam perjalanan pulang, saya mengambil jalan melalui Bandar Maran dan menyusur ikut Kampung Bak-Bak, Maran dan singgah sebentar di kampung halaman saya iaitu di Kampung Belimbing. Nostalgia lama meggamit kenangan, kerana di sinilah tempat saya dilahirkan dan dibesarkan sebelum berpindah ke Felda Cini 1. Tidak banyak perubahan di kampung saya ini.  Sahabat-sahabat sepermainan banyak yang dah berhijrah ke luar mencari rezeki. Orang-orang tua yang rapat dengan saya dahulu sudah ramai yang meninggal dunia. Masih ingat dalam memori saya di mana tempat saya bermandi-manda di Sungai Pahang, sekolah rendah tempat saya belajar dan sebangainya. Saya hanya sempat berkunjung ke sebuah rumah sahaja kerana kesuntukan masa, tambahan pula anak kecil saya sudah meragam. Saya bertolak ke rumah ibu saya di Felda Cini 1. Hanya ibu saya yang mendiami rumah pusaka ini kerana ayah saya sudah lama meninggal dunia.

Nostalgia kedua
Pada hari raya ke-3, agenda diteruskan lagi. Kali ini saya ada satu pertemuan dengan bekas-bekas pelajar yang sama-sama bersekolah sejak dari Tingkatan 1 hingga Tingkatan 5 di Sekolah Menengah Kebangsaan Paloh Hinai, Pekan, Pahang. Sebenarnya saya terputus hubungan dengan rakan-rakan lama ini hampir 32 tahun.  Bayangkanlah betapa lamanya masa berlalu. Sudah banyak nama dan rupa rakan-rakan yang pudar dalam memori ini. Saya terpaksa mengerah ingatan dan peristiwa masa lalu untuk mengenali rakan-rakan lama.  Suasana terharu bercampur gembira tergambar dari raut wajah masing-masing. Pelbagai cerita terkeluar sambil sesekali diselangi hilai tawa yang menghiburkan. Saya mengambil kesempatan meninjau tempat-tempat yang pernah menjadi kenangan dulu seperti di bilik asrama, bilik darjah dan padang sekolah. Acara pertemuan tersebut diisi dengan pertukaran hadiah dan cenderamata kenang-kenangan.

Masih sempat lagi merawat..
Saya diminta oleh adik saya untuk merawat anaknya yang sakit dalam perut. Dalam keriuhan suara anak-anak kecil (semua adik beradik bersama keluarga pulang), saya meruqyah anak saudara saya ini. Kasihan saya melihat keadaannnya yang kurus akibat sakit dalam perut dan banyak angin di dalam badannya. Dengan izin Allah, melalui teknik tolakan dari perut ke mulutnya, terkeluar muntah bersama ketulan darah. Masya-Allah...
Saya kira masih perlu lagi melalui proses pengubatan ruqyah agar penyakitnya sembuh dengan izin Allah.


Sekian sahaja coretan pada kali ini.

Sekali lagi...selamat hari raya aidil fitri, maaf zahir dan batin.

Wednesday 15 July 2015

MERAWAT SAKIT TENAT

Assalamu’alaikum wwt.

Kisah ini berlaku dalam bulan Ramadan baru-baru ini.

Petang Ahad itu, saya menghadiri majlis jamuan berbuka puasa bersama ahli-ahli Persatuan Seni Silat Seri Pendeta Alam Langkah Tiga Kelantan, Malaysia (SPALTKM) cawangan Negeri Pahang. Majlis itu diadakan di gelanggang utama yang bertempat di kampung Gintong, Jerantut, Pahang.

Selesai berbuka puasa, saya berborak-borak sebentar sementara menanti waktu Isyak. Banyak hal yang dibicarakan, maklumlah saya ini bukanlah kerap sangat turun ke gelanggang silat. Sedikit sebanyak majlis seumpama ini dapat mengeratkan tali silaturrahim sesama ahli. Tiba-tiba ada satu mesej masuk di dalam telefon bimbit saya dan ternyata ada hal penting yang perlu saya bantu. Sebenarnya mesej tersebut daripada isteri saya yang mengatakan bahawa ada orang yang sangat berhajat meminta pertolongan saya bagi berikhtiar merawat ayahnya yang sakit tenat. Sakit tenat? Dalam fikiran saya, kalau sakit tenat bawalah segera ke hospital.

