Tuesday 30 June 2015

MERAWAT GANGGUAN MISTERI

Assalamu'alaikum wwt.

Petang itu saya terpaksa pergi ke Kampung Paya Luas di Kuala Krau, Pahang. Hal ini disebabkan saya terpaksa menghadiri satu majlis bersama YB. Kuala Krau untuk menerima sumbangan wang surau sempena Ramadan. Saya pergi seorang diri sahaja kerana tiada siapa yang boleh menemani. Sudahlah tempatnya tidak pernah saya kunjungi hingga beberapa kali saya tersesat dan terpaksa meminta pertolongan penduduk setempat untuk menunjukkan arah.  Majlis tersebut berlangsung sehingga melewati waktu isyak.

Agak lewat saya sampai ke rumah dan sebenarnya isteri saya beberapa kali menelefon saya.  Isyarat panggilan tidak dapat diterima kerana di Kampung Paya Luas tiada liputan. Sesampai saja di rumah, isteri memberitahu bahawa ada sepasang suami isteri yang telah lama menunggu kepulangan saya bagi mendapatkan rawatan. Tidak sampai hati, saya membenarkan pasangan tersebut yang datang dari Jerantut untuk mendapatkan khidmat rawatan. Sebenarnya isterinya yang sakit dan kelihatan tidak bermaya.

Sesi rawatan dijalankan dengan bertanyakan beberapa soalan berkaitan simpton-simpton yang dialami.  Saya seakan diberi petunjuk bahawa ada gangguan yang dialaminya. Ayat-ayat ruqyah dialunkan sambil mengharapkan pertolongan Allah.  Siapalah saya yang mampu mengubati penyakit jika tiada dengan izin Allah? Pada kebiasaannya pesakit yang mengalami simpton gangguan akan menunjukkan gejala-gejala seperti panas, muntah dan sebagainya, namun pesakit ini tidak ketara reaksinya. Saya mengagak gangguan ini berpunca di rumah ibunya kerana dari penceritaannya bahawa setiap kali dia balik ke rumah ibunya, mesti badannya lemah dan sakit.

Saya menukar teknik ruqyah dengan melakukan teknik kembara dan rawat (TKR) untuk mengesan punca gangguan di rumah ibunya. Saya menutup matanya dengan serban yang sentiasa saya gunakan dan membaca beberapa potong ayat suci al Quran. Niat saya padukan bersama tumpuan pengharapan kepada Allah.  Saya membimbing pesakit untuk pergi ke rumah ibunya secara batin (vizual). Selang beberapa lama, pesakit itu terperanjat kerana hijab matanya terbuka dan nampak beberapa makhluk (jin) yang mengerikan di sekitar rumah ibunya. Pesakit ketakukan, namun saya menenangkannya sambil memberi kata-kata penguat semangat. Kali ini tidak boleh berlembut lagi. Pengajaran mesti diberikan kepada makhluk pengganggu tersebut. Saya minta pesakit memohon kepada Allah sambil memakrifatkan ditangannya ada sebilah pedang yang tajam. Setelah yakin, saya arahkan pesakit agar melibas makhluk gangguan itu dengan pedang ditangannya.  Satu persatu makhluk pengganggu itu dipancungnya.

Mungkin ini agaknya gambaran makhluk yang dilihat

Setelah sesi scanning di luar rumah, maka saya arahkan pula pesakit untuk berdiri di muka pintu rumahnya dan seterusnya meninjau di dalam rumah. Wah, nampaknya ada lagi beberapa makhluk dengan rupa yang mengerikan berada di dalam rumah tersebut! Apa lagi, tanpa membuang masa saya arahkan pesakit menggunakan pedang yang berada di tangannya untuk memancung lembaga hodoh tersebut. Dengan penuh kesungguhan, pesakit mematuhi arahan saya. Nampaknya pesakit agak keletihan kerana inilah pengalaman baru yang menakutkan yang telah ditempuhinya.

Penutup mata pesakit dibuka dan doa dibaca agar gambaran tersebut ditutup. Bimbang pula saya kalau-kalau gambaran yang dilihat  itu sentiasa terpambang di depan mata. Alhamdulillah, sesi rawatan ditamatkan sambil berharap kepada Allah agar gangguan misteri yang dialami oleh pesakit tidak berulang lagi.  Hanya Allah jua yang mengetahui segala-galanya. Wallahu’aklam.


Sekian... jumpa lagi`