Saya meminta izin daripada rakan-rakan untuk beredar segera demi memenuhi hajat orang tersebut.  Sesampainya saya di rumah, isteri mengatakan bahawa orang itu akan datang mengambil saya untuk dibawa ke Jengka 12. “Tak apalah, jika itu hajatnya apa boleh buat”, ujar saya perlahan sambil menunggu kedatangan orang tersebut. Ketika itu jam hampir menunjukkan pukul sebelas malam. Paling tidak proses rawatan ini memakan masa yang lama.  Letih memanglah letih, tetapi amanah ilmu Perubatan Islam terpaksa saya pikul.

Tidak berapa lama kemudian terdengar bunyi kereta dan diikuti dengan suara orang memberi salam. Ternyata itulah orangnya yang akan membawa saya merawat bapanya yang sakit tenat itu. Sepanjang perjalanan menuju ke rumahnya, saya bertanyakan sedikit sebanyak latar belakang penyakit bapanya. Secara ringkasnya, bapanya sudah terlantar sakit salam masa yang agak lama. Saya dikhabrkan juga bahawa ayahnya memang ada menuntut beberapa ilmu kebatinan dan ini tidak menghairankan saya kerana memang lumrah orang Melayu suka menuntut ilmu kebatinan. Bukanlah saya mengatakan salah menuntut ilmu sebegini, tetapi bimbang takut tersalah tuntut maka akibatnya akan dirasai ketika usia tua dan hampir menemui ajal (susah untuk mati). Wallahu’aklam..hanya Tuhan saja yang tahu. Anaknya tidak tahu banyak sangat fasal ilmu yang dituntut oleh bapanya itu, sekadar apa yang diberitahu secara ringkas sahaja. Apa yang anaknya perasan, bapanya itu memang kuat bekerja dan tidak mengenal erti penat ketika masa sihatnya. Sudah ramai juga orang yang berikhtiar merawat bapanya tetapi Allah belum mengizinkan untuk sembuh. Bapanya akan tahu setakat mana kemampuan (ilmu) orang yang merawatnya. Malah bapanya juga tahu jika ada orang yang akan datang merawatnya.

Sesampainya saya di rumahnya, kelihatan sekujur tubuh tua yang terbaring lemah. Ternyata si pesakit tidak bermaya untuk bergerak. Tersentuh hati saya melihat keadaannya. Saya menuntunnya mengucapkan dua kalimah syahadah, istighfar dan selawat atas nabi. Memohon kepada Allah agar diampuni segala dosa-dosa yang lalu dan mengharapkan kesembuhan. Tidak lupa juga, saya menyuruhnya mengikut saya mengucapkan “Ikrar Pemutus Saka”. Maksudnya, jika mana-mana ada amalannya selama ini yang mengundang kehadiran jin saka, maka terputuslah ikatan dan perjanjian selama ini. Memohon kepada Allah agar saka itu akan pergi buat selama-lamanya dan tidak kembali lagi kepad si pesakit dan mana-mana manusia sekalipun. Jikalau jin saka itu degil atau engkar, maka jin-jin tersebut akan diazab oleh Allah dan menerima siksaan yang pedih.

Proses ruqyah syariah dimulakan dengan bacaan surah al-Fatihan dan diikuti dengan rangkaian potongan ayat-ayat suci al-Quran. Pesakit kelihatan sedikit terkesan dan sesekali tangannya menepis tangan saya. Saya tetap meneruskan ruqyah sambil mengharapkan pertolongan Allah sama ada menyembuhkannya atau sebaliknya menurut kehendakNya. Proses rawatan diakhiri dengan teknik menarik paksa penyakit dan gangguan jin-jin (jika ada di dalam tubuhnya atau yang mengganggunya). Teknik menarik menggunakan kain saya lakukan yang bermula di bahagian dadanya dan menarik sehingga ke pergelangan kaki. Tiga kali proses tersebut saya lakukan dan ternyata pesakit sedikit letih.

Jam hampir menunjukkan pukul satu pagi dan saya memberhentikan dahulu proses rawatan. Kasihan saya melihat kesengsaraan pesakit tersebut. Pesakit seolah-olah tidak mahu memandang muka saya dan kelihatan air mata mengalir dipelupuk matanya. Saya dihantar pulang oleh anaknya dan membuat temu janji akan mengambil saya untuk rawatan ulangan sakit ayahnya pada hari selasa.

Saya menunggu juga pada hari selasa itu, tetapi tiada pun panggilan yang diterima. Mungkin ada hal agaknya, fikir saya.

Pada petang Rabu ketika saya membeli bahan-bahan keprluan dapur, saya disapa oleh seorang pakcik yang tinggal di Jengka 12. Dalam perbualan singkat itu tiba-tiba terpacul ungkapan yang tidak disangka-sangka daripada mulutnya mengatakan bahawa ada orang meninggal dunia di Jengka 12 pada hari Isnin. MasyaAllah, Ternyata orang yang dimaksudkan itu ialah si pesakit yang saya rawat pada hari Ahad malamnya.  Subhanallah...

Sesungguhnya ajal maut di tangan Tuhan..

Sekian sahaja coretan pengalaman daripada saya.
Jumpa lagi.


Tuesday 14 July 2015

MERAWAT SAKIT PERUT

Assalamu’alaikum wwt..

Dalam bulan puasa baru-baru ini, saya dihubungi oleh seorang pemanggil daripada Felda Lepar utara 4.  Beliau bercadang untuk mendapatkan khidmat rawatan bagi sakit yang dialami oleh dirinya dan isterinya. Kebetulan pada hari itu merupakan hari minggu dan saya tiada apa-apa program penting. Dalam masa dua jam lagi dia akan sampai ke rumah saya ujarnya.

Sesampai sahaja beliau  ke rumah saya, kelihatan isterinya dalam keadaan lemah dan letih. Dari raut wajahnya ternyata dia terseksa dengan penyakit yang dideritainya. Sesi soal jawab ringkas saya mulakan untuk mengetahui serba sedikit permasalahan beliau. Beliau menyatakan bahawa perutnya sentiasa sakit dan sudah puas mendapatkan rawatan di hospital tetapi doktor hanya memberinya ubat penahan sakit, namun tidak berkesan.

Biasanya sebelum memulakan ruqyah, saya mendoakan dahulu pada air sebagai persediaan awal. Hal ini penting kerana pada masa inilah kita mengambil masa bermohon kepada Allah agar diberikan petunjuk dan bantuan supaya dipermudahkan ikhtiar pengubatan. Air yang didoakan dengan ayat-ayat suci al-Quran beserta dengan niat yang jelas merupakan satu medium utama dalam perawatan Islam. Air sebenarnya bersifat hidup dan sangat sensitif terhadap niat yang terpancar dari lubuk hati. Apatah lagi jika didoakan dengan ayat-ayat suci al-Quran. Air boleh merakam semua itu dan molekul air pasti berubah dengan bentuk yang berkilauan. Sebab itulah ada sesetengah pesakit yang meminum air yang saya doakan mengatakan bahawa rasa air  itu seperti air zam-zam. Hal ini tidak mengejutkan kerana ada seorang profesor daripada Negara Jepun yang telah membuat kajian tentang molekul air ini. Molekul air zam-zam kelihatan berkilauan dengan bentuk yang menakjubkan. Begitu juga air yang diucapkan dengan kata-kata positif atau negatif akan berubah bentuknya.

Berbalik kepada pesakit tadi,

Seterusnya, saya meminta pesakit perempuan itu berbaring kerana dia tidak bermaya untuk duduk.  Saya meruqyah sambil tangan menyentuh kain tebal yang diletakan di bahagian perutnya. Suaminya duduk di sisi saya dan memerhatikan dengan penuh pengharapan. Dengan izin Allah ada sedikit reaksi yang ditujukkan oleh si pesakit. Saya merasakan ada suatu gangguan yang menjadi penyebab sakit perut si sakit. Sesekali terdengar suara keluhan sakit daripada mulut si pesakit.

Gambar hiasan : sakit perut memang menyeksakan

Pada pengamatan saya, jika ruqyah sahaja digunakan mungkin tidak banyak membantu. Ruqyah mesti disertai dengan niat dan teknik tertentu bagi mengeluarkan penyakit (gangguan) dengan Izin Allah. Saya menggunkan teknik menarik penyakit (gangguan) yang pernah saya pelajari daripada Ustaz Abdul Majid (Akrine Kuang). Dengan membaca beberapa potong ayat-ayat suci al-Quran, kaedah menarik penyakit dan gangguan dilakukan. Sehelai serban saya gunakan sambil memakrifat menarik segala penyakit dan punca penyakit (dengan izin Allah).  Reaksi ketara ditunjukkan oleh pesakit. Kedengaran suaranya merintih kesakitan apabila serban tersebut saya tarik sehingga ke hujung kakinya. Saya tidak menghiraukan semua itu. Proses penarikan tersebut saya ulangi sebanyak tiga kali dan pesakit tertidur keletihan. Subhanallah..

Saya berharap Allah memperkenankan usaha saya itu dan pesakit segera sembuh dengan izin-Nya.

Sekian coretan pada kali ini..
Selamat menjalani ibadah puasa dan melakukan amalan soleh dalam bulan yang mulia ini..

 `

Monday 6 July 2015

KAEDAH PAGAR RUMAH

Assalamu’alaikum wwt.

Sebenarnya ada banyak kaedah untuk memagar rumah. Pagar rumah yang dimaksudkan bukanlah melibatkan bahan-bahan konkrit yang dapat dilihat dengan mata kasar. Kalau pagar ini yang ingin dibicarakan, maka bukan blog ini yang anda cari. Kalau pagar konkrit, ada pakar binaan yang mampu membuatnya. Carilah tukang-tukang rumah yang berpengalaman untuk menghasilkan pagar rumah yang kemas, cantik dan selamat.

Pagar rumah yang dimaksudkan di sini ialah kaedah pagar rumah yang bersifat ghaib iaitu tidak nampak dek mata kasar. Malah tujuan khususnya adalah untuk memohon kepada Allah Taala akan keselamatan penghuni rumah tersebut daripada gangguan jin dan syaitan. Malah lebih jauh daripada itu adalah untuk menjauhkan mara bahaya daripada dimasuki pencuri atau kuasa pukau. Hal yang semacam inilah yang memerlukan kemahiran khusus bagi memagar rumah.

Pagar rumah melibatkan penggunaan makhluk halus

Jangan pula kita mudah percaya kepada sebarangan orang untuk melakukan ikhtiar memagar rumah. Ada beberapa orang yang melakukan kaedah pagar rumah yang melibatkan penggunaan makhluk halus seperti jin. Biasanya, orang yang beraliran ilmu hitam selalu menggunakan kaedah memagar rumah seperti ini. Ilmu hitam pula merujuk kepada sejenis ilmu yang melibatkan bantuan atau dampingan makhluk halus seperti jin untuk melaksanakan hajat mereka secara  mudah dan cepat.

Biasanya dalam masyarakat Melayu dahulu bahkan masih ada lagi sekarang ini individu yang memelihara hantu raya bagi tujuan pagar rumah. Apabila tuannya tiada, hantu raya ini akan menjaga rumah tuannya dari diceroboh oleh pencuri atau hantu-hantu yang lain. Hantu raya ini terkenal dengan kekuatan yang berlipat kali ganda dan ditakuti dengan sifat bengisnya. Pada pendapat saya hantu raya ini sejenis jin dari bangsa ifrit (wallahu’aklam). Hantu raya ini juga terkenal dengan ketaatan yang membuta tuli. Sebab itulah jika kita tidak sengaja memetik bunga atau mengambil buah-buahan di kawasan rumah pemilik hantu raya ini, musibah akan terkena serta-merta. Perbuatan berdamping dengan makhluk halus ini sudah terang-terang merosakkan akidah kerana meminta pertolongan daripada makhluk halus

Ada juga kaedah pagar rumah yang melibatkan penggunaan bahan-bahan tertentu yang juga berisi kekuatan makhluk halus. Biasanya bahan-bahan ini ditanam  pada empat penjuru rumah. Melalui medium bahan-bahan ini seperi teras kayu, tahi besi dan azimat akan menjadikan rumah tersebut seolah-olah dikawal oleh suatu kuasa ghaib. Penggunaan wafak dan azimat yang diletakkan pada bahagian tertentu di dalam rumah juga berisi kekuatan ghaib yang kononya dapat memagar rumah. Penghuni rumah ini dkhuatiri akan meletakkan kepercayaan kepada bahan-bahan tersebut yang dapat menjaga rumah mereka. Apabila hal ini berlaku maka akan rosaklah akidah kita yang mengajar supaya meletakkan pergantungan mutlah kepada Allah Taala. Fikirkanlah..
Pagar rumah menurut kaedah Islam

Ajaran Islam sebenarnya sudah lengkap zahir dan batin dan mencakupi semua urusan kehidupan manusia termasuklah dalam ikhtiar pagar rumah.  Ajaran Islam menitikberakan akidah yang teguh kepada Allah. Yakinlah bahawa Allah maha berkuasa ke atas setiap sesuatu. Doa dan pengharapan yang dipohon kepada Allah dalam usaha pagar rumah lebih diutamakan. Inilah akidah dan inilah pegangan kita yang beragama Islam. Baginda Rasulullah saw telah mengajar kita akan kaedah memagar rumah dan kaedah ini silih berganti diajarkan oleh ulama sehinggalah kini.

Ada banyak kaedah untuk memagar rumah menurut ajaran Islam. Ayat-ayat suci al-Quran merupakan mukjizat yang terus mengalir dan penuh berkat dalam usaha memagar rumah. Ada ayat-ayat terpilih yang sudah disusun oleh ulama bagi tujuan pagar rumah. Carilah guru-guru yang ahli dalam bidang pagar rumah ini. Dengan izin Allah, ikhtiar yang dilakukan dengan redha Allah ini penuh keberkatan dan mengandungi kekuatan yang luar biasa.

Dalam ruangan ini saya tidaklah berhasrat untuk mengajar pembaca tentang kaedah pagar rumah.  Tidak molek rasanya saya memberikan petua kaedah pagar di sini.  Apa yang saya ingin bicarakan ialah berkenaan kaedah pagar rumah secara umum sahaja. Ada bahan-bahan tertentu dan pemilihan ayat-ayat tertentu yang digunakan.

Secara amnya, semua orang boleh membuat sendiri pagar rumah ini. Tidak perlu meminta pertolongan daripada orang lain untuk membuatnya. Ada banyak ayat-ayat al-Quran yang boleh digunakan untuk tujuan pagar rumah ini. Ada kombinasi ayat-ayat pilihan yang bersesuaian yang boleh digunakan. Contohnya, kombinasi Surah Al-Fatehah, ayatul Qursi, Al-Ikhlas, al-Falaq dan an-Nas. Ada juga hizib-hizib tertentu yang pernah digunakan seperti Hizib Bahar.

Antara bahan-bahan yang biasa digunakan dalam usaha memagar rumah ialah air, garam kasar dan lada hitam yang telah didoakan. Air digunakan untuk dipercikkan pada setiap penjuru rumah. Lada hitam pula digunakan untuk bahagian dalam rumah dengan kaedah rejaman di setiap bahagian dalam rumah. Campuran lada hitam dan garam kasar pula digunakan untuk memagar di kawasan luar rumah. Penggunan bahan-bahan ini didapati lebih berkesan untuk menghalau penghuni ghaib (jin) yang berada di dalam rumah. Mengikut pandangan orang yang kasyaf, lada hitam dan garam kasar ini dapat menyakiti tubuh jin yang  bersifat halus ini (Wallahua’lam).

Lada hitam antara salah satu bahan untuk 'pagar rumah'

Adalah lebih baik sebelum bahan-bahan tersebut digunakan, berilah amaran terlebih dahulu kepada penghuni ghaib (jin) yang mendiami rumah tersebut agar keluar terlebih dahulu. Janganlah pula kita bersifat kejam dengan tidak memberi amaran kepada mereka. Lakukan usaha pemagaran rumah ini dimulakan di dalam rumah dahulu kemudian barulah diikuti di kawasan luar rumah. Semasa menggunakan bahan-bahan tersebut, dimulakan mengikut pusingan tawaf dan jangan berkata-kata melainkan mulut membaca ayatul Qursi.

Sekian sahaja perkongsian daripada hamba yang jahil ini..
Selamat menjalani ibadah puasa..

Semoga berjumpa lagi.

Saturday 4 July 2015

PAGAR RUMAH

Assalamu’alaikum wwt

Sering kali juga saya diminta oleh pesakit untuk berikhtiar memagar rumah. Selalunya saya akan berseloroh terlebih dahulu iaitu meminta pesakit membelikan barang-barang bagi tujuan tersebut seperti simen, batu, pasir dan sebagainya.  Yalah..tiba-tiba saja minta saya membuat pagar rumah. Memang itulah barang-barang yang perlu disediakan. Saya faham maksud mereka tetapi saja suka mengenakan mereka. Pagar rumah yang dimaksudkan ialah memagar kawasan rumah di bahagian dalam dan luar rumah daripada gangguan makhluk halus (jin dan syaitan).

Punca Gangguan Di Rumah

Dalam kehidupan seharian, alam nyata ini sebenarnya berkongsi dengan alam ghaib. Batas perkongsian itu hanya dipisahkan oleh tabir yang dapat diumpamakan senipis kulit bawang sahaja. Itulah kebesaran Allah yang mencipta dan mentadbir alam ini. Maha Suci Allah yang sangat berkuasa atas tiap-tiap sesuatu. Atas nama perkongsian itulah kadang-kadang ada antara beberapa perbuatan manusia yang menyakiti makhluk halus tersebut. Kadang-kadang kita tidak tahupun telah memijak anak-anak mereka (jin) yang sedang bermain-main atau melukakan badan mereka dengan menyiram air panas dan sebagainya lagi. Apa boleh buat kerana memang manusia tidak nampak akan kewujudan mereka (jin) tetapi mereka (jin) nampak manusia. Hal ini umum kita mengetahuinya, malah telahpun diperingatkan sejak dahulu lagi oleh Baginda Rasulullah saw.

Tidak mustahil makhluk halus (jin) ini menumpang sama tinggal di dalam rumah kita. Mana kita nampak akan kewujudan mereka. Sudah menjadi sifat mereka yang suka mengganggu manusia, maka selalunya manusia yang leka dan lalai selalu menjadi mengsa mereka. Tahap gangguan itu bergantung kepada sejauh mana kuat dan lemahnya ketakwaan kita kepada Allah. Rumah yang penghuninya selalu mendekatkan diri kepada Allah dan mengamalkan suruhan agama, maka tahap gangguan jin ini tidak terasa malah rumahnya aman tenteram. Hal ini kerana rahmat Allah sentiasa memayungi penghuni rumah tersebut. Bukankan nabi kita pernah berpesan, janganlah jadikan rumah sebagai kuburan. Maksudnya, sinarilah rumah itu dengan cahaya solat, cahaya zikrullah dan membaca al-quran. Sebaliknya, bagi penghuni rumah yang menjauhkan diri daripada Allah dan mengabaikan suruhan agama, maka mudahlah bagi gangguan makhluk halus (jin) berdamping dengan penghuni rumah tersebut.  Apatah lagi, penghuni rumah menjadikan rumah mereka sarang maksiat seperti berjudi, berzina dan sebagainya. Mana ada keberkatan di dalam rumah tersebut. Bila ini terjadi, maka berlakulah gangguan makhluk halus (jin) tersebut. Hal ini menyebabkan wujudnya suasana yang tidak tenteram, panas semacam sahaja dan sebagainya.

Fokus perbicaraan ini ialah gangguan (jin) yang berlaku di rumah penghuninya yang menjauhkan diri daripada Allah dan mengabaikan suruhan agama. Mereka tidak faham mengapa berlakunya gangguan (jin) di dalam rumah mereka?  Sebenarnya, perlakuan merekalah yang mengundang kehadiran jin pengganggu tersebut. Kadang-kadang ada juga penyebab gangguan jin di dalam rumah disebabkan amalan ilmu kebatinan yang sesat yang melibatkan pendamping atau khadam. Sebagai contoh, amalan sesat dan berkhadam dengan jin menjadi antara penyebab utama gangguan jin di dalam rumah seperti memelihara hantu raya (jin) untuk membantu dalam urusan seharian. Hantu raya yang menjadi pendamping mereka akan mengganggu pula seluruh penghuni rumah. Kontrak khidmat hantu raya ini pula akan berlanjutan sehingga ke beberapa generasi keturunan kononya untuk menjaga anak cucu. Inilah dinamakan JIN SAKA.

Sebenarnya ada banyak ilmu-ilmu kebatinan yang mengelirukan yang mengundang kehadiran jin dalam diri pengamalnya dan kemudiannya akan mengganggu pula keharmonian rumah tangga si pengamalnya. Warisan jin-jin saka seperti saka ilmu kebal, ilmu persilatan, ilmu perbomohan, ilmu perbidanan dan sebagainya umum diketahui dalam masyarakat Melayu. Jin-jin saka inilah yang banyak menimbulkan gangguan di dalam rumah sehingga terpaksa ditangani dengan kaedah pagar rumah.

Rumah yang dipagar memang selamat

Pada pendapat saya, kaedah pagar rumah sahaja tidak berkesan sekiranya kualiti amalan manusia tidak dijaga. Buangkanlah segala ilmu-ilmu sesat dan berkhadam lalu kembalilah ke jalan yang benar dengan bertauhid kepada Allah dan mengamalkan suruhan agama. InsyaAllah.

Sekian untuk bicara pada kali ini.

Bersambung